Kejayaan pemain beregu wanita negara, Pearly Tan semakin mendapat perhatian peminat sukan dalam dan luar negara. Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan setiap kali berada di gelanggang mencetuskan gentar kepada pihak lawan. Ditambah pula dengan aksi tangkas dan lincah gandingan Pearly iaitu Thinaah Muralitharan.
Terbaharu, beregu wanita berkenaan mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2024 mengalahkan beregu dari China iaitu Liu Shengshu dan Tan Ning.
Menelusuri latar belakang atlet berusia 24 tahun ini, Pearly atau nama sebenarnya Pearly Tan Koong Le dilahirkan pada 14 Mac 2000 di Alor Setar, Kedah. Dia merupakan anak kepada pasangan Tan Chai Ling dan Tan Seng Hoe.
Bapanya ialah jurulatih badminton dan dilapor mengurus Alor Setar Racquet Club (ASRC) yang pernah membimbing perseorangan negara, Lee Zii Jia sewaktu kecil.
Pearly mula aktif menceburi sukan badminton sejak tahun 2015 dan sepanjang sembilan tahun bergelar atlet selain menyertai pelbagai kejohanan, dia dan Thinaah kini menduduki ranking kelapan dunia.
Ads
Terdahulu, Pearly pernah berpasangan dengan Toh Ee Wei. Dia kemudian bergandingan Thinaah buat pertama kali pada tahun 2019 dan menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Swiss 2021.
Gandingan hebat ini dikhabarkan mula mengenali ketika Pearly berusia 13 tahun dan mereka bersama-sama mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Menariknya, Pearly Tan melakar rekod dunia apabila menjadi pemain badminton wanita yang mencatat pukulan terpantas 438 kilometer per jam.
Ads
Sekaligus menjadikan dia jaguh badminton wanita pertama memegang rekod berkenaan sehingga kini.
Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak dinafikan sekarang ini ramai yang bertemu jodoh melaui media sosial. Namun, perlu sentiasa berhati-hati agar tidak mudah terpedaya.
Bagi pasangan dari Indonesia dan Turki ini, media sosial menjadi asbab mereka mula saling mengenali. Lala dan Bilal mendirikan rumahtangga sebelum berlakunya wabak COVID-19 dan kini bahagia menjalani kehidupan sebagai suami isteri di Turki.
Sebelum berkahwin pasangan ini terpaksa menempuh cabaran hubungan jarak jauh. Menyingkap perkenalan awal mereka, Bilal yang ketika itu berada di Turki berkenalan dengan Lala melalui media sosial. Saat itu, Bilal yang memulakan langkah terlebih dulu untuk berkenalan.
Dengan yakinnya, Bilal menghantar mesej melalui Direct Message (DM) kepada Lala. Tanpa diduga, profil Bilal berjaya menarik perhatian Lala.
Dipetik dari vlog di saluran YouTube Bi Love La “Dia memberi salam di DM kemudian saya membuka profilnya. Saya tertarik sedikit kerana dia meletakkan gambarnya bermain gitar. Kebetulan saya mempunyai seorang adik lelaki yang sangat suka bermain gitar. Saya memang suka orang yang pandai bermain muzik,” ujar Lala.
Suatu hari, Lala bercadang untuk nyahaktifkan akaunnya. Namun Bilal tidak berputus asa. Dia cuba meminta nombor telefon Lala pula agar boleh dihubungi menerusi WhatsApp.
Kongsi Bilal: –
“Dalam media sosial, kita tidak mudah percaya orang. Tetapi kalau kita tak nak lepaskan seseorang itu, sudah tentu kita perlukan nombor telefon. Sebab itu saya minta nombor dia.”
Walau bagaimanapun, Lala tidak terus mempercayai lelaki yang dianggap ‘asing’ itu. Dia hanya membalas dengan memberikan ID Line.
Bagi Lala, dia tidak mudah percaya dengan jodoh melalui media sosial apatah lagi terfikir untuk bergelar isteri kepada lelaki warga asing.
