Mengimbas kembali detik permulaan Momentum Internet Sdn Bhd, jelas Najib Asaddok, “Pada 2006 saya memulakan perjalanan kerjaya dalam bidang jualan. Keadaan waktu itu agak sukar, bila kita perlu pergi membuat jualan dari satu tempat ke satu tempat. Jumpa seorang demi seorang untuk membuat jualan secara langsung bagi meyakinkan mereka tentang produk penapis air yang saya jual waktu itu.
Saya kagum dengan mereka yang berbangsa Cina, tinggal di kampung tetapi mampu membuat perniagaan yang maju dengan hanya menggunakan saluran Internet. Daripada situ, saya penuhkan diri dengan ilmu digital. Saya beli buku, belajar membuat blog dan website, berulang alik dari Segamat ke Kuala Lumpur untuk mengambil kursus intensif dalam
bidang jualan secara online. 2009, saya semakin serius dalam dunia pemasaran secara online dan hanya dengan sebiji komputer saya telah berjaya membuat pendapatan secara online antara RM20 ribu hingga RM30 ribu.
Saya menggunakan saluran E-bay, jual pelbagai barang daripada pembekal negara China. Nyata, lubuk jutaan peluang perniagaan ada di situ. Kita hanya perlu bijak menjadi orang tengah dalam proses permintaan dan penghantaran barang, waktu itulah saya pernah dikenali sebagai ‘Pakar Dropship’,” jelas Najib Asaddok yang semangat bercerita tentang permulaan perniagaannya.
Ads
Selaku Pengurus besar, Momentum Internet Sdn Bhd, Nurul Iyzah pastinya memainkan peranan yang besar dalam kejayaan empayar ini. “Saya merupakan bekas seorang cikgu pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Kahang Timur Tengah dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang, Labis Segamat, Johor. Bila saya pergi belajar suami akan bekerja di rumah.
Waktu itu, keluarga saya menerima pandangan yang negatif dari orang kampung menyatakan, suami duduk di rumah makan hasil duit isteri. Waktu itu, keluarga saya menerima pandangan yang negatif dari segelintir orang sekeliling menyatakan suami duduk di rumah makan hasil duit isteri.
Ads
Mereka tidak tahu yang suami bekerja di rumah berniaga secara online. Dan bila pendapatan suami semakin bertambah, ada pula ‘suara nakal’ yang beranggapan suami duduk di rumah jual dadah kerana tiba-tiba boleh jadi mewah kerana pada usia 28 tahun, suami telah tukar daripada sebuah kereta kancil kepada Mercedes.
Ads
Itu antara prasangka buruk segelintir orang sekeliling waktu itu, kami tidak peduli dengan apa orang kata. Saya sentiasa memberi semangat untuk suami berusaha fokus dengan perniagaan yang telah diceburinya, jangan hiraukan segala kata negatif di sekeliling. Saya pernah lihat dia tersungkur dan gagal sebelum ini, bukan mudah juga sebenarnya untuk melaksanakan perniagaan online.
Ada masa naik ada masa menurun, tapi saya percaya dan selalu berkata dalam hati, dia boleh berjaya dalam bidang perniagaan dan saya hanya berserah antara cepat dan lambat untuk rezeki itu datang. Nyata, Allah telah merancang yang terbaik dalam perjalanan hidup kita dan alhamdulillah dengan doa ibu bapa kami telah berjaya hingga ke tahap sekarang.
Saya sendiri tidak sangka suami yang dulunya seorang yang pemalu dan senyap, kini berdiri dengan yakin mengusahakan empayar Momentum Internet Sdn Bhd yang telah ditubuhkan pada tahun 2014, ” ujar Nurul Iyzah yang sentiasa menjadi tulang rusuk paling hebat buat suaminya. Beliau telah berhenti berkhidmat sebagai seorang guru pada penghujung tahun 2015 untuk fokus pada keluarga dan membantu suami dalam bidang perniagaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berkat usaha dan kesungguhan untuk mengembangkan perniagaan, medispa yang dibuka sejak 2017 itu semakin mendapat tempat di kalangan warga kota. Lebih membanggakan, kurang dari satu tahun ia beroperasi, Dr Siti Khadijah Awang Amat telah melebarkan sayap perniagaan ke negeri Sabah dengan pembukaan cawangan baharu Katalina Aesthetic & Wellness di Kota Kinabalu dan Sandakan, Sabah dan sebuah klinik keluarga dikenali sebagai Katalina Family Clinic di Kota Kinabalu, Sabah.
