Penampilannya kini boleh dikatakan merupakan satu kejutan kepada sesiapa yang mengenalinya. Dahulu dia merupakan seorang yang sangat menonjol apabila berfesyen dan siapa boleh lupakan penampilannya yang pernah berambut blonde pendek. Namun itu mungkin perkara yang sudah lalu. Kini tampil berhijab dan berniqab, Sharifah Kirana lebih menjurus ke arah gaya hidup Islamik yang sederhana dan tidak keterlaluan.
Kongsinya tentang perubahan penampilan diri, “Proses transformasi stail dan juga cara saya berpakaian ini berlaku sedikit demi sedikit dan bukannya secara paksaan, jujur saya katakan ia bukannya mudah. Saya mula bertudung pada tahun 2008 namun masih belum istiqamah, keselesaan itu belum mendalam lagi dan kadang-kadang hati berasa ragu.
Walaupun terdapat rasa ragu untuk berubah, saya tetap meneruskan juga mula-mula dengan menutup kepada dan kemudian berhijab dengan molek. Saya mula benar-benar itiqamah bermula dua dan tiga tahun kebelakangan ini dan semakin selesa dengan penampilan berhijab serta berniqab sepenuhnya. Kalau nak tahu sejak berniqab saya rasa ia memberikan kebebasan kepada saya sebenarnya.”
Ketika Minggu Fesyen Malaysia 2017 berlangsung pada pertengahan September tahun lalu, dia mempersembahkan koleksi rekaan yang sopan menutup aurat wanita yang diberi nama SUCI by Sharifah Kirana. Bercerita tentang perubahan dalam nilai rekaan ini, dari riak suaranya penulis dapat merasakan kejujuran dan niat berada di dalam landasan yang menggembirakan hatinya.
“Sebenarnya ini lebih kepada kesedaran dalam hidup kita, jadi apa yang saya lakukan sekarang dari segi seni dan juga fesyen boleh menjadi bekalan saya di akhirat nanti. Saya mahu menghasilkan busana yang punya tujuan di samping mendapat keredaan Allah SWT. Selari dengan konsep ini, saya bakal menubuhkan ‘House of Aurat’ yang mengkhususkan menjual pakaian yang menepati syariat.
Namun semua kena faham, House of Aurat ini tidak semestinya kita mahu memaksa semua orang untuk tampil berniqab atau memakai tudung, tetapi saya mahu menggalakkan mereka memamakai busana yang lebih sopan. Oleh itu sasaran target pembeli saya adalah universal untuk semua orang tanpa mengira bangsa dan juga agama.”
*UNTUK MEMBACA TEMUBUAL INI DENGAN LEBIH MENDALAM. DAPATKAN MAJALAH NONA EDISI JANUARI 2018 YANG SUDAH BERADA DI PASARAN.
‘Struggle’ Besarkan 4 Anak, ADIRA SUHAIMI Akui Tugas Ibu Tak Mudah Tapi Tetap Beri Terbaik!
Semangat seorang wanita bergelar ibu sememangnya luar biasa. Seperti kaum ibu lain, Adira Suhaimi juga tidak terkecuali berdepan ujian membesarkan anak-anak. Apatah lagi, penyanyi ini dikurniakan empat cahaya mata dan tiga anak terdahulu hanya beza usia setahun.
Mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red pada 3 Disember 2015, kehidupan pasangan ini bertambah ceria dengan kehadiran anak-anak iaitu Anggrek berusia 5 tahun, Asan 4 tahun dan Anggun kini berumur 3 tahun.
Pada 29 September lepas, Adira selamat melahirkan anak keempatnya secara pembedahan dan menamakan bayi comel tersebut sebagai Ayub.
Tidak menafikan ‘berperang’ dengan diri sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu sebaik mungkin namun wanita ini bahagia di samping keluarga tersayang. Selain sibuk menguruskan anak-anak dan suami, Adira juga mempunyai bisnes sendiri.
