Perkahwinan penyanyi yang popular menerusi lagu ‘Dan Sebenarnya’ sampai sekarang masih hangat diperkatakan.
Pembukaan tahun 2018 menyaksikan perkahwinan indah ini sebagai pembuka tirai untuk netizen mencedok idea dan ilham bagi merealisasikan majlis perkahwinan mereka.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai dengan Adam Sinclair selamat diijab kabulkan minggu lalu. Namun, perkahwinan mereka mencetuskan fenomena yang luar biasa dan menjadi bualan ramai pihak hingga ke hari ini.
Majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup mendapat perhatian ramai dengan konsep yang jarang dilakukan iaitu ‘Taman Hutan Tropika’. Bertempat di Puncak Rimba, Bentong, suasana kehijauan dibaluti kabus dingin menyaksikan gadis kelahiran Ipoh yang merupakan penyanyi antarabangsa itu disatukan bersama jejaka pilihan hati dalam majlis yang serba indah.
Rata-rata sudah mengetahui busana yang digayakan oleh Yuna direka oleh pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat. Dress serba putih yang diberi suntikan tradisional diolah kreatif bagi menampilkan sisi anggun Yuna.
Selepas selesai majlis pernikahan di sebelah petang, acara diteruskan dengan majlis makan malam dan sesi memotong kek di sebelah malam. Yuna kelihatan cukup anggun dan menawan dalam dres rekaan JepXJay. Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang dress tersebut, ia direka oleh dua anak muda yang cukup berbakat.
Menurut pereka, mereka diberi tanggungjawab dan kepercayaan dalam merealisasikan salah satu busana untuk majlis perkahwinan Yuna. Penulis sempat menemuramah pereka fesyen JepXjay untuk mengetahui lebih lanjut tentang dress rekaan mereka.
(a) Apakah tema, konsep dan inspirasi dress Yuna?
Yuna menginginkan sesuatu yang sesuai untuk sesi ‘first dance’ mereka, dan kami memilih siluet column dengan tema bohemian chic bagi rekaan busana itu. Kami mengaplikasikan teknik layering dalam rekaan sesuai dengan pattern lace yang digunakan. Busana yang terhasil dipenuhi dengan glass dan chunky beads.
Kami juga membuat perincian juraian manik tassel di bahagian bahu busana menghasilkan pergerakan baju yang lebih dramatik. Kami memilih rona beige dan light grey untuk acara pada malam tersebut. Dalam pemilihan fabrik, kami memilih full beaded lace from Mood Fabrics, double chiffon dan premium como crepe.
(b) Bagaimana boleh mendapat kepercayaan daripada Yuna untuk menghasilkan baju perkahwinan beliau?
Kami diperkenalkan dengan Yuna oleh rakan kami iaitu pengasas label Ainahariz bagi tujuan tempahan baju pengapit Yuna untuk majlis resepsi di PICC. Selesai perbincangan baju pengapit itu, beliau tertarik untuk mencuba rekaan dari Jep and Jay untuk satu persembahannya.
Percubaan pertama kami buat Yuna membuahkan banyak tindak balas positif daripada netizen dan Yuna sendiri. Mulai saat itu, kami mendapat kepercayaan beliau untuk merealisasikan salah satu dari pakaian perkahwinannya.
(c) Sebelum ini pernah buat baju untuk Yuna?
Ya, pertama kali kami hasilkan busana untuk Yuna adalah di persembahannya pada malam gala Miss Universe Malaysia.
(d) Cabaran dalam menyempurnakan dress tersebut?
Yuna adalah seorang yang sangat mudah berkerjasama. Beliau memberikan kepercayaan 100% kepada Jep and Jay untuk berkarya. Beliau juga mempunyai idea dan cita rasa yang tersendiri. Jadi lebih mudah bagi kami untuk menghasilkan sesuatu yang bersesuaian dengan karakter dan personalitinya.
(e) Perasaan anda bila mendapat kepercayaan dalam merealisasikan baju kahwin Yuna?
Kami sangat berbesar hati. Umpama mimpi menjadi kenyataan apabila sebagai pereka fesyen yang masih baru dalam industri, kami berpeluang mereka dan menghasilkan satu busana yang penting buat seorang selebriti berstatus antarabangsa. Peluang ini menjadikan kami sangat berdedikasi untuk menghasilkan yang terbaik.
(f) Pernahkah anda berkerjasama dengan selebriti lain selain Yuna?
Kami pernah menghasilkan rekaan buat beberapa selebriti seperti Hanez Suraya, Raja Azura, Sharifah Zarina, personaliti TV Farahanim Razak dan pengasas Tudung Ruffle Nononess.
(g) Boleh ceritakan sedikit pengalaman anda dalam industri fesyen?
Kami memulakan label Jep and Jay pada tahun 2014. Pada awalnya kami menjalankan perniagaan secara separuh masa sahaja dan mula memberi sepenuh komitmen kepada label ini pada tahun 2016. Sepanjang bergelar pereka fesyen, kami banyak menghasilkan rekaan baju pengantin.
(h) Siapakan idola anda dalam dunia fesyen dan signature brand anda?
Dalam Malaysia, kami menjadikan Dato’ Rizalman Ibrahim sebagai sumber inspirasi. Manakala di peringkat antarabangsa, kami cukup meminati hasil rekaan Marchesa, Reem Acra dan Naeem Khan. Signature untuk jenama kami ialah feminin dan modest. Fadhli Ismail