Bagi peminat drama siri Charlie’s Angels era tahun 1970an dan 1980an pasti mengenali wanita yang membawa watak Kelly Garrett ini. Walaupun wanita cantik yang popular dengan nama Jaclyn Smith ini telah mencecah usia 75 tahun namun masih ‘disunting’ oleh pengarah filem untuk berlakon dalam filem mereka.
Jaclyn Smith merupakan bintang ‘Angels’ yang telah diundang untuk membuat penampilan kameo dalam filem Charlie’s Angels: Full Throttle (2003) dan Charlie’s Angels (2019), hebat bukan. Selain itu Jaclyn Smith turut mendapat perhatian jenama produk kecantikan ternama seperti Wella Balsam dan Max Factor sebagai jurucakap produk tersebut sewaktu zaman kegemilangannya dahulu.
Kagum melihat penampilan pelakon terkenal Hollywood ini yang tetap cantik walaupun sudah meniti usia 70an. Sudah tentu Jaclyn Smith ini begitu menjaga kecantikannya. Mungkin rahsia kecantikannya terdapat dalam set penjagaan wajah yang telah dilancarkan pada tahun 2010, kolaborasi bersama suami tersayang, Dr. Brad Allen.
Wanita cantik ini mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan pada tahun 1985 lagi dengan mengeluarkan koleksi pakaian dan aksesori yang dipasarkan di Gedung Kmart. Cita rasa Jaclyn Smith yang tinggi dalam penampilan membuatkan koleksi rekaannya sentiasa mendapat perhatian. Lihat saja, gaya wanita yang telah bercucu ini.
Kini, selain menguruskan perniagaannya Jaclyn Smith turut aktif dengan aktiviti kemanusiaan di bawah AbilityFirst untuk menyokong dan membantu kanak-kanak kurang upaya. Di samping kesibukan tugas hakikinya wanita cantik ini tetap berpeluang menghabiskan masa lapangnya dengan berkebun dan bermain dengan cucu.
Nama MUA Bellaz telah menjadi tular berikutan kepetahan Makeup Artist yang terkenal dari utara ini berkomunikasi dalam sesi tutorial solekan di laman media sosial miliknya. Ramai jurusolek muda telah mengangkat anak jati Tanjung Dawai, Kedah ini sebagai idola mereka dalam dunia solekan.
Walaupun begitu kejayaan MUA Bellaz tidak datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Bila sudah ‘senang’ dan berjaya MUA Bellaz tak pernah malu mengaku datang dari keluarga susah. Kejayaan yang berada dalam genggamannya sekarang bukan tiket untuk wanita ini terus mendabik dada bila sudah berada di kemuncak.
Niat wanita yang mempunyai pengikut berjumlah 1.3 juta di laman Instagram ini untuk membantu bakal pengantin yang kurang berkemampuan tetapi mahu tampil cantik di atas pelamin seperti orang lain telah disalahertikan. Ini ekoran dari kenyataan MUA Bellaz yang meletakkan kadar upah mekap ‘seikhlas hati’ buat bakal pengantinnya.
Kongsi MUA Bellaz, “Saya tiada niat lain bila keluarkan kenyataan upah mekap seikhlas hati melainkan mahu melihat pengantin gembira di hari bahagia mereka. Namun, bukan semua calon pengantin layak mendapat peluang sebegini. Saya hanya akan memilih calon pengantin yang benar-benar kurang berkemampuan sahaja.
Ada sesetengah mak andam fikir bila saya minta upah begitu akan jatuhkan market mak andam atau senang kita panggil macam value. Sedangkan apa yang saya cuba buat tu adalah untuk bantu orang yang betul-betul tak mampu tapi inginkan kelihatan cantik di hari bahagia mereka.
Bukan saya buat selalu, cuma sekali tu saja. Tapi tak apa lah saya tak marah pun siapa yang kecam. Sebab itu adalah hak mereka. Saya yakin kalau mereka faham niat sebenar saya mesti mereka akan support. Ini kerana saya buat ni adalah sebahagian amal jariah membantu orang-orang yang inginkan sentuhan dari MUA Bellaz tapi tak mampu. Sebab tu saya buka peluang untuk orang yang benar-benar memerlukan,” ulas MUA Bellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini.