“Alhamdulillah berkat usaha dan doa, saya berjaya mengembangkan perniagaan dari penubuhan Katalina Medispa pertama di Melawati, saya berjaya membuka cawangan di Sabah dalam tahun yang sama. Ia merupakan kejayaan yang di luar jangkaan, disertakan berkat usaha dan kesungguhan,” ujar wanita cantik yang mesra disapa Dr Kat ini memulakan bicara.
Dr Kat bukan sahaja merupakan seorang doktor perubatan, malah turut mengembangkan bakatnya sebagai seorang penyanyi, pelakon, ahli perniagaan dan turut terlibat dalam bidang pengacaraan. Bahkan, beliau merasakan pengalaman yang dimilikinya sekarang sangat berharga walaupun baru setahun jagung melibatkan diri dalam dunia perniagaan
“Alhamdulillah usaha dan titik-peluh saya selama setahun lebih terlibat dalam dunia perniagaan. Ia berbaloi apabila menerima penganugerahan Usahawan Muda 2018 daripada pihak Perdasama Putrajaya baru-baru ini. sekarang saya menerima pengiktirafan daripada Majalah Nona untuk anugerah Nona Best Medispa & Wellness 2018. Syukur, Ahamdulillah”, ujarnya ternyata masih belum puas dengan kejayaan yang diperolehnya dan berazam untuk menambahkan usaha untuk terus memajukan diri dalam dunia keusahawanan.
Melihat keazaman yang dimiliki oleh wanita, Dr Kat turut melahirkan rasa kagum dengan penglibatan wanita secara menyeluruh dalam dunia perniagaan kerana ia merupakan tugas dan tanggungjawab yang besar lantaran perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
“Wanita kini lebih berdaya saing dan pintar dalam meneliti, menilai, seterusnya menjalankan sesebuah perniagaan sehingga berjaya. Kita seharusnya bersyukur dan menggunakan sebaik-baik peluang yang negara kita berikan untuk kaum wanita di Malaysia bagi memajukan lagi diri kita bukan sahaja dalam institusi keluarga tetapi juga perniagaan. I believe women must be independent as well in order to be survived and successful,” ujarnya lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, Dr Kat yang mempunyai cita-cita yang tinggi sempat menitip pesanan untuk setiap wanita agar mampu berjaya mengharungi cabaran bukan sahaja dalam menjalani kehidupan seharian, malah ia boleh diguna pakai di dalam dunia perniagaan.
“Semangat jitu dan sentiasa berfikiran positif. Tingkatkan produktiviti dan berdiri di atas tapak kaki sendiri. Itu adalah motivasi diri yang saya jadikan panduan untuk berjaya. Saya merupakan seorang wanita yang mempunyai cita-cita dan semangat juang yang tinggi. Jadi, ia menjadi azimat untuk saya berani berhadapan dengan cabaran. Selain itu, anak-anak adalah inspirasi dan penguat semangat saya untuk terus berjaya. Motto hidup yang saya amalkan, work hard until you don’t have to introduce yourself menjadi azimat untuk saya kekal fokus, Insyaallah,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantik dan kosmetik adalah dua perkara yang amat sinonim. Terdapat banyak pilihan produk kecantikan yang mudah didapati berada di pasaran masa kini. Antara produk kesihatan dan kecantikan yang berada di pasaran termasuklah produk yang dikeluarkan oleh Najeehah International Sdn Bhd.
Di sebalik jenama tersebut, wanita ini, Rosliza Yaziz merupakan tulang belakang utama di sebalik penubuhan Najeehah International Sdn. Bhd. Menurut Rosliza, Najeehah International merupakan sebuah syarikat pengeluar dan pengedar kepada produk kesihatan dan kecantikan.
Untuk rekod, produk Najeehah merangkumi minyak dan balsam aromaterapi, produk penjagaan wajah dan badan serta rangkaian makanan dan minuman segera.
