8 Oktober lepas, genap 52 tahun usia Gauri Khan. Kian matang dan berpenampilan anggun, ratu hati Shah Rukh Khan ini sentiasa menjadi tumpuan peminat suaminya. Bukan hanya disebabkan rupa paras yang menawan, bahkan kejayaan Gauri menguruskan empayar perniagaan miliknya menjadi sumber inspirasi wanita.
Walau suaminya seorang aktor terkemuka dalam industri seni India dan antarabangsa namun Gauri enggan terlalu bergantung kepada suami.
Sebaliknya, ibu glamor ini selesa bergelar usahawan yang meneraju syarikat hiasan dalaman sebagai karier. Sekaligus menjana pendapatan hasil usaha sendiri.
Pastinya di sebalik kemahsyuran dan kejayaan Shah Rukh Khan, ada seorang wanita yang teguh berdiri di belakangnya dan setia menyokong kerjaya suami iaitu Gauri Khan.
Dilahirkan pada 8 Oktober 1970 di New Delhi, India, Gauri atau nama sebenarnya Gauri Chibber dikatakan mula mengenali Shah Rukh Khan pada tahun 1984.
Hubungan mereka pada mulanya mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing namun pasangan romantis ini nekad melangsungkan perkahwinan pada 25 Oktober 1991, selepas tujuh tahun mengenali hati budi.
Ads
Waktu itu, Shah Rukh Khan baru ‘bertatih’ dalam industri perfileman India.
Kini, hasil perkahwinan selama lebih tiga dekad mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aryan Khan, Suhana Khan dan AbRam Khan. Paling menarik perhatian, biarpun sudah berstatus isteri dan ibu tapi Gauri masih cantik bergaya.
Ads
Malah pereka fesyen popular India, Satya Paul turut memuji cita rasa fesyen suri hati Shah Rukh Khan ini.
Memetik laporan portal India Today, Gauri merupakan graduan Lady Shri Ram College dan pernah mengikuti kursus pendek seni reka fesyen selama enam bulan di Delhi. Kursus fesyen tersebut diambil memandangkan bapa Gauri adalah pengusaha pakaian.
Gauri juga bukan calang-calang wanita kerana dia turut bertindak selaku penerbit filem dan membina syarikat produksi, Red Chilies Entertainment bersama suami tercinta.
Ads
Terbiasa dengan rutin harian yang sibuk, Gauri turut meluaskan empayar dengan mengusahakan Gauri Khan Designs iaitu sebuah syarikat hiasan dalaman yang menawarkan perkhidmatan rundingan untuk rekaan ruang bangunan mewah, kediaman, pejabat, restoran termasuk hotel dengan penataan dekorasi serba glamor dan klasik.
Antara personaliti yang pernah menjadi kliennya ialah isteri lelaki terkaya Asia, Nita Ambani, Aishwarya Rai, Kajol, dan beberapa selebriti Bollywood lain. Pandai Gauri mengurus dan membahagikan masa untuk keluarga juga kerjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dakwah merentasi sempadan benua, perjalanan misi kemanusiaan Ustazah Asma’ Harun bersama tim NGO Sahabat Amal Care di Ghana, Afrika meruntun jiwa. Setiap hari mengikuti catatan Ustazah, penulis ikut sebak dengan situasi kemiskinan yang menimpa orang Islam di sana.
Catatan hiba Ustazah Asma’ Harun menjentik perasaan. Kalau selama ini cuma tengok foto-foto kemiskinan dari jauh, kita takkan faham derita mereka. Tapi kalau dilihat depan mata, subhanallah menitik air mata!
Sayu, jom baca catatan penerima Nona Motivator Award dalam Nona Superwoman Award 2022 ni…
“Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Tanpa sedar, sudah 4 hari Sahabat Amal Care berada di Ghana bagi menjalankan misi kemanusiaan. Alhamdulillah, perjalanan misi hari ini diteruskan lagi di kampung pedalaman, Moshie Zongo, Kumasi.
SubhanAllah, hati menjadi sebak apabila kedatangan kami disambut dengan alunan zikir dan nasyid oleh penduduk dan pelajar sekolah sambil dikibarkan bendera Malaysia tanda terima kasih pada rakyat Malaysia.
