Hari ini, genap 16 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa disatukan sebagai suami isteri. Diam tak diam, sudah 16 tahun penyanyi kesayangan Malaysia ini bergelar isteri dan bahagia dikurniakan dua orang cahayamata sebagai penyeri rumahtangga.
Tahun ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk meraikan ulang tahun perkahwinannya dengan cara tersendiri. Beliau memuat naik video beberapa jenis masakan air tangannya untuk dinikmati bersama suami tersayang sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Antara lauk pauk yang disediakan sendiri olehnya termasuklah ikan asam goreng, ketam goreng, asam pedas dan sambal udang petai.
“Ikan asam goreng, ketam, asam pedas ikan jenahak, sambal udang petai masakan untuk ulang tahun perkahwinan, Alhamdulillah,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Story.
Siti turut berkongsi sebuah video yang memaparkan koleksi gambar bersama suami tersayang ketika di awal perkahwinan sehinggalah mereka dikurniakan dua orang cahaya mata sebagai penyejuk jiwa, penyeri rumah tangga.
Ads
Untuk rekod, pasangan ini telah mendirikan rumahtangga pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Manakala majlis persandingan telah diadakan pada 28 Ogos di Dewan Pameran KL Convention Centre dan turut dibuka kepada peminatnya. Satu lagi majlis resepsi perkahwinannya telah diadakan di kampung Siti Nurhaliza di Kuala Lipis, Pahang.
Kisah cinta Siti Nurhaliza dan Datuk K dikatakan bermula sejak konsert solo pertama penyanyi itu di Royal Albert Hall London pada bulan April , 2005.
Ads
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 4 dan Muhammad Afwa.
Ads
Happy Anniversary Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid!
Foto: Koleksi Instagram @CTDK
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terlalu banyak kejadian yang telah berlaku dalam kehidupan peribadi dan jendela dunia kita hari ini. Satu persatu menjadi sebuah pengalaman dan pengajaran untuk kita memahami erti kehidupan. Bertafakur seketika menginsafi setiap kejadian itu dan mengambil ikhtibar atas apa yang telah berlaku. Kita pasti tertanya apa yang akan berlaku pada hari esok? Mungkin esok belum menjanjikan keindahan, mahupun yang duka. Dan siapalah kita untuk meramalkan sesuatu yang bakal berlaku, hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Kisah Ustazah Hamidah ini menjadi tauladan yang baik buat kita yang masih hidup. Ustazah berkhidmat sebagai pengurus jenazah, beliau sentiasa berdoa agar setiap kali menguruskan jenazah segala-galanya berjalan dengan lancar Pelbagai tragedi yang pernah dilaluinya setiap kali dipanggil untuk mengurus jenazah, pelbagai rasa akan timbul dalam hati. Biasanya, jika ada rasa tak sedap hati dan badan, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada mayat tersebut.
InsyaAllah, jika jenazah itu masa hidupnya baik, banyak amal ibadat, tidak buat perkara-perkara mungkar, Ustazah akan menguruskan jenazah itu dengan senyuman dan rasa gembira. Sebaik-baiknya Ustazah cuba untuk meletakkan jenazah itu sebagai mati dalam beriman dan sebaliknya.
Suatu hari selepas selesai menunaikan solat Dhuha, Ustazah menerima panggilan daripada AJK Masjid untuk menguruskan jenazah yang meninggal dunia pada waktu subuh tadi. Dikatakan jenazah itu meninggal secara tiba-tiba tetapi bukan disebabkan wabak COVID-19.
Keluarlah Ustazah bersama anak perempuannya yang memang telah diajar untuk membantunya menguruskan jenazah. Dengan membawa segala kelengkapan, 15 minit perjalanannya sampailah di hadapan rumah tersebut. Sebuah rumah banglo yang agak lama usianya. Dari luar rumah lagi sudah berkumandang bacaan surah Yasin menemani langkah Ustazah ke dalam. Sejuk hati Ustazah Hamidah mendengarnya walaupun yang ada hanyalah anak-beranak keluarga arwah sahaja.
