Anggun Dalam Persalinan Kurung Moden, TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN Curi Tumpuan Rakyat!

Sejak penularan Covid-19 melanda negara, rakyat jarang dapat mengikuti perkembangan terkini Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Namun menerusi laman media sosial rasmi Selangor Royal Official, ada perkongsian dan aktiviti terbaharu baginda yang dimuatnaik. Sekaligus mengubat kerinduan rakyat untuk melihat Tengku Permaisuri Norashikin yang terkenal dengan keanggunan dan rupa paras menawan Baginda.

Berlangsung pada 21 September lepas, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menerima menghadap penulis buku “Malaysia’s Culinary Heritage : The Best of Authentic Traditional Recipes”, Yang Bahagia Datin Kalsom Taib dan Yang Bahagia Datin Hamidah Abdul Hamid di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Buku yang memuatkan kompilasi 230 jenis resipi yang menampilkan kepelbagaian makanan rakyat Malaysia disembahkan kepada DYMM Tengku Permaisuri Norashikin.

Lebih unik, buku ini turut mengandungi resipi-resipi tradisional Malaysia yang telah digazetkan oleh Jabatan Warisan Negara dan bakal diiktiraf oleh UNESCO. Turut hadir, YAM Tengku Puan Panglima Perlis Tengku Puteri Nor Zehan.

Dalam pertemuan tersebut, penampilan Tengku Permaisuri Selangor sekali lagi mencuri tumpuan. Persalinan kurung moden bermotifkan bunga-bunga kecil dalam rona kuning lembut dan hitam kelihatan cukup indah selain menyerlahkan sisi penuh kelembutan baginda. Meskipun hanya menggayakan anting-anting mutiara namun pesona Baginda Tengku Permaisuri Norashikin tetap memukau pandangan.

Pada keesokkan harinya pula iaitu 22 September, Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Gelaran Tengku Panglima Raja Selangor kepada adinda Baginda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Gelaran tersebut berkuatkuasa 12 Ogos 2020.

Pada hari sama juga DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenaan menyerahkan watikah pelantikan kepada empat orang Hakim Syarie sebagai anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pada istiadat dilaksanakan dalam norma baharu ini juga, sembilan orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah turut menerima watikah pelantikan. Lantikan dibuat untuk dua pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, seorang Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, tiga Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor, sementara dua individu dilantik sebagai Wali Raja.

Turut berangkat, DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Hadir sama, YAM Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Selesai istiadat, DYMM Tuanku berkenan melancarkan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) 2020-2024. Menerusi pelan yang diinspirasikan oleh Baginda ini, pelbagai strategi dan pelan tindakan telah dirangka bagi tujuan mendaulatkan syiar Islam dalam memperkasakan ummah di Negeri Selangor.

 

Kredit: Selangor Royal Official

IKLAN
Share