Allahu Akbar, tidak terluah dengan kata-kata betapa hibanya suasana ini sehingga mampu mengalirkan air mata. Di bawah panas terik mereka berkumpul hanya untuk menunjukkan rasa syukur dan menghargai sumbangan ini.
Tujuan utama kami datang ke sini bukan sahaja untuk mengagihkan barangan bantuan, malah untuk melihat sendiri pembinaan perigi korek pertama yang telah berjaya dibina 5 bulan yang lalu. Semuanya hasil infaq tuan puan melalui NGO Sahabat Amal Care.
Untuk makluman sahabat semua, penduduk Islam di sini hidup dalam kemiskinan dan terlalu sukar untuk merasai daging korban. Tahun lalu merupakan tahun pertama, seorang hamba Allah membuat korban seekor lembu. Namun ia sememangnya tidak mencukupi untuk penduduk Islam di sini.
Keadaan masjid yang dhaif manakala sekolah pula hanya di bawah pokok menyedarkan kami bahawa lebih 1,000 orang penduduk Muslim di sini amat memerlukan bantuan kita semua.
InshaAllah, kita akan cuba sedaya upaya untuk bantu membaik pulih segera masjid dan membina sekolah di kampung ini sebelum Ramadan tiba insyaAllah. Semoga dipermudahkan segala urusan dan hajat ini terlaksana aminnn.
Alhamdulillah, selain agihan pek makanan dan kit ibadah, kami turut membawa 2 ekor lembu untuk disembelih dan diedarkan kepada penduduk kampung Moshie Zongo.
Saya juga berkesempatan mendengar bacaan surah yang dihafal anak-anak kecil, pelajar di sini. SubhanAllah, terkejut kerana surah yang diperdengarkan adalah surah yang panjang belaka, tidak hanya surah yang pendek.
Saya dimaklumkan, mereka ini menghafaz al-Quran 30 juz sedari kecil. Walaupun tiada al-Quran yang mencukupi, tetapi al-Quran tersemat rapi di hati-hati mereka. SubhanaAllah.
Sekitar jam 6.35 petang, kami menunaikan janji dengan anak-anak di Spet Zongo untuk agihan kit ibadah termasuk al-Quran yang mereka sangat impikan. Kehadiran kami disambut meriah walaupun hari makin senja.
Pengalaman berharga apabila saya dan tim diserbu dari segenap penjuru kerana semangat mereka untuk mendapatkan al-Quran sungguh diluar jangkaan. Semoga agihan kit ibadah ini benar-benar dimanfaatkan sebaiknya oleh tangan-tangan penerima, aminn ya Allah.” Ustazah Asma’ Harun
HARI KELIMA
Sambung Ustazah Asma’, misi seterusnya diteruskan ke daerah luar Kumasi, Ejura yang memakan masa selama 2 jam dari tempat penginapan mereka.
“Seawal jam 9.50 pagi (waktu Ghana) kami tiba di lokasi pertama, Ejura Town. Melawat kandang lembu Ejura untuk pengurusan ibadah korban yang akan dijalankan nanti.
Kebetulan, ada masjid dan sekolah yang berdekatan. Kami ziarah madrasah mereka belajar dan tengok keadaan kelas. Terlihat dinding kelas penuh dengan nota-nota tajwid, surah hafazan, ayat al-Quran yang ditulis satu persatu di papan hitam.
Di hadapan madrasah ini terdapat sebuah telaga. Waktu ini, cuaca sangatlah panas terik. Anak-anak madrasah ini terus campak timba untuk tarik air. Kemudian curah air dalam baldi. Pelajar lain terus datang minum menggunakan gayung. Nampak mereka benar-benar kehausan.
Menurut mualim (guru) sekolah iaitu Ustaz Aramia Suraga, para pelajar sangat memerlukan al-Quran kerana setiap hari mereka perlu berkongsi al-Quran. Masjid pula rosak dan tidak dapat digunakan sepenuhnya maka mereka perlu solat di kelas.
InshaAllah, kami berhasrat untuk bantu baiki semula surau, bina 2 buah perigi korek, tampung gaji bulanan guru-guru yang mengajar dan juga salurkan dana untuk iftar untuk bulan Ramadan nanti. Kami telah mengagihkan kit ibadah yang berbaki lebih kurang 70 kit, barang asas, gula dan sampul duit kepada anak-anak.
