Pernahkah anda melalui satu masa di mana tiba-tiba sebutir jerawat tumbuh di bahagian paling menonjol pada wajah? Lebih-lebih lagi bila ia singgah di kawasan tumpuan seperti tengah hidung atau dahi. Hendak keluar rumah pun rasa malu.
Sudahnya, ada yang sanggup picit jerawat walaupun tindakan sedemikian lagi memburukkan keadaan. Usah bersedih sebab hanya dari rumah saja pun anda boleh rawat masalah jerawat. Paling best, ia tak memerlukan belanja tinggi.
Rawat Dari Rumah
(a) Pes serbuk kunyit
Kunyit mengandungi bahan antiseptik yang akan melawan bakteria penyebab jerawat serta mengurangkan pengeluaran jerawat pada kulit.
Cara-caranya:
Ambil satu sudu besar serbuk kunyit dan campurkan dengan beberapa titisan air untuk menjadikannya pes pekat. Kemudian, sapu pada jerawat dan leher, biarkan beberapa minit. Bilas dengan menggunakan air sejuk. Ulangi proses ini selama lima hingga enam hari agar ia dapat mengurangkan jerawat secara efektif.
(b) Jus daun pudina segar
Daun pudina dikatakan mempunyai kandungan antiseptik dan sangat menyegarkan. Ia boleh memberikan kesan yang baik untuk jerawat.
Cara-caranya:
Ambil segenggam daun pudina dan kisar untuk dijadikan pes kasar. Perah jus dari pes dan sapukan pada keseluruhan wajah. Biarkan semalaman dan cuci bersih keesokannya dengan menggunakan air dan pencuci muka. Ulangi proses ini selama empat kelima hari untuk mengurangkan jerawat pada wajah.
(c) Jus lemon
Cara paling mudah dan cepat untuk menyembuhkan jerawat adalah dengan menggunakan jus perahan lemon. Ia kaya dengan vitamin C dan membantu mengeringkan jerawat.
Cara-caranya:
Ekstrak dua sudu besar jus lemon dari buah lemon segar. Terap jus lemon pada kapas dan letakkan pada jerawat. Biarkan selama 20 minit dan cuci wajah. Ulangi proses ini dua atau tiga kali sehari sehingga anda boleh melihat kesannya.
(d) Bawang putih
Bawang putih adalah rawatan semula jadi untuk merawat jerawat. Ia mengandungi anti fungal, anti viral dan antiseptik. Sulfur yang terkandung di dalam bawang putih membantu memulihkan jerawat dengan berkesan.
Cara-caranya:
Belah bawang putih menjadi dua bahagian. Gunakan bahagian bucu untuk disapukan pada jerawat. Biarkan jus dari bawang putih pada kulit anda selama lima minit. Cuci wajah dengan air suam dan ulangi rawatan ini beberapa kali sehari untuk melihat kesan lebih efektif. Anda juga boleh makan seulas atau dua sehari untuk melancarkan peredaran darah dan mengurangkan pertumbuhan jerawat.
(e) Ubat gigi
Ini bukan perkara pelik. Ubat gigi yang anda gunakan juga berkesan menghilangkan jerawat. Gunakan ubat gigi berwarna putih untuk kesan lebih baik.
Cara-caranya:
Sapu ubat gigi pada jerawat sebelum tidur. Bersihkan wajah pada keesokan hari dan lihat perubahan saiz jerawat. Ulangi proses ini sehingga jerawat kering. Suziana Abu Daud