Bukan 10 atau 20 tahun tetapi dah lebih tiga dekad Dato’ Seri Dr Farah Khan sukses sebagai usahawan! Mengikut pengalaman dan kejayaan yang diraih, beliau sememangnya sudah layak diangkat sebagai ‘sifu’ dalam industri fesyen tanah air. Mana tidaknya, wanita cekal inilah yang menjadi pencetus pembukaan jenama fesyen mewah antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia. Bukan calang-calang!
Kepakaran Dato’ Seri Dr Farah Khan bukan hanya mencipta busana anggun serba eksklusif bahkan beliau juga kreatif mempelbagaikan cabang bisnes di bawah syarikat miliknya, The Melium Group. The Melium Group merupakan satu entiti perniagaan yang memfokuskan kepada lanskap fesyen mewah di Malaysia. Penubuhannya diasaskan Dato’ Seri Dr Farah sejak tahun 1989 yang dengan berani membawa masuk jenama fesyen bertaraf antarabangsa ke dalam pasaran negara.
Sepanjang 31 tahun menerajui syarikat, The Melium Group sudah pun mempunyai lebih 100 jenama antarabangsa dengan kejayaan pembukaan butik fizikal antaranya Tod’s, Aigner, Emilio Pucci, MCM, Max Mara, Roger Vivier dan Hacket London.
Di samping membawa jenama-jenama mewah masuk ke pasaran negara, Dato’ Seri Dr Farah Khan turut memartabatkan identitinya sebagai pereka fesyen. Pada tahun 2007, beliau melancarkan jenama fesyen sendiri iaitu Farah Khan yang kini menyambut ulang tahun ke-13.
Tidak cukup dengan itu, Dato’ Seri Dr Farah turut meluaskan portfolio empayar perniagaannya dengan mengembangkan sayap dalam bidang makanan menerusi pembukaan kafe Dome dan restoran eksklusif, Mamasan. Mengulas pembabitan awal Presiden The Melium Group ini, Dato’ Seri Dr Farah Khan menjelaskan penglibatannya dalam industri ini banyak dipengaruhi oleh minat dan kerjaya ibu tersayang.
Ads
“Jiwa fesyen sudah sebati dalam diri sejak zaman remaja lagi dan saya mewarisi bakat tersebut daripada ibu yang pernah terlibat dalam perniagaan busana fesyen wanita suatu ketika dahulu. Sepanjang mendalami bidang ini saya dapati kerjaya fesyen telah banyak membantu kehidupan saya terutamanya dari segi mental dan fizikal. Malah melalui fesyen juga ia memberi saya kepuasan!
Apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat gembira kerana berjaya menjadikan minat sebagai kerjaya. Bukan hanya dapat memberi sumbangan kepada industri fesyen tetapi juga merealisasikan segala manifestasi dan impian yang saya diidam-idamkan selama ini menjadi satu kenyataan. Fesyen juga memberi peluang kepada saya untuk memperkasakan kaum wanita dan generasi muda. Selain itu, ia membuka jalan untuk saya terlibat dalam kerja amal kebajikan di samping menjadi insan lebih baik dan berguna kepada masyarakat.”
31 tahun bertapak dalam industri nyata bukan satu tempoh singkat. Biarpun kredibiliti Dato’ Seri Dr Farah Khan sebagai pereka fesyen dan usahawan diperakui ramai namun beliau percaya tanpa usaha gigih para pekerja, The Melium Group tidak akan mampu bertahan seperti hari ini. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.
Ads
“Covid-19 telah banyak menjejaskan kehidupan ramai orang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Walaupun pada awal PKP dulu saya masih berada dalam keadaan terkejut tapi sebagai usahawan dan juga majikan, saya perlu merangka strategi dengan cepat supaya perniagaan kami kekal bertahan dan memastikan kebajikan para pekerja terjaga. Setiap hari saya bersama barisan ahli lembaga, pihak pemasaran dan kakitangan akan berbincang mencari pembaharuan serta pendekatan terbaharu supaya pelanggan mudah mendapatkan khidmat kami.
