Buat pertama kalinya, wajah ibu bapa Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Adam Isa Kalebic tampil di khalayak. Sejak berita perkahwinan Dayang Anisha dan Putera Mateen bertebaran pada Oktober tahun lalu ramai yang ingin melihat ibu bapa jelitawan tersebut.
Ternyata penampilan ibu bapa bakal pengantin perempuan ini pada Majlis Istiadat Berbedak pada 10 Januari meraih tumpuan.
Kedua-dua ibu bapa Dayang Anisha Rosnah kelihatan cukup segak dan anggun berbusana tradisi rona putih. Ibunya, Siti Mariam Isa merupakan anak perempuan kepada Pehin Datuk Isa.
Manakala bapa Dayang Anisha pula ialah Adam Kalebic yang dikhabarkan pengusaha sebuah restoran.
Majlis Istiadat Berbedak anakanda Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Pengiran Anak ‘Abdul Mateen Bolkiah dan pasangan, Dayang Anisha Rosnah berlangsung di Istana Nurul Iman, Brunei.
Pada istiadat berkenaan, Dayang Anisha tampil memukau dalam persalinan merah. Paling meraih tumpuan para tetamu ialah kejelitaan Dayang Anisha. Terus naik seri pengantin!
Sultan Brunei dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah antara keluarga diraja terawal yang memulakan istiadat berbedak itu.
Majlis hanya dihadiri keluarga terdekat dan diadakan secara berasingan. Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari dan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari lepas.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari manakala acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja dijadual berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari.
Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada 15 Januari diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.
Putera Mateen berusia 32 tahun ialah anakanda kepada Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz. Sementara Dayang Anisha pula cucu penasihat khas kepada Sultan Brunei, Pehin Datuk Isa.
25 Kesalahan Kecantikan Yang Wanita Selalu Lakukan TANPA SENGAJA, Jaga-Jaga!
Tidak ada seorang wanita pun yang tidak mahu menjadi wanita cantik. Sejak kecil lagi sudah pandai ‘mencuri’ lipstik ibu dan bersolek secara sembunyi-sembunyi di bawah katil.
Bila sudah meningkat remaja, perubahan hormon pula menggalakkan jerawat timbul di atas permukaan kulit. Ketika ini ramai remaja yang melakukan try and error untuk menyingkirkan jerawat. Sudahnya bukan sahaja jerawat hilang malah meninggalkan parut.
Wanita sering melakukan kesilapan dalam menjaga kecantikan kulit sama ada yang sengaja ataupun tidak. Melakukan kesilapan yang sama berulang kali adalah suatu yang tidak boleh dimaafkan terutama dalam rutin penjagaan diri. Apakah kesilapan yang sering kita lakukan?
(1) Guna pembersih wajah yang salah. Pernah tak kulit rasa tegang atau cekang sebaik sahaja selepas membersihkan wajah? Jika ya, anda telah memilih buih pembersih yang salah. Buih pembersih itu telah mengeringkan kulit dan turut menyingkirkan kelembapan semula jadi kulit. Cari pembersih wajah yang bersesuaian dengan jenis kulit anda seperti kering, berminyak, sensitif atau kombinasi.
(2) Tidur dengan posisi terlungkup. Tidur dengan cara ini tidak elok kerana boleh member kesan kepada wajah. Tidur dengan posisi ini biasanya akan menambahkan lagi kesan garisan halus pada wajah. Lama-kelamaan akan menjadi kedut yang sukar disingkirkan.
(3) Sapu krim tabir suria bawah mata. Kulit di bawah mata merupakan kulit paling nipis yang perlu dijaga dengan sempurna. Menyapu krim tabir suria dekat dengan mata boleh mengundang pedih atau mengeluarkan peluh tetapi anda boleh memilih tabir suria yang lembut atau bebas pewangi.
(4) Eksfoliasi berlebihan. Melakukan eksfoliasi kulit sangat baik untuk menyingkirkan sel kulit mati di atas kulit. Tetapi kalau melakukan secara berlebihan atau keterlaluan akan menyebabkan kelembapan semula jadi kulit tersingkir dengan sendirinya. Lakukan eksfoliasi paling kurang seminggu sekali, kemudian sapu dengan pelembap untuk mengembalikan kelembapan di bawah kulit.
