Pernah Habiskan 4 Piza Saiz Besar, Miss Intercontinental Malaysia 2017/2018 Kongsi Pengalaman Gemuk Sewaktu Belajar

Pernah Habiskan 4 Piza Saiz Besar, Miss Intercontinental Malaysia 2017/2018 Kongsi Pengalaman Gemuk Sewaktu Belajar

Nama Sanjna Suri mungkin agak asing namun wanita ini mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Intercontinental 2017 yang diadakan antara 10 Januari dan 25 Januari 2018 di Sunrise Crystal Bay Resort, Qesm Hurghada, Mesir.

Pertandingan yang sedang berlangsung ini mempertandingkan 78 peserta yang mewakili negara masing-masing. Melihat kelibat ratu ini pasti tiada siapa menyangka bahawa dia pernah melalui fasa berat badan yang berlebihan.

“Dulu berat badan saya tidaklah besar sangat. Segala-galanya bermula apabila saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Farmasi di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS).

Facebook Miss Intercontinental Malaysia

Selama 5 tahun belajar, dalam tahun kedua saya mula stres untuk mendapatkan Ijazah Kelas Pertama. Hanya pelajar yang mendapat kelas pertama saja yang boleh menukar status pinjaman PTPTN kepada biasiswa. Jadi saya bersungguh-sungguh belajar untuk mendapat kelas pertama.

Dalam tempoh tersebut masa saya hanya diisi dengan belajar dan tidur sahaja. Saya tidak mempunyai masa untuk keluar berjalan-jalan jadi saya reward diri dengan makan. Balik rumah dari universiti saya makan dan kalau saya mendapat gred yang baik juga saya akan makan. Pendek kata apa sahaja yang berlaku pada diri saya, hadiahnya adalah makan.

Saya memang suka makan dan ketika itu cuba bayangkan saya boleh makan 4 Domino’s Pizza saiz besar sekali gus. Kalau makan nasi ditambah pula dengan lauk yang agak banyak.

Perut kita boleh membesar kalau selalu makan banyak, kalau you dah mula makan kurang dia akan kecik balik. Jadi masa tu saya makan banyak sangat sehingga mencapai 72kg,” tutur Sanjna Suri yang berketinggian 1.71m ini.

“Memang sejak kecil lagi saya sangat meminati pertandingan ratu cantik. Tapi saya tak pernah diberi peluang. Keluarga saya tidak membenarkan dan menyatakan bidang ini hanya hobi semata-mata dan tidak boleh dijadikan karier.

Setelah tamat belajar saya mula bekerja sebagai Pegawai Farmasi di sebuah hospital. Sepanjang bekerja saya gembira menjalankan tugas namun jauh di sudut hati dunia saya bukan di sini. I knew that I was meant to do more, something that I was passionate about.

So masa tu I dah habis belajar dan bekerja. Tanggungjawab saya sebagai anak sudah terlaksana dengan memperoleh Ijazah dengan Kepujian Kelas Pertama serta menjadi Ahli Farmasi. Jadi apabila mempunyai duit gaji sendiri saya mempunyai ruang untuk menjaga diri. I used to spend all my money on groceries.

Setiap pagi sebelum pergi kerja saya akan masak bekal untuk makan tengah hari. Saya masak sendiri dan hanya makan makanan sihat sahaja. Balik kerja saya akan singgah di gym, bersenam selama satu jam. Selama 6 bulan rutin saya begini dan hasilnya saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 20kg dan kini berat saya adalah 48kg

.

Bagi saya menurunkan berat badan bukan untuk kurus semata-mata tetapi untuk sihat. Saya dapat rasakan setelah mencapai berat badan begini saya lebih aktif, kulit lagi cantik, tidur lagi lena. Nasihat saya kepada wanita lain jangan jadi macam saya.

Kalau nak reward yourself jangan reward food. Budaya di Malaysia memang suka makan. Pernah tak dengar kalau berjaya atau menang sesuatu, “Bagus, jom I belanja you makan” As lovely as it is it shouldn’t be that way. Sebab kena ingat apa yang masuk dalam mulut sepatutnya nutrisi dan tenaga untuk tubuh. Kalau makan nonsense tubuh akan jadi nonsense. So you kena ingat what you eat now will determine what you are in 10 years later.” Hamizatul Maizan Mohamed

Sempurnanya Hati Seorang Ibu, Lebih Besar & Indah Dari Yang Disangka!