Mujur usaha memperhebat platform dalam talian dan pelancaran aplikasi The Melium Group memberi impak berkesan dalam meniti keadaan sukar ketika ini. Seiring peralihan teknologi era digital, aplikasi berkenaan sangat relevan kerana pelanggan bukan hanya dapat mengetahui perkembangan bisnes kami menerusinya malah boleh merebut pelbagai tawaran dan diskaun menarik tanpa perlu mengunjungi butik fizikal. Paling penting adalah keupayaan kami untuk kekal kreatif memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan,” ujar Dato’ Seri Dr Farah Khan yang mempunyai 500 kakitangan di bawah pengurusannya.
Ads
Tidak hanya memfokuskan kepada dunia fesyen mewah dan perniagaan, Dato’ Seri Farah Khan turut prihatin dengan golongan memerlukan. Buktinya, beliau dan kakitangan The Melium Group berjaya menganjurkan pelbagai program dan kempen kebajikan. Salah satunya menerusi Support The Economy yang melibatkan para usahawan, pemain industri, selebriti dan peminat fesyen antaranya Cef Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Cef Wan, Kavita Sidhu dan suami, Magie Abang Saufi serta sosialit Ezurin Khyra dalam usaha menyokong ekonomi negara.
“Rentetan wabak Covid-19 semua komuniti tidak kira dalam industri fesyen, seni, perusahaan restoran mahupun pelancongan perlu saling berganding bahu untuk merancakkan semula ekonomi. Support The Economy ini ialah inisiatif The Melium Group sebagai satu medium penyatuan dalam menyokong golongan usahawan, bisnes tempatan, industri seni dan sektor pelancongan untuk kembali pulih,” jelas usahawan ini yang turut tidak ketinggalan menyantuni dan memberi sumbangan berupa makanan kepada insan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya dan ibu tunggal yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Tatkala ditanya bagaimana dia mampu kekal memberi suntikan inspirasi kepada wanita lain, dengan penuh merendah diri Dato’ Seri Dr Farah Khan berkata ia bukanlah satu perkara mudah memandangkan dirinya juga insan biasa yang turut mengalami pasang surut kehidupan. “Kunci utama ialah kekal positif dan terus maju ke hadapan kerana minda kitalah yang membawa hala tuju seterusnya. Sentiasa ingatkan diri sendiri untuk terus pandang ke matlamat hidup hari ini dan esok. Walau ada yang menjadikan saya sebagai sumber inspirasi tetapi sebenarnya saya turut terinspirasi dengan realiti kehidupan masyarakat.
Saya juga cukup bertuah kerana dikurniakan ramai sahabat dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka inilah yang menggalakkan saya untuk menjadi insan lebih baik setiap hari. Selain mahu berjaya dalam perniagaan, saya juga mahu menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, rakan-rakan, pekerja dan orang ramai kerana tujuan utama kita hidup di muka bumi ini juga adalah untuk saling membantu di antara satu sama lain,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selama ni, dia ‘menutup’ kemas rahsia hati.14 tahun melayari perkahwinan, tak pernah sekali pun Datin Aida Yusof menjaja kisah peribadi. Apatah lagi meraih simpati khalayak meskipun memegang status isteri kepada selebriti popular, Dato’ Adi Putra.
Hanya selepas 9 bulan bercerai, Datin Aida dan Dato’ Adi sepakat untuk kembali rujuk. 18 Januari 2018 menjadi detik manis buat mereka berdua kerana dapat mengikat semula ikatan yang terputus. Betullah orang kata, ‘Kalau dah jodoh takkan ke mana’.
Di sebalik kegembiraan Datin Aida melalui fasa baru dalam hidupnya hari ini, rupa-rupanya tersimpan sebuah kisah yang lebih mengusik emosi dan tak pernah diberitahunya kepada mana-mana pihak. “Kami dah berkahwin selama 14 tahun dan tak ada anak lagi. Tapi, jujurnya saya dah pernah buat IVF sebanyak 4 kali. Tiga kali mengandung kembar dan terakhir, triplet.
