Tak dinafikan atlet beregu badminton wanita negara, M. Thinaah ini kian meningkat naik dan menunjukkan prestasi membanggakan dalam sukan berkenaan. Selepas kejayaan memenangi Terbuka Perancis 2022, nama Thinaah dan rakan beregunya iaitu Pearly Tan semakin meniti di bibir peminat sukan badminton tanah air.
Atlet berusia 26 tahun ini dijangka bakal berangkat ke Paris bagi menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang mewakili Malaysia dalam kategori beregu wanita.
Menelusuri latar belakang Thinaah, dia merupakan anak kepada pasangan Muralitharan dan Dr. Parimala Devi.
Adik-beradik jaguh badminton ini juga bukan calang-calang. Selinaah Muralitharan misalnya yang merupakan penuntut universiti MAHSA dan jurulatih tersenarai dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records sebagai penulis puisi terpanjang negara dan Asia.
Ads
Jun tahun lalu, M. Thinaah dipilih sebagai Olahragawati bagi Anugerah Sukan Negeri Selangor 2021-2022. Sekaligus membawa pulang wang tunai RM10,000.
Dia juga bergelar Naib Juara Malaysia Masters 2023 selepas tewas di tangan pemain beregu wanita dari China.
Atas pencapaian membanggakan tersebut, Thinaah menerima pengurniaan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023.
Ads
Kongsi Thinaah, “Saya berbesar hati menerima anugerah ini daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj sempena hari keputeraan Baginda. Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dan saya sangat menghargainya. Daulat Tuanku.”
Lebih bermakna, dia turut mendedahkan ibu tersayang juga pernah menerima anugerah daripada Sultan Selangor.
“Saya juga sangat gembira dapat bersama ibu tercinta pada majlis istimewa ini yang turut menerima anugerah daripada Sultan Selangor pada awal tahun 2022. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.”
Difahamkan dia mula mempelajari Bahasa Mandarin selepas berdepan masalah komunikasi untuk berinteraksi dengan rakan sepasukan ketika menjalani latihan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengasas De’Xandra, Ernayanee Nur Julaimi atau Erna seorang wanita hebat. Sebelum berjaya seperti sekarang, banyak kisah jatuh bangun dilalui antaranya pernah dibebani hutang yang banyak.
Waktu itu Erna telah tertarik untuk melakukan perniagaan atas talian. Kesemua wang simpanannya digunakan untuk membeli stok produk. Namun, disebabkan kurangnya ilmu dalam teknik pemasaran telah mengakibatkan perniagaannya itu berdepan masalah. Inilah yang menyebabkan Erna dibebani jumlah hutang yang banyak.
Untuk melangsaikan kesemua hutang itu, Ernayanee melakukan pelbagai jenis kerja termasuklah menjadi pemandu bas kilang. Selain itu, Erna juga pernah melakukan persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Walaupun pernah gagal dalam perniagaan, minatnya untuk berniaga tidak pernah pudar. Beliau mula menghadiri bengkel-bengkel keusahawan untuk meningkatkan lagi ilmu perniagaan.
Erna merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Bapanya merupakan seorang anggota bomba manakala ibunya seorang jururawat. Setelah tamat pendidikan menengah, Erna melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walau bagaimanapun, Erna meninggalkan pengajiannya itu demi mengejar impian untuk bergelar seorang usahawan.
PERMULAAN
“Saya mula berniaga sejak usia 21 tahun. Sebelum dengan De’Xandra saya berniaga macam-macam produk dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Tahun 2013 barulah saya hanya fokus kepada industri minyak wangi. Waktu itu jadi reseller dan pengedar kepada industri-industri minyak wangi. Apabila network makin bertambah, permintaan pun melebihi bekalan. Dengan kata lain, stok tidak mencukupi. Sedih jugalah, maka saya mula terfikir untuk ada jenama minyak wangi sendiri.
Tahun 2014 kami dapatkan semua network dan tidak lagi menjual produk lain kerana mahu memberi fokus kepada jenama sendiri. Kemudian, tahun 2015 bermulalah perjalanan saya bersama De’Xandra. Kalau ikutkan yang betul-betul berniaga daripada mula ialah adik perempuan saya iaitu Ezureen Nur.
Dialah insan yang banyak memberi sokongan kepada saya sejak dahulu sehingga kini. Masih ingat lagi, ketika saya hendak memulakan kembali perniagaan, saya sanggup pergi ke UiTM untuk berjumpa dengannya semata-mata untuk meminjam duit. Dia kata boleh pinjam, cuma jumlahnya tidaklah terlalu banyak. Dia berikan saya RM300. Tanpa berlengah, dengan duit tersebut saya mulakan perniagaan semula. Agak struggle jugalah, adakalanya naik dan adakala jatuh. Bila jatuh tu sampai banyak hutang. Macam-macamlah kejadian yang berlaku sepanjang fasa kejatuhan itu.