Sempurnanya Hati Seorang Ibu, Lebih Besar & Indah Dari Yang Disangka!

Kisah ini bukanlah terjadi dalam sebuah kehidupan realiti di muka bumi ini. Tetapi bisa membuat kita berfikir dan merenung kembali tentang kehidupan kita sebagai manusia biasa dan menghargai betapa tinggi serta mulianya hati seorang bernama ibu itu.

Terlalu tinggi dan mulianya hati seorang ibu. Hanya mereka yang telah melalui saat melengkapi sebuah kehidupan sempurna sebagai seorang ibu akan memahami betapa halusnya hati dan jiwa mereka ini.

Pada suatu hari anak itu tertidur lalu bermimpi. Dalam mimpinya seolah-olah setiap orang mampu melihat bentuk hati di dada orang lain termasuk hatinya sendiri. Owh! Sesuatu yang luar biasa.

Lalu anak itu mengalihkan pandangan ke dadanya sendiri, ia sangat bangga ketika melihat hatinya berbentuk merah jambu berbentuk sangat sempurna dan berkilau. “Hati yang sempurna” katanya. “Oh! Sungguh indah! Tidak ada cacat dan noda….” Lalu dia melangkah ke luar.

Ia mulai mengamati hati orang-orang di sekitarnya. Ada yang terpancar indah seperti miliknya, ada yang terdapat luka, ada yang besar, ada yang kecil, dan berbagai macam bentuknya.

“Wow, ini sungguh luar biasa…” katanya lagi. Anak itu makin yakin bahawa hatinyalah yang paling sempurna dan indah, berbanding hati orang lain. Tiba-tiba pandangannya terpaku saat melihat seorang wanita tua yang wajahnya tunduk, hampir tidak kelihatan wajahnya.

Wanita tua itu memiliki bentuk hati yang sangat besar tetapi tidak berbentuk. Dia menjadi hairan,  kenapa banyak sekali lubang yang menganga dalam hatinya? Anak itu berjalan dekat ke arah wanita tua itu dan bertanya kepadanya. “Kenapa hatimu seperti itu? Kenapa tidak berbentuk sempurna dan indah seperti milik saya?” katanya bangga.

Jawab wanita tua itu ,”Mungkin kerana kamu masih terlalu muda dan belum begitu memahami perjalanan dunia ini”. Wanita tua itu terus berbicara, “Setiap kali saya mencintai seseorang, saya akan  merobek hati ini dan berikan kepada sesiapa yang saya sayangi.

Begitu pula jika saya menolong orang, selalu ada serpihan hati yang diberi pada orang itu. Dulu saat saya masih muda dan bergaul dengan banyak sahabat, hati saya juga terluka kerana selalu memberikannya pada teman-teman. Sehinggalah saat saya berkahwin dan punya anak, saya hampir habis tersayat-sayat untuk memahami suami dan membesarkan anak-anak.

“Tetapi, ada suatu saat di mana mereka juga memberi hati mereka kepada saya. Mereka juga belajar menghiris hati mereka untuk menutup setiap luka di hati saya hingga bertompok-tompok, itulah sebabnya kenapa hati saya lebih besar dari hatimu, sekalipun tidak berbentuk lagi. Itulah sebabnya masih banyak sekali lubang yang ternganga di hati ini. Sekarang hati siapa yang lebih indah? Hati ku atau hati mu?”

Anak muda itu tertegun dan berfikir. Ia mulai menyedari bahawa hati wanita tua itu jauh lebih sempurna dari hatinya. Luka, cacat, dan banyaknya tampalan di hati wanita itu, menjadikannya lebih indah dan lebih besar dari miliknya.

Setiap lubangnya seolah berbicara tentang cinta dan ketulusan dalam kehidupan yang dijalaninya. Sejenak, si anak itu mulai mengamati wajah wanita tua itu. Ia terperanjat ketika melihat wanita tua itu ternyata ibunya sendiri yang memanggilnya untuk bersama menunaikan solat subuh…

Hati seorang ibu sangat tabah dengan apa sahaja ujian hidup… Hati seorang ibu sangat sensitif, jika si anak yang disayanginya melukakannya dan tidak ambil berat tentangnya. Hargailah hati seorang ibu. Jagalah hati dan perasaan seorang ibu. Peliharalah lidah mu wahai si Anak……jangan celupar dengan ibumu.