Lokasi kedua kami menuju ke Fakawa Village, Ejura. Setibanya kami disini, perigi korek sedang giat beroperasi. Mereka perlu gerudi tanah sedalam 50-100 meter untuk mendapatkan air bersih. Alhamdulillah, seekor lembu telah disembelih, kit ibadah dan makanan asas telah diagihkan.
Sepertimana kampung-kampung yang lain, kita akan bantu baik pulih masjid dan sekolah. Lokasi terakhir yang dituju adalah Amanti Zongo, Ejura. Juga bantuan yang sama dilakukan iaitu agihan pek makanan, kit ibadah dan bina sebuah telaga.
Alhamdulillah perjalanan yang sangat panjang namun puas dan lega dapat menyampaikan bantuan dan amanah sahabat-sahabat.
Sememangnya sepanjang hari kami hanya makan sarapan sahaja, jam 7.00 malam baru dapat makan. Masa rehat yang ada dapatlah berbual lebih panjang dengan tim dan aktivis Mr. Marlon. Alhamdulillah, dengan bantuan Mr. Marlon dan tim, amanah ini terlaksana sebaik mungkin.
InshaAllah, Mr. Marlon akan terus menjadi wakil NGO Sahabat Amal Care di Ghana untuk meneruskan kerja-kerja amal di sini.
Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada tuan puan sekalian yang terus menerus mendoakan dan memberi sokongan saban hari saban waktu.
Kami tidak mampu sampai ke sini jika tidak kerana amanah dan sumbangan semua. Atas izin Allah, bantuan kalian sampai di sini walau jauh beribu batu. Moga Allah ganjarkan pahala yang berlipatganda buat kalian. Allah jualah sebaik-sebaik pemberi ganjaran. Allahumma amin.
CATATAN 5 MISI KEMANUSIAAN GHANA
11 FEBRUARI 2023
2.00 PAGI WAKTU MALAYSIA
6.00 PETANG WAKTU GHANA
ASMA’ BINTI HARUN & TIM SAHABAT AMAL CARE
HULUR SUMBANGAN
Betapa murninya jiwa Ustazah Asma’ Harun, isteri kepada Ustaz Tengku Fazli Yahya ini menyebar Islam dan menghulur bantuan. Wanita usia 40 tahun itu juga turut menyeru saudara-saudara followers Nona untuk sama-sama membantu saudara kita di bumi Ghana, Afrika.
Ayuh menjelang bulan suci Ramadan Al-Mubarak tak lama lagi, sama-samalah kita membantu usaha NGO Sahabat Amal Care yang dinaungi Ustazah Asma’ Harun ini.
Mudah dan selamat, Ustazah Asma’ seru masyarakat yang prihatin untuk menyumbang bagi MISI KEMANUSIAAN DI GHANA :
Jatuh bangun dalam perniagaan sudah menjadi lumrah. Ramai usahawan berjaya mengakui pengalaman pahit yang diharungi ketika membina empayar perniagaan sangat berharga. Berjaya melalui onak dan duri dalam bisnes jadi pemangkin semangat untuk terus berjuang hingga ke puncak jaya.
Semangat juang yang ada dalam diri wanita yang berusia 34 tahun ini akhirnya memberi sinar bahagia buatnya. Melalui pengalaman 11 tahun dalam dunia perniagaan benar-benar mematangkan usahawan makanan, Farhah Izzati Haris ini.
Tempuh pengalaman pahit apabila kerap ditipu dan dianiaya oleh musuh dalam selimut dalam dunia perniagaan bukan alasan untuknya berundur serta menyerah sebelum kalah.
“Kalau ikutkan pengalaman, memang sejak daripada sekolah rendah lagi saya dah suka berniaga. Apa sahaja barang boleh dijual, saya akan jual. Sampai kawan-kawan sekolah ‘cop’ muka saya sebagai kedai runcit bergerak.
Masa di universiti pun saya jual pakaian seperti hijab dan baju. Saya juga ada membuat kerjasama kecil dengan rakan perniagaan di Jakarta, Indonesia menjual aiskrim yogurt bergerak,” kongsi usahawan muda ini.