Melangkah masuk, Ustazah dapat mencium bau yang sangat wangi. Mungkin bau minyak wangi, itulah yang terfikir dalam otak kepalanya. Jenazah telah diletakkan dalam bilik. Dengan bantuan lima orang anak lelaki dan seorang anak perempuan, jenazah pun dibawa ke bilik air. Nasib baik bilik air itu luas saiznya, mudah bagi Ustazah untuk menguruskan pemandian jenazah.
Sewaktu jenazah mahu dimandikan, timbul rasa seronok melihat wajah tenang arwah begitu indah dan bahagia. Tubuhnya mengeluarkan haruman yang wangi seperti bunga yang baru dipetik di taman. Alhamdulillah, selesai urusan memandikan jenazah, urusan mengkafankan jenazah juga dilakukan dengan mudah. Dalam hati Ustazah, pastinya arwah seorang yang sentiasa melakukan kebaikan dalam hidupnya.
Tidak ada langsung kesukaran dalam menguruskan jenazah, waris pula banyak membantu. Bahagia Ustazah melihat waris jenazah, satu persatu anaknya mencium jenazah buat kali terakhir dengan tenang. Selesai semuanya, sempatlah ustazah bertanya kepada waris tentang jenazah.
Semasa hidup, dia seorang ibu yang sangat baik pada keluarga. Bekas seorang guru yang tegas tetapi baik membantu mengajar anak-anak murid di sekolah. Selepas suaminya menerima pingat Dato’, arwah disuruh berhenti kerja dan jadi suri rumah sepenuh masa membesarkan enam orang anak. Dalam membesarkan anak-anaknya dengan mengikut ajaran Islam sepatutnya, anak-anak membesar dengan sempurna.
Arwah tidak pernah sombong atau berlagak dengan status atau kemewahan perniagaan yang dimiliki oleh suaminya. Rezeki yang ada sentiasa dikongsikan bersama mereka yang memerlukan. Amalan sedekah menjadi aktiviti wajib setiap bulan, selain mengaji, menjaga solat dan belajar agama. Sayangnya, arwah dikatakan selalu dipukul dan dimaki hamun oleh suami. Ada sahaja yang tidak kena di mata Dato’. Anak-anak yang kecil ketika itu juga tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau dilawan atau cuba mempertahankan ibu mereka, sekali naik akan dipukul oleh si bapa. Masuk hospital sudah beberapa kali, namun arwah tidak pernah membuat aduan dan sebagainya.
Arwah juga tidak pernah mengangkat suara tinggi pada suami, jauh sekali melawan cakap Dato’. Tetapi sayangnya setelah 20 tahun berkahwin, Dato’ menceraikan arwah untuk berbini muda. Alhamdulillah, arwah sangat sabar dalam menghadapi pelbagai dugaan dalam sisa hidupnya. Kesabaran itu banyak memberi ketenangan dalam menempuhi hidup membesarkan anak-anaknya dengan baik. Seperti kata anak sulungnya kepada Ustazah, “Allah lebih sayangkan mama. Mungkin Allah ingin mama berehat setelah melalui pelbagai dugaan dalam hidupnya.”
Bertuah sungguh Ustazah Hamidah kerana berpeluang menguruskan jenazah ibu mithali ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ekoran penutupan sesi persekolahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pastinya riuh kembali suasana di rumah dengan gelagat anak-anak yang terpaksa belajar secara online.
Bagi mempelbagaikan bahan tontonan mereka di depan skrin, sesekali bolehlah ajak mereka tonton filem bersama-sama. Tidaklah asyik belajar, menonton YouTube atau bermain games saja!
Menurut Dr. Rick Nauert, profesor bersekutu di Rocky Mountain University of Health Profesional, ibu bapa boleh menerapkan pengajaran hidup yang berharga sambil mendidik anak-anak secara menyeronokkan.
