Setelah melalui hari yang sibuk dan meletihkan, rehatkan pancaindera anda dengan minyak pati kesukaan. Aroma yang terapung menerbitkan rasa nyaman, sekaligus mengembalikan tenaga dan memulihkan kesakitan.
Benar, aroma minyak pati yang tertentu mempunyai magis tersendiri. Selain memberi kepuasan olfaktori, minyak pati juga mempunyai jutaan manfaat untuk dinikmati.
IKLAN
Memandangkan setiap individu mempunyai keperluan dan pilihan aroma yang tersendiri, peneraju pasaran minyak pati terkemuka Young Living kini menawarkan lebih 80 jenis minyak pati tulen untuk dipilih. Bilangan ini tidak termasuk campuran dan produk minyak pati mereka yang lain.
Ketahui Aroma Diri Anda
Aroma Floral mendapat penerimaan yang tinggi kerana ia biasa digunakan dalam barangan penjagaan diri dan rumah. Bagi mereka yang sukakan haruman bunga, minyak pati Lavender, Geranium dan Ylang Ylang adalah antara beberapa pilihan yang disediakan.
Haruman bunga sangat sesuai untuk berehat dan bersantai selepas seharian penat bekerja. Aroma ini juga sesuai untuk membantu menyegarkan hari (atau malam) buat para ibu. Namun jangan lupa. Wangian bunga juga boleh memberi kesan yang mengasyikkan, ia sesuai untuk suasana romantis atau yang menggembirakan!
Sebut saja ‘aroma kayu-kayuan‘ sudah cukup untuk membayangkan imej hutan; maka tiada cara lain untuk menerangkan dari mana datangnya minyak pati woodsy.
Dengan sumber yang diperoleh daripada pokok-pokok Cedarwood, Idaho Balsam Fir dan Northern Light Black Spruce, minyak pati ini memberikan perasaan kestabilan dan keyakinan. Aroma kayu-kayuan memberikan kesan ketenangan yang boleh digunakan pada saat-saat yang penuh tekanan dalam gaya hidup yang sibuk.
Untuk waktu pagi yang kurang bersemangat, aroma ini berupaya memperkasakan mental dan emosi bagi membantu anda menghadapi hari yang mencabar.
IKLAN
Aroma pudina atau minty pula memberi kesan menyegarkan seperti aroma sitrus dan bukan sahaja membantu memberi tenaga tetapi juga dapat menaikkan semangat.
Aroma ini memberikan rasa kebebasan kerana ia memberikan gambaran kawasan luar yang luas tanpa sebarang sekatan. Minyak pati seperti Peppermint, Eucalyptus Radiata dan Spearmint adalah antara beberapa pilihan untuk individu yang inginkan kebebasan dan ruang yang luas untuk bergerak.
Aroma sitrus mungkin menjadi asas kepada wangian musim bunga dan musim panas, tetapi aroma yang menyegarkan ini sebenarnya tidak lapuk dek hujan.
IKLAN
Tidak seperti aroma bunga-bungaan dan kayu-kayuan, aroma sitrus digemari oleh kedua-dua kaum lelaki dan wanita kerana bau yang menyegarkan. Minyak pati Lemon, Orange dan Citrus Fresh adalah antara contoh haruman yang sesuai untuk menyejukkan dan menyegarkan hari anda yang agak perlahan.
Bagi mereka yang memilih aroma yang bersemangat boleh menggunakan haruman ini untuk kesan yang menyegarkan!
Berdasarkan personaliti, pilihan malah keperluan seseorang, empat jenis aroma ini boleh dipakai begitu sahaja. Bagi mereka yang lebih berani, aroma ini boleh dicampur-campurkan untuk menghasilkan haruman unik dan tersendiri.
Mencipta aroma sendiri adalah sesuatu yang sangat peribadi. Mengetahui campuran aroma peribadi yang anda gunakan setiap hari bukan sahaja menyeronokkan malah memberi kepuasan apabila mengikut citarasa sendiri.
Young Living Essential Oils merupakan peneraju dunia bagi minyak pati dan telah menyediakan produk berasaskan tumbuhan yang bermutu tinggi untuk pelanggan sejak lebih 20 tahun. Proses Seed to Seal® yang dimilikinya memastikan standard yang sama dipenuhi pada setiap langkah, dari benih hinggalah kepada produk yang siap. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lawanya anak gadis Datuk Afdlin Shauki! Berusia 22 tahun, Mia Sara Shauki yang merupakan anak sulung kepada pelakon komedi dan penerbit popular ini rupa-rupanya mengikut jejak langkah ayahanda tersayang dalam dunia seni.
