Menjelang hari gaji setiap bulan, hati jadi gelisah tak keruan. Jari-jemari sibuk berkira, bukan sebab membilang duit simpanan tapi sisa yang bakal tinggal selepas tolak pinjaman. Kadang bakinya 10% pun tak sampai dek banyaknya komitmen bank yang perlu dibayar.
Bayangkan tanpa pengurusan yang bijak, anda mungkin terlepas untuk menabung simpanan mahupun kegunaan kecemasan.
Majoriti masyarakat di seluruh dunia terikat dengan pinjaman. Sekali terikat, kemudahan ini tidak akan lupus sekelip mata terutamanya jika melibatkan komitmen besar seperti pembelian rumah.
Justeru, pembayaran balik pinjaman mesti diuruskan dengan baik demi kesihatan kewangan kita dalam jangka masa panjang. Amalkan senarai di bawah agar anda dapat menguruskannya dengan cemerlang.
Ads
Rekod Belanja, Buat Senarai
Analisis tabiat perbelanjaan anda dan kenal pasti semua perbelanjaan yang tidak diperlukan. Caranya, dalam tempoh masa sebulan, rekod setiap sen yang dikeluarkan, termasuk apa yang dianggap sebagai perbelanjaan kecil (makan minum atau tiket wayang). Dengan ini, anda dapat melihat seluruh jumlah perbelanjaan dan bagaimana untuk mengurangkannya.
Seterusnya, buat senarai semua hutang-piutang anda dan faedah yang dikenakan untuk setiap pinjaman tersebut. Susun semuanya mengikut kadar faedah, dari yang tertinggi sehingga ke terendah. Ini memudahkan anda untuk melihat cara yang efektif mengurangkan perbelanjaan anda.
Ads
Satu lagi cara untuk menyemak status kewangan, kredit dan skor kredit adalah melalui laporan kredit penuh anda. Contohnya, laporan MyCTOS Score akan memberikan gambaran menyeluruh tentang kesihatan kredit seseorang dan gambaran tentang kedudukan anda di mata bank dan peminjam.
Kurangkan Perbelanjaan Tidak Penting
Jumlahkan semua perbelanjaan dalam senarai di atas dan bandingkan dengan jumlah pendapatan bulanan anda. Jika ia kurang daripada pendapatan, gunakan wang alternatif untuk membayar hutang anda. Sekiranya lebih, cari perbelanjaan yang boleh dielakkan atau yang tidak penting.
Ads
Kurangkan Perbelanjaan Tetap
Gunakan kreativiti untuk menurunkan bil-bil rumah, pindah ke kawasan dengan sewa yang lebih murah atau biaya semula gadai janji anda untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah. Jika anda mempunyai rekod pembayaran balik yang baik, anda juga boleh meminta syarikat kad kredit untuk mempertimbangkan penurunan kadar faedah yang telah ditetapkan.
Tingkatkan Pendapatan
Fikirkan cara untuk meningkatkan gaji anda, seperti bekerja lebih masa atau bekerja pada hari cuti umum. Anda mungkin juga boleh memikirkan pendapatan sekunder, seperti mengajar secara sambilan atau menjalankan perniagaan online.
Utamakan Hutang Dengan Faedah Tertinggi
Sebaik sahaja anda mengetahui jumlah maksimum yang mampu dibayar setiap bulan, selesaikan hutang dengan kadar faedah yang tertinggi terlebih dahulu. Dengan berbuat demikian, anda akan boleh berjimat dengan lebih banyak pada masa depan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai Akauntan kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan berani yang dilakukan Azlin Mohd Said. Meskipun pada awalnya ibu kepada dua cahaya mata ini ‘berat’ melepaskan karier impian tersebut namun bersandarkan keyakinan yang tinggi terhadap rezeki Allah SWT yang luas, beliau nekad berhenti kerja demi membina legasi dalam bidang perancangan kewangan dinamakan AMS Empire.
Azlin atau mesra disapa Coach Azlin yang berasal dari Bota Kanan, Perak ialah anak kepada bekas pendidik. Kedua-dua ibu bapanya pernah berkhidmat sebagai guru. Begitu juga dua daripada enam adik-beradiknya yang turut mengikut jejak langkah ibu bapa mereka sebagai pendidik. Sementara dua beradik lain dalam bidang kewangan dan seorang lagi Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Perak.
