
Anak Dato Imuda kini bergelar peguam, sekali gus menjadi kebanggaan pelakon dan pelawak veteran tanah air itu. Melihat anak keduanya, Muhammad Raezal A. Rahim atau mesra disapa Rezi, berjaya membina kerjaya dalam bidang perundangan merupakan satu kebahagiaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Bagi Dato’ Imuda, 66, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi seorang anak, malah menjadi bukti bahawa kasih sayang, didikan dan pengorbanan ibu bapa mampu membuahkan hasil yang cukup bermakna.
Menerusi perkongsian di media sosial baru-baru ini, Dato’ Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda menitipkan ucapan penuh kasih sayang sempena ulang tahun kelahiran anak keduanya, Muhammad Raezal, pada 30 Oktober lalu.
Pemuda yang mesra disapa Rezi itu ternyata menjadi kebanggaan keluarga apabila berjaya melakar perjalanan kerjaya dalam bidang guaman. “Selamat hari lahir buat anak kedua saya Muhammad Raezal bin A.Rahim atau Rezi pada 30 Oktober lalu. Rezi sekarang dah 2 tahun menjadi seorang laywer di sebuah lawyer firm terkenal di ibu negara,” tulisnya.
Rezi yang memiliki wajah persis bapanya merupakan anak hasil perkahwinan pertama Dato’ Imuda bersama bekas isteri, Allahyarhamah Rosalinda Rosli. Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Raihana dan Rezi.


Anak Dato’ Imuda Bekas Pelajar MRSM, Graduan Undang-Undang UIAM
Di sebalik kejayaan Rezi, tersimpan perjalanan pendidikan yang membanggakan. Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ini melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada Ogos 2024 sebelum menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan bersama firma guaman terkemuka, Azmi & Associates. Pada 22 Ogos 2025, Rezi secara rasmi diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjaya profesionalnya.
Menerusi kenyataan bertarikh 26 Ogos 2025, Azmi & Associates turut merakamkan penghargaan terhadap kesungguhan, profesionalisme dan komitmen Rezi sepanjang menjalani latihan di bawah kumpulan amalan Litigasi dan Timbang Tara. Lebih membanggakan, beliau meneruskan kerjaya sebagai peguam bersekutu di firma sama, dalam kumpulan amalan tersebut.


“Papa & Mama Sangat Bangga Dengan Kejayaan Rezi”
Namun, perkara paling menyentuh hati dalam perkongsian Dato’ Imuda ialah penghargaan tulus terhadap isterinya, Datin Zabarina Haja Mushadi Ali, yang banyak memainkan peranan dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.
“Terima kasih buat isteriku tercinta yang membesarkan Rezi dengan penuh kasih sayang dan sangat menitik beratkan pelajaran semua anak-anak, tq so much mama.”
Bukan sekadar meraikan kejayaan akademik dan kerjaya, Dato’ Imuda turut menitipkan pesanan agar anaknya menjadi seorang peguam yang berintegriti.

“Papa dan mama sangat bangga dengan kejayaan Rezi. Mama, papa, Kak Hana, Rayyan dan Zara doakan Rezi terus berjaya dunia dan akhirat menjadi seorang lawyer yang hebat. Seorang lawyer yang ikhlas, jujur dalam menjalankan tanggungjawab sebagai lawyer dengan penuh amanah. Kami semua akan selalu ada dengan Rezi, selalu sokong Rezi. Happy birthday, my son,” ucap Dato’ Imuda dalam hantarannya di Facebook.
Kata-kata tersebut cukup menggambarkan betapa kejayaan seorang anak tidak pernah terpisah daripada doa, sokongan dan kasih sayang keluarga.
Datin Zabarina, Wanita Di Sebalik Kebahagiaan Keluarga
Dalam kehidupan peribadi, Dato’ Imuda mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali dan dikurniakan empat cahaya mata. Perkahwinannya bersama Datin Zabarina yang berlangsung pada 20 Februari 2010 menyaksikan pasangan ini meraikan ulang tahun perkahwinan ke-16 pada tahun 2026.
Datin Zabarina yang memiliki raut wajah manis dan penampilan anggun dikenali sebagai wanita yang selesa menjalani kehidupan sederhana meskipun bergelar isteri selebriti terkenal.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan Ziqri dan Raysya Zara, masing-masing berusia 16 dan 9 tahun.


Menariknya, kedua-duanya pernah membintangi telemovie 19 Puasa pada 2023, arahan Amen Khalid, anak kepada Allahyarham pengarah tersohor Mamat Khalid.
Sementara itu, Dato’ Imuda yang cukup sinonim dengan watak Budin telah lebih empat dekad mencurahkan bakti dalam industri hiburan tanah air. Beliau menerima gelaran Dato’ pada 30 Julai 2024.
Kisah kejayaan Rezi menjadi inspirasi buat ibu bapa bahawa pendidikan terbaik bukan sekadar menyediakan peluang untuk anak mencapai cita-cita, tetapi turut membentuk keperibadian yang jujur, bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
Sumber: Facebook ImudaArt
Artikel berkaitan: Hadiah Eksklusif Lancôme, Raikan Insan Tersayang & Diri Sendiri Dengan Sentuhan Mewah!

sekarang!