CABARAN
“Pengalaman menjual sejak kecil ini sedikit sebanyak membina keyakinan kita untuk terus berdepan dengan segala cabaran dunia perniagaan. Ketika masih lagi bergelar siswi, saya nekad buka sebuah kafe menggunakan hasil wang simpanan sejak berniaga kecil-kecilan dulu.
Pada awalnya, mak dan ayah kat kampung memang tak setuju dengan keputusan saya. Sebolehnya mak dan ayah mahu saya mengikuti jejak langkah mereka bekerja di pejabat.
Tapi akhirnya mereka menyokong setelah melihat sendiri keupayaan saya untuk berjaya dalam bisnes,” ujar wanita yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Perniagaan dari University of Wales Cardiff ini.
Sememangnya mengusahakan perniagaan berasaskan F&B bukan semudah yang disangka. “Memang betul, orang melihat saya sebagai usahawan yang berjaya walaupun masih lagi bergelar pelajar. Kafe sentiasa penuh, orang datang berpusu-pusu dan ramai memuji menu masakan saya.
Namun, ramai yang tak tahu saya kerap ditipu dalam perniagaan. Ditipu yang bukan sedikit malah puluhan ribu. Lebih terhiris apabila kena tipu dengan orang yang paling rapat. Memang betul kata orang, biasanya musuh kita adalah orang yang paling kenal siapa diri kita ataupun ‘musuh dalam selimut’.
Sehinggakan pada ketika itu saya membuat keputusan mengajak kedua ibu bapa saya untuk bertenang dan memujuk hati dengan menunaikan umrah di tanah suci.
Akaun simpanan saya sampai negatif dan terpaksa menjual kafe. Jual kafe pun kena tipu juga sehingga saya tak tahu nak buat apa pada masa itu. Tapi saya sangat bersyukur kerana tak ambil masa yang lama untuk pulihkan semangat.
Kalau nak menangis, menangislah puas-puas tapi jangan ambil masa yang lama. Paling lama, seminggu cukup dan kita perlu bangkit untuk meneruskan usaha. Setiap yang berlaku pasti tersimpan hikmah yang kita tak nampak,” ucap wanita yang mesra disapa Izzaza juga gemar melancong ini.
DANA KERAJAAN
“PKP 1.0 lalu juga sebuah hikmah buat saya apabila berjaya mohon peruntukan Geran Khas Prihatin (GKP). Dengan duit RM3000 itu saya bangkit semula. Dalam pada itu, saya juga bersyukur kerana mewarisi resipi sajian Istana Negeri Perak.
Ini kerana arwak opah saya dulu seorang tukang masak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Mujur saya masih simpan buku resipi sajian Istana arwah opah yang dibukukan oleh ibu saya.
Sedikit sebanyak dapat saya kongsi menu kegemaran Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris II Al-Mutawakkil Allahahi Afifullah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasullah,” tutur Pengasas Bersama Kek Terbang ini.
Tambahnya lagi, “Saya bangkit dari kegagalan berbekalkan duit GKP dan resipi arwah opah jual kek mentega. Mungkin juga dah nama rezeki, waktu PKP orang tak keluar rumah, kek mentega saya laris terjual.
Sampai ada satu ketika saya bakar hampir lebih 60 buah kek sehari. Semua saya buat seorang diri tapi alhamdulillah saya berjaya. Saya tak ada masa nak meratapi nasib akibat kena tipu dan siapa yang akan tolong kita kalau bukan diri kita sendiri.
Selain itu, saya menerima tempahan katering signature dish daripada beberapa syarikat korporat dan majlis kenduri ketika saya masih buka kafe dulu, antaranya Nasi Kambing dan Laksa Kuala Kangsar. Sehingga kini saya masih menerima tempahan daripada pelanggan yang dah biasa menikmati dua hidangan ini.
Nasihat saya, dalam situasi sekarang kita tak boleh nak memilih sangat. Apa sahaja yang kita usaha pasti akan ada hasil dan percaya bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing.