“Selepas tamat pengajian Ijazah Perakaunan di Universiti Malaya (UM), saya timba pengalaman kerja di firma audit dan syarikat pembinaan. Pekerjaan terakhir saya ialah Akauntan di salah sebuah badan berkanun di Malaysia selama 10 tahun.
Latar belakang keluarga saya tak ada seorang pun yang buat bisnes dan saya tak pernah ada cita-cita untuk jadi usahawan. Tapi bila fikirkan kesihatan mental saya dan ada keluarga serta anak-anak yang perlu saya jaga, saya terpaksa lepaskan kerjaya Akauntan yang berdepan dengan banyak cabaran.
Untuk melangkah keluar daripada pekerjaan yang stabil memang kena ada kewangan yang kukuh. Saya tak terus berhenti kerja sebaliknya ambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan setiap bulan waktu itu.
Sehinggalah pada satu hari, konsultan yang bantu pelaburan saya ajak berjumpa dan beri cadangan supaya saya ambil lesen Perunding Unit Amanah. Mulanya ia sekadar untuk memudahkan saya urus pelaburan sendiri. Tapi bila lulus exam dan lihat bagaimana mereka mengalu-alukan penyertaan saya, rasa seperti dunia baru.
Kata-kata penghargaan dari mereka mungkin nampak kecil di mata orang lain tapi besar maknanya bagi saya. Benda yang saya tak pernah dapat daripada pekerjaan dulu. Mulai saat itu, saya tak menoleh ke belakang dan tekad mendalami ilmu perancangan kewangan di samping berkongsi ilmu dengan orang lain,” ujar Pengasas AMS Empire ini yang melibatkan diri secara serius dalam bidang kewangan sejak Ogos 2014.
AMS EMPIRE
Awal penubuhan AMS Empire kurang daripada 10 orang ahli Perunding Unit Amanah dan sekarang berkembang kepada 38 Perunding Unit Amanah bertauliah dengan nilai pengurusan pelaburan mencecah sehingga sembilan angka. Mengulas lanjut mengenai perniagaan ini, Coach Azlin Mohd Said menjelaskan misi penubuhan AMS Empire.
“Singkatan AMS ini bermula sejak dari sekolah lagi sebab ada dua orang nama Azlin. Jadi kawan-kawan panggil saya AMS iaitu Azlin Mohd Said. Walau baru saja masuk dalam bisnes, saya dah ada misi untuk bina empayar dan terus letak nama AMS Empire.
Salah seorang kawan yang juga klien pernah persoalkan sejauh mana besarnya bisnes saya ini sampai mahu digelar ‘Empire’. Kata-kata itu jadi cabaran buat saya!
Nama AMS Empire itu diterjemah kepada maksud A iaitu ‘Achievers’, M bermakna ‘Millionaire’ dan S sebagai ‘Success’ yang melambangkan Perunding Unit Amanah AMS Empire yang komited dan kompeten,” dedah Coach Azlin yang turut memiliki lesen Islamic Financial Planner.
Berbekalkan usaha gigih dan iltizam untuk membawa AMS Empire ke tahap global, usahawan berusia 49 tahun ini sentiasa mempersiapkan diri menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan mempelajari ilmu dan selok-belok dunia perancangan kewangan.
Tambahnya, selaku pemilik perniagaan beliau perlu kreatif dan menunjukkan prestasi terbaik berbanding pesaing industri kewangan yang lain supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan klien menggunakan perkhidmatan konsultan AMS Empire.
“Saya upgrade diri saya dengan mengambil certificate sebagai Professional Coach daripada Badan Nasional Sertifikasi Profesi (BNSP) dari Indonesia. Pentauliahan ini merupakan satu level untuk saya bukan saja mengembangkan profesion sebagai perunding kewangan di Malaysia. Malah di luar negara.
Saya juga aktif menghadiri sesi bimbingan daripada coach-coach di Jakarta secara online kerana mahu AMS Empire ada jaringan komunikasi dan sosial lebih meluas yang tidak hanya tertumpu di Malaysia saja.”