Berkongsi ragam seorang ibu yang dilaluinya tiap hari, coretan Adira di media sosial miliknya nyata mendapat reaksi daripada para ibu lain.
“Menjadi seorang ibu bukan semudah yang saya sangka. Banyak yang harus dikorbankan. Waktu, tenaga, fikiran.
Menghadapi anak-anak yang tiba-tiba sakit, menghadapi mood yang mudah berubah. Dan musuh seorang ibu bukanlah siapa-siapa selain dari dirinya sendiri.
Kena pandai kawal marah, emosi, atasi rasa malas dan penat. Kadang menahan keinginan diri demi kepentingan keluarga. Namun dengan segala keterbatasan yang ada. Ibu tetap akan memberikan yang terbaik untuk anak.”
Selain berbakat dalam bidang nyanyian, Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi juga mahir memasak. Kecur tengok produk sambal keluaran Air Tangan Adira.
Difahamkan bisnes berkenaan berada di pasaran sejak pertengahan Mac lalu. Kini, terdapat dua jenis produk sambal yang dikeluarkan iaitu Sambal Bilis dan Sambal Bilis Petai.
2 Kali Kehilangan Suami, Enggan Meratap Terlalu Lama JAMAIAH Bangkit Bergelar Pengasas Ayour Spa Enterprise
Kita tidak akan pernah lari dari masalah mahupun penderitaan. Adakalanya penderitaan itu harus dikongsi asalkan pada mereka yang benar-benar dipercayai dan bukan ‘kaki canang’. Justeru, dalam hidup ini kita perlu sedar kawan mana yang boleh dipercayai, bersedih bersama dan pendengar yang baik.
Meluahkan bukan bermaksud memberi beban masalah kepada mereka untuk diselesaikan sebaliknya sekadar berkongsi rasa, menenangkan jiwa. Kerana hanya kita sendiri yang boleh menyelesaikannya. Paling utama kembali kepada Pencipta. Mengadulah kepadaNya dan muhasabah diri.
Jamaiah Mohd Isa atau dikenali sebagai Kak Jem merupakan seorang ibu tunggal yang sangat cekal. Ibu kepada seorang anak (dari perkahwinan pertama) ini juga seorang wanita yang pandai berdikari. Berusia 44 tahun, Jamaiah merupakan pengasas dan pengurus Ayour Spa Enterprise.
Bagi penulis wanita ini punya kekuatan yang tersendiri dan luar biasa. Pernah merasai dua kali kehilangan insan tersayang dalam hidupnya. Bercerai mati adalah satu kehilangan tiada ganti yang mencetuskan rasa rindu paling sakit dalam hidup Jamaiah.
“Ketika merasai kehilangan mahupun ditinggalkan, wanita perlu kuat! Bersedih boleh tapi biar sementara. Jangan meratap terlalu lama dengan apa yang terjadi. Segera bangkit demi mencari sebuah kebahagiaan. Rebut segala peluang dan ruang yang ada untuk membina kehidupan serta kerjaya yang lebih baik,” ungkap Jamaiah yang berasal dari Ipoh, Perak.
“Saya asalnya dari kampung dan bukan dari keluarga yang senang. Sebelum berkahwin saya tidak pernah berniaga, hanya bekerja biasa saja. Selepas berkahwin (perkahwinan kedua) saya tidak bekerja kerana menjaga arwah suami yang ketika itu sedang sakit. Alhamdulillah selama berkahwin kami bahagia dengan cara kami. Semasa kami mula-mula kenal saya berusia 28 tahun dan arwah suami 72 tahun.
Ketika perkahwinan pertama, saya diuji dengan kematian suami yang ketika itu menghidap penyakit berkaitan paru-paru. Perkahwinan kami bertahan selama 6 tahun dan kami sama-sama muda. Kehidupan kami agak susah dan hidup menyewa. Walau apa pun berlaku saya tak pernah jadikan kesusahan itu satu penderitaan. Saya tidak meratap, sebaliknya terus mencari kerja. Bila arwah sakit menjadi tanggungjawab saya pula untuk membantu cari rezeki. Saya bekerja dan pada masa yang sama perlu menjaganya yang terlantar sakit.
