Anggun Mempersona, Kenali 4 RAJA PERMAISURI AGONG Berhijab Ini!

Penampilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sememangnya menjadi perhatian rakyat. Berikut Nona kongsikan empat Raja Permaisuri Agong yang anggun menawan dengan penampilan berhijab baginda.

Raja Permaisuri Agong Ke-16

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-16 Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bukan hanya gemar memasak bahkan cukup prihatin dengan isu masyarakat terutamanya melibatkan golongan susah dan kesuburan wanita. Disebabkan itu, Tunku Azizah berkenan menjadi Pengasas dan Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail bersama isterinya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru, kekanda lelakinya kini ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Hasil perkahwinan bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda dikurniakan empat orang putera dan dua puteri iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, KDYMM Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Tunku Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah. Selain itu, baginda juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang pelbagai jawatan bagi persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Gaya hijab Tunku Azizah juga menjadi ikutan ramai ketika ini.

Raja Permaisuri Agong ke-14

Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun merupakan Sultanah Kedah dan Raja Permaisuri Agong yang ke-14. Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.

Tuanku Hajah Haminah merupakan anak kepada pasangan Haji Hamidun Bin Taib dan Hajah Isma Muhammad dan dibesarkan di Kampung Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak.

Baginda mendapat gelaran Che Puan Kedah, sehinggalah pada 9 Januari 2004 apabila baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah. Seperti Tuanku Bainun, Tuanku Hajah Haminah antara Raja Permaisuri Agong dari golongan kebanyakan.

Raja Permaisuri Agong ke-13

Seri Paduka Baginda Tuanku Nur Zahirah ialah Raja Permaisuri Agong ke-13 yang dilahirkan pada 7 Disember 1973. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.

Baginda bertemu jodoh dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganu dan dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan KDYMM Seri Paduka Baginda Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Tuanku Nur Zahirah juga antara Raja Permaisuri Agong yang berasal dari golongan rakyat biasa.

Raja Permaisuri Agong ke-11

Seri Paduka Baginda Tuanku Siti Aishah dilahirkan pada 18 November 1971 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang perbankan di UiTM Kampus Kota Bharu. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong kesebelas apabila KDYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999.

Baginda berkahwin dengan Sultan Selangor pada 3 Mei 1990 ketika berusia 19 tahun dan dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong pada 26 April 1999. Tuanku Siti Aishah ialah Raja Permaisuri Agong termuda pada usia 28 tahun.

Bagaimanapun baginda tidak dapat menghabiskan tempoh lima tahun sebagai Raja Permaisuri Agong kerana DYMM Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj mangkat pada 21 November 2001. Tuanku Siti Aishah sempat menjadi Raja Permaisuri Agong selama tempoh dua tahun enam bulan sahaja. Baginda juga menjadi Raja Permaisuri Agong pertama yang memakai hijab dan berasal dari golongan kebanyakan.

Tuanku Siti Aishah pernah menjadi penghias Majalah Nona pada Ogos 2013.

 

 

 

Sumber: Warisan Raja & Permaisuri Melayu

IKLAN
Share