Antaranya saya pernah menjadi pemandu bas, penyanyi dangdut, cuci rumah orang dan macam-macam kerja lagi. Kalau cuci rumah orang tu dapatlah dalam RM150. Sambil tu saya fikir-fikirkan juga apa lagi cara untuk survive sebab perniagaan tengah drop. Orang sekeliling pun tiada yang support. Dengan keluarga pun saya malu sebab belum berjaya lagi waktu itu. Satu-satunya yang tinggal ialah adik perempuan saya tadi, Ezureen.
Paling terharu, dia sentiasa ada bersama saya saat susah mahupun senang sampailah perniagaan saya semakin berkembang dan masing-masing berkahwin. Kami bertuah kerana suami masing-masing juga usahawan dan dari perniagaan yang sama. Kesimpulannya, perniagaan ini adalah family business yang terdiri daripada suami isteri serta adik beradik.”
FOKUS
“Saya ada empat orang adik beradik. Semua bekerja dalam De’Xandra. Selepas berkahwin kami asingkan entiti. Suami-suami berada dalam syarikat yang lain sebagai production company kepada De’Xandra. Sementara saya dan Ezureen masih lagi memegang syer di syarikat asal selaku marketing company kepada De’Xandra. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar sampai sekarang walaupun ada yang kata kalau perniagaan keluarga ini banyak cabarannya.
Hubungan kami adik beradik memang rapat sejak kecil lagi. Kami jarang bergaduh sebenarnya dan kalau ada berselisih faham pun tidaklah seteruk mana. Kalau ada apa-apa isu kami akan duduk berbincang bersama-sama dan selalunya dapat diselesaikan dengan baik. Kami wujudkan De’Xandra pun lebih kepada kekeluargaan.”
INSPIRASI
“Saya menginspirasikan cara berniaga Rasulullah SAW dan Siti Khadijah. Ketika awal-awal berniaga, saya banyak membaca tentang cara kedua-duanya berniaga. Setiap kali saya berhadapan dengan masalah dalam perniagaan, saya sering terfikir bagaimana Rasulullah SAW react kalau Baginda berada di tempat saya.
“Sedangkan kita sebagai insan biasa pun ada banyak masalah dalam berniaga. Lagi berkembangnya perniagaan, lagi banyaklah cabaran yang perlu dihadapi. Namun apa yang paling penting adalah hadapinya dengan rasional tanpa menjejaskan emosi. Barulah perniagaan dapat berkembang maju dan berdaya saing.”
Baca artikel penuh dalam edisi istimewa NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengambil berkat malam hari Arafah, MUABELLAZ bersyukur anak ketiganya dilahirkan dengan selamat. Muhamad Ean Yusuf Bin Mohd Anuar mendapat perhatian daripada followers Muabellaz dan ramai yang memuji baby comel yang bertuah itu.
Kegembiraan menyambut orang baru dalam keluarga semestinya dinanti-nantikan oleh suami tersayang, Anuar Ahmad dan dua lagi anak-anaknya, Alisya dan Aidil.
Mengenali Muabellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini yang mempunyai 1.7 juta followers di Instagram, dia cukup rendah diri. Celotehnya ketika tutorial live di media sosial dalam loghat utara sangat menarik dan lucu.
“Saya belajar makeup hanya dari Youtube dan Instagram. Masa mula-mula dulu memang saya tak mampu untuk menghadiri kelas solekan kerana yurannya terlalu mahal. Saya bukan dari keluarga yang kaya jadi duit yang ada digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan untuk up-grade barang solekan.
Solekan ini umpama satu kelebihan dalam skil. Untuk jadi pandai, kita perlu selalu praktikkan solekan dan itulah yang saya lakukan. Setiap kali saya terima bayaran dari klien, saya gunakan untuk beli barang-barang yang lebih baik. Sampai di rumah, saya akan berulang kali solek diri sendiri supaya skil itu semakin baik.
Saya memang minat sangat makeup. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan. Selepas itu saya mula buat video live di Facebook dan tutorial makeup dan dari situ orang mula mengenali saya. Lama-kelamaan, saya mengambil cabaran membuka kelas solekan agar lebih ramai lagi yang boleh belajar ilmu solekan dan pada masa sama, saya sendiri boleh belajar dari mereka dan mengasah skil sendiri,” ujarnya.
Mengimbau kembali setiap kesukaran hidup yang pernah dilalui, Bellaz hampir mengaku kalah dengan airmata. Hidupnya sukar dan tidak pernah langsung dia terfikir dapat keluar dari kemiskinan. Jiwa yang kental dan tanggungjawab yang dipikul membuatkan Bellaz sentiasa mencari ruang untuk cuba memperbaiki nasib keluarga.
“Ayah saya seorang nelayan, manakala ibu pula hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.
Kesenangan yang dikecapi Bellaz kini bukanlah hasil sebulan dua. Dia bekerja keras demi kelangsungan hidup dan untuk terus kekal relevan dalam industri demi untuk memberi kesenangan kepada keluarga. Macam tidak percaya apabila Bellaz akui adik-adiknya tidak tahu membuka pintu kereta kerana tak pernah naik kereta seumur hidup mereka.
