Menarik perkongsian Datin Belina Abdul Hamid yang mesra disapa sebagai Datin Belina ini. Maka tak hairanlah anak-anak sangat akrab dengannya walaupun beliau menyifatkan dirinya seorang ibu yang tegas.
Berusia 34 tahun, Datin Belina merupakan ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Shahputra Nasri berusia 10 tahun, dan sepasang anak kembar perempuan iaitu Shahirah Safiyya dan Shahirah Silfiyya, masing-masing kini berusia enam tahun.
“Saya mengamalkan menyuap anak-anak ketika makan seperti mana yang diajar oleh ibu saya sendiri. Amalan ini dapat mengeratkan ikatan kasih sayang dan ikatan adik beradik.
Alhamdulillah berkat amalan itu hubungan saya dan adik beradik akrab sampai ke hari ini. Itulah yang cuba saya terapkan terhadap anak-anak agar keakraban itu kekal sampailah mereka dewasa nanti.
Saya percaya air tangan ibu sangat berkat dalam kehidupan seorang anak. Walaupun ada pembantu rumah tetapi memasak tetap menjadi tugas utama saya. Ini juga antara pesanan ibu saya sejak kecil.
Ads
Selain memasak, jangan kedekut dengan jiran tetangga. Selalunya saya akan masak lebih untuk sedekah kepada jiran-jiran. Sama-sama kongsi rezeki.”
Datin Belina turut mengamalkan solat berjemaah setiap hari bersama suami dan anak-anak.
DIDIK ANAK HIDUP BERSEDERHANA
Saya dan suami menerapkan cara hidup Islam dalam mendidik anak-anak. Kami banyak membaca dan merujuk buku-buku berkaitan cara-cara didikan Islam termasuk amalan Rasulullah SAW.
Ads
Manakala dari segi pendidikan pula kami sangat tegas. Kalau waktu bermain mereka bebas bermain tapi kalau waktu belajar mereka perlu fokus betul-betul. Saya seorang ibu yang sangat tegas maka anak-anak mudah mendengar kata.
Satu lagi didikan kami ialah mengajar anak-anak agar tidak bermewah-mewahan. Kami ajar anak-anak bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuatu. Kena usaha sendiri dan hidup bersederhana.
Ads
INSPIRASI WANITA LAIN
Untuk masa depan anak-anak, saya dan suami mendoakan agar mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diminati.
Sebagai ibu bapa kami tak boleh memaksa asalkan mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.”
Walaupun bergelar suri rumahtangga sepenuh masa, Datin Belina menjadikan wanita lain sebagai inspirasi terutama wanita yang bekerja.
Apa yang membuatkan Datin Belina kagum ialah kebolehan mereka dalam menguruskan hal kerjaya, keluarga dan diri sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka, dari seorang penyanyi kini Rosma merupakan salah seorang usahawan berjaya tanah air. Beralih untuk serius dalam bidang perniagaan apabila kerjaya seninya dilihat kurang bersinar, selebriti yang ‘lahir’ daripada program realiti Akademi Fantasia Musim 1 ini tidak lelah mengejar kejayaan. Berkat usaha gigih selama hampir tujuh tahun, Rosma bangga membangunkan legasi KR Successful Sdn Bhd di samping suami tercinta, Khai.
Berpeluang menghubungi Rosma baru-baru ini, Nona dimaklumkan bisnes yang diasaskan sejak tahun 2014 tersebut kian rancak merencana jualan. Apatah lagi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Rosma mengakui permintaan pelanggan terhadap produknya adalah berlipat kali ganda. “Sekarang memang tengah fokus bisnes. Sebelum PKP ada juga terlibat dengan recording program TV tapi ada beberapa daripadanya terpaksa ditunda buat masa ini.
Bercerita tentang bisnes, alhamdulillah berjalan dengan baik. Lagipun saya dah mula berniaga online dari tahun 2014 jadi bila berlaku macam ni tak rasa sangat sebab kita memang fokus platform digital. Tak dinafikan jualan dapat berganda daripada biasa memandangkan orang duduk di rumah sekarang. Waktu PKP tahun lalu pun sambutan menggalakkan walau ada beberapa kesulitan termasuk dari segi penghantaran. Tapi bila berlakunya PKP kedua ni, kita dah ada pengalaman dan semua tu dapat di atasi dengan mudah. Syukur.”
Mengimbas perjalanan awal menceburi bidang keusahawanan, Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik menjelaskan produk MS SenaRos sudah mula dipasarkan sejak tahun 2014. “Ia ialah minuman detoks yang membantu meningkatkan metabolisme tubuh badan selain menstabilkan hormon dan sistem pencernaan serta memberi tenaga tambahan. Walau sebagai peniaga, kita nak produk terjual tapi saya lebih suka memberi knowledge kepada pelanggan terlebih dahulu dan menegaskan mereka tentang kepentingan pemakanan.
MS SenaRos ni boleh dijadikan bantuan untuk amalan gaya hidup sihat tapi 80 peratus mereka yang berjaya turunkan berat dan tampil lebih langsing serta sihat terletak pada pemakanan sendiri.”
Tambahnya lagi, “Tak pernah tercetus idea pun nak buat bisnes ni tapi sebab Khai suka berniaga, dia yang bagi idea memandangkan masa saya bersalin anak pertama memang gigih turunkan berat. Bila hamil anak kedua, Khai bagi idea keluarkan produk berkaitan slimming. Dari idea tu, kami ‘cantikkan’ lagi sehinggalah wujudnya MS SenaRos sekarang.