Selain berbakat besar dalam bidang lakonan, Mia Sara juga ada bakat menyanyi. Memang jelas terbukti darah seni dan bakat Datuk Afdlin ‘mengalir’ dalam diri gadis cantik ini. Bak kata pepatah, ‘Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.’
Menurut pengarah filem Papadom dan personaliti televisyen yang sudah berkecimpung dalam industri seni tanah air selama bertahun-tahun ini mengakui dia agak keberatan jika ada di antara anak-anaknya memilih kerjaya seni seperti beliau.
Ujar Datuk Afdlin, “Saya dah lalui pelbagai suka duka dalam bidang ini dan pengalaman tersebut membuatkan saya sedikit skeptikal untuk membenarkan anak-anak terlibat dalam industri seni.
Namun apa yang saya lihat sekarang, anak-anak saya dah mula menunjukkan minat dalam bidang seni. Salah seorangnya meminati muzik, seorang lagi sudah mula berlakon sementara anak yang bongsu pula sangat tertarik dengan muzik K-Pop.”
Buat pertama kalinya, Datuk Afdlin dan Mia Sara bergandingan dalam sitkom Disney Wizards of Warna Talk yang bersiaran di saluran Disney kira-kira dua tahun lalu. Mia Sara merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Persembahan di Taylor’s College.
Bergelar anak sulung daripada tiga beradik, Mia Sara mempunyai adik perempuan iaitu Anais dan Ileana Matin. Melihat minat mendalam Mia terhadap dunia seni tidak mustahil suatu hari nanti dia mampu menjadi pelakon berjaya dan versatil seperti Datuk Afdlin Shauki.
Apatah lagi, dengan usia masih muda dan statusnya sebagai anak selebriti… ia menjadi ‘bonus’ buat Mia Sara untuk mempelajari selok-belok dunia seni daripada bapa tersayang.
Kredit foto: Instagram Mia Sara & Afdlin Shauki
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meresahkan. Mencabar. Berbeza. Mungkin inilah yang kita fikirkan tentang tahun 2020 tapi realitinya menerusi Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2020, tingkah laku kewangan rakyat Malaysia pada tahun ini tidak banyak berubah.
Sebentar tadi, pembentangan Belanjawan 2021 merekodkan perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara iaitu membabitkan sejumlah RM322.5 billion. Ia dilihat mampu meringankan beban rakyat sewaktu berdepan impak COVID-19 yang jelas menjejaskan pertumbuhan ekonomi seluruh dunia.
Hasil tinjauan mendapati 76% rakyat Malaysia mendakwa bahawa kewangan masing-masing adalah terkawal (sedikit kenaikan daripada 69% tahun lalu).
Walau bagaimanapun, 46% responden mengakui sering membelanjakan seluruh atau lebih daripada gaji bulanan mereka. Sementara itu, 53% pula mengaku bahawa mereka tidak mampu bertahan lebih dari 3 bulan tanpa gaji dengan wang simpanan yang ada.
Golongan belia (umur 35 tahun ke bawah) lebih membimbangkan kerana 60% belia tidak mampu bertahan lebih dari 3 bulan tanpa sebarang wang simpanan.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada bulan Mac, ekonomi negara sangat terjejas. Sepanjang tempoh tersebut, ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai pendapatan kukuh kerana mereka tidak boleh keluar bekerja, dipotong gaji, atau pun dihentikan kerja kerana syarikat terpaksa mengurangkan kos,” kata Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew.
Disebabkan wabak Covid-19, 27% masyarakat Malaysia sedar betapa pentingnya dana kecemasan. Statistik moratorium pinjaman automatik turut menyokong sentimen ini.
Menurut Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), terdapat lebih daripada 7.7 juta peminjam di Malaysia yang mengambil moratorium pinjaman. 16% responden kajian ini juga mengaku bahawa mereka masih belum mampu meneruskan pembayaran balik apabila tempoh moratorium tamat.
Di sebalik itu, pandemik ini juga telah menyebabkan satu perubahan ketara dalam tingkah laku perbelanjaan masyarakat Malaysia. 88% menyatakan bahawa mereka lebih kerap membuat pembayaran menerusi kaedah tanpa tunai atau tanpa sentuhan. Malahan, 90% responden mempunyai e-dompet dalam telefon pintar mereka.
Ini adalah kajian terbesar RMFLS oleh RinggitPlus sejak dilancarkan pada tahun 2018, dengan jumlah 10,628 responden dari seluruh negara – yang mana persampelan berstrata telah dilakukan untuk mencapai sampel yang mewakili populasi negara Malaysia.