Jagalah raut wajahmu selalu…..jangan melukakan hati dan perasaan seorang ibu dengan wajahmu yang masam, tidak indah dipandang oleh mata seorang ibu. Ibu telah melalui satu perjalanan hidup yang panjang, hargailah mereka.

Berilah secebis kebahagiaan di hati mereka, hanya itu yang mampu memberi kesempurnaan buat mereka… Ibumu adalah permata hatimu, jangan permata hati ini kamu abaikan. Kelak dirimu akan rugi selama-lamanya. Rugi dunia dan di akhirat. Mohonlah restu dan reda dari ibu mu, sebelum ibumu memejamkan matanya yang terakhir buat selama-lamanya. KR

“Saya Kejar Mereka & PAKSA DELETE Gambar-Gambar Anak Saya!” Seramnya Pengalaman Ibu Ini Berdepan Pedofilia

“Saya Kejar Mereka & PAKSA DELETE Gambar-Gambar Anak Saya!” Seramnya Pengalaman Ibu Ini Berdepan Pedofilia

Ya Allah! Macam nak tercabut tangkai jantung ni bila terbaca perkongsian Puan Siti Umairah tentang peristiwa yang berlaku terhadap dia dan anaknya.

Hampir-hampir menjadi mangsa pedofilia, peristiwa yang baru berlaku semalam di Tesco Kulim, Kedah itu patut dijadikan iktibar buat kita semua.

Ikuti perkongsian beliau ketika berdepan detik mencemaskan ini di bahagian pakaian kanak-kanak di pasar raya tersebut. Anaknya dijadikan sasaran sekumpulan lelaki warga asing yang mencurigakan. Mujurlah dia cepat bertindak!

=====================

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Post kali ni mungkin panjang sikit tapi inilah yang berlaku kepada saya ketika membeli-belah di Tesco Kulim, Kedah. Tarikh kejadian 15.01.18, jam lebih kurang 9.00 malam. Saya tidak sesekali menyalahkan pihak Tesco dalam post ini. Harap anda semua baca sampai habis, baru komen. Dilarang maki hamun. Sila share post ini jika rasa berguna.

Saya dan #laylasalikin (anak), kakak ipar Zadariah Zakaria beserta anak 3 orang, masuk ke Tesco Kulim untuk beli diapers yang sedang offer. Sampai Tesco, saya terlintas di kawasan baju kanak-kanak yang sedang offer jugak. Mak dah ke bahagian ikan ayam. Tinggal saya, Layla dan anak sedara, Zahra.

Tengah syok-syok saya pilih seluar dan acukan ke kaki Layla, mata saya terpana. 5 hingga 6 orang Bangla, salah seorangnya sibuk snap gambar Layla (saya agak je masa ni sebab kamera hp beliau menghala ke arah Layla). Bergetar badan ni haa. Depa ramai. Saya seorang diri

Sy gagahkan diri, bertanya dalam nada marah “Buat apa?” Depa mula menjauhkan diri. Saya tolak troli n ikut. Sambil jari menuding dan beri isyarat (mai sini) mulut saya lantang berkata, “Open camera gallery. Delete. I call police”.

Dan. Makhluk bangla yang pegang hp tadi patah balik n mai depan saya. Yang lain dah tak senang duduk dan ushar panas. Makhluk tu open gallery hp. Ada gambar Layla Salikin!!!!!! Dan sy perasan banyak lagi gambar sepertinya gambar budak-budak!!!! Makhluk Bangla delete gambar Layla. Mulut tak berhenti cakap “Ok. Delete. Delete. Sorry. Sorry. I dont know. Sorry. No police”

Allah. Gais. Ampa rasa???? Saya ketaq segala-galanya. Saya pi cari Mak dan kakak ipar. Saya cerita. N saya bertekad nak inform pihak Tesco. Saya nampak 2 orang staf kat bahagian keju. Sy bagitau tapi depa tak layan!!!! Depa suruh pi customer services sebab manager ada sana. Seriuslah bhai???? Saya call suami Izmai Ikhlas, Mohd Izwan Othman Arshad bagitau semua yang berlaku tadi.

Saya teruskan ambil apa yang saya mau, masih nampak segerombolan makhluk Bangla tu masih berlegar-legar dengan tangan seorang tu masih pegang hp. Sy bayar, pi kaunter customer service n cerita. Staff tu cakap, “Ok. Kami akan berhati-hati.” What? Tu ja? Takmau tanya aku ka makhluk tu yg mana? (makhluk gerombolan tu sedang menuju keluar tanpa membeli apa-apa barang).