Menurut Rosliza Yaziz, sebelum dirinya menceburkan diri dalam dunia perniagaan, pelbagai cabaran yang harus dilalui apatah lagi sebagai graduan dari Universiti Malaya yang tidak diberikan peluang bekerja atas faktor komitmen terhadap keluarga.
“Sewaktu tamat pengajian, saya sudah memiliki dua orang cahaya mata. Pernah satu ketika pulang dari kuliah saya melihat anak-anak saya diikat oleh pengasuh sejak dari itu saya trauma dah berjanji untuk menjaga anak-anak saya sendiri.
Saya kuburkan semua impian untuk bekerja dan memasang angan-angan untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Saya bermula melangkah dalam bidang bisnes dengan menjual aiskrim Malaysia dengan pendapatan sekitar RM30 sebulan. Tidak lama selepas itu, saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung untuk menjalankan tanggungjawab menjaga bapa yang sakit.
Saya mengambil tanggungjawb tersebut kerana di dalam keluargaa hanya saya yang belum mempunyai pekerjaan tetap. Dari situ saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan secara dalam talian,” ujar Rosliza yang tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambilnya itu.
Bermula dari minat yang mendalam untuk memiliki perniagaan sendiri, Rosliza mendalami ilmu perniagaan dan berkat usaha dan dorongan keluarga, Rosliza mendaftarkan perniagaannya sendiri yang dikenali sebagai Rosliza Yaziz NN Holdings Sdn Bhd pada tahun 2019. Melihat potensi perniagaan yang dijalankan semakin berkembang, proses penjenamaan telah dilakukan dan akhirnya lahirlah Najeehah International Sdn Bhd pada 2022.
Tambah Rosliza lagi, Najeehah mula mendapat tempat di kalangan para pengguna di mana urusan pemasaran dan jualan produk adalah berkonsepkan jualan online dan offline melalui pengambilan stokis dan ejen di seluruh negara.
“Saya ingin membantu suri rumah seperti saya dahulu mencari sumber pendapatan kerana masih ramai lagi wanita perlu dibantu. Itu adalah misi Najeehah. Semoga Najeehah terus mengorak langkah kejayaan demi kejayaan sekaligus mengembangkan empayar perniagaannya di mata dunia,” ujar Rosliza ketika ditanya mengenai sumber inspirasi yang diterapkan di syarikat miliknya.
Walaupun baharu tiga tahun bertapak dalam dunia perniagaan, jenama Najeehah International semakin dikenali dan mendapat permintaan daripada farmasi sekitar Kelantan untuk memasarkan produk mereka.
Malah, sehingga kini syarikat ini berjaya memiliki 2 lot bangunan 3 tingkat di Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh, Kota Bharu Kelantan. Selain itu, syarikat juga berjaya memiliki gudang yang berkeluasan 23,000 kaki persegi yang disewa khas sebagai premis penyimpanan produk Najeehah. Gudang ini berpengkalan di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa Kota Bharu, Kelantan.
“Saya amat mementingkan soal kualiti dalam penghasilan produk di bawah jenama Najeehah ini. Saya akan pastikan setiap bahan mentah yang berkualiti digunakan untuk penghasilan produk khususnya ekstrak Bidara dan Saffron. Ianya membantu memberikan manfaat yang terbaik kepada pengguna. Sesuai dengan tangline syarikat, “Setiap Ibu Perlukan Najeehah”, ujar Rosliza yang memberi tumpuan penuh terhadap bisnes yang dijalankan.
Tambah Rosliza lagi, setiap produk yang dihasilkan bukan sahaja memberi 1001 manfaat kepada seisi keluarga, malah ia membuka ruang kepada setiap pengguna yang ingin menjana pendapatan.
Meskipun ia berpaksikan sebagai sebuah syarikat pengeluar dan pengedar kepada produk kesihatan dan kecantikan, syarikat yang beroperasi di Pengkalan Chepa, Kelantan ini telah mendapat pengiktirafan dari National Pharmaceutical Regulatory Agency bagi kategori produk minyak aromaterapi, balsam aromaterapi, kosmetik serta penjagaan kulit wajah.