“Dulu saya percaya kalau nak dapat jodoh kena berjumpa, bukan di media sosial. Bila dengan Bilal, walaupun tanpa beri nombor telefon saya rasa kami masih boleh berkawan. Saya berikan ID Line saja,” ujar Lala.
Setelah mendapat akses untuk berkomunikasi dengan Lala, Bilal segera berbual dengannya. Tanpa disangka Lala berasa selesa dengan sikap Bilal. Hubungan mereka berkembang perlahan-lahan sebagai kawan.
“Dia seorang yang senang bercakap. Apabila saya sudah terlambat, berbual dengannya seperti ada banyak perkara yang membuatkan saya ketawa,” ujar Lala.
Namun, persahabatan mereka terhenti selama beberapa bulan. Ketika itu Lala pergi ke Amerika. Selepas pulang dari Amerika, dia segera menyiapkan diri untuk mencari kolej. Lala bercadang untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana di salah sebuah kampus Jakarta Timur. Lala dan Bilal tidak berhubung selama tiga bulan.
Namun hubungan itu kembali terjalin apabila suatu hari Lala mahu memadamkan beberapa aplikasi termasuk Line yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan Bilal.
“Bila saya buka aplikasi Line, masih ada chat history antara saya dan Bilal. Mula-mula saya nak padam. Lagi pun sudah tiga bulan kami tidak berhubung. Tapi saya bagi salam untuk suka-suka. Tak sangka dia balas. Dari situ, kami meneruskan komunikasi malah semakin rapat pula,” katanya.
Hubungan mereka yang kian intim mula berkembang menjadi romantik. Namun, Lala dan Bilal tidak mahu tergesa-gesa. Mereka perlu mendapatkan restu keluarga.
“Apabila saya memberitahu keluarga, mereka mulanya tidak percaya. Keluarga mahukan kepastian. Apatah lagi, keluarga tidak bersetuju saya berkahwin dengan warga asing,” kata Lala.
Akhirnya, Bilal mendapat peluang untuk memenangi hati ibu bapa Lala. Ketika itu ibu Lala bercadang untuk ke Turki bersama kawan-kawan.
“Saya mahu berjumpa ibunya. Kemudian saya memberitahu keluarga dan membawa mereka berjumpa dengannya. Serta-merta semuanya berubah. Ibu bapa kami mula percaya dan akhirnya memberi restu,” dedah Bilal.
Namun Lala dan Bilal masih perlu bersabar kerana mereka mesti memenuhi syarat ibu bapa Lala. Ini kerana ibu Lala tidak mahu anak perempuan mereka itu tercicir dalam pengajian.
“Bilal kena tunggu saya habis belajar dulu. Kalau Bilal nak, tunggu saya selama dua tahun. Itu sahaja. Kami akhirnya bersedia. Saya pergi ke Turki dan kami pun berkahwin,” kongsi Lala.
Selepas berkahwin, Bilal membawa Lala ke Turki dan mereka hidup bahagia hingga kini. Pasangan ini juga membuka saluran YouTube dan kerap memuat naik vlog semasa wabak COVID-19.
Pesan Lala buat semua khususnya mereka yang diuji dengan hubungan jarak jauh, tidak perlu risau tentang jodoh.
“Kalau jodoh pasti tak ke mana. Namun, hubungan jarak jauh pun tak semudah yang disangka. Terpulang pada kita. Nak terima pasangan seadanya, boleh teruskan niat dan komitmen.
“Selagi manusia boleh menerima pasangan, semuanya akan dipermudahkan. Usah lupa berdoa kepada Allah SWT. Apa pun, Dia tahu apa yang terbaik untuk kita,” akhiri Lala.
Kredit Foto: Instagram Bilal & Lala
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nana Mahazan Lebar Bisnes. Bukan hanya menyinar di persada seni tanah air, wanita yang memiliki nama pentas sebagai Nana Mahazan juga bijak merencana perjalanan hidupnya dengan membina perniagaan di atas jenamanya sendiri.