Menonton filem yang baik adalah cara baru bersama golongan muda ini kerana mereka mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat, didengar dan diperkatakan. Tetapi, filem apa yang sesuai ditonton bersama ya?
(1) UP
Sekiranya anda menyukai filem Pixar seperti Monsters, Inc., atau Toy Story, anda pasti akan menyukai filem animasi ini. Up menceritakan kisah seorang duda tua bernama Carl Fredricksen yang ingin memenuhi impiannya dan juga janji pada mendiang isterinya Ellie, untuk melihat sekitar kawasan South America. Sepanjang perjalanan, dia bertemu dengan Russell, seorang Wilderness Explorer muda yang berusaha mendapatkan lencana prestasi terakhirnya untuk ‘Assisting the Elderly’.
Hubungan Carl dan Russell menggambarkan kepada anak-anak bahawa hubungan kekeluargaan kadang-kadang boleh terbentuk dengan sesiapa sahaja dan seseorang itu tidak pernah terlalu tua untuk pengembaraan.
Filem animasi berwarna-warni seperti Up sudah tentu akan lebih menarik jika ditonton dengan TV yang menonjolkan palet warna yang indah dan pemandangan yang ajaib. TV LG NanoCell umpamanya, didatangkan dengan ciri Pure Colors mempunyai kelebihan untuk meyampaikan visual yang lebih menarik dan pengalaman yang seakan-akan hidup!
(2) HARRY POTTER
Kebanyakan watak dalam siri filem ini menunjukkan cinta, keberanian, pengorbanan, persahabatan dan penerimaan dalam bersatu untuk mengalahkan penjahat yang paling ditakuti, Lord Voldemort (He-Who-Must-Not-Be-Named), dalam dunia Wizardry. Salah satu pengajaran kehidupan berharga dari buku dan siri filem Harry Potter ialah penerimaan manusia dan makhluk dari pelbagai bentuk dan ukuran.
Siri filem yang penuh dengan aksi dan fantasi sudah tentunya akan lebih menarik jika ditonton dengan TV yang mempunyai teknologi yang menarik. TV LG NanoCell dilengkapi dengan α9 Gen3 AI, yang menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk menganalisa dan menyesuaikan kandungan pada skrin secara automatik serta menjadikan filem kegemaran anda bagaikan karya seni yang realistik.
(3) FINDING NEMO
Finding Nemo adalah salah satu filem yang agak klasik dalam dunia animasi. Filem ini menggambarkan kisah seekor ikan (clownfish) bernama Marlin yang sedang dalam usaha mencari anaknya yang hilang, Nemo dengan bertemankan dengan seekor ikan (blue tang fish) bernama Dory yang mempunyai masalah kehilangan ingatan jangka pendek di sepanjang perjalanan.
Duo dinamik ini bersama-sama merentasi jalan yang berbahaya tetapi lucu dalam mempelajari semangat kerja berpasukan, persahabatan dan yang paling penting, keluarga sanggup melakukan apa sahaja untuk ahli keluarga yang lain.
Penghasilan filem Finding Nemo memberi tumpuan kepada persekitaran bawah laut yang mengagumkan dan indah. Dengan tetapan animasi komputer yang disusun dengan baik oleh pasukan produksi filem, ia hanya akan lebih menarik sekiranya filem itu ditonton melalui TV yang dapat menunjukkan gambaran sebenar keadaan di bawah laut.
Dan itu dia – beberapa filem yang akan menyentuh perasaan dan menyenangkan fikiran untuk ditonton bersama keluarga. Jangan lupa sediakan popcorn kerana anda akan mengalami perjalanan yang penuh emosi dan menyeronokkan dengan filem-filem ini. Selain itu, anda juga dapat merasakan pengalaman VIP di rumah sendiri ketika menonton filem!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tanggal 22.2.23 menjadi saksi pelakon jelita, Raysha Rizrose, 26, sah bergelar isteri kepada usahawan dan pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri, 29, jam 8.52 malam. Dengan sekali lafaz, pasangan ini sah bergelar suami dan isteri bersaksikan keluarga dan sahabat handai kedua belah pihak.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi, dalam majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Pada majlis yang dihadiri sekitar 200 orang itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM2,222 diiringi tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.