Apa yang penting kita perlu berdisiplin, sentiasa tambah ilmu dan kekalkan momentum untuk terus berjaya. Yang lain-lain kita serahkan kepada Allah SWT,” tutur Izzaza yang memiliki Ijazah Sarjana Psikologi Perniagaan dari Heriott Watt University, Scotland ini mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Disember ini pastinya jadi momen istimewa buat Datin Vivy Sofinas Yusof apabila berjaya melakar satu lagi pencapaian membanggakan. Bersempena ulang tahun kelahiran ke-35 pada 11 Disember, Vivy akan melancarkan buku miliknya ‘The First Decade’.
Berkongsi kegembiraan tersebut di media sosial, naskhah berkenaan sudah diterimanya pada hujung November lalu dan berdasarkan video yang dimuat naik kelihatan Vivy dan keluarga saling membantu membawa berkotak-kotak buku tersebut di ruang kediaman mereka!
Memiliki nama besar dalam bidang keusahawanan, Vivy juga sebenarnya berbakat dalam penulisan. Sebelum dikenali sebagai pengasas FashionValet dan The dUCk Group, isteri Fadza Anuar ini sudah pun ‘popular’ menerusi blog miliknya Proudduck.
Tak dinafikan melalui penulisan, Vivy berjaya mengembangkan perniagaan dan menjadi sumber inspirasi ramai golongan wanita untuk sukses sepertinya.
Bertemu wanita hebat ini pada Jun lalu, Vivy teruja berkongsi kisah kejayaannya membina empayar selama 10 tahun dengan para peminat.
“Saya mula all this from my blog. Memang dari dulu saya suka menulis. Even masa nak naikkan FashionValet dan dUCk pun saya update blog selalu dan pernah ada column sendiri untuk beberapa surat khabar. Pendek kata minat menulis sentiasa ada sampai sekarang.
Nak dijadikan cerita, waktu tu kami baru sambut FashionValet 10th birthday. Terus saya fikir what if I write a book, 10 years about up and down being entrepreneur sebab ramai orang tanya dan DM tentang macam mana saya handle kerjaya dan anak-anak, kekal positif walau kena kecam dan sebagainya.
Jadi saya rasa, patut untuk berkongsi perjalanan saya selama 10 tahun tersebut memandangkan ramai yang nak tahu dan lalui benda sama. Dalam buku tu saya cerita semua yang berlaku. Macam mana saya bermula, dari mana idea FashionValet tu datang, apa cabaran dan kesilapan yang dah saya buat, macam mana cari invester.
Semua baik buruk yang berlaku saya curahkan dalam buku tersebut. Saya buat kesilapan dan saya tak nak orang lain ulangi kesilapan sama. Buku ini bukan success story. Just a sharing sebab perjalanan saya sebagai usahawan masih jauh.”
Difahamkan, Vivy mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan karya sulungnya yang mempunyai 200 muka surat dan diterbitkan oleh Penguin Sea.
“Kalau fokus, tiga bulan dah boleh siap. Tapi sebab kerja, pregnant dan lahirkan Idris, dah jadi setahun setengah. Saya rasa menulis buku ni antara benda paling susah yang saya lalui sebab kita kena ingat balik memori susah senang dulu, kena recall dan check email lama.
I did it! Alhamdulillah. Ada usahawan minta orang tulis buku untuk dia tapi tidak saya. Writing is my thing, so I want to write. Saya sendiri yang tulis setiap perkataan sebab tu ambil masa yang lama sedikit. InshaAllah buku tu akan launch bulan Disember. Hopefully akan bagi manfaat kepada ramai orang.”
Moga niat murni Vivy Yusof ini terus menjadi kekuatan dan sumber inspirasi buat kaum wanita untuk terus berjaya.
Oktober lepas, Vivy meraih pengiktirafan antarabangsa dalam kategori usahawan selepas tersenarai dalam Business of Fashion (BOF) 500 kerana kejayaannya sebagai salah satu industri ‘modest fashion’ paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Lebih membanggakan, namanya turut sebaris dengan usahawan, pereka fesyen dan penggiat industri fesyen serata dunia termasuklah ikon fesyen Itali, Giorgio Armani, aktres terkenal Bollywood Deepika Padukone, Simon Porte Jacquemus dan ramai lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
YAM Tunku Dato’ Seri Mimi Wahida mencuri perhatian ramai dengan aura elegan dan kejelitaan yang kekal menyerlah pada usia 55 tahun. Ketahui perjalanan menarik daripada pembaca berita ke singgahsana diraja Negeri Sembilan.