Macam-macam kerja saya buat antaranya menjadi pembantu kedai gambar. Gaji saya ketika itu hanya RM350 sebulan. Tapi saya tak kisah asalkan bekerja. Yang penting saya bekerja, setiap bulan dapat duit untuk teruskan hidup. Sedih itu memang ada, kalau nak menangis pun tidak tunjuk di rumah.
Setelah 2 tahun arwah suami pertama meninggal dunia, saya bertemu jodoh dengan suami kedua. Waktu kenal suami, saya bekerja di Dewan Bandaraya Ipoh dan pada masa yang sama buat part time di kedai gambar. Kali pertama kami kenal adalah di kedai gambar tersebut. Beberapa kali juga arwah ajak saya keluar makan.
CABARAN
Tak dinafikan pada mulanya saya terima dia hanya kerana kasihan sebab nampak kesungguhannya nak berkawan. Tapi arwah memang dah sakit waktu kami mula-mula kenal. Arwah ada penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan gout. Bila ibu dapat tahu, saya dinasihatkan agar fikir betul-betul. Ibu sebenarnya bimbang kalau hubungan kami itu hanya atas dasar kasihan. Jadi saya fikir semula kata-kata ibu itu. Dalam serba salah, saya mula jauhkan diri dan menyekat nombor telefon kerana tak mahu mempermain-mainkan perasaannya.
Namun, suatu hari ketika balik kerja tiba-tiba saya ternampak arwah di luar rumah. Arwah tanya ke mana saya menghilang? Saya terus menangis. Bayangkan umur 72 tahun datang cari kita dalam keadaan sedang sakit macam tu, kalau kita terima pun bukan sebab cinta tapi hanya sebab kasihan. Arwah cakap, “Kalau you tak ada matilah I” Sampai macam itu sekali.
PINANGAN
Arwah kata nak datang meminang dan minta persetujuan anak-anaknya. Hasrat itu saya maklumkan kepada ibu. Ibu tanya saya, betul ke? Sebab bila dah kahwin saya kena menjaganya betul-betul sebab arwah sakit. Waktu itu saya terima hanya sebab kasihan, tiada cinta.
Namun saya bersyukur anak-anak arwah boleh terima saya dengan baik. Lepas berkahwin saya berhenti kerja atas permintaan suami. Tugas saya menjaga suami termasuk menjalankan tugas seorang isteri dan membawanya ke hospital untuk rawatan. Saya juga membawanya berjumpa anak-anak yang tinggal di Kuala Lumpur dan sebagainya.
Alhamduillah kami tetap bahagia dan saya sedar rasa sayang dan cinta itu mula ada dalam diri saya. Arwah pun seorang yang sangat romantik dan penyayang. Beberapa tahun kemudian, penyakit arwah semakin kronik. Saya perlu membawanya bertemu doktor 6 bulan sekali. Setiap tahun arwah kena masuk wad.
Tahun ke-8 perkahwinan, saya buat keputusan untuk buka kedai makan. Saya minta izin dengan suami dan jelaskan niat memandangkan kesihatan suami semakin merosot. Usia saya juga makin meningkat dan ini sebagai persediaan masa depan. Jika saya tak bertindak awal, kelak saya akan susah. Apatah lagi, sepanjang perkahwinan itu saya tak pernah tanya suami apa yang saya akan dapat.
8 tahun berkorban demi suami, sampai masanya saya perlu fikir masa depan jika suami sudah tiada. Saya termenung dan berfikir jika apa-apa terjadi. Ke mana saya hendak pergi. Alhamdulillah arwah faham niat saya tetapi nak dia ada bersama saya. Ketika buka kedai makan saya upah orang untuk menjaganya di rumah. Saya bermula dengan membuka kedai makan di tepi jalan saja. Kemudian Allah SWT beri rezeki lebih, saya sewa pula sebuah kedai. Saya bawa arwah bersama dan letak di satu bilik bagi memudahkan saya memantau dan menjaganya sambil berniaga.