Celik Literasi Kewangan
Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan literasi kewangan di negara ini, RinggitPlus juga mengumumkan pelancaran myRinggitHealth, satu perkhidmatan baru yang membolehkan masyarakat Malaysia mengakses dan memahami kesihatan kewangan mereka dengan segera, di mana sahaja dan pada bila-bila masa secara percuma.
Pertama di Malaysia, myRinggitHealth adalah perkhidmatan integrasi di aplikasi WhatsApp yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan chatbot yang akan membantu mereka memeriksa skor kredit mereka. Apa yang menarik adalah chatbot ini juga boleh membantu membimbing pengguna dan memberikan nasihat, berdasarkan status kewangan mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saat ini barangkali ramai yang sudah mula bercuti, sama ada menyambut perayaan Krismas bagi penganut Kristian atau melancong ke luar negara. Namun dalam pada keseronokan merakam kenangan, jangan lupa bahawasanya virus selesema masih berleluasa, seperti nasihat Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail.
Penyakit pernafasan bukan sahaja boleh merosakkan percutian anda, malah kesihatan juga boleh turut terjejas.
Penyakit yang dimaksudkan itu ialah penyakit influenza. Juga dikenali sebagai flu, penyakit ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh.
Terutama sekali jika anda berumur 65 tahun ke atas, dan lebih-lebih lagi jika anda menghidap diabetes, penyakit buah pinggang atau seumpamanya.
Penyakit flu boleh menyebabkan gangguan pernafasan akut, radang paru-paru serta pelbagai komplikasi serius yang lain. Ia juga boleh meningkatkan risiko serangan jantung lebih 10 kali ganda dalam tempoh 7 hari pertama selepas seseorang telah dijangkiti.
Risiko strok (angin ahmar) juga boleh bertambah sebanyak dua atau tiga kali ganda dalam tempoh dua minggu pertama jangkitan.
Hakikat bahawa flu dapat dikaitkan dengan serangan jantung, radang paru-paru dan strok, yang mana masing-masing merupakan punca kematian ke-2, ke-3 dan ke-4 tertinggi (selepas COVID-19) di Malaysia pada tahun 2022, adalah sesuatu yang membimbangkan.
MUSIM FLU
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, menasihatkan agar masyarakat berhati-hati jika merancang untuk melawat negara-negara hemisfera utara yang mana kes flunya sedang meningkat pada masa musim sejuk ini.
“Walaupun Malaysia mengalami penularan flu sepanjang tahun, negara beriklim sederhana cenderung mengalami musim flu pada musim sejuk – iaitu Disember hingga Mac di hemisfera utara, dan Jun hingga Ogos di hemisfera selatan.
Namun pada tahun ini, musim flu telah bermula awal di hemisfera utara. Bilangan kes telah meningkat secara mendadak sejak bulan Oktober dan telah mengatasi jumlah kes yang dilaporkan pada bulan yang sama tahun lepas4.
Peningkatan ini diramalkan akan berterusan dan musim flu yang teruk dapat dijangkakan berlaku di kebanyakan destinasi utara yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia.” Dr Zulkifli Ismail
Setakat 2 Disember 2022, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan seramai 8.7 juta rakyat Amerika telah dijangkiti, 78,000 telah dimasukkan ke hospital, dan 4,500 telah meninggal dunia akibat punca yang berkaitan dengan flu, dan media menggelarkannya sebagai ‘penularan wabak flu terburuk negara sepanjang dekad’.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis telah mengisytiharkan keadaan flu di tiga kawasan di Perancis sebagai epidemik, dan lima lagi kawasan termasuk Paris dan kawasan sekitarnya – sebagai pra-epidemik.
Dalam kemas kini pertamanya untuk musim sejuk tahun ini, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) England melaporkan purata 344 pesakit flu telah melawat hospital setiap hari dalam satu minggu iaitu 10 kali ganda lebih ramai daripada jumlah yang dilihat pada awal Disember 20217.
Di Timur Jauh, pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan, Taiwan dan Jepun juga menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah kes flu yang semakin bertambah, serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan berlakunya pandemik berkembar – iaitu penularan serentak virus flu dan COVID-19.
***************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***************
KONTAK RAPAT
Datuk Dr Christopher Lee berpendapat bahawa pengembara harus memahami cara virus flu merebak. Beliau merupakan Perunding Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli Kumpulan Kerja Influenza Malaysia di bawah naungan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia.