Memulakan langkah ke dunia seni dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia merupakan platform terbaik buat wanita yang sering tampil ceria ini.
Bintangnya terus bersinar apabila dilamar menjadi penyampai radio dan sempat bertugas di dua buah stesen radio terkenal tanah air.
Mempunyai gaya percakapan yang bersahaja dan petah berkata-kata telah membuatkan pemilik nama lengkap Nurul Hana Che Mahazan ini menjadi rebutan sebagai pengacara televisyen pula.
Beberapa program realiti dan bual bicara menjadikan ibu kepada dua orang cahaya mata itu untuk mengacara program yang berprestij.
Kini isteri kepada Mohammad Raqeem Brian Abdullah ini semakin rancak mengemudi perniagaan yang telah diasaskannya sejak tahun 2018.
Siapa sangka memulakan perniagaan sebagai hobi atau mengisi masa lapang, namun setelah mengusahakan perniagaan interpretasi Nana Mahazan terhadap bisnes berbeza. “Pada permulaaanya saya mula berjinak-jinak berniaga kerana minat dan untuk mengisi masa lapang.
Namun, lama-kelamaan saya faham bahawa bisnes ni sebenarnya adalah ‘kenderaan’ untuk kita membantu ramai orang. InsyaAllah, melalui perniagaan juga untuk mendapat reda dan keberkatanNya,” ucap Ibu kepada Althea dan Aaqib ini memulakan bicara.
USAHAWAN SELEBRITI
Selebriti sering kali dikatakan mudah membina bisnes kerana mempunyai pengaruh dan pengikut yang ramai. Mengulas tentang pandangan ini, “Tak semudah seperti yang dijangkakan.
Menjalankan bisnes ini memerlukan ilmu perniagaan yang tepat dan relevan. Walau ramai pengikut atau follower, tapi kalau dengan ilmu yang kurang, mungkin audience atau follower pun tak nampak atau tahu pasal bisnes kita,” tutur Nana Mahzan dengan jujur.
Walaupun baharu sahaja mencecah usia 3 tahun menjalankan perniagaan namun Nana Mahazan telah berjaya meletakkan produknya berada dalam kelasnya yang tersendiri. Bukan itu sahaja, wanita yang berkelulusan Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat ini optimis mengembangkan bisnesnya.
“Saya menjalankan perniagaan, Nana Mahazan Beauty sejak tahun 2018. Saya menjual beauty and skincare product. Produk yang berada di bawah label Nana Mahazan Beauty ini mempunyai standard antarabangsa, berkualiti, berkesan dan mampu milik,” kata wanita yang mempunyai 788 ribu pengikut di laman Instagram ini.
Tidak hanya mempertaruhkan bisnes kosmetik, Nana Mahazan juga telah mengembangkan perniagaan berasaskan makanan. “Kini saya turut kembangkan peluang perniagaan dengan berniaga sambal Sardin Selauknana serta SelaukNana Sambal Bilis dan Sambal Bilis Petai.
Namun, bukan mudah mengatur masa sebagai usahawan, isteri, ibu dan pengacara program TV. Saya mengaku penat tapi full filling. I am happy an in a mission to give and provide the best to my family, my team, people and serve the one and only Allah SWT,” ungkap Nana Mahazan lebar bisnes demi membantu wanita lain.
KECANTIKAN
Nana Mahazan sering tampil dengan gaya yang berani namun sejak mengenakan hijab penampilannya lebih elegan dan mempesona.
Definisi cantik bagi Nana Mahazan, “Cantik bagi saya apabila kita selesa dan yakin dengan diri kita. Sangat penting pada saya untuk kita sayang dan tahu tentang diri sendiri. Cantik dari dalam orang cakap adalah percaya diri. Never compared yourself with anyone else,” terang Nana Mahazan yang tidak pernah lupa untuk bersihkan solekan sebelum tidur.