(5) Sering mengabaikan leher. Sebenarnya leher juga mengalami proses penuaan yang sama seperti kulit wajah. Tetapi, wanita sering menumpukan perhatian pada kulit wajah berbanding kulit leher. Jika kulit leher nampak berkedut tetapi kulit wajah tegang, nampak macam pelik pula. Jangan lupa sapu pelembap dengan SPF pada kulit leher!
(6) Membasuh wajah dengan air panas. Sama ada mandi atau bilas wajah dengan air panas boleh menyingkirkan minyak semula jadi di bawah kulit. Elakkan wajah terkena air panas dan seelok-eloknya bilas dengan air suam atau air sejuk sahaja.
(7) Guna pelembap berasaskan minyak mineral. Pelembap yang mengandungi minyak mineral memang baik untuk kulit tetapi tidak hidrasi kulit. Sebaik-baiknya guna produk yang mengandungi hyaluronic acid atau ceramides yang akan menyerap lembapan bawah kulit.
(8) Guna krim tabir suria yang sudah tamat tempoh. Kebiasaannya krim tabir suria ini bertahan hanya tiga tahun sahaja. Lebih daripada itu, bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan menjadi tidak efektif. Jadi kalau krim tabir suria dalam laci sudah tamat tempoh, buang sahaja dan gantikan dengan yang baru.
(9) Tidur dengan wajah yang bersolek. Lebih banyak kali anda tidur dengan wajah yang bersolek, lebih banyak kerosakan yang anda lakukan pada kulit wajah. Ketika tidur sebenarnya memberikan peluang kulit untuk berehat tetapi apabila ada bedak asas yang menghalang, kulit boleh menjadi rosak.
(10) Tidak hirau jenis kulit. Jika anda seorang wanita yang menggunakan pembersih, penyegar dan pelembap mengikut trend atau mengikut kawan, anda salah. Anda perlu meneliti jenis kulit dengan membuat analisa kulit dengan ahli dermatologi. Bila sudah kenal pasti baharu memilih produk yang bersesuaian dengan kulit.
(11) Terlalu kerap membersihkan wajah. Dalam sehari cukup hanya membersihkan wajah pada waktu pagi dan malam sebelum tidur. Tidak ada sebab wanita membersihkan wajah lebih daripada dua kali. Jika tidak yakin dengan kulit wajah pada siang hari, cukup hanya menggunakan micellar water untuk kulit yang bersih.
(12) Tidak mendapat tidur yang cukup. Wajah anda melambangkan setiap aktiviti yang dilakukan. Jika anda tidak mengambil berat tentang kesihatan atau kecantikan turut terpamer pada wajah. Apabila tidak mendapat tidur yang cukup, kulit wajah akan menjadi kusam, kering dan tidak bermaya. Kulit wajah perlukan beauty sleep untuk mengembalikan kesempurnaan wajah yang letih dengan aktiviti seharian.
(13) Rawatan kulit berjerawat. Kulit berjerawat memang menyebabkan kurang keyakinan diri. Memang seboleh-bolehnya mahu menyingkirkan jerawat dengan segera. Jalan pintas yang bertindak dengan cepat adalah menggunakan krim jerawat. Memang krim jerawat bagus untuk menghilangkan jerawat tetapi kalau terlalu banyak menggunakannya boleh menyebabkan kulit rosak.
(14) Tabiat memegang kulit wajah. Ramai wanita yang gemar memegang, memicit dan mengelus kulit wajah. Tabiat ini tidak elok lebih-lebih lagi dengan tangan yang belum dibersihkan. Ini kerana berjuta-juta bakteria yang terdapat pada tangan akan berpindah pada kulit muka yang akhirnya menjadi punca jerawat.
(15) Guna berus solekan terlalu lama. Berus mekap sangat penting kala bersolek untuk mendapatkan hasil yang sempurna. Tapi bila berus yang kotor digunakan untuk bersolek akan mengundang bakteria. Seelok-eloknya berus solekan dibersihkan seminggu sekali menggunakan cecair pembersih yang khusus buat berus solekan atau syampu yang lembut.
(16) Tidak mengamalkan makanan seimbang. Apa sahaja yang anda makan akan terpancar pada kulit. Jika anda mengelakkan makanan ringan atau minuman bergas anda akan dapati kulit lebih berseri dan bermaya. Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kulit yang sihat dan cantik.
(17) Periksa kandungan produk yang dipakai. Tidak ramai wanita yang meneliti terlebih dahulu setiap produk yang dipilih. Ramai yang mengikut kawan-kawan atau terpengaruh dengan promosi yang ditawarkan. Bahan yang terkandung dalam sesuatu produk perlu diteliti dengan mendalam agar tidak merosakkan kulit di kemudian hari.