Selain itu, produk minuman yang dikeluarkan oleh Najeehah International iaitu kopi bidara dan susu kambing saffron turut menerima Anugerah Pensijilan Halal serta pengiktirafan dari The BrandLaureate World Halal BestBrands.
“Minyak aromaterapi saffron dan bidara juga telah mendapat pensijilan halal dari JAKIM. Pengiktirafan dan penghargaan tersebut sekaligus meletakkan jenama Najeehah diyakini oleh para pengguna Muslim yang mementingkan produk yang halal dalam kehidupan seharian,” ujar Rosliza penuh rasa syukur.
Sebagai usahawan, Rosliza tidak pernah meletakkan dirinya sebagai insan yang berjaya tanpa melihat kesusahan yang pernah dihadapinya sepanjang perjalanan menjalankan perniagaan. Melalui Najeehah. Rosliza banyak menghulurkan bantuan melalui kerja-kerja kebajikan di sekitar Kelantan.
“Setiap bulan kami akan memilih rumah kebajikan atau asnaf untuk berkongsi rezeki. Kami memberikan sumbangan baju raya kepada anak-anak yatim, menyalurkan sumbangan dan keperluan kepada asnaf khususnya di kawasan Kota Bharu, dan apabila keluarga besar Najeehah terlibat dalam musibah, kami sedaya upaya membantu meringankan beban mereka.
Penerima penghargaan NONA Best Mom’s Choice Award ini sempat menitipkan pesanan berguna untuk wanita yang ingin berjaya dalam dunia perniagaan kerana Rosliza meletakkan penglibatan dalam dunia perniagaan ini sebagai cabaran utama untuk wanita membebaskan diri dari belenggu kewangan.
“Nasihat saya, tambahlah ilmu pengetahuan dalam bidang yang kita sukai. Dengan ilmu kita dapat meningkatkan taraf hidup. Ilmu bukan terhad kepada sijil atau kelulusan di universiti semata-mata, malah ilmu itu sangat luas. Walaupun bergelar suri rumah, tidak salah jika mempelajari kemahiran baru, terokai teknologi baru serta platform baru.
Saya sendiri masih dan sentiasa mencari ilmu supaya dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada perniagaan tetapi juga kepada individu-individu disekeliling saya,” ujar Rosliza yang yakin sifat semulajadi wanita yang kuat dan tabah memberi kelebihan kepada wanita untuk bertahan dengan cabaran dalam dunia perniagaan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Rosliza menitipkan pesanan istimewa untuk kaum wanita yang boleh dijadikan inspirasi untuk terus maju dalam apa jua lapangan yang diceburi.
“Pada pandangan saya, setiap wanita mempunyai pontesi untuk menjadi berjaya. Wanita sememangnya memiliki kuasa yang luar biasa dalam merubah keadaan menjadi lebih baik dan menjadi seorang yang luar biasa cuma kadangkala kita terlepas pandang terhadap potensi diri sendiri. Bagi diri saya, apabila saya jatuh sekali saya akan bangun tiga kali. Always come back stronger!,” ujar Rosliza seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Impiannya dalam bidang perniagaan mungkin berbeza dari mereka yang lain. Bukan mengejar kepuasan dengan menjual produk kecantikan atau makanan tetapi mempertaruhkan vokal sebagai produk dan brandingnya. Maisarah Binti Ismail (Sarah), 34 tahun merupakan seorang guru vokal dan underground singer. Memiliki Diploma, Degree dan Master Degree in Music National Academy of Arts Culture and Heritage (ASWARA).
Muzik itu indah, mampu membuatkan siapa sahaja tersenyum. Sarah Ismail, mempunyai impian besar dalam bidang perniagaan dengan menyimpan cita-cita untuk mempunyai sebuah akademi vokal di masa hadapan. “Saya ingin menjadi seorang speaker terbaik dengan meletakkan branding jenama saya sebagai seorang guru vokal terkenal. Saya sedang berusaha ke arah itu agar dapat menjadi inspirasi kepada orang lain mengenai perniagaan kelas vokal saya ini.