Insha Allah, next year saya akan cuba lagi sebab saya ada endometriosis dan baru selesai buat pembedahan tahun lepas. Berbulan jugalah saya ditahan di hospital. Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu proses untuk sembuh,” dedah Datin Aida yang mengakui hanya sempat merasai nikmat hamil kira-kira tiga bulan.
“Saya tak rasa IVF tu membebankan walaupun terpaksa ambil injection setiap hari di kiri kanan perut. Sakitnya usah cakaplah. Pun begitu saya tetap tak putus asa sebab saya suka dengan kanak-kanak. Dapat seorang pun cukuplah. Selama 4 kali buat IVF ni suami memang banyak beri semangat. Selagi belum diberikan rezeki, selagi tu kami akan terus mencuba.”
Bersama anak angkat, Zara Adelia
Mengambil semangat dan kekuatan Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menimang cahaya mata baru-baru ini, Pengarah Urusan syarikat pembinaan Mahligai Perkasa Sdn Bhd ini nyata mahu mengikut jejak langkah Dato’ Sri Siti menjalani rawatan IVF demi mempunyai zuriat sendiri.
“Dato’ Sri Siti seorang yang sangat-sangat kuat dan kental. Dia berusaha selama 11 tahun untuk dapatkan anak. Sebagai isteri, saya pun teringin ada anak sendiri tapi rezeki belum berpihak kepada saya lagi. Saya percaya kalau tak ada anak, saya tahu itu bukan hak saya. Kena percaya Qada dan Qadar. Allah kata je ‘Kun fa ya kun’ maka waktu itu ada rezeki kita. Mungkin kita tak diberi kelebihan ‘di situ’, tapi Dia beri kita rezeki lain.
Detik manis Datin Aida selepas kembali bergelar isteri Dato’ Adi Putra
Saya jenis yang reda. Saya tak mahu meletakkan syarat yang saya perlu ada anak. Kalau rezeki anak tak berpihak dengan saya, saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia. Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 6 tahun cuma beza sebulan je.
Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak OKU. Dia anak istimewa, tak boleh bercakap dan dengar. Kami dapat tahu keistimewaan Adelia ni masa masih bayi lagi bila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” jelas Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.
Apa yang pasti, pendedahan eksklusif ini hanya untuk dijadikan inspirasi… bukan mencipta kontroversi. “Seperti yang saya katakan awal tadi, semua wanita pun mesti nak anak. Tapi biarlah kita reda dulu dengan ketentuan Allah. Perlu ada keredaan dalam diri walaupun telah cuba buat yang terbaik ke arah itu. Moga-moga kita semua akan diberikan zuriat soleh dan solehah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengenali tokoh wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, beliau cukup terkenal dengan kelantangannya bersuara di dalam memperjuangkan hak serta suara wanita.
Namun, setelah mengundurkan diri dari lapangan politik, bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini dilihat makin tenang dan bahagia menjalani rutin hariannya di samping anak-anak sertaa cucu tersayang.
Cantiknya menantu-menantu Tan Sri Shahrizat.
Sedar tak sedar, pada 15 Ogos 2022 yang lalu genaplah usia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang ke-69 tahun. Baru-baru ini, Tan Sri Shahrizat telah memuat naik satu posting di akaun Facebook miliknya yang menarik perhatian ramai.
Sempena hari lahirnya itu, Tan Sri Shahrizat telah menerima satu pemberian istimewa daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Sungguh bertuah!
Berkongsi rasa terharunya atas pemberian itu bersama para pengikutnya, Tan Sri Shahrizat telah memuat naik satu posting di akaun Facebook miliknya baru-baru ini:
“Junjung kurnia KDYMM SPB RPA @tunkuazizahiskandar di atas ingatan ini. Rasa teramat teruja pabila patik terima nya!!! Tak terkata apa apa. Semoga Tuanku sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT.
Tenun Pahang Di Raja. Satu satu nya tekstil / fabrik tradisional yang indah. Mempunyai magisnya tersendiri. Halusnya. Reka bentuknya. Coraknya. Serba serbinya. Sesuai untuk istana mahupun pengantin pabila ianya didandan dan sulam dengan elok. Mahupun pakaian bila masa.
