
Anis Nabilah terus mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026. Pengiktirafan membanggakan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan cef selebriti terkenal tanah air itu dalam industri kulinari, hasil dua dekad membina kerjaya dengan penuh dedikasi, sekali gus membuktikan bahawa bakat dan kesungguhan mampu membawa wanita Malaysia mencipta kejayaan di persada antarabangsa.
Kecil molek orangnya, namun besar semangat dan cita-citanya. Petah berbicara, kreatif serta memiliki pengetahuan luas dalam bidang masakan, Anis Nabilah Umaruddin, 40 tahun, bukan lagi nama asing dalam kalangan pencinta kulinari. Kehebatannya menyediakan pelbagai hidangan, daripada masakan tradisional Melayu, Barat hinggalah pencuci mulut, menjadikan beliau antara cef selebriti Malaysia yang disegani.

Anugerah Berprestij, Pengiktirafan Buat Anis Nabilah
Pengiktirafan tersebut diterima pada majlis Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026 anjuran World Gourmet yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu. Majlis berprestij itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim serta dua ikon kulinari tersohor, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan dan Master Chef Dr Martin Yan.


Bagi Anis, penghargaan tersebut cukup bermakna kerana menjadi simbol pengiktirafan terhadap perjalanan panjangnya dalam dunia masakan.
“Terima kasih kepada World Gourmet kerana memilih saya sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026. Saya rasa sangat bersyukur dan terharu dengan penghargaan ini.
Sepanjang perjalanan saya dalam bidang masakan, terlalu banyak pengalaman yang saya lalui dan ramai juga yang telah memberi inspirasi kepada saya. Setiap peluang dan cabaran yang datang banyak membentuk diri saya sebagai seorang chef,” katanya.
Dari Dapur Ibu Hingga Bergelar Cef Selebriti Antarabangsa
Siapa sangka, kecintaan Anis terhadap dunia masakan sebenarnya bermula sejak kecil apabila sering membantu ibunya menyediakan makanan untuk keluarga besar mereka. Berasal dari Kuala Lumpur, Anis membesar dalam keluarga lapan beradik. Pengalaman memerhatikan ibunya memasak menjadi asas kepada minat mendalamnya terhadap seni kulinari.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Food Institute of Malaysia dan memperoleh Diploma Seni Kulinari pada 2007. Menariknya, ketika masih bergelar pelajar, Anis sudah aktif menyertai pertandingan masakan antarabangsa yang diadakan di Malaysia. Antara pencapaian awalnya ialah meraih pingat dalam pertandingan Culinaire 2007.
Bakatnya mula mendapat perhatian ramai apabila terpilih mengacarakan program masakan Icip-Icip pada 2007, sekali gus membuka laluan kepada kerjaya sebagai cef selebriti.

Deretan Pencapaian Anis Nabilah Yang Membanggakan
Sepanjang hampir dua dekad membina nama, Anis telah mengendalikan puluhan program masakan termasuk Selera, Kuali Bujang, Sesedap Rasa, Enak Tradisi dan Rasa-Rasa. Keupayaannya mengendalikan program berkonsepkan masakan dan pengembaraan turut membuka peluang menerusi My Taste of Hong Kong di TLC Asia serta Eating Wild di Asian Food Channel.
Pada 2014, Anis terpilih menyertai kempen Restaurant Australia anjuran Tourism Australia sebagai salah seorang daripada 80 cef selebriti berpengaruh dunia yang menerima jemputan. Setahun kemudian, beliau turut mendapat jemputan Singapore Tourism Board untuk menyertai kempen Asia’s 50 Best Restaurants 2015.
Kini, anugerah TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 menambah satu lagi pencapaian penting dalam portfolio kerjayanya.
Kejayaan Bukan Penamat, Masih Banyak Impian Menanti
Di sebalik segala kejayaan, Anis tidak pernah melupakan insan yang menjadi tulang belakang perjuangannya.
“Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja dan semua yang sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada saya.
Saya sangat menghargai semua yang sentiasa ada dan menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” katanya lagi.
Bagi Anis, masih banyak impian yang ingin direalisasikan, khususnya untuk berkongsi ilmu serta kecintaan terhadap dunia masakan dengan lebih ramai orang.

Kisah kejayaannya membuktikan bahawa minat yang dipupuk sejak kecil, apabila disertai pendidikan, disiplin dan keberanian merebut peluang, mampu berkembang menjadi kerjaya yang membanggakan.
Daripada seorang anak yang gemar menemani ibu di dapur, Anis kini berdiri sebagai antara wajah kulinari Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Satu inspirasi buat wanita muda agar tidak memandang kecil terhadap bakat dan impian sendiri.
Artikel berkaitan: Anak Dato’ Imuda Bergelar Peguam, “Papa & Mama Bangga Dengan Kejayaan Rezi”

sekarang!