Demmit. Celaru. Ikut mak n kakak ipar yang tunggu kat food court. Segerombolan tu lalu dan benti kat kedai cermin mata sambil menerai. Saya snap gambar depa. Depa perasan bercakap-cakap. Saya buat-buat cakap kat hp. Lama depa tunggu situ. Saya tunggu abang Syakirin Ismail kat food court tu. Abg saya mai, bagi anak-anak main dulu, baru turun ke parking.

Turun parking, abam polis tunggu kat kereta dah. Nak ambil keterangan. Saya tunjuk gambar yang daku sempat snap tadi. Tapi bak kata abam polis, tak boleh buat apa-apa sebab segerombolan makhluk Bangla tu dah balik. Allah.

Gais out there. Parents out there. Maaf. Entah kenapa saya tak suruh ja makhluk tu delete semua gambar anak-anak. Maaf. Saya sangat blur. Entah dari mana daku dapat kekuatan pi ikut depa, saya pun taktau.

Please. Sambil kita cuci mata, rupanya ada yg ‘curi’ cahaya mata kita. Dalam kes ni, alhamdulillah, sy ‘terrr’ berani. Alhamdulillah segerombolan makhluk Bangla tu tak mengganas.

Ni ja yang saya nak bagitau. Abam polis cakap, “Kita takut kes penderaan seksual kanak-kanak ataupun kes culik”. Abam polis sangat frust sebab segerombolan tu dah blah. Nothing to do.

Terima kasih pihak Tesco sebab tolong call abam polis. Tapi staff anda kurang membantu. Terima kasih suami tercinta sbb call polis jgk. Syg, lain kali jgn kalut sgt. Huhuhu. Takut anak kita abam polis dok tunggu kat kereta. Ramai plak tu. Yg mata2, yg berseragam, yg bermotor besaq.

Masa sy taip ni, sy masih ketaq. Layla salikin dah tido. Kalau rasa penting, sila share. Tolong lah semua. Beringat. Beringat. Beringat.
Alhamdulillah, mata sy dpt tangkap kegiatan depa. Alhamdulillah, syukur Ya allah.

Sumber: Siti Umairah

Kalau Nak Hamil Kena TURUNKAN BERAT BADAN, Betul Ke Ada Kaitan Dengan Kesuburan Wanita?

Kalau Nak Hamil Kena TURUNKAN BERAT BADAN, Betul Ke Ada Kaitan Dengan Kesuburan Wanita?

Ramai wanita merasakan berat badan yang berlebihan ini adalah perkara biasa terutamanya jika orang di sekeliling seperti suami, keluarga dan rakan-rakan turut mempunyai masalah yang sama.

Adakala mereka membandingkan diri dengan wanita obes lain yang tidak mempunyai masalah kesuburan atau belum menghidapi sebarang masalah kesihatan lain. Oleh itu mereka merasakan tidak ada keperluan untuk menurunkan berat badan.

Namun kajian telah menunjukkan bahawa penurunan berat badan sebanyak 10 peratus akan merangsang proses ovulasi secara semula jadi. Kitaran haid menjadi lebih baik dan terdapat juga yang berjaya hamil secara semula jadi.

Penurunan berat badan sememangnya merupakan rawatan utama. Selain membantu meningkatkan kesuburan secara semula jadi, ia juga membantu meningkatkan keberkesanan ubat-ubat kesuburan yang digunakan. Sekiranya mereka berjaya hamil, risiko-risiko kesihatan sepanjang kehamilan akan lebih berkurangan.

Wanita yang mempunyai masalah obesiti sememangnya disarankan mengambil langkah serius untuk menurunkan berat badan mereka. Perubahan yang besar perlu dilakukan terhadap gaya hidup, pemakanan sihat di samping menjalani senaman yang teratur dan efektif.

(a) Pemakanan yang sihat bukan bermaksud mengelak makan tetapi menjaga kualiti dan kuantiti pemakanan tersebut. Mula belajar untuk mengira jumlah kalori pemakanan seharian, catat dan kaji diari pemakanan sendiri.

(b) Bersenam juga adalah keperluan mandatori seiring dengan penjagaan diet. Ramai yang kecewa dan tidak dapat bertahan lama dengan perubahan diet sahaja. Kadar metabolik badan akan kekal rendah tanpa senaman dan lemak-lemak badan ini sangat sukar disingkirkan.

