Beristirahat dan melelapkan mata di sisi pasangan pastinya menjadi momen terbaik untuk merawat tubuh badan yang keletihan. Tidur yang lena bukan sahaja menenangkan fikiran, bahkan berupaya mengembalikan kecergasan saat diri terjaga pada keesokan hari. Namun walau bagaimanapun, nikmat ini mampu terjejas jika teman tidur anda mengeruh atau berdengkur tanpa disedarinya!

Bayangkan betapa stresnya apabila tidur yang lena diganggu dek dengkuran pasangan? Pasti nikmat tidur yang berkualiti tidak akan dicapai lantaran bunyi yang kuat serta akan menyebabkan anda bangun dalam keadan letih dan lesu pada keesokan harinya. Bayangkan jika ia berlarutan setiap malam, setiap bulan malah memakan masa bertahun? Stres bukan?

IKLAN

Dengkur… biar tidak membahayakan, namun tetap mempunyai implikasi kesihatan yang serius. Berdengkur ialah bunyi bising yang dihasilkan oleh seseorang semasa tidur. Ia menjadi perkara biasa di kalangan masyarakat di seluruh dunia. Dengkur juga sering dipandang ringan walhal ia sejujurnya mengganggu teman sebilik anda.

Seseorang yang mengalami masalah ini tidak sedar akan bunyi dengkur yang terhasil sehinggalah dimaklumkan. Ada bunyi dengkuran yang perlahan dan ada juga yang mencapai sehingga 90 dB, atau setara dengan bunyi kereta api yang lalu!

Dengkur berlaku kerana masalah penyempitan pada saluran pernafasan terutama di bahagian hidung, tekak dan larinks. Selain itu, posisi tidur terlentang juga membuatkan lidah turun ke belakang (semua otot berehat ketika tidur) dan menyempitkan pernafasan.

Aduh, Stresnya Bila Pasangan Tidur BERDENGKUR! Tak Lena Dibuatnya

FAKTOR

  • Masalah dalam hidung (polip atau dinding septum bengkok).
  • Tonsil dan tisu adenoid membengkak.
  • Uvula (anak tekak) panjang dan mengecilkan rongga pembukaan nafas.
  • Lidah besar dan tertolak ke belakang.
  • Otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak.
  • Pengambilan alkohol atau ubatan tertentu yang melemahkan otot.
  • Memiliki rahang kecil.
  • Usia yang meningkat.

KESAN SOSIAL

Sungguhpun dengkur tidak berbahaya, ia boleh mencetuskan gangguan tidur daripada aspek sosial. Bayangkan betapa susahnya pasangan anda atau ahli keluarga yang ingin tidur, tetapi terpaksa mendengar bunyi dengkuran anda. Ia juga mengganggu keharmonian di bilik tidur dan mampu menjurus kepada pergaduhan rumah tangga. Pernah berlaku di Barat, pasangan suami isteri bercerai kerana tidak tahan bunyi dengkuran. Biar pun masyarakat di negara kita lebih bersifat bertolak ansur, namun ia mampu mendorong pasangan untuk merungut atau tidur di tempat lain. Ini tentu sekali menjadi penunjuk yang kurang sihat.

Tahap berdengkur yang paling membimbangkan ialah apabila ia mencapai sleep apnea. Contoh situasi sleep apnea ialah seperti seseorang yang berdengkur dan helaan nafasnya terhenti secara tiba-tiba. Lazim berlaku, pesakit akan bangun secara ‘mengejut’ kerana tindak balas badan. Keadaan ini boleh membuatkan beliau tidak dapat tidur dengan lena, seterusnya menjejaskan prestasi kerja, kurang konsentrasi, sakit kepala, mengantuk dan paling teruk adalah kemalangan semasa memandu. Selain itu, dengku juga menunjukkan implikasi kesihatan lain yang boleh berlaku seperti sakit jantung, strok atau darah tinggi.

Mereka yang sedar akan masalah dengkur perlu segera melakukan pemeriksaan. Pakar akan membuat diagnosis di bahagian hidung, tekak dan larinks, selain memeriksa tahap kesihatan dan berat badan seseorang. Jika perlu, kajian di makmal tidur juga akan dilakukan untuk merekodkan tahap dengkuran yang dialami. Rawatan adalah bergantung pada diagnosis yang dibuat tersebut.

IKLAN

Aduh, Stresnya Bila Pasangan Tidur BERDENGKUR! Tak Lena Dibuatnya

JENIS RAWATAN

  • Rawatan Konservatif

Pesakit akan dinasihatkan agar berhenti merokok atau minuman keras jika ada dan mengurangkan berat badan jika obesiti.

  • Rawatan Surgeri

Terdapat banyak rawatan surgeri yang membantu mengurangkan dengkuran seperti Pillar Implants, Radiofrequency dan laser.

IKLAN
  • Continuos Positive Airway Pressure (CPAP)

Digunakan oleh pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan, melibatkan bius seluruh badan atau mempunyai penyakit jantung. Alat boleh dibeli dan dipasang semasa tidur. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

 

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI