
Tidak cukup dengan hanya checked in di lapangan terbang, sikap segelintir masyarakat yang suka ‘menayang’