Tidak dinafikan pesona dan aura dramatis ini masih memikat hingga sekarang. Meskipun anak-anak sudah meningkat dewasa dan ada yang sudah mendirikan rumah tangga, kejelitaan milik Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih mesra dengan panggilan Kuza masih kekal menyerlah. Disifatkan seorang wanita berjiwa sederhana, Kuza ketika dihubungi Nona terbuka berkongsi perkembangan terbaharunya buat tatapan peminat.
Biarpun penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan industri seni tanah air namun rezeki Kuza dalam bidang ini tidak putus-putus. Satu demi satu tawaran berlakon diterimanya. Alhamdulillah! Baru-baru ini Kuza menjalani penggambaran drama Ustazah Robotik untuk siaran di Al-Hijrah.
Tidak bergantung kepada kerjaya seni semata-mata, Kuza turut sedang berusaha mendalami selok-belok dunia perniagaan. Ditanya aktiviti ketika berdepan situasi Covid-19, figura ini mendedahkan dia lebih selesa duduk di rumah jika tiada keperluan untuk berada di luar.
“Saya pun sama macam semua. Kalau tak ada kerja, saya lebih memilih tinggal di rumah. Kurangkan bercampur di tempat ramai orang dan aktiviti di luar. Kita tak boleh pentingkan diri sebab kena fikir di rumah ada anak-anak. Kalau kita dijangkiti balik rumah nanti, anak-anak juga yang kena. Jadi sebelum pergi mana-mana fikir dahulu mereka yang ada di rumah.”
November lepas, Kuza selamat menerima menantu apabila anak perempuannya iaitu Puteri Nazihah mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan. Bahkan, Mac lalu pula anak lelaki Kuza selesai mengikat tali pertunangan. Maknanya dapat menantu lagilah lepas ni.
Jarang berkongsi kisah peribadi di media sosial selama ini, pendedahan Kuza mengenai kisah hidup yang pernah dilalui sekitar Februari lalu mendapat reaksi pelbagai daripada peminat.
“Sudah lama saya simpan. Hampir 20 tahun saya simpan kehidupan saya. Setelah anak-anak sudah besar dan masing-masing sudah ada kerjaya, jadi sampailah masa untuk saya kongsikan kehidupan saya bersama peminat saya. Sebenarnya saya ingin memberi semangat pada yang senasib dengan saya. Saya ajar diri saya jangan banyak cakap tapi usaha biar lebih kerana hasil yang kita dapat tanpa kita bercakap banyak.
Alhamdulillah setakat ni belum ada kecaman lagi dari netizen. Tapi kalau ada pada masa akan datang, kena pandai kawal diri dan kalau boleh jangan cepat melenting. Kalau nak jawab pun kena jawab pakai fakta, jangan ikut hati dan pastikan masa nak jawab hati dalam keadaan tenang bukan dalam keadaan panas sebab apa yang kita jawab dalam hati yang panas, fikiran kita luar dari kawalan.”
Tambahnya lagi, keperitan hidup masa lalu tersimpan hikmah tersendiri buat dirinya dan anak-anak. Enggan terus meratapi kenangan lalu, Kuza bangkit menjalani hidup yang lebih bahagia di samping keluarga.
“Kekuatan saya adalah anak-anak. Bila tengok anak-anak, saya selalu tanam azam kena kuat dan mampu teruskan hidup walau macam mana susah sekalipun. Kita tak boleh tunjuk pada anak-anak yang kita lemah sebab kita ni ibu, pemberi semangat pada anak-anak di kala mereka dalam kesedihan, kekecewaan dan kesusahan.
Jadi kalau kita ibu sentiasa tunjuk pada anak-anak yang kita ni lemah, macam mana anak-anak nak dapat semangat. Saya kalau boleh, sedih pun saya tak nak anak-anak saya tahu sebab saya tak nak anak-anak merasa kesedihan saya.”
Tatkala diaju cara Kuza mendidik anak-anak hingga berjaya dan menjadi insan berpekerti baik, ini jawapan jujur selebriti cantik berkenaan. “Iyalah, ibu mana yang tak nak tengok anak-anak berjaya. Saya sedar saya ni bukannya senang dan taklah pandai jadi bila kita tahu kita ni bukanlah orang yang senang dan tak pandai, kita kenalah ubah nasib anak-anak.
Jangan jadikan anak-anak kita ni macam kita. Utamakan pelajaran kerana bagi saya ilmu tu penting. Begitu juga adab. Dengan adanya ilmu, kita ‘campak’ anak-anak dekat mana-mana pun inshaAllah mereka boleh survive.
Sebagai ibu kita kena ada plan masa depan anak-anak. Kita kena peka apa yang anak-anak kita minat. Dari situ kita dah boleh plan. Saya selalu berbincang, berkongsi pandangan dan rasa bersama-sama anak. Kena bagi semangat kepada mereka ini.
Jangan sekali-kali kita patahkan semangat anak-anak. Saya bersyukur kerana anak-anak saya sekarang dah ada kerjaya masing-masing. Alhamdulillah sangat. Semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat. Doa yang baik-baik untuk anak-anak,” telus ibu penyayang ini.
Bagi peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan Kuza, pasti mengagumi personaliti dan wajah cantiknya. Walau meniti usia 48 tahun Kuza masih anggun dan cantik dalam kelas tersendiri. Ditanya bagaimana dia memelihara kurniaan Allah itu, tiada apa yang mampu diucapkan selain mensyukuri nikmat yang diberi kepadanya.
“Sebenarnya tak ada apa-apa rahsia tampil awet muda pun. Saya bersyukur, alhamdulillah Allah bagi saya tubuh badan yang sihat. Jadi amanah bagi saya untuk menjaga. Saya selalunya berhenti makan sebelum kenyang.
Malam pula kalau boleh elakkan dari makan yang berat. Sekadar alas perut. Kalau ada masa, senaman jangan lupa. Ini bukan untuk kurus je tapi untuk stamina supaya kita tak cepat letih. Jadikan senaman ini macam rutin hidup. Selain itu, waktu tidur juga harus dijaga. Ibadah pun jangan lupa,” akhirinya.
Kredit foto: Instagram Kuza