
Tidak hairanlah Intan Sarafina sering menjadi inspirasi untuk mengekalkan tubuh badan langsing. Semangat dan keazaman pelantun lagu Kembali ini untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersenam membuatkan dia mampu tampil sihat bertenaga pada usia 40an.
Kalau tengok raut wajah dan penampilan Intan, tidak menampakkan pun umur sebenar. Sebaliknya ibu kepada tiga cahaya mata lelaki ini kelihatan awet muda bak wanita usia 20an.
Happy Birthday Intan Sarafina!
Tanggal 2 Julai lepas, genap 44 tahun usia Intan Sarafina atau nama penuhnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya. Tidak dinafikan, bekas pramugari AirAsia ini jelita dalam kelas tersendiri.
Menerusi perkongsian terkininya di media sosial, sambutan hari lahir Intan diraikan suami tercinta di sebuah restoran eksklusif, Dewakan di Kuala Lumpur. Dia tampil anggun dalam persalinan hitam sambil menjinjit beg tangan mewah Chanel.
Titip selebriti cantik ini, “44 today, alhamdulillah. Bersyukur atas satu lagi tahun kehidupan dan limpahan nikmat yang tidak putus. Semoga Allah terus melimpahkan kasih sayang, kebahagiaan dan kesihatan yang baik kepadaku. Ameen.
Inilah saatnya untuk menghargai setiap detik, menyayangi insan-insan yang bermakna dan menjalani perjalanan indah ini dengan tujuan dan penuh kesyukuran.”
Gaya Hidup Intan Sarafina
Intan kini dilaporkan mengikuti suaminya menetap di Indonesia atas urusan kerja di negara berkenaan. Terdahulu, dia pernah berhijrah ke Finland. Namun tetap pulang ke tanah air untuk bertemu keluarga dan sahabat handai.
Selebriti popular ini turut dilihat aktif berjoging, berbasikal dan mengikuti marathon. Difahamkan Intan Sarafina mula terpikat untuk menyertai aktiviti larian sejak tahun 2015 dan masih meneruskan minat berkenaan sampai sekarang.
View this post on Instagram
Selain itu, dia juga berkongsi rutin senaman seperti pilates di media sosial dan sedang mempelajari sukan tenis. Macam-macam sukan dia cuba!
Intan Sarafina mendirikan rumah tangga dengan Iskandar Ezzahuddin pada 16 Oktober 2008. Hasil perkongsian hidup selama hampir 17 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Evan Raez, Megat Ifrafel Raez dan Megat Noah Raez.