“Sewaktu saya dan suami belum berkahwin, suami bercadang membawa saya dan adik-adik makan dengan menaiki kereta. Adik-adik saya tak tahu macam mana nak buka pintu kereta kerana kami tak pernah naik kereta! Bagi saya, makan sayur kailan dan minum Milo ais pun sudah cukup mewah.
Kalau tak cukup duit untuk makan, memang saya sendiri akan ke rumah jiran untuk pinjam duit. Kadang-kadang duit upah dari kelas ikan saya berikan kepada ibu kerana ibu dan adik-adik tak makan. Saya berlapar kerana kasihankan mereka. Saya sedar ramai lagi orang yang lebih susah dari saya tapi ini kisah hidup saya yang ingin kongsikan kepada semua,” cerita Bellaz.
“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain.
Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.
Ada dua perkara yang saya pegang dalam diri iaitu sejahat mana sekalipun kita, jaga hubungan kita dengan Allah kerana Allah akan sentiasa bersama kita. Jangan pernah putus doa dan niat perlu betul. Dan bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dengan rezeki yang Allah beri, kita cuba bantu adik-beradik kita dan tolong orang yang memerlukan.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto: Instagram Muabellaz
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari pentas ajang ratu cantik, wanita berparas jelita ini selesa mengembangkan kerjayanya sebagai entrepreneur. Dari sekadar hobi suka-suka mengayuh basikal, Crissty Chiang Liyean dan suami tekad mengusahakan Cyclists & Co, sebuah kedai basikal high-end yang baru dirasmikan di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Ruang pameran Cyclists & Co diberi sentuhan maskulin. Siling dan kerangka rak hitam diterangi lampu pemantul, menyerlahkan himpunan basikal mewah yang diterbangkan khas dari Itali.
Kata Crissty, selain basikal untuk pelbagai kegunaan, kedainya turut menawarkan servis membaiki basikal, komponen teknikal, aksesori dan pakaian untuk lelaki mahupun wanita.
Jika jelitawan lain asyik bercerita soal fesyen dan kecantikan, Crissty pula fasih menerangkan koleksi jenama basikal di kedainya. Cannondale, Colnago, Pinarello dan Sworks antara basikal berprestasi tinggi yang diterbangkan jauh dari Itali.
Kata Crissty sambil menerangkan satu-persatu model basikal di situ, kebanyakan model ini digilai oleh ramai pencinta sukan basikal, khususnya golongan atasan yang mementingkan mutu kayuhan.
Pengetahuan Crissty dalam bidang sukan berbasikal jelas menjadi kelebihan ratu cantik yang juga bekas juara Miss Selangor 2004 ini, selain pernah menjadi model catwalk dan komersial selama 12 tahun.
“Sebenarnya suami saya, Ken Lim, sangat aktif berbasikal pada waktu lapang. Malah dia juga pernah menyertai beberapa tournament dan mempunyai ramai kenalan dalam sukan ini. Dari situlah juga tercetusnya minat saya dalam bidang ini.
Selain bagus untuk kesihatan, hobi berbasikal juga membuka ruang bersosial sesama wanita dan membolehkan peminatnya berkumpul tanpa mengira kaum.
Menjelang musim PKP, saya mula mendalami bidang perniagaan basikal secara serius. Selepas meneliti permintaan, kami pilih Publika kerana lokasinya yang strategik dan mula membawa masuk jenama-jenama basikal serta aksesori terbaik dari luar negara untuk pasaran Malaysia.” Crissty Chiang
Berusia 30-an, wanita lulusan ijazah kesetiausahaan perniagaan ini mula memberi fokus terhadap operasi Cyclists & Co sejak dibuka pada Julai lepas.
“Sebelum ini saya menjalankan bisnes makanan fusion Jepun dari rumah iaitu Wasushi. Perniagaan berkonsepkan delivery ini dijalankan bersama adik dan adik ipar saya sewaktu PKP.
Saya juga pernah bertugas sebagai setiausaha di sebuah firma hiasan dalaman. Selepas berkahwin, tumpuan saya lebih kepada keluarga namun pada kebanyakan masa, saya senang membantu suami menguruskan bisnes seperti membuat kertas kerja.
Jadi ada kalanya saya di rumah dan ada kalanya saya hadiri mesyuarat atau majlis-majlis penting bersama suami.” Crissty Chiang
********************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
********************
Ditanya apakah persediaan untuk wanita yang baru mula berjinak-jinak dengan sukan ini, Crissty yang merupakan ibu kepada sepasang cahaya mata bingkas memberi penerangan.
“Mudah saja. Pertama sekali anda perlu mempunyai basikal. Di Cyclists & Co, kami menawarkan basikal bermula dari harga RM10,000 dan ke atas.
Kemudian anda juga memerlukan topi keledar serta peralatan keselamatan yang baik sebagai perlindungan di atas jalan raya.”
Siapa sebenarnya Crissty Chiang? Baca artikel lengkap mengenai wanita hebat ini dalam naskhah khas Nona Superwoman Award tidak lama lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!