Masuk tahun ke-9 arwah dah mula terbaring. Dalam keadaan begitu saya terpaksa tutup kedai makan. Saya buat keputusan untuk bawa suami duduk sekali dengan keluarga saya. Di rumah ramai yang boleh bantu tengok-tengokkan arwah jika saya ada urusan di luar.
Saya buatkan sebuah troli kayu mengikut saiz badan arwah bagi memudahkan kami mengangkatnya ketika mandi. Alhamdulilah kami happy dapat menjaganya dengan cara begitu. Mungkin sebab dah niat sejak awal nak menjaganya maka Allah SWT memudahkan urusan kami.
Genap 10 tahun arwah meninggal dunia. Saya bersyukur kerana saya ada di sisinya di saat akhir. Walaupun jarak usia kami jauh tapi arwah seorang yang sangat baik. Sebab itulah pengakhirannya juga baik. Walau sedang sakit, kasih sayangnya tak pernah berkurang. Saya juga bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami dan supportive.
SEMAKIN TENANG & BAHAGIA
Selepas pemergian arwah, saya rasa sangat sedih terutama terkenangkan saat-saat menjaganya ketika sakit. Namun, saya tak layan kesedihan itu lama-lama sebab nak cipta bahagia sendiri. Niat saya satu saja, nak buka kedai makan semula.
Alhamdulillah kini saya bahagia dengan kehidupan sendiri, tiada lagi kata-kata negatif yang kedengaran sebelum ini. Saya dikelilingi orang-orang yang baik. Saya ambil masa 2-3 bulan untuk kembali bangkit dan kuat. Saya sertai pelbagai kursus yang bersangkut paut dengan mengurut contohnya refleksologi, spa dan sebagainya.
Bagi saya, kehilangan tidak terlalu sakit berbanding ditinggalkan. Kalau kehilangan kita akan sedih, kita sayang dia pergi. Tapi kalau ditinggalkan, derita itu mungkin lagi sakit. Percaya atau tidak, yang ditinggalkan itu lebih kuat sebenarnya kerana dia boleh tunjuk kepada bekas pasangannya itu yang dia lebih kuat dan hebat.
Usah terlalu bersedih, buktikan anda mampu teruskan hidup dan boleh pergi lebih jauh. Yakinlah Allah SWT akan berikan yang lebih baik. Jangan berhenti berdoa agar dikurniakan pasangan yang terbaik. Rajinkan diri untuk bertanya badan-badan NGO serta persatuan-persatuan wanita dan ibu tunggal untuk cari peluang membina kehidupan baru. Allah SWT sentiasa ada bersama kita, usah takut untuk bangkit. Jangan malu untuk bercerita dengan keluarga atau sahabat yang dipercayai tentang kesusahan atau penderitaan kita.
Di luar sana kebahagiaan menanti cuma dalam bentuk yang berbeza-beza. Rezeki masing-masing, jadi cipta sendiri bahagia. Buka buku baru. Kalau jumpa orang yang hebat jaga hubungan itu dengan baik. Lagi satu, jika hendak bercerita masalah kita jangan cari orang yang salah.
PERANCANGAN
Selain meneruskan bisnes mengurut, saya berniat nak tubuhkan rumah untuk warga tua. Selain itu, saya juga berimpian untuk ada billboard bisnes sendiri seterusnya berjaya pada masa depan. Saya juga nak berterima kasih kepada para pelanggan yang setia menyokong bisnes saya hingga kini. Merekalah penguat semangat saya, yang bayar gaji saya. Doakan agar bisnes saya terus maju dan makin dikenali, Insha-Allah.”
Kredit Foto: Instagram @jamiesya & Facebook Jamiesya Isa
Wanita Yang Mendidik Ramai Jurutera, Prof Madya Ir Dr Zahiraniza Mustaffa Raih Anugerah Akademik Negara!