PELABURAN SEMBILAN ANGKA
Menjadikan ‘Millionaire Coach’ Dr Niki Shuhada Shukor yang juga salah seorang Mentor beliau sebagai sumber inspirasi usahawan berjaya, penulis buku Jom B.O.S (Bijak Organise Savings) ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya memimpin 38 orang Perunding AMS Empire meraih jumlah pelaburan lebih RM100,000,000 dalam tempoh sedekad.
“Cabaran menguruskan klien, team dan staf bukanlah satu perkara mudah. Ada masa kami di atas, ada masa pula di bawah. Saya ialah seorang ketua yang akan selalu tracking figures dan membimbing Perunding AMS Empire supaya jelas dan fokus tujuan mereka mengambil lesen. You don’t know your numbers; you don’t know your business.
Misalnya dua tahun lepas, saya tracking jumlah pelaburan klien yang kami uruskan adalah sebanyak RM80 juta. Setiap bulan kami akan pantau dan bulan Jun lalu sewaktu saya mengerjakan haji dan berdoa di Arafah, saya terima mesej daripada pengurus menyatakan jumlah pelaburan AMS Empire tahun ini melebihi RM100 juta,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Bagaimana pun Coach Azlin tidak menafikan hakikat bahawa beliau turut diuji dengan dugaan yang menggugat keyakinan diri dan mahu mengalah. Terutama sekali apabila berdepan dengan individu yang cuba menjatuhkan reputasi dan empayar yang dibina. Namun memikirkan tanggungjawab yang digalas selaku ketua, beliau bangkit berjuang.
“Bagi saya bila dah stable macam ini, saya boleh saja stop dan tak perlu kerja keras lagi. Tapi bila fikir tanggungjawab kepada team dan klien, saya tak boleh pentingkan diri. Sepanjang 10 tahun dapat urus pelaburan RM100 juta membuatkan saya emosi kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Ia juga menjadi pencapaian terbesar saya.”
Bercerita mengenai masa depan legasi perniagaan ini, ada impian besar yang sedang dirancang Coach Azlin.
“Melalui bisnes ini saya harap dapat beri pendedahan tentang pengurusan kewangan kepada lebih ramai masyarakat. Kami sebagai subject matter expert sangat berbesar hati berkongsi ilmu dan pengalaman. Misi saya secara sukarela memberi taklimat dan seminar kepada universiti sebab kebanyakan pelajar kurang pendedahan dan pengetahuan mengurus kewangan.
Saya juga ambil inisiatif mendekati para siswazah untuk menerangkan mengenai ilmu kewangan dengan menghubungi Dekan di universiti-universiti kerana ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat AMS Empire.
Kalau tidak, generasi muda akan lalui masalah kewangan yang sangat mencabar kelak. Begitu juga kaum wanita khususnya golongan suri rumah. Mereka perlu tahu ilmu menguruskan wang. Lebih-lebih lagi apabila hilang tempat bergantung atau kehilangan suami.”
Jelasnya lagi, beliau mahu menjadikan empayar miliknya sebagai platform menyampaikan ilmu dan tidak berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.
“Menyebarkan ilmu perancangan kewangan ini satu fardhu kifayah. Cuma bidang ini tak popular macam bidang lain. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang, AMS Empire mampu melahirkan future leader yang boleh bawa legasi ini dan menguruskan pelaburan nilai amanah sehingga RM200 juta,” telus Coach Azlin yang menerima anugerah ‘Women in Business-Financial’ daripada Business Professional Woman (BPW) Malaysia.
Sebelum mengakhiri perbualan, Coach Azlin menzahirkan rasa syukur atas doa dan sokongan daripada ibu iaitu Hajah Paizah Haji Anuar, suami beliau Anuar Hasbul’lah Aboo Hashim serta dua anak tersayang, Aiman Hazim dan Adeeb Hafiz sepanjang melalui perjalanan sebagai seorang wanita, pemimpin dan ‘Financial Coach’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjelang Ramadan, nampaknya keluarga konglomerat Indonesia ini berkongsi rezeki dengan penduduk di daerah Lampung, Indonesia dengan projek pembinaan masjid yang dikenali sebagai Masjid Al-Bakrie.
Baru-baru ini, majlis pecah tanah projek berkenaan telah dijalankan di mana keluarga konglomerat terkenal, Aburizal Bakrie turut hadir menyerikan majlis simbolik tersebut. Turut kelihatan, menantu Aburizal Bakrie, Nia Ramadhani yang juga merupakan isteri kepada anaknya, Ardie Bakrie.