Menawan mengenakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, Raysha atau nama lengkapnya Farza Naquraisha Mohd Fariz bersyukur segala perancangan diatur berjalan lancar.
“Syukur segala-galanya yang dirancang salama ini dipermudahkan.
“Saya dengan kerendahan hati amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.
“Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” kata Dewi Remaja 2014/2015 itu.
Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan mereka mekar sejak 10 tahun lalu.
“Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.
“Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.
Pelakon filem Seandainya Kau Ada itu turut berkongsi tarikh lamaran Nabil yang terpateri pada 16 Ogos 2022.
“Momen dan detik itu masih berbekas di hati. Ini kerana lokasi lamaran berkenaan terjadi di tempat sama dia melamar saya sebagai kekasih, iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor kira-kira sedekad lalu,” kata pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin dan Ex Aku Pontianak ini.
Mengenai bulan madu dan soal anak, pelakon ini mengakui mereka belum merancang.
“Banyak komitmen dan kerja yang saya perlu selesaikan selepas berkahwin. Malah sebelum majlis nikah ini pun, saya terikat dengan penggambaran beberapa kempen dan projek yang tidak memerlukan komitmen panjang. Jadi bolehlah saya memberi tumpuan terhadap persiapan kahwin sepanjang tempoh itu.
“Sejujurnya, memang belum ada perancangan berbulan madu lagi saat ini. Soal anak pula, baik saya dan suami tidak meletakkan ketetapan. Bagi kami perihal cahaya mata ini, insya-Allah ada rezeki ia akan datang tepat pada waktunya.
“Cuma selepas kahwin, saya perlu lebih selektif memilih watak. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya lebih kepada suami,” katanya.
Mengenai Nabil atau nama penuhnya, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, Raysha menyifatkan suami melengkapi segala-galanya.
“Selama ini, dia (suami) sentiasa menjadi inspirasi dalam hidup saya. Dia sentiasa mendorong saya menjadi lebih baik,” kata Raysha.
Sementara itu, Nabil Jeffri menganggap Raysha sebagai wanita yang banyak menyuntik semangat.
“Dia (Raysha) sentiasa ada ketika saya memerlukannya. Di saat berada di tahap paling bawah dan sedih, dialah yang tak pernah berpaling daripada saya.
“Kebijaksanaannya juga menambat hati saya. Dia seorang yang memahami dan matang. Malah kualiti lain yang mencuri perhatian saya ialah dirinya memang pandai membawa diri, sentiasa santun dan menghormati orang.
“Tentunya, dia sangat comel dan itu yang buat saya jatuh hati dengannya. Dia juga jujur dan ikhlas dalam setiap apa dilakukan,” kata Nabil Jeffri.
Tambah Nabil Jeffri lagi, Raysha juga selama ini begitu memahami jadual dan tuntutan kerjanya.
“Ada ketika saya perlu berada di luar negara kerana urusan kerja, dia umpama begitu dekat dengan diri ini menyokong dari kejauhan.
“Syukur, jodoh dan cinta kami mekar serta erat hingga ke saat ini. Moga hubungan ini kekal ke jannah,” kata Nabil Jeffri.
Terdahulu, pasangan ini melangsungkan pertunangan secara tertutup pada 22 Disember, tahun lalu.
Namun, Raysha dan Nabil Jeffri hanya berkongsi dan mendedahkan cerita pertunangan mereka di media sosial pada 14 Februari lalu. Tanggal 26 Februari ini, mereka akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi juga di lokasi sama majlis pernikahan berlangsung.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.