Bak kata anak-anak muda, ‘Kau punya sembang, gajah pun terbang!’

Itulah strategi pengiklanan produk kosmetik di negara kita, kebanyakannya memang suka menjanjikan bulan dan bintang. Nak hilangkan jerawat? Nak putih berseri? Nak licin berkilat macam pantulan cermin? Gunalah produk sekian sekian.

IKLAN

Lalu ramailah yang terpedaya gara-gara mahukan kulit cantik sekelip mata. Masalahnya bukan tak tahu, tapi teknik pemasaran yang licik, selain pujuk rayu si penjual kadang-kadang membuatkan kita ‘gelap mata’ untuk memeriksa tahap keselamatannya.

Terkini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan senarai terbaharu produk kosmetik yang ditarik balik notifikasi dan dilarang penjualannya dalam pasaran.

Produk-produk ini dikesan mengandungi bahan-bahan beracun yang boleh memudaratkan pengguna.

  • Nuriz Kosmetik – D’solve Plus (hydroquinone dan tretinoin)
  • Nuriz Shoppe – Beau One Whitening Cream 3 in 1 (hydroquinone)
  • Cantiqa Face Toner (hydroquinone)
  • Rzac Platinum Toner (hydroquinone)
  • Magic Cream (merkuri)
  • Dnars Sunny Cream (merkuri)
  • Night Cream Dollys Pinky (merkuri)

Penjelasan Ahli Farmasi Fahmi Hassan ini tentang kesan sampingan Tretinoin, Hydroquinone dan Merkuri dalam produk kosmetik patut menjadi peringatan buat semua.

TRETINOIN
Ia boleh menyebabkan kulit terasa pedih. Kulit juga boleh menggelupas dan menjadi sangat sensitif kepada cahaya matahari. Untuk sesetengah orang, kulit akan menjadi teruk seperti kesan melecur.

HYDROQUINONE
Ia akan menyebabkan kulit menjadi merah. Warna kulit juga akan berubah dan kulit menjadi terlalu sensitif. Kadar perlindungan kulit terhadap sinar UV matahari akan berkurangan. Ini meningkatkan risiko penyakit kanser kulit berlaku.

MERKURI
Ia boleh diserap ke dalam badan melalui kulit. Merkuri akan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Bayi dalam kandungan juga boleh terdedah kepada bahaya ini. Ia akan mengganggu perkembangan otak mereka.

Ketiga-tiga bahan ini dikategorikan sebagai racun berjadual dan merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, beliau menyeru pengguna yang sedang menggunakan produk kosmetik ini supaya berhenti menggunakannya dan dapatkan nasihat perubatan jika mengalami ketidakselesaan.

Antara tanda yang paling mudah untuk tahu produk mengandungi bahan terlarang adalah apabila ia menjanjikan keberkesanan mencerahkan kulit dalam masa yang amat singkat. Norzalina Mohd Alias

Sumber: KPK