Nia menemani rombongan keluarga Aburizal Bakrie untuk majlis perletakan batu asas dan menandatangani plak di Lampung. Anggota keluarga konglomerat ternama Indonesia itu mengenakan pakaian serba putih di majlis tersebut yang telah diadakan di Lampung, Indonesia.
Menjengah lama sosial milik Nia Ramadhani, ia merupakan kunjungan kali pertama dirinya ke daerah Lampung.
Masjid Raya Al-Bakrie dibangunkan di atas tanah milik Pemerintah Provinsi Lampung seluas 2,3 hektar dan boleh menampung sehingga 12 ribu jemaah. Masjid tersebut turut dilengkapi kemudahan ruang letak kereta dan ruang terbuka yang menghijau.
Bangunan Masjid Raya Al-Bakrie dilatari rona putih, bersih, moden dan elegan ini akan turut dilengkapi dengan pusat bangunan kubah utama. Masjid Raya Al-Bakrie mempunyai kapasiti keluasan yang luas bagi membolehkan pelbagai aktiviti keagaamaan dijalankan dalam suasana kondusif dan selesa.
“Niat pembinaan masjid ini bukanlah niat bermegah-megah, sombong, dan riak, tetapi benar-benar didasarkan kebanggaan kami sebagai orang yang berasal dari Lampung. InsyaAllah selesai dua tahun,” ujar Aburizal Bakrie, bapa mentua Nia Ramadhani yang berkongsi asal usulnya dari Lampung.
Nia Rahmadhani turut berkongsi rasa syukur majlis tersebut berjalan lancar dan berharap pembangunan masjid di Lampung dapat diselesaikan dalam tempoh yang dicadangkan. Untuk rekod, pembinaan masjid tersebut bakal mengambil masa selama dua tahun.
Majlis pecah tanah tersebut turut dihadiri oleh Gabenor Lampung, Arinal Djunaid serta keluarga terdekat Aburizal Bakrie.
Untuk rekod, Aburizal adalah Pengerusi Parti Golkar dan merupakan pakatan utama dengan parti pemerintah pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau mempunyai tiga orang cahayamata iaitu Anindra Ardiansyah Bakrie, Anindya Novyan Bakrie dan Anindhita Anestya Bakrie.
Abu Rizal Bakrie berharap Masjid Al Bakrie yang merupakan masjid raya di Kota Bandar Lampung akan menjadi kebanggaan masyarakat Lampung.
“Masjid yang akan dibangun ini adalah aset kita bersama, milik kita bersama maka mari kita jayakan niat ini. Insyaa Allah dalam jangkamasa 2 tahun pembangunan masjid raya ini dapat direalisasikan,” ujar Abu Rizal Bakrie.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun.
Kian bahagia melayari alam rumah tangga, pasangan ini dikhabarkan sedang bercuti ke luar negara.
Dalam hantaran terbaharu anakanda Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ini di media sosial, Putera Mateen dan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah kini menikmati percutian musim sejuk di kota London.
Tidak sekadar melancong di samping isteri tercinta, Putera Mateen turut memuat naik momen istimewa bertemu Ketua Negara Britain, Putera Charles dan Perdana Menteri, Keir Starmer.
“It was an honour to meet King Charles III once again, as well as the Prime Minister. We take great pride in the enduring bond between Brunei and the UK – like old friends reconnecting.”
6 November lalu, putera diraja kacak ini menzahirkan ucapan ulang tahun kelahiran ke-30 buat isteri tercinta.
Mengimbas kembali detik bersejarah majlis perkahwinan diraja gilang-gemilang itu, Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung selama beberapa hari dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari 2024, Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari dan Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari.
Acara kemudian diteruskan dengan Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja pada 14 Januari, Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari 2024.
Sejak bergelar suri hati Putera Mateen, penampilan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah menjadi tumpuan ramai kerana kejelitaan yang dimiliki.
Difahamkan wanita cantik ini ialah cucu penasihat negarawan Brunei dan pasangan diraja ini sudah mengenali sejak kecil. Malah, Putera Mateen bersahabat baik dengan abang Pengiran Anak Isteri Anisha iaitu Daniel Deen Isa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.