Ternama dan gemilangnya Tenun Pahang Di Raja ini adalah hasil usaha Tuanku @tunkuazizahiskandar dan Kerabat serta penggiat seni tenun. Cantiknya baju baju yang direka hias dari Tenun Pahang diraja bila diserikan di majlis-majlis istiadat di Istana.
Baru baru ini semasa London Craft Week alhamdulilah #TenunPahang diraja ini menghiasi gelanggang global pabila ianya dipamerkan dan mendapat sambutan yang amat membanggakan.
This red/vermillion piece of art I received is simply exquisite magical and breathlessly beautiful. Just holding it in my palms infuses me with a sense of joy peace beauty serenity. I have always loved tenun. When I wear tenun it calms me down and makes me feel good. This piece I received is my piece de resistance indeed.”
Biarpun tidak lagi aktif dalam lapangan politik, isteri kepada Dato’ Sri Dr Mohamad Salleh Ismail ini sentiasa berkongsi kisah-kisah inspirasinya di media sosial.
NONA menitipkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran buat Tan Sri Shahrizat, semoga panjang umur dan kekal bahagia bersama keluarga sampai syurga.
Kredit: Facebook Shahrizat Abdul Jalil
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Generasi 80-an dan awal 90-an sudah pasti sangat mengenali nama Raja Ema dan Ramlah Ram. Walaupun zaman kegemilangan sudah meninggalkan mereka, tapi kedua-dua bintang popular ini masih aktif dalam arena seni serta mengusahakan produk sendiri.
Pada usia mencecah 50 tahun, penampilan terkini Raja Ema yang sopan berhijab memang nampak manis sangat. Terserlah wajah keibuannya, malah semenjak bertubuh kurus ni, Kekma nampak lagi muda remaja.
Adat berniaga, makin banyak usaha makin banyaklah pulangannya. Dalam perkembangan terbaru Raja Ema, beliau kini sering menyertai pelbagai ekspo di dalam dan luar negara untuk mempromosikan produk-produk seperti Slimm D’Fiber, Slimm D’Maxx, Ou Lala Montoq, The New Age Foundation, RE Perfumes, RE Royal Beauty Bar dan Raja Ema Lip Bar.
Ramlah Ram pun apa kurangnya. Pada usia 53 tahun, penyanyi lagu hit ‘Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu’ dan ‘Selamat Jalan Romeo’ ini nampak tak berubah pun kecantikannya. Tetap kecil molek, tetap peramah dan sweet macam selalu!
Ramlah Ram juga mengeluarkan pewangi jenama sendiri iaitu RVR Perfume by Ramlah Ram. Dengarnya ada dua aroma pilihan yang menusuk kalbu iaitu RVR Revered dan RVR Ravishing. Kedua-duanya adalah uniseks dan mesra solat. Jangan tak tahu, beliau juga rajin turun padang berniaga, malah merata tempat beliau pergi untuk memajukan produk ni.
Raja Ema dan Ramlah Ram pun selalu memenuhi undangan menyanyi, terutamanya yang menyatukan artis-artis popular 80-an. Rindu pula nak tengok persembahan mereka, teringat zaman sekolah-sekolah dulu.
Sewaktu persembahan di showcase Setangkai Irama 80-an
Persembahan mantap Ramlah Ram sempena konsert pengenalan Bintang RTM
Kegigihan dua wanita ini sememangnya boleh dijadikan inspirasi kepada wanita-wanita seusia mereka. Siapa kata bila berumur, kita kena berhenti kejar impian, berhenti melakukan perkara yang diminati dan berhenti menggembirakan diri sendiri? Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saban hari nama Engku Aleesya makin menjadi bualan. Bukan kerana statusnya sebagai anak kepada selebriti terkenal, Erra Fazira tetapi keupayaan gadis bijak yang juga puteri kesayangan Engku Emran ini dalam bidang akademik dan sahsiah diri.