MARIAH CAREY

Meniti usia 51 tahun, populariti superstar Mariah Carey berada dalam kelas tersendiri. Pernah bergelar penyanyi pop Amerika paling berjaya sekitar tahun 90an, nama Mariah masih menjadi bualan hingga ke hari ini. Malah, lagu dendangannya juga sering meniti di bibir peminat serata dunia sampai sekarang!

IKLAN

Menelusuri latar belakang anak seni ini, Mariah dilahirkan pada 27 Mac 1970 di New York. Bapanya, Alfred Roy ialah jurutera aeronautik kelahiran Venezuela. Sementara ibunya pula, Patricia Carey merupakan guru vokal dan penyanyi opera yang berasal dari Ireland. Tidak hairanlah, Mariah memiliki suara yang lunak merdu. Warisi bakat ibu rupanya.

Selebriti bertaraf dunia ini juga mempunyai dua adik-beradik iaitu Morgan dan Alison. Zaman kanak-kanak Mariah tidak seindah rakan sebaya kerana dia tidak mempunyai ramai kawan. Bahkan kedua-dua ibu bapanya berpisah ketika dia baru berusia tiga tahun.

Seawal usia 4 tahun Mariah sudah mula mempelajari teknik vokal daripada ibu tersayang. Tamat persekolahan pada tahun 1987, dia berhijrah ke New York untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi.

Sebelum menjadi penyanyi terkenal, Mariah pernah bekerja sebagai pelayan restoran. Karier nyanyiannya bermula apabila dia menjadi penyanyi latar kepada Brenda K Starr pada lewat tahun 80an. Difahamkan Brenda menghantar demo nyanyian Mariah kepada CEO Sony Music Entertainment ketika itu, Tommy Mottola.

Dek kerana sering bekerjasama, Tommy dan Mariah memutuskan untuk berkahwin pada tahun 1993. Bagaimana pun rumah tangga yang dibina hanya kekal selama lima tahun dan bercerai pada 1998.

Dia kemudian menjalin hubungan cinta bersama selebriti komedi Amerika, Nick Cannon dan berkahwin pada tahun 2008 selepas hanya dua minggu bersama namun berpisah pada 2014. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan cahaya mata kembar iaitu Moroccan Scott Cannon dan Monroe Cannon berusia 10 tahun.

IKLAN

Monroe, anak perempuan mereka dilantik menjadi model untuk jenama pakaian kanak-kanak OshKosh tahun ini.

Pada tahun 2001, Mariah menandatangani kontrak bernilai USD80 juta bersama Virgin Records sekaligus menjadikan dia artis rakaman yang mendapat bayaran paling tinggi di Amerika. Biarpun terkenal dan kaya, Mariah tidak terlepas mengalami jatuh bangun sebagai anak seni.

IKLAN

Dia dikatakan mengalami detik sukar dan kemurungan melampau serta dirawat di hospital. Pada tahun 2018, buat pertama kali Mariah membuat pendedahan kepada PEOPLE yang dia sebenarnya didiagnos menghidap Bipolar Disorder sekitar tahun 2001 dan berjuang melawan penyakit tersebut.

Kehidupan Mariah kini beransur baik dan difahamkan setakat tahun 2021, album Mariah Carey sudah terjual lebih 200 juta di seluruh dunia dan menjadikan dia penyanyi ke-21 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan mencecah USD 320 juta. Album nyanyiannya termasuk 4 single turut berjaya menduduki carta Billboard Hot 100.

Mariah merupakan peminat fanatik Marilyn Monroe dan sanggup membeli piano milik artis tersebut dalam lelongan berharga USD600 ribu. Dalam pada itu, dia turut menamakan anak perempuannya sempena nama pelakon wanita tersebut.