Setiap sesuatu di dunia ini berpasang-pasangan agar saling melengkapi antara satu sama lain. Kehidupan tak akan seimbang kalau tanpa pasangan. Suami isteri saling menerima kelemahan masing-masing, melengkapi kelemahan itu dengan kekuatan yang ada pada pasangan.
Allah SWT berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rum, ayat 21).
Pasangan low profile, Mizz Nina dan Noh Salleh seringkali mendapat perhatian media dan peminat tentang bagaimana mereka saling melengkapi kekurangan dan kelebihan masing-masing sebagai suami isteri serta boleh dijadikan contoh buat pasangan-pasangan di luar sana.
Noh yang merupakan vokalis kumpulan Hujan menikahi Mizz Nina pada tahun 2011. Ketika itu Noh berusia 27 tahun sementara Mizz Nina 31 tahun. Mereka kemudiannya menunaikan ibadah haji pada tahun 2013. Selepas itu Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Tan Sri Dato’ Azman Hashim mula ‘berhijrah’ dengan bertudung penuh. Rezeki pasangan ini kian murah.
Bagi Noh, setiap perkara yang dia lakukan termasuklah membahagiakan isteri niat hanya kerana Allah. Kini kehidupan mereka semakin baik dan bahagia biarpun belum dikurniakan zuriat. Tahun ini usia perkahwinan mereka memasuki tahun yang ke-11.
Memetik kata-kata Noh ketika melamar Mizz Nina yang cukup menyentuh hati.
“Saya tiada harta, tapi jika awak mencari suami yang akan menjaga awak dan membimbing awak ke jalan Allah, insha Allah saya boleh lakukan.”
Pesan Noh “Jika anda bertemu seseorang yang boleh menjadikan anda seorang Muslim dan Muslimah yang lebih baik, jangan lepaskan dia.”
Ini pula perkongsian seorang wargamaya, Siti Suryani Yaakop di akaun Facebooknya tentang keperibadian Mizz Nina:
“Aku ada tengok ada satu video ni kat YouTube.
Orang tu tanya kat Noh, apa yang buat dia rasa tertarik sekali dengan Mizz Nina. Noh kata Mizz Nina lain. Dia mudah dengar kata. Dan dia ni ada karakter yang kuat. Dia tak cliche macam perempuan lain. Takda nak merajuk-merajuk. Takda tiba-tiba diam tak ketahuan hala. Takda nak sentap-sentap. Kalau ada masalah, dia cakap terus je.”You fikir macamana?”
Noh kata, “Aku bukan reti kalau perempuan tiba-tiba diam ni. Cakap terus senang cerita. Aku rasa buang masa layan benda drama-drama ni”
Dia juga cerita perjalanan Mizz Nina berubah tu dia nampak. Tekun. Sungguh-sungguh cari ilmu. Siang malam. Dia buat betul-betul. Tinggal semua yang lama-lama. Tanpa was-was.
Lebih bagusnya, dia tak komen Noh begitu begini. Dia berubah, dia berubah. Masa lapang dia membaca. Dengar ceramah. Pergi kelas. Ada waktu dan peluang, dia isi dengan ilmu. Lepas tu dia kongsi apa yang dia dapat tu baik-baik.
Tapi itulah lama-lama yang buat Noh terikut juga. Sebab dia jadi respek. Dia rasa kagum. Dia tahu dia kena sokong. Dia rasa dia kena buat sama-sama.
Ada satu ayat tu Noh kata, “Nina ni aku rasa macam bidadari dari syurga yang Tuhan hantar untuk aku”
Dan selepas kita tahu itu Mizz Nina jaga betul sikap dia. Kelakuan dia. Diri dia. Tak buat benda-benda yang buat orang tak suka. Tak buat perkara yang boleh mendatangkan orang nak mengata.
Wanita yang kuat karakter dia, berilmu dan tak mengada-ngada ni tak payah buat banyak benda. Dia memang menawan dah. Malah lelaki akan hormat dia. Dan buatlah sampai orang jadi terikut-ikut juga nak buat kebaikan yang sama. Jika begitu, dia sudah capai satu level yang lain pula.
Dia tak lemah. Tak meminta-minta. Kalau suka, dia suka. Kalau tak suka, dia kata. Tak biar diri dibuli orang. Waima suami sendiri. Tegas jaga diri. Jangan sekali-kali biarkan diri tak dihargai. Kalau tak, nanti orang akan buat lagi.”
Semoga kebahagiaan kekal menjadi milik Mizz Nina dan Noh sampai syurga.
Kredit Foto: Instagram Mizz Nina