(18) Tidak menyapu pelembap dengan sempurna. Memakai terlalu banyak pelembap, menyapu terlalu sedikit pelembap dan tidak memakai langsung akan memberikan yang teruk kepada kulit. Kulit boleh menyerap lembapan pada kadar yang tertentu sahaja dan selebihnya akan tinggal di atas kulit menjadi punca kulit tersumbat. Jadi sapu pelembap dengan jumlah yang diperlukan oleh kulit.
(19) Bersihkan kulit tanpa menanggalkan solekan. Tidak semua buih pembersih berupaya menanggalkan solekan jadi sebelum membersihkan wajah, pastikan anda mencuci solekan dengan cecair pembersih solekan. Pastikan kulit bebas daripada sebarang solekan sebelum membersihkan kulit dengan buih pembersih.
(20) Bersenam dengan solekan. Tiada kompromi tentang bersenam dengan wajah yang bersolek ini. Bersenam dalam keadaan bedak asas menutupi kulit wajah akan menggalakkan pori-pori tersumbat dan iritasi. Mengelap kulit dengan tuala pada kulit berpeluh dan ditambah pula dengan solekan akan mengakibatkan keadaan lebih buruk.
(21) Bersihkan wajah sebelum bersyampu. Ramai yang tidak perasan bahan yang terdapat dalam syampu dan perapi rambut akan menyebabkan kulit tersumbat. Cuba perhatikan kadang-kadang tumbuh jerawat di atas garisan rambut, tepi wajah atau leher. Tiba masanya untuk menukar rutin dengan bersyampu serta menyapu perapi terlebih dahulu kemudian baharu diikuti dengan membersihkan wajah.
(22) Guna penyegar yang berasaskan alkohol. Menggunakan penyegar yang berasaskan alkohol akan merosakkan kulit wajah semata-mata. Penyegar yang berasaskan alkohol ini akan membuatkan kulit menjadi ketat dan kadang-kadang menjadi kering.
(23) Tidak membasuh sarung bantal. Ketika tidur kita pasti akan berpeluh. Bantal yang kita tidur sepanjang malam kalau tidak dibersihkan akan membuat bakteria berkumpul. Apabila kulit wajah terkena sarung bantal akan membuatkan bakteria itu berpindah ke atas kulit. Kalau boleh seminggu sekali basuh sarung bantal yang kita guna itu.
(24) Terdedah awal kepada produk anti-penuaan. Anda masih muda, berumur awal 20-an tetapi telah mengambil langkah awal dengan menggunakan produk anti-penuaan. Jangan takut, kulit anda masih muda dan biarkan sahaja. Apabila usia sudah meningkat 25 tahun baharu perlu mengambil langkah awal mengekalkan keremajaan kulit dengan mengamalkan produk antipenuaan.
(25) Salah pegang sikat ketika mengeringkan rambut. Jika anda memegang alat pengering rambut dengan tangan dominan dan memegang sikat pada tangan yang satu lagi, anda tidak berkeseorangan. Tapi, sebenarnya cara itu adalah salah. Tangan yang lebih kuat sepatutnya mengawal sikat agar lebih banyak masa dapat dijimatkan. Hamizatul Maizan Mohamed
Wajah Seiras Arwah Ibu, IRDIENA Warisi Kecantikan & Sikap FAZIANI ROHBAN!
Perginya pengasas kosmetik Dnars, arwah Faziani Rohban pada Mei lalu meninggalkan seribu satu pengajaran… bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 16 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.
Aktif menaikkan kembali empayar ibu tersayang, Irdiena atau nama panggilannya Gegirl sering mendapat perhatian ramai yang mengganggap dia umpama jelmaan usahawan ternama berkenaan. Dari gaya dan senyuman, memang saling tidak tumpah seperti allahyarham Faziani. Tambahan pula, Irdiena gemar mengenakan baju, aksesori dan beg tangan milik ibunya.
Tampil lebih menawan selepas berjaya menurunkan berat badan, gadis ini dilihat ligat mempromosikan produk pelangsingan badan Cocoliff. Sedar setiap gerak geri dan penampilannya akan membuatkan masyarakat mengingati kelibat ibu tersayang, Irdiena pernah mengulas mengenai perkara tersebut di media sosial miliknya.