Senaman akan meningkatkan kadar pembakaran lemak di samping mula membina otot-otot yang akan terus kekal meningkatkan kadar metabolik badan walaupun semasa rehat. Cari dan amalkan senaman yang praktikal, sesuai dan disukai agar ianya boleh dilakukan setiap hari. Beban kerja harian bukanlah alasan untuk mendapatkan 20 ke 30 minit untuk bersenam setiap hari.

Senaman di rumah sama ada menggunakan alat, mesin senaman atau semudah melakukan aerobik mahupun tarian berpandukan pita video boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, walaupun seawal pagi atau lewat malam.

(c) Penggunaan ubat-ubatan untuk menurunkan berat badan, turut serta dalam program-program pelangsingan badan dan pembedahan bukanlah perkara mudah selain melibatkan kos yang sangat tinggi. Kaedah ini adakalanya mendatangkan risiko dan kesan sampingan. Mungkin tidak berkekalan sekiranya gaya hidup sihat tidak diamalkan. Walau bagaimanapun rawatan ini mungkin diperlukan bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti yang serius (BMI >40-45).

Ubat seperti Metformin/Glucophage kerap digunakan untuk rawatan pesakit PCOS yang obes. Selain membantu mengurangkan masalah kerintangan terhadap hormon insulin dan mengurangkan hormon androgen dalam darah, ianya juga akan mengurangkan penyerapan karbohidrat yang mungkin akan membantu dalam penurunan berat badan secara tidak langsung. Selain itu Metformin juga dapat meningkatkan keberkesanan ubat kesuburan seperti Clomiphene.

Selain penurunan berat badan dan menjalani rawatan kesuburan, wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil asid folik beberapa bulan sebelum memulakan usaha kehamilan. Sekiranya mereka sudah menghidapi penyakit-penyakit seperti diabetes, darah tinggi mahupun kolesterol yang berlebihan, penyakit-penyakit ini perlu dikawal terlebih dahulu. Ada kalanya ubat-ubat yang diambil perlu ditukar, penilaian dan nasihat dari doktor yang merawat mereka turut diperlukan.

Obesiti adalah masalah kesihatan yang serius. Selain mengganggu keupayaan wanita untuk hamil, ianya juga boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan. Selain itu boleh menjejaskan kesihatan wanita secara amnya dan menjadi punca kepada beberapa jenis kanser. Oleh itu wanita obes perlu melakukan perubahan besar. Hamizatul Maizan Mohamed

Khusus WANITA SINGLE, Sila Hadam 7 Peringatan Ini Bila Bekas Teman Lelaki Mahu Kembali!

Khusus WANITA SINGLE, Sila Hadam 7 Peringatan Ini Bila Bekas Teman Lelaki Mahu Kembali!

Bila bekas teman lelaki anda mahu kembali… Walaupun ia mungkin sukar tetapi tidak mustahil. Untuk memulakannya kembali, jadilah insan yang lebih fokus dan bersabar. Jangan terburu-buru dalam mengambil sebarang keputusan dengan cepat.

Anda mungkin sudah bijak menyesuaikan diri dengan keadaan single, walaupun masih ada lagi hati dan sayang kepadanya. Tapi tunggu dulu! Ambil masa dan hadam 7 peringatan ini sebelum beri peluang kedua kepadanya.

(1) Jangan buat kesilapan yang sama

Apabila anda ingin kembali bersama teman lelaki anda sekali lagi, ingatkan diri anda tentang apa yang berlaku dan cuba hindari perkara yang serupa berlaku lagi. Jika punca masalahnya adalah selalu bergaduh, maka ingatkan diri anda untuk bertenang apabila anda rasakan sesuatu yang tidak puas hati dan akan menimbulkan perbalahan kembali.

Cuba untuk menjadi lebih baik tetapi bukan kerana dia, tapi untuk diri anda sendiri. Jika bekas teman lelaki anda yang sering membuat kesilapan, ingatkannya bahawa kalian harus belajar daripada pengalaman dan sama-sama memperbaiki kelemahan diri.

(2) Mulakan sekali lagi

Tunggu sehingga bekas teman lelaki anda menyatakan penyesalannya dan anda boleh memberanikan diri beritahu dia bagaimana perasaan anda dan kemudian mula berbincang dengannya lagi jika dia merasakan cara yang sama. Lakukan semunya dengan mudah dan jangan terlalu rumitkan keadaan.