Hampir dua dekad berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), jasa cendekiawan wanita bernama Prof Madya Ir Dr Zahiraniza Mustaffa ini akhirnya diberi pengiktirafan.
Kini bukan sesuatu yang asing apabila semakin ramai wanita menceburi dunia teknikal dan kejuruteraan.
Di sebalik sifat kewanitaan, mereka bermain dengan enjin dan mesin, cekap menyelesaikan pelbagai masalah mekanikal serta lebih hebat lagi, menjadi pendidik kepada jurutera-jurutera negara!
Justeru, ketika nama Prof Madya Ir Dr Zahiraniza Mustaffa diumumkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara Ke-14 bagi Kategori Pengajaran (Kelompok Kejuruteraan) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), seluruh dewan bergema dengan tepukan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menyampaikan anugerah berkenaan kepada Dr Zahiraniza yang diadakan baru-baru ini.
BERKALIBER
Pernah mendapat tajaan geran penyelidikan daripada Yayasan Schlumberger, Dr Zahiraniza terus memperkasakan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Berkhidmat sebagai Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTP, Dr Zahiraniza sebelum ini mendapatkan ijazah doktor falsafah atau PhD beliau dari Delft University of Technology, The Netherlands (jurusan Pipeline Reliability) pada tahun 2011.
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Sains (jurusan Water Resources Engineering) dari Universiti Alberta, Kanada pada tahun 2003 dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Am dari UiTM pada tahun 2000.
Kecerdikan Dr Zahiraniza jelas terbukti apabila beliau banyak membuat kajian dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan perpaipan.
Beliau juga pernah menghasilkan perisian dan modul latihan untuk PETRONAS berkaitan bidang yang sama. Malah, pendidik ini sering dijemput berkongsi ilmu di luar negara selain menjadi penasihat teknikal untuk program Diploma Offshore Structure di Kolej Kemahiran Tinggi MARA.
BERSYUKUR
Dr Zahiraniza berkata beliau amat berbesar hati menerima anugerah berkenaan dan merakamkan penghargaan atas pengiktirafan daripada KPT itu.
Katanya, anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi berterusan beliau dalam bidang pengajaran dan tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan pengurusan UTP dan bahagian akademik.
“UTP telah membimbing saya dalam kerjaya dan pembangunan diri. Ia adalah sebuah institusi yang menyokong kakitangannya dalam pelbagai cara, justeru, menjadi aspirasi saya untuk meletakkan UTP setanding dengan institusi lain dalam mengetengahkan usaha yang dilakukan oleh Petronas dan UTP untuk pembangunan manusia.
Saya bermula dari bawah dalam meningkatkan kecemerlangan kerjaya saya dalam bidang pengajaran dan terus berkembang hingga tahap saya sekarang.
Dengan anugerah ini, saya dapat berkongsi perjalanan mengajar saya dan ia akan didengari bukan sahaja dalam UTP tetapi di peringkat lebih tinggi.” Dr Zahiraniza
Tambah Dr Zahiraniza, penyampaian anugerah itu juga menyediakan platform untuknya menyebarkan fahaman dan aspirasi keguruan dalam mendidik generasi muda.
“Generasi kini menggambarkan pendidik mereka, sekali gus mendidik mereka dengan pendekatan pedagogi yang betul bukan sahaja menekankan kepada kecekapan teknikal tetapi juga keupayaan untuk mereka berfikir secara rasional dalam membuat keputusan kejuruteraan.
Faktor ini adalah penting kepada pelajar supaya apabila mereka tamat pengajian, mereka akan menjadi jurutera berperikemanusiaan.” Dr Zahiraniza
Anugerah Akademik Negara adalah pengiktirafan tertinggi kepada cendekiawan Malaysia dari institusi pengajian tinggi tempatan bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada ahli akademik yang komited dan telah memberi sumbangan besar kepada penemuan serta pembangunan ilmu untuk negara.