“Bayangkan diri anda sedang menikmati suasana luar yang dingin dan sejuk. Tidak lama kemudian, anda mendapati diri anda tergesa-gesa memasuki sebuah kafe yang selesa, dan menyertai pengunjung-pengunjung lain memanaskan badan dengan minuman coklat panas.
Walaupun senario ini kedengaran baik, hakikatnya pada musim sejuk, kita lebih cenderung dijangkiti flu ketika berada di dalam bangunan. Melalui batuk, bersin atau percakapan, orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus flu di dalam persekitaran yang sesak dan kurang pengudaraan.
Anda juga boleh mendapat jangkitan virus flu dengan menyentuh meja, pemegang pintu dan permukaan-permukaan lain.
Bergantung pada jarak anda dengan sumber dan tempoh pendedahan, anda mungkin mengalami serangan flu yang teruk, dan terpaksa menghabiskan percutian yang berharga di atas katil atau di hospital.
Katakan anda berjaya mengelak jangkitan flu sepanjang berada di destinasi percutian. Jangan sangka yang anda pulang tanpa virus flu.
Di dalam pesawat, anda mempunyai kebarangkalian setinggi 80% untuk mendapat flu jika ada penumpang yang dijangkiti – sama ada dia menunjukkan gejala atau tidak – yang duduk satu baris di hadapan atau di belakang anda, dalam jarak 2 tempat duduk di kedua-dua sisi.
Apatah lagi, virus flu boleh hidup sehingga 48 jam di permukaan tertentu, termasuk pemegang ruangan simpanan bahagian atas, tali pinggang keledar, skrin video, dulang makanan, alas tangan dan panel kawalan.
Anda boleh cuba menyahjangkit barang-barang ini. Namun, menyahjangkitkan setiap objek yang akan anda sentuh apabila anda mendarat, seperti bagasi, troli, pemegang pam tandas, pemegang pintu kereta dan sebagainya adalah tidak praktikal.” Datuk Dr Christopher Lee
PENCEGAHAN
Patuhi SOP COVID-19 jika boleh. Walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, ia dapat membantu mengurangkan risiko dijangkiti flu. Namun, oleh sebab orang di sekeliling kita mungkin tidak melakukan perkara yang sama, langkah ini mungkin agak kurang berkesan. Oleh itu, mendapatkan perlindungan tambahan daripada vaksinasi flu tahunan adalah disyorkan untuk mencegah penyakit ini.
Apabila disuntik, vaksin ini memperkenalkan virus flu yang tidak aktif ke dalam badan kita. Virus-virus ini telah dibunuh dan tidak dapat menyebabkan penyakit. Walau bagaimanapun, ia akan merangsang badan untuk menghasilkan antibodi yang akan bertindak jika anda telah didedahkan kepada virus flu. Benarkan dua minggu untuk mencapai tahap imuniti yang diingini sebelum penerbangan anda.
Seperti vaksinasi COVID-19, vaksinasi flu membantu mencegah penyakit yang teruk, penghospitalan dan kematian. Vaksinasi flu juga dikaitkan dengan 34% pengurangan risiko kejadian kardiovaskular yang buruk. Terdapat juga penurunan risiko kematian sebanyak 18% yang dilaporkan dalam kalangan pesakit yang mengalami kegagalan jantung.
Dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit diabetes jenis 2, vaksinasi flu telah dikaitkan dengan pengurangan risiko kegagalan jantung sebanyak 22%, strok sebanyak 30%, serangan jantung sebanyak 19% dan radang paru-paru sebanyak 15%12.
Mengetahui bahawa virus flu sentiasa bermutasi, Datuk Christopher menambah lagi bahawa vaksin flu yang tersedia pada masa ini telah dikemas kini untuk melawan dengan berkesan subjenis virus ini, yang buat masa kini sedang merebak di hemisfera utara.
“Vaksinasi akan membantu mengurangkan risiko anda dijangkiti penyakit ini. Vaksinasi flu bukan hanya disarankan kepada mereka yang mengembara, tetapi kepada semua individu terutamanya golongan berisiko tinggi kerana kes flu yang melibatkan perjalanan udara boleh merebak dalam komuniti.
Jadi, jika anda belum mendapatkan vaksin terhadap penyakit flu, sekaranglah masa paling baik untuk melakukannya. Vaksinasi flu tahunan umpama pasport anda untuk percutian yang sihat. Jangan keluar rumah tanpanya.”
Vaksinasi flu boleh didapati di kebanyakan klinik swasta di Malaysia. Klik (di sini) untuk mencari klinik berhampiran anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!