
Lima tahun bertapak dalam industri, jenama Bayu Somerset kini sudah pun mempunyai 25 buah cawangan seluruh negara. Bermula sekadar label fesyen kontemporari tempatan dengan komuniti pengikut setia, Bayu Somerset berkembang pesat hanya dalam tempoh setengah dekad.
Terbaharu, cawangan ke-25 jenama ini dibuka secara rasmi di mercu tanda ikonik ibu kota iaitu Merdeka 118!
Bayu Somerset Buka Cawangan Ke-25

Cawangan ke-25 yang menjangkau keluasan 2,640 kaki persegi ini mencerminkan langkah strategik jenama berkenaan untuk memperluas empayar di hab komersial dan pelancongan bertaraf antarabangsa. Terletak di 118 Mall at Merdeka 118, lokasi premium ini membuka ruang keemasan bagi membolehkan Bayu Somerset menembusi pasaran yang lebih luas.
Sepanjang penubuhannya, Bayu Somerset telah membina kedudukan pasaran yang cukup teguh menerusi identiti rona ceria, keunikan motif cetakan tersendiri serta koleksi rekaan sedia pakai (ready-to-wear) yang ditawarkan pada harga mampu milik.
Melangkah ke hadapan, jenama ini menyasarkan untuk memiliki sebanyak 32 cawangan menjelang hujung tahun ini.
Menurut Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin, “Pembukaan cawangan baharu kami di Merdeka 118 merupakan satu pencapaian komersial yang amat bermakna, sekali gus menandakan ulang tahun kelima kami dalam industri.
View this post on Instagram

Langkah ini membolehkan kami mempertingkat pengalaman beli-belah pelanggan, menarik segmen pasaran baharu dengan lebih pantas, serta meletakkan jenama tempatan di tengah-tengah destinasi beli-belah dan gaya hidup terbaharu yang menjadi tumpuan di Kuala Lumpur.”
Jenama Bayu Somerset Lebar Sayap
Pembukaan cawangan terkini ini bakal menjadi batu loncatan utama bagi pelan pertumbuhan jangka masa sederhana dan panjang syarikat, dengan pasaran Asia Tenggara telah pun dikenal pasti sebagai destinasi seterusnya dalam fasa ekspansi perniagaan mereka.
Meskipun memacu pertumbuhan komersial yang pesat, strategi pemasaran Bayu Somerset tetap berpaksikan jati diri asal yang menjadi nadi kejayaannya selama ini. Faktor tawaran harga yang mesra poket, rekaan yang berani dan ekspresif, serta hubungan akrab bersama komuniti pelanggan setia kekal menjadi kekuatan utama jenama ini.

Reka bentuk cawangan ini ditata rias khas bagi memaksimumkan impak visual. Sekali gus memudahkan para pelanggan meneroka rangkaian penuh koleksi terkini dan cetakan eksklusif Bayu Somerset di bawah satu bumbung.
Bersempena pembukaan rasmi di Merdeka 118 pada 1 November lepas, Bayu Somerset menganjurkan majlis pelancaran penuh gilang-gemilang dan warna-warni. Acara berkenaan diserikan dengan pertunjukan koleksi khas, persembahan tarian kebudayaan oleh Akar Seni Malaysia, dan penampilan penyanyi popular, Iman Troye dan Aufahanie.
Cawangan terbaharu Bayu Somerset terletak di Tingkat 3, Lot-30 & 31, 118 Mall di Merdeka 118, Kuala Lumpur.

sekarang!