MUA Bellaz mula meneroka bidang solekan sejak mengandungkan anak pertamanya Iris Alisya 6 tahun dahulu. Malah wanita berdarah kacukan Turki-Melayu ini juga sudi menitipkan nasihat kepada 9 peserta Fabulous MUA yang bersiaran di episod 1 tempohari.
Isteri kepada Anuar Ahmad ini menceritakan pengalamannya mula bertatih di media sosial sebagai jurusolek, “Saya bermula dengan Facebook Live. Masa itu belum ada lagi jurusolek yang membuat tutorial mekap di Facebook Live. Kalau nak berjaya kita kena buat sesuatu yang orang belum buat lagi.
Mula-mula saya kongsi ilmu, orang akan follow kita sebab nak belajar. Start daripada situ saya bina nama dan kerjaya dalam bidang ini. Daripada situ nama saya terus berkembang sehingga sekarang.
Tapi yang penting kena ada keyakinan. Kalau nak buat facebook live malu atau segan semua kena tolak tepi, kita kena kebal kecaman. Kalau masuk dalam dunia mekap ni hati kena sado. Kecaman tu perkara biasa bagi saya tapi, kalau nak berjaya kena banyak sabar.
Tipu kalau kata saya tak pernah menangis. Saya juga ada pernah menangis bila ada klien pernah tarik diri hanya semata-mata disebabkan fitnah. Tapi nak buat macam mana kita kena kuat, pengalaman dijadikan pengajaran,” tutur MUA Bellaz yang baru berusia 27 tahun ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang seronok melihat tiga beranak ini kala beraksi di laman Instgram. Sekali pandang mereka umpama adik-beradik kerana si ibu nampak muda dan anak-anak pula cepat membesar. Boleh berkongsi baju dengan si sulung sudah menunjukkan Pengarah Kreatif Sendayu Tinggi ini tidak percaya betapa cepatnya masa berlalu.
Noor Hayati Kamarzaman atau lebih mesra disapa Yatie ini, mementingkan pendidikan terhadap dua orang anak perempuannya ini dan mahu memberi pendidikan yang seimbang kepada anak-anaknya. “Saya akui sebagai ibu moden corak mendidik anak berbeza dengan dahulu. Saya dahulu dididik oleh seorang ibu yang garang dan tidak pernah menyalahkan ibu kerana ketika itu dia masih muda dan sedang bertatih membina empayar perniagaannya. Memang kami dididik dengan penuh kekerasan namun, benar kata orang, setiap anak yang lahir sesuai dengan kehidupan kedua ibu bapa mereka.
Kata ibu, jika dia tidak garang mendidik kami dahulu sudah pasti kami tidak menjadi seperti sekarang ini. Saya masih ingat lagi ketika baru tamat persekolahan, saya memang takut untuk memandu kereta. Tetapi, ibu memaksa saya untuk mengambil lesen kereta kerana katanya seorang wanita perlu tahu memandu kereta untuk kehidupan masa akan datang. Dalam ketakutan akhirnya saya berjaya mengatasi fobia dan lulus ujian memandu ketika itu.
Perkahwinan saya juga ditetapkan ibu dan saya akui apa yang diaturkan oleh orang tua itu sentiasa mendapat restu dan bahagia. Saya sedikit pun tidak membantah dan percaya dengan pilihan orang tua. Semua orang ketika remaja pasti pernah bengang dengan ibu bapa mereka, tetapi kenapa kita tetap balik ke rumah dan kenapa bila bersama ibu kita merasa tenang? Jawapannya adalah kerana ibu adalah segala-galanya dalam hidup seorang anak.
Walaupun begitu, corak pendidikan yang saya terapkan terhadap anak-anak jauh berbeza dengan ibu sendiri. Saya lebih selesa memilih pendekatan lebih diplomasi dalam mendidik mereka dan tidak pernah naik tangan apatah mencubit ke tubuh mereka.
“Memang saya lembut dalam mendidik anak-anak tetapi itu tidak bermakna saya berlembut dalam semua perkara. Ada juga perkara yang kita perlu bertegas dengan mereka. Saya tidak menolak kemajuan teknologi yang terdedah dengan permainan gajet. Namun saya telah menetapkan ada masa-masa yang tertentu untuk anak-anak bermain dengan gajet atau melayari Internet.
