Penyusuan badan merupakan detik teristimewa buat semua kaum ibu. Ada yang terpaksa menghentikannya pada peringkat awal kerana faktor kekurangan susu badan. Tidak kurang juga yang berdepan situasi sukar apabila si manja enggan berhenti menyusu badan.
Kebanyakan ibu mengakui proses bercerai susu merupakan satu pengalaman penuh emosi kerana merasakan perhubungan di antara anak dan ibu kian berjauhan. Hakikatnya, ia bagaimana pun tidak bererti bakal menamatkan ikatan mesra yang terjalin di antara kalian. Sebaliknya satu permulaan buat mereka untuk mencuba jenis makanan baru. Baik untuk bayi, ibu juga kini boleh kembali mendapatkan bentuk tubuh ideal.
Anak anda akan mula menikmati berbagai-bagai jenis makanan pada satu peringkat usia. Apabila wujud keadaan ini bayi akan kurang meminta susu badan dengan sendirinya. Setelah mencapai tempoh penyusuan selama dua tahun, anda sewajarnya berusaha untuk memudahkan proses bercerai susu dengan si kecil.
BAGAIMANAKAH CARA UNTUK BERCERAI SUSU?
- Biarkan bayi menghabiskan penyusuan sepenuhnya kemudian berikan mereka hidangan makanan dalam saiz yang kecil. Galakkan anak anda mencuba pelbagai rasa dan tekstur berbeza di samping mengandungi kuantiti zat yang diperlukan.
- Tabiat pemakanan bayi yang baik boleh dilihat melalui najisnya. Jika si manja tidak menunjukkan sebarang kesukaran untuk menerima makanan baru selain susu, teruskan usaha anda. Pada waktu makan, cuba berikan mereka makanan dahulu sebelum menyusu badan. Dengan cara ini si manja berupaya menukar cara pemakanan secara perlahan-lahan.
- Biasakan bayi dengan memberi air di dalam botol bermuncung lembut untuk menggantikan penyusuan badan.
Dianggarkan bayi akan mula bercerai susu di antara sebulan hingga enam bulan bergantung kepada penyesuaian bayi itu sendiri. Ibu akan berdepan tempoh yang lebih panjang jika tidak bertindak segera. Sebagai permulaan, boleh cuba mengelak memberi susu badan untuk melihat kemungkinan yang berlaku. Namun usah menolak permintaan si manja andai mereka masih mahu menyusu.
Apa yang harus anda lakukan adalah dengan mengurangkan pemberian susu badan dan dalam masa yang sama hanya beri ikut kemahuan bayi. Ibu turut disaran agar tidak menghentikan penyusuan badan serta-merta kerana ia akan mengganggu bayi dan kesihatan si ibu. Ini kerana berhenti menyusukan bayi secara terus akan membuatkan payu dara membengkak dan menyakitkan. Pun begitu, sabar dan tenang menghadapi situasi ini jika bayi tidak menunjukkan tanda untuk berhenti menyusu.
PENDEKATAN BUAT IBU DAN BAYI
1)BERI ALTERNATIF
Gantikan penyusuan badan dengan cara lain untuk memupuk anak anda berhenti menyusu dengan sendiri. Jika selama ini anda menyusukan bayi untuk mententeramkannya, cuba alternatif lain seperti membaca buku bersama-sama, menyanyi atau bermain. Memberi susu formula pada waktu ini juga boleh dilakukan secara perlahan-lahan.
2)LEWATKAN PENYUSUAN
Melewatkan penyusuan adalah efektif jika anak anda sudah cukup besar dan memahami penerangan anda. Andai si kecil minta disusukan, cuba alihkan tumpuan mereka kepada aktiviti lain. Jika kebiasaannya anda menyusukan mereka pada awal petang, lewatkan masa sehingga malam atau sebelum waktu tidur.
3)PILIH MASA YANG SESUAI
Ada ketika kaum ibu sukar untuk menghentikan penyusuan badan kerana beberapa faktor. Salah satu daripadanya adalah kerana kesihatan bayi. Lazimnya, bayi yang tidak sihat mahu menyusu lebih kerap. Tidak dinafikan penyusuan badan mungkin mendatangkan kebaikan bagi bayi yang sakit. Sebagai ibu, adalah sukar untuk anda menolak hakikat tersebut. Apa yang pasti, apabila kesihatan anak semakin baik teruskan usaha untuk menghentikan penyusuan badan. SUZIANA ABU DAUD