Tidak salah untuk tampil berbeza dengan kanta lekap tetapi pastikan anda tahu bagamana untuk menjaga kanta lekap agar bersih dan tidak merosakkan mata. Jika tidak, ini risiko yang bakal anda hadapi.
(1) KETIKA MENGENDALI KANTA LEKAP
Secara semula jadinya, langkah ini pasti mengundang iritasi. Anda meletakkan jari ke dalam mata. Sebelum melakukannya, pastikan tangan dicuci bersih, hilangkan kotoran serta baki sabun pada tangan.
Kuku juga perlu pendek agar tiada kesan calar pada mata dan kanta lekap. Jangan sesekali menggunakan air paip atau air liur untuk membersihkan kanta lekap anda. Gunakan air khas untuk mencucinya.
(2) KETIKA MENGGUNAKAN KANTA LEKAP TERLALU LAMA
Saranan doktor mata agar tidak menggunakan kanta lekap dalam jangka masa panjang adalah sangat munasabah. Kanta lekap akan menghalang oksigen sampai kepada mata.
Sekiranya anda memakai kanta lekap lebih dari tempoh sepatutnya, anda hanya akan merangsang risiko mendapat ulser kornea atau lebih teruk… buta.
(3) KETIKA MENGAMBIL UBAT-UBATAN
Keluarkan dahulu kanta lekap sebelum menggunakan apa-apa titisan ubat-ubatan. Tahukah anda sesetengah ubat-ubatan akan mendatangkan implikasi pada kanta lekap sekiranya tidak dikeluarkan? Oleh itu, minta nasihat doktor sebelum menggunakan kanta lekap.
(4) KETIKA AIR SOLUSI MENJADI MASALAH
Air solusi untuk kanta lekap datang dalam variasi berbeza. Ada untuk membersih, untuk rendaman dan banyak lagi.
Setiap satu klasifikasi ini mengandungi bahan pengawet berbeza serta mempunyai tarikh luput. Rajinkan diri untuk melihat tarikh luputnya agar ia tidak mendatangkan iritasi pada mata.
(5) KETIKA MATA SANGAT KERING
Memandangkan kanta lekap menutupi ruang oksigen pada mata, mata akan menjadi sangat kering (sesetengah individu).
Ia mendatangkan ketidakselesaan yang lebih tinggi apabila berada di dalam kapal terbang, cuaca kering dan sebagainya. Oleh itu, sediakan air titisan khas untuk kanta lekap ke mana-mana anda pergi.
(6) KETIKA MEMAKAI PELEMBAP WAJAH
Ada sesetengah lelaki yang menggunakan pelembap wajah untuk mengelakkan sinaran cahaya matahari. Pilih pelembap dari bahan yang bukan krim kerana apabila terkena pada kanta lekap, ia sukar ditanggalkan.
(7) KETIKA MENGUNJUNGI SALUN RAMBUT
Di salun rambut, penyembur rambut yang digunakan mempunyai bahan kimia yang agak kuat. Sebagai langkah penjagaan, pakailah cermin mata saja apabila mengunjungi salun.
(8) KETIKA ANDA MEMBUAT AKTIVITI LUAR
Jerebu atau kawasan yang berdebu akan menyebabkan kesan habuk melekap pada kanta lekap. Menyedari hal ini, anda disarankan memakai cermin mata untuk mengelakkan iritasi pada mata dan mengelakkan ketidakselesaan.
(9) KETIKA ANDA MENYELAM
Tentunya ramai yang akan menggunakan kanta lekap apabila berenang dan berada di dalam air. Apa kata gunakan goggle untuk mengelakkan air klorin masuk ke mata anda dan menyebabkannya merah.
Sekiranya anda tidak menyelam menggunakan kanta lekap dan ingin memakainya semula setelah puas berenang, pastikan anda mengambil masa satu jam sebelum memakainya semula.
(10) KETIKA ANDA MEROKOK
Si perokok yang memakai kanta lekap berhadapan dengan lapan kali ganda risiko mendapat ulser kornea berbanding pemakai kanta lekap yang tidak merokok. Oleh itu, apa kata anda berhenti merokok untuk menjalani gaya hidup lebih sihat dan kacak dari segi penampilan. KR