Ujar Irdiena, “Here’s still having a shadow of Faziani Rohban, so all of you don’t need to be sad ok. Aturan Allah SWT semuanya dah cantik! Just keep our beloved bonda Faziani Rohban in your prayers.”
Selain memiliki wajah seiras arwah ibu, Irdiena juga bertuah kerana mewarisi sikap Faziani Rohban. Antara persamaan ketara di antara dirinya dan ibu tersayang adalah sifat yang berani. “Gegirl seorang yang tak takut dengan manusia, keras dan menjawab. Sebagaimana yang bonda ajarkan “JANGAN TAKUT DENGAN MANUSIA, HANYA TAKUT DENGAN TUHAN”.
Nak cepat mengalah? That’s not me at all sebab mungkin dalam jiwa saya ada jiwa bonda saya. Bonda yang tak pernah tahu apa itu erti KETAKUTAN dan bonda ialah seorang wanita yang kaya di dunia hanya dengan hasil titik peluhnya sendiri. Manakala kaya di akhirat dengan sifat dermawannya. MashaAllah. Semoga gegirl sentiasa ikut jejak bonda, “KAYA DENGAN HASIL TITIK PELUH SENDIRI”.
Masih teringat dengan kata-kata bonda setiap kali dia marah if Gegirl tak yakin nak buat sesuatu atau buat something separuh jalan dan tak fokus untuk satu benda. Katanya, tiada yang mustahil untuk kita pergi semakin jauh sekiranya ada 4 benda ni dalam diri. Fokus, Yakin, Rajin dan Tidak Ada Pengecualian. So tiada alasan untuk tidak berjaya dalam hidup ni, apa yang terjadi kepada kita sekarang adalah kerana pilihan diri sendiri,” jelasnya.
Terkenang kembali sisi ceria dan peramah isteri Ahmad Shah Rizal Ibrahim sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Tika itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.
Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.
Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya. Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita.
Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati arwah. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Kredit: Instagram Dnar Faziani
Guna Nama Along, Angah, Alang, Achik, Acu Untuk Lip Matte. Gaya Kreatif Skindara Pikat Hati Penggemar Lip Matte!
Sebut sahaja kosmetik, sudah tentu pelbagai jenama ksometik tempatan mahupun antarabangsa mula berlegar di benak fikiran. Mana tidaknya, produk kosmetik menjadi sebahagian gaya hidup wanita untuk kekal jelita demi untuk penampilan diri sekaligus membangkitkan aura seseorang wanita. Tidak hairanlah mengapa semakin ramai usahawan menceburkan diri dalam bidang kosmetik memandangkan ia mendapat sambutan hangat di kalangan wanita.
Antara jenama kosmetik yang semakin mendapat tempat di hati pengguna termasuklah Skindara Global di bawah jenama Skindara yang diasaskan oleh Iskandar Abdillah Suffian dan isteri tersayang, Nur Hidayu Zorkafli. Walaupun jenama Skindara baharu ditubuhkan kurang setahun yang lalu, namun ia semakin mencuri tumpuan pengguna kosmetik yang mementingkan jenama tempatan yang membawakan produk berkualiti setaraf antarabangsa.
Ketika ditanya di sebalik jenama Skindara, ia sebenarnya mempunyai kisah menarik di sebalik terbitnya jenama yang dekat di hati masyarakat Melayu.
“Skindara telah ditubuhkan lebih kurang setahun yang lalu. Tetapi kami suami isteri tidak terlalu fokus terhadap perniagaan ini kerana mempunyai perniagaan lain iaitu fesyen dan tekstil,” ujar Iskandar mewakili jenama Skindara.
Iskandar dan Nur Hidayu merupakan pengasas jenama fesyen terkemuka Shawlpublika dan Sp.casual. Namun begitu, pasangan suami isteri ini kami kembali aktif beberapa bulan lepas dengan mengeluarkan lipmatte pertama Skindara. Mereka juga tidak menyangka lipmatte yang dikeluarkan di bawah jenama Skindara mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Alhamdullilah sambutan yang kami terima terhadap produk lipmatte ini amat menggalakkan. Lipmatte dan wanita sememangnya berpisah tiada. Pasti setiap hari masa ada sahaja wanita yang hendak mendapatkan lipmatte baharu dan mencuba lipmatte baharu,” ujar Iskandar yang turut berkongsi strategi pemasaran turut memainkan peranan penting dalam menguruskan perniagaan.