Waktu tengah sarat hamil anak kedua, gigih kami pergi tanya dan bincang dengan orang lab untuk ramuan produk. Elok je lepas saya bersalin, tester produk siap. Memang lepas anak berusia 6 bulan dan saya cuba, terus hilang 10 kilogram dalam masa dua bulan setengah. Sejak itu bisnes makin berkembang. Dekat setahun jugalah saya dan Khai berdua saja uruskan bab packaging, pos dan ambil order. Staf belum ada lagi masa tu. Memang tak cukup tangan dibuatnya.”
Selain produk minuman kesihatan dan detoks MS SenaRos, Rosma juga mempelbagaikan perniagaannya dengan menghasilkan rekaan body suit dan pants pada tahun 2017. Menjelang Februari nanti pula mereka akan mengeluarkan packaging MS SenaRos dalam bentuk kotak.
Jika kebanyakan usahawan muda selesa berkongsi gaya hidup kepada umum, lain pula situasinya bagi Rosma dan Khai. Biarpun rezeki dalam bidang perniagaan makin melimpah, namun pasangan romantis ini lebih bahagia berkongsi dengan orang sekeliling.
“Kami hidup bersederhana saja. Ada masa, memang perlu reward diri dengan barang yang diidamkan selama ini tapi kami lebih mengutamakan keluarga. Misalnya bawa mereka pergi bercuti dan luang masa bersama-sama. Untuk diri sendiri memang saya tak beriya sangat. Rasanya dalam setahun, baru sekali pergi shopping. Waktu muda dulu memang ketagih shopping tapi sejak kahwin, Khai banyak ajar saya macam mana nak uruskan duit.
Lagi-lagi musim PKP ni, kita pakai apa ada je. Jenis saya memang suka kasut, tapi sekarang ni banyak tengok je dari membeli. Sebab saya fikir ada benda yang jauh lebih penting daripada semua itu. Kalau ada rezeki duit lebih, kita bagi bantuan untuk orang lain lagi baik. Asalkan dapat membantu ikut kemampuan. Dulu saya pernah cakap, ‘Kalaulah ada duit banyak nak tolong orang.’ Jadi bila Allah dah bagi rezeki macam sekarang, saya kena buat.”
Rosma mendirikan rumah tangga bersama Khai yang juga bintang Akademi Fantasia Musim Pertama pada 26 April 2008. Hasil perkongsian hidup selama hampir 13 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, Nur Amani Damia dan Nur Alya Dhania.
Kredit foto: Instagram Khai Rosma
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rata-rata wanita yang bekerjaya pastinya mahu menggunakan hasil ‘titik peluh’ setelah membanting tulang empat kerat untuk memilik aset dan keperluan peribadi masing-masing kan? Malah memiliki kenderaan juga seringkali dianggap sebagai ‘reward’ untuk diri sendiri.
Begitu juga yang dialami oleh pelakon jelita yang namanya sedang meningkat naik, Wafariena Roslan.
Terdahulu, menerusi perkongsiannya di laman Instagram miliknya, pelakon 7 Hari mencintaiku itu pernah menanggung kerugian mencecah RM5,000 akibat ditipu ejen jualan palsu.
Bagaimanapun, setiap apa yang berlaku mempunyai hikmahnya apabila dia kini berjaya memiliki sebuah kereta sendiri jenis Honda Civic RS.
Sebelum ini, Wafariena menggunakan kenderaan milik kakak untuk urusan kerja, penat lelah berbaloi apabila kereta baharu itu sampai ke tangannya pada Ramadan keenam.
Perasaan lebih teruja apabila kenderaan yang dibelinya merupakan kenderaan pertama yang menggunakan namanya sendiri.
Namun begitu, jika tidak berhati-hati dalam melakukan transaksi membeli sebuah kenderaan, kemungkinan untuk ditipu adalah besar apatah lagi jika ia melibatkan kaum wanita.
Menceritakan pengalaman ditipu, insiden berkenaan berlaku lebih setahun lalu apabila jurujual terbabit menghilangkan diri selepas menerima sejumlah wang deposit.
“Pengalaman pernah ditipu dua kali dengan orang berbeza sebanyak RM5,000 semasa ingin membeli kereta membuatkan saya trauma. Kali kedua pula saya tertipu dek rakan sekelas apabila terpengaruh dengan sebuah iklan jualan kereta. Lebih menguatkan lagi kepercayaan saya apabila membaca komennya yang baik-baik sahaja.
Bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 ini sempat menitipkan pesanan untuk semua agar tidak mudah percayakan sesiapa walaupun nampak benar. Jika mahukan sesuatu perlu mengkaji terlebih dahulu dan cari sumber yang sahih untuk membantu.
Mengakui bersyukur dengan rezeki kenderaan baharu yang dimilikinya itu, Wafariena memasang azam untuk berkongsi rezeki dengan keluarga tersayang untuk membeli sebuah lagi kereta baharu untuk kegunaan keluarga.
“Sebak bukan sebab sedih tetapi gembira. Benda yang kita penat berusaha, hasil titik peluh dan sokongan ibu akhirnya dapat membeli sebuah kereta lebih besar.
Wafariena merupakan anak keempat daripada tujuh beradik. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 15 tahun dan sejak itu dia dan adik-beradiknya dibesarkan oleh ibu mereka yang berstatus ibu tunggal.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.