Impian saya suatu hari nanti, saya ingin mempunyai akademi sendiri dan menganjurkan ceramah terbesar di Malaysia dengan membariskan guru-guru vokal hebat dan mereka adalah kekuatan dalam empayar perniagaan saya untuk terus berkembang ke seluruh Malaysia, Brunei, Sabah dan Sarawak. Mungkin ke luar negara! Why not…” ujar Sarah Ismail yang melaksanakan aktiviti vokal menerusi one-to-one dan group session secara online dalam keadaan pandemik ini.
“Inilah cabaran terbesar saya dalam keadaan sekarang, semua pengajaran hanya diberikan atas talian. Agak sukar sebenarnya terutama dalam topik vokal yang memerlukan tunjuk ajar secara fizikal, dari segi penafasan dan nyanyian. Lebih menyedihkan apabila jumlah pelajar semakin berkurang kerana faktor hilang pekerjaan dan tidak mampu membayar yuran walaupun saya telah menurunkan harga yurannya,” jelas Sarah yang merasakan pembelajaran secara online ini tidak memberi kepuasan kepadanya sebagai seprang guru vokal.
Finalis Pencarian Nona Superwoman, Sarah Ismail terus berbicara tentang latar belakang kerjayanya, “Saya mulakan perniagaan kelas vokal ini melalui media sosial tanpa berfikir apa-apa. Sekadar untuk mencari rezeki secara sederhana dan membantu mereka yang memerlukan khidmat saya. Saya tidak mempunyai latar belakang perniagaan malah pelanggan iaitu student pun tiada. Namun saya beranikan diri untuk meneruskan perniagaan bermodalkan perkhidmatan ini.
Kemudiannya ada juga seorang dua yang tampil ingin menggunakan khidmat saya. Saya mengambil keputusan untuk sewa studio, walaupun kadang-kadang saya tidak memperoleh untung langsung. Tetapi saya tidak kisah tentang perkara tersebut, bagi saya ia adalah modal untuk buat content di media sosial bagi memperoleh lebih ramai pelanggan atau student. Alhamdulillah dengan content yang saya buat, ada beberapa artis mula notis kewujudan kelas vokal saya.
Tidak berapa lama kemudian, saya berpindah ke studio lain. Kelas vokal saya mula menerima sambutan di kalangan penyanyi amatur dan perniagaan saya semakin berkembang dengan cara urusan marketing saya tersendiri. Sekarang kelas vokal ini telah berusia 7 tahun. Saya berharap dengan penyertaan saya di dalam Rancangan Realiti Pencarian Nona Superwoman ini dapat mengajar saya lebih mendalam tentang dunia perniagaan, membuka lebih banyak peluang untuk saya mengenali mereka yang sukses dan tentunya ia adalah salah satu branding buat saya dan kelas vokal,” bicara Sarah Halim sambil tersenyum manja.
Kala menyentuh tentang pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya, “Saya seorang yang independent. Bukan bermakna saya sombong dan ego, cuma saya dididik oleh Mama untuk tidak menyusahkan orang lain. Lalu saya bangkit menjadi diri saya yang kental, biarpun ada di kalangan teman yang membuatkan saya down. Saya tidak peduli dengan suara negatif, terus keep going tanpa menoleh ke belakang.
Sebenarnya, dari awal pembabitan saya buka kelas vokal ini tidah direstui oleh arwah ayah. Katanya tiada jaminan masa hadapan yang cerah. Biasalah orang tua biasanya nak yang terbaik buat anak mereka. Arwah ayah cakap begitu sebab beliau pernah gagal dalam perniagaan dan dia tidak mahu saya mengikut jejak langkahnya.
Tetapi saya tetap buat juga, buka kelas vokal. Namun, ayah pergi dahulu meninggalkan saya. Saya sedih, kecewa dan terkilan arwah ayah tak sempat nak rasa bangga dengan pencapaian yang saya peroleh sekarang. Bila teringat peristiwa ini, pasti air mata saya mengalir,” ujar Sarah Ismail.
Kata akhir, “Saya masih belajar dalam dunia perniagaan. Kekuatan dan ilmu vokal saya adalah aset terbaik untuk perniagaan ini terus maju ke hadapan. Saya tutup mata dengan segala dugaan, saya tutup telinga dengan segala kata negatif. Yang penting saya tahu ke mana arah tuju yang ingin saya capai,” bicara Sarah Ismail yang bakal menemui anda semua menerusi Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.