Jangan jumpa dia lebih daripada beberapa kali seminggu. Bekerja untuk membina asas kukuh dan bukannya melompat terus di mana anda berhenti. Jangan kembali fokus pada bekas teman lelaki anda dahulu, luangkan lebih banyak masa dengan rakan-rakan atau hanya melakukan perkara sendiri seperti yang dilakukan oleh anda sewaktu berpisah dengannya.

Ya! Maafkan dia tetapi beri masa untuk benar-benar mengetahui sejauh mana bekas teman lelaki inginkan anda kembali.

(3) Jangan beri harapan terlalu awal

Bergerak dari hello yang kasual ke perbualan ringkas, kemudian berbual dengannya selama sepuluh atau bahkan dua puluh minit. Pastikan anda selalu mengucapkan selamat tinggal dahulu dan jangan berbual lebih lama daripada apa yang dia mahukan.

Ini akan membuat dia lebih sedih melihat anda pergi dan merayu untuk menghabiskan lebih banyak waktu bersama. Jangan berikan dia sebarang tanda yang anda inginkan dia lagi. Anda hanya perlu menjadi sangat hebat dan mesra dan bila sampai satu tahap dia akan mahu bersama anda dan tidak mampu berpisah lagi.

(4) Jangan tertekan

Walaupun anda harus mengelak daripada membuat kesilapan yang sama! Cukup bersenang-senang dan cuba untuk tidak memikirkannya terlalu banyak melainkan jika anda mempunyai konflik. Sekiranya anda tidak rasa selamat tentang hubungan yang anda ingin kembalikan itu, cakaplah sejujurnya apa yang yang terbuku di hati.

(5) Mulakan dengan segar

Jangan memikirkan ini sebagai peluang kedua, fikirkannya sebagai dua orang yang bermula sepenuhnya untuk menjadi lebih baik dalam menangani sebarang cabaran yang datang. Walaupun anda tidak dapat melupakan masa lalu, tidak ada keperluan untuk mengatasinya atau memperbaharuinya. Lupakan keperitan itu, jika dalam hati masih ada sayang untuk terimanya kembali.

Sudah tentu, jika ada kenangan manis pada masa lalu, kenangkan kembali dan perlu memikirkan segala-galanya sebagai permulaan yang baru. Anda bermula dengan segar dan kali ini, anda lebih bijak untuk mengatasi setiap masalah yang datang.

(6) Menjadi diri sendiri

Adalah penting untuk melakukan apa sahaja untuk diri sendiri, penuhi hati dan perasaan anda sendiri. Nampak seperti pentingkan diri, tetapi ia perlu untuk merasakan diri tidak mudah dikecewakan lagi. Anda hanya perlu menukar jika anda mahu berubah, bukan hanya untuknya.

Kalau dia ingin menerima anda kembali, dia harus menerima anda seadanya. Terdapat perbezaan antara menangani kelemahan anda dan menjadi orang baru sepenuhnya. Tidak mengapa untuk menangani kelemahan anda untuk kebaikan tetapi jangan mengubah diri anda demi hubungan.

(7) Percaya pada jodoh

Jika anda sudah kembali dengan bekas teman lelaki anda sesuatu yang tidak betul berlaku, maka mungkin benar anda telah memutuskan untuk alasan yang baik bahawa mungkin tidak ada jodoh untuk kembali bersama. Sesetengah pasangan berkembang maju bersatu kembali dengan pelbagai drama tetapi hakikat dalam hati tidak seratus peratus keinginan itu ikhlas untuk kembali.

Anda perlu menerima hakikat, bahawa hubungan ini tidak sesuai untuk satu sama lain. Sekiranya masalah yang sama menjalar semula dan tidak bahagia walaupun dengan pelbagai perkara telah dilakukan, maka mungkin masa untuk mengambil keputusan, tiada jodoh antara kita.

Jujurlah dengan diri anda sendiri. Jika anda telah mencuba segala-galanya dan ia hanya tidak berfungsi, maka ia mungkin masanya untuk melepaskan saja. Anda seharusnya bangga dengan diri anda kerana sudah berusaha keras untuk kembali bersama tetapi gagal.

Sekurang-kurangnya sekarang, anda tahu bahawa ia tidak berbaloi, lebih baik untuk mengetahui kebenaran daripada bertanya-tanya apa yang mungkin berlaku jika anda berjuang untuk hatinya lagi. KR

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: