Peribadi wanita yang satu ketika lalu dianggap lemah kini sudah berubah. Dalam kelembutannya tertanam sifat pintar dan adil dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Inilah kelebihan Nadia Kahf yang dilantik sebagai hakim pertama berhijab di Mahkamah Tinggi New Jersey, Amerika Syarikat (AS).
Mengangkat sumpah dengan tangan di atas kalam al-Quran milik neneknya, Nadia kelahiran Syria menyertai dua lagi wanita Islam, Sharifa Salaam dan Kalimah Ahmad di Mahkamah Tinggi pada hujung Mac lalu.
“Saya bangga untuk mewakili masyarakat Islam dan Arab di New Jersey dan di Amerika Syarikat.
Saya mahu generasi muda melihat bahawa mereka boleh mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut. Mereka boleh menjadi siapa mereka.
Diversiti adalah kekuatan kita, ia bukan kelemahan. Saya harap lebih ramai orang memahaminya.” Nadia Kahf
Ads
Nadia yang merupakan peguam imigresen dan undang-undang keluarga dari firma guaman WayneKahf juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR-NJ).
Pengarah Eksekutif CAIR-NJ Selaedin Maksut menzahirkan kegembiraan melihat wanita Muslim di sana diiktiraf masyarakat.
“Nadia telah lama berkhidmat kepada masyarakat Islam di New Jersey. Saya berbesar hati dapat bekerja di bawah kepimpinan dan bimbingannya di CAIR-NJ. Melihatnya mengangkat sumpah setahun selepas pencalonannya adalah sesuatu yang luar biasa.
Nadia mungkin yang pertama memakai tudung di Mahkamah Tinggi di New Jersey, tetapi dia pastinya bukan yang terakhir, insya-ALLAH. Dengan pencapaian dan pengalamannya yang luas, beliau telah meletakkan kedudukan yang tinggi untuk wanita Islam yang lain.”
Ads
MUSLIMAH
Pada Jun 2022, Laila Ikram mencipta sejarah dilantik hakim wanita Muslim pertama di Arizona.
Ads
Peguam cara Michigan, Fadwa Hammoud pada Oktober 2021 dengan menjadi wanita Arab Amerika Islam pertama yang berhujah di Mahkamah Agung AS.
Nadia Kahf berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dari Syria ketika berusia 2 tahun. Dia telah lama bekerja di yayasan Islam negara itu.
Hebatnya pencapaian Nadia, bukan mudah untuk merintis jalan menjadi hakim di Mahkamah Tinggi yang terletak di negara bukan Islam. Moga kejayaannya menjadi inspirasi kepada wanita lain!
**************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
**************
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bakat luar biasa yang dimilikinya satu dalam sejuta. Dialah ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli. Satu nama besar dalam sejarah sukan boling negara sehingga mencetuskan fenomena pada era 1990-an.
“Saya berkorban lebih 30 tahun buat negara bukan untuk pangkat, tetapi sebab nak dengar lagu negaraku berkumandang di podium dan bendera Malaysia berkibar di peringkat dunia.” – Shalin Zulkifli
Ternyata, perjalanan kariernya hampir tiga dekad dalam skuad kebangsaan tenpin boling dan menjadi pemain profesional adalah satu tempoh cukup panjang bagi seorang atlet.
Dengan deretan kejuaraan dan pingat sejak remaja sehingga persaraannya pada Januari tahun lalu, Shalin Zulkifli atau lebih mesra disapa Shalin antara atlet paling berjaya pernah negara miliki.
BAHAGIA BERSAMA SUAMI & ANAK Menjengah ke akaun Instagramnya selain berkongsi aktiviti-aktiviti berkaitan karier, atlet kelahiran London, England berusia 44 tahun ini juga sering berkongsi momennya bersama anak dan suami.
Shalin kini bahagia bergelar isteri kepada Azidi Ameran yang juga bekas pemain boling negara. Mereka berkahwin pada Disember 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aleya Azidi yang kini berusia 11 tahun. Aleya turut mewarisi bakat dalam bidang sukan seperti ibu dan bapanya. Ke mana tumpahnya kuah, kan?
Sejak bergelar isteri dan ibu, keluarga menjadi keutamaan Shalin dan dia mahu melihat anaknya membesar di depan mata. Semestinya bagi Shalin ingin mencurahkan sepenuh kasih sayang serta memberikan yang terbaik buat keluarga kecilnya itu. Pada waktu terluang, Shalin dan suami lebih gemar melayan kerenah anak mereka.
Shalin dan suami juga dikatakan tidak menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak mereka, sebaliknya bergilir-gilir menjaga Aleya.
Shalin bertuah kerana dikurniakan suami yang menyayanginya sepenuh hati dan sentiasa menyokong kariernya tanpa berbelah-bahagi.
Menyingkap sejarah perkenalan, mereka sebenarnya sudah saling mengenali sejak 27 tahun lalu. Sama-sama bergelar pemain boling negara, segala detik pahit manis dilalui bersama oleh Shalin dan suami.
ATLET PALING BERJAYA Tidak keterlaluan jika kita katakan, Shalin merupakan antara pemain boling paling berjaya dalam sejarah Malaysia kerana sering meraih pelbagai gelaran tidak kiralah di peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia mahupun Sukan Komanwel.
Malah, Shalin juga lima kali diangkat sebagai olahragawati kebangsaan (1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002) termasuk menjuarai kejohanan dunia serta menerima anugerah Pemain Boling Antarabangsa sehingga namanya dicatatkan di International Bowling Hall of Fame.
Jasa Shalin dalam mengharumkan nama negara sangat banyak sejak beliau menceburi sukan boling ketika berusia sembilan tahun. Pencapaian terhebatnya adalah menjuarai Kejohanan Dunia 2003 di Malaysia, Mexico (2007) dan Las Vegas, Amerika Syarikat (2017).
Selain itu, Shalin bukan hanya disenangi oleh jurulatih dan pegawai pasukan malah seluruh peminat sukan. Dedikasinya tidak dapat disangkal lagi dalam memartabatkan sukan boling dan meletakkan Malaysia di peta dunia.
Maka, tidak hairanlah Shalin terus menjadi idola kepada ramai pemain remaja dan senior boling di seluruh negara hingga ke hari ini.
Shalin yang meminati legenda boling dunia, Parker Bohn serta legenda bola keranjang, Micheal Jordan ini merupakan pemegang Ijazah Sains Sukan pengkhususan Psikologi dan Latihan Sukan, Universiti Malaya (UM).
Pesanan Shalin, pentingnya pendidikan demi masa depan atlet. Itulah yang membezakan seorang atlet dengan orang lain.
Kredit Foto: IG & FB Shalin Zulkifli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah Nona ucapkan kepada Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid dan isteri, Husna Mohd Zahry kerana bakal menimang cahaya mata ketiga.
Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh isteri kepada penceramah bebas yang ‘sempoi’ itu di laman instagram sekali gus meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-6 pada 23 Ogos 2018.
“Tiada siapa kata kehidupan sebuah perkahwinan adalah mudah. Dalam pada masa 6 tahun, kami telah berkongsi banyak suka dan duka”, tulisnya.
Siapa sangka penceramah seperti Ustaz Don ni, sebenarnya merupakan seorang yang sangat romantik terhadap isterinya. Bagi meraikan hari bahagia itu, Ustaz Don membuat surprise dengan membawa isterinya makan tengah hari di sebuah hotel di Putrajaya.
Sebelum ini, Husna yang merupakan seorang doktor, turut pernah mendapat kejutan daripada Ustaz Don di tempat kerjanya sempena hari jadi. Wah, seronoknya selalu dapat kejutan daripada suami tercinta.
Ustaz Don dan Husna berkahwin pada 23 Ogos 2012 dan kini sudah dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki.
Bertuahnya Husna dapat suami yang sweet macam Ustaz Don ni. Semoga hubungan kalian berdua kekal ke jannah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
AirAsia berhijab membuka lembaran baharu buat wanita Muslim dalam industri penerbangan dengan membenarkan kru kabin memakai hijab secara rasmi. Perubahan ini meraikan kepelbagaian dan memberi ruang kepada wanita hadir sebagai diri sendiri tanpa mengorbankan prinsip.