Syukur kerana kedua-dua anak perempuan saya patuh segala arahan kami suami isteri. Kalau boleh saya mahu anak-anak menganggap kami sebagai kawan yang boleh berkongsi tentang apa sahaja. Ibu bapa yang terlalu garang kadang-kadang boleh menghasilkan anak-anak hipokrit namun, bukan semua begitu. Saya tidak mahu anak-anak saya nanti melebihkan kawan-kawan berbanding dengan ibu bapa sendiri dan takut pengaruh kawan-kawan melebihi segalanya,” ujar Yatie yang menganggap anak-anak adalah anugerah yang tidak terhingga kerana hanya selepas lima tahun berkahwin baharu dikurniakan anak.
Wanita yang berusia 34 tahun ini lebih selesa hidup secara sederhana dan tidak mahu anak rasa lahir dalam periuk emas serta sentiasa menitik-beratkan pendidikan tentang ilmu dunia dan akhirat. “Apa-apa sahaja nanti pasti akan berbalik kepada agama. Asas agama yang kukuh akan memimpin kehidupan seorang itu ke arah yang lebih baik dan sempurna. Pendidikan agama perlu seimbang dengan pendidikan dunia dan saya tidak pernah memaksa anak-anak kerana memang tidak seronok apabila dipaksa-paksa. Sebagai contoh saya tidak memaksa anak-anak untuk sembahyang dan memakai tudung tetapi ia datang dari dirinya sendiri,” ungkap ibu kepada Noor Uzma Raisah Mohamad Zaidi, 10 tahun dan Noor Aleya Baheerah Mohamad Zaidi, 7 tahun ini.
*Kredit foto: Instagram @yatie_sendayutinggi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jalan hidup kita, suka atau duka, semuanya telah disusun cantik oleh Allah. Sejak berkahwin pada tahun 2018, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang usahawanita terkenal tanah air.
Jika dahulu, Fazura sekadar mengusahakan butik fesyen House of Doll, kini beliau berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama gaya hidup dan Muslimah seperti Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly (jenama yang diusahakan bersama Puteri Zarith) serta yang terbaharu, Fazura Beauty Water.
Penghijrahan bagi Fazura sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.
Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya pada 4 tahun lalu, Fazura akui dirinya berasa sungguh tenang. Malah, Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura merupakan antara orang terawal, yang gembira melihat perubahan aktress berusia 40 tahun itu.
“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!” Fazura
Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah yang sejati.
“Of course everyone has their own struggle. Macam saya semasa baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik. Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.” Fazura.
Paling menyentuh hati, Fazura sangat bersyukur kerana perniagaan tudung yang dijalankan sedikit sebanyak membuka hati segelintir kaum wanita untuk mula belajar menutup aurat.
Sebagai salah seorang selebriti popular yang pernah menerima banyak anugerah, laluan Fazura dalam dunia keusahawanan terbentang luas menggunakan platform peminatnya yang ramai. Terkini, jumlah pengikut beliau mencapai 5.7 juta di Instagram dan 460,000 di TikTok!
Ibu kepada si comel Nur Fatima Aisya itu juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Bersangka baik dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali.
Pun begitu, sebagai wanita yang sering diangkat sebagai ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?
“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.
Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail hijab yang berbeza.”
Bersyukur kerana bukan sahaja dapat membantu membuka pintu hati para wanita untuk berhijab, perniagaan Tudung Fazura juga turut membantu orang lain, khususnya stokis dan ejen menjana pendapatan semula.
“Kebanyakan ‘besties’ saya ialah golongan suri rumah yang ingin membantu suami menjana pendapatan. Saya bangga dengan kejayaan mereka yang sama-sama mendukung jenama Tudung Fazura serta produk-produk saya yang lain.
Ini membakar semangat saya untuk terus menghasilkan produk pada harga mampu milik yang sesuai untuk semua.”
Untuk rekod, tudung Fazura antara jenama hijab Malaysia yang mencipta fenomena, menjadi rebutan dan koleksi ramai, sekaligus menjemput lebih ramai Muslimat menutup aurat. Melalui bisnes yang dibangunkan itu juga, Fazura berjaya membantu ramai wanita lain.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.