“Antara perkara yang amat kami titikberatkan dalam perniagaan adalah membuat kajian tentang tabiat pengguna. Alhamdulillah setelah kami membuat market survey dan market research, kami dapati permintaan terhadap produk ini amat tinggi. Itu adalah antara sebab utama kami mengambil keputusan menceburkan diri dalam satu lagi cabang perniagaan berasaskan kosmetik dan menghasilkan lipmatte,” ujar Iskandar lagi.
Tidak lengkap perjuangan seorang ahli perniagaan tanpa berhadapan dengan cabaran untuk memajukan lagi jenama yang diperkenalkannya. Walaupun Shawalpublika sudah mempunyai followers yang ramai dan tidak sukar untuk memperkenalkan jenama baharu untuk para pengikut setianya, namun bagi Iskandar dan Nur Hidayu atau lebih mesra disapa Ayu berkata cabaran dalam perniagaan kosmetik dan tekstil mempunyai cabaran tersendiri dan ia perlu ditangani dengan bijak dan professional agar setiap cabaran mampu diatasi sebaik mungkin.
“Antara cabaran yang dihadapi ialah dari segi kelewatan supply dari pembekal memandangkan permintaan terhadap produk ini begitu baik wlaupun baharu sahaja diperkenalkan di pasaran. Ia merupakan sesuatu yang diluar jangkaan kami apabila produk tersebut mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengguna lipmatte,” ujar Ayu yang menggunakan pendekatan lokal untuk memperkenalkan jenamanya.
Tambah Ayu lagi, terdapat beberapa faktor mempengaruhi penjualan mendadak produk lipmatte Skindara antaranya termasuklah penggunaan nama untuk setiap jenis lipmatte yang dihasilkan.
“Skindara lipmatte sangat berbeza dengan produk lain yang berada di pasaran kerana lipmatte kami sangat ringan, tidak melekat, mempunyai efek pemakaian yang tahan lama dan tidak mudah merekah di bibir selepas penggunaannya. Selain itu, lipmatte Skindara jugak tidak menghitamkan bibir seperti sesetengah lipmatte yang lain kerana kandungan minyak chamomile dan vitamin E yang membantu melembabkan kulit.
Lebih istimewa, kami memperkenalkan nama-nama yang unik untuk setiap lipmatte antaranya Along, Angah, Achik dan sebagainya. Nama-nama ini lebih dekat di hati masyarakat Malaysia untuk dikomersilkan ke peringkat antarabangsa,” ujar Ayu lagi.
Ayu turut berkongsi kisah lucu disebalik munculnya nama Skindara yang pada pandangan penulis mencuit hati dan amat dekat di hati pasangan suami isteri ini.
‘Ramai yang bertanyakan dari mana inspirasi nama Skindara itu. Sebenarnya nama itu diambil sempena nama suami iaitu “Iskandar” dan sedikit penambahan melengkapkan nama jenama ini,” ujar Ayu yang ternyata gembira dengan perkembangan perniagaan lip matte itu.
Perniagaan yang diasaskan oleh pasangan suami isteri ini juga menggunakan motto Man Jadda Wa Jadda yang membawa maksud sesiapa yang berusaha pasti berjaya sekaligus melambangkan usaha tanpa mengenal jemu pasangan ini untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan yang diusahakan oleh mereka. Walaupun mengetahui bahawa sejak kebelakangan ini sudah ramai di kalangan usahawan dan golongan selebriti yang menceburkan dalam bidang perniagaan, Iskandar secara jujurnya mempunyai pandangannya tersendiri.
Menjadi salah satu jenama kosmetik tempatan yang menerima anugerah NONA TOP BEAUTY ENTERPRENUER baru-baru merupakan satu permulaan terbaik buat jenama Skindara mengorak langkah memeriahkan lagi industri kosmetik tempatan.
“Secara jujurnya, sesuatu produk itu tidak mampu berdiri hanya kerana pengasasnya semata-mata tetapi kerana kualiti produk yang dihasilkan serta sistem pemasaran yangg proaktif. Saya yakin rezeki Allah amat luas di muka bumi ini dan usaha adalah kunci utama untuk mengecapi kejayaan. Saya yakin, satu hari nanti jenama Skindara bukan sahaja mampu menguasai pasaran Malaysia tetapi mampu menembusi pasaran luar negara dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Saya ingin menjadikan jenama skindara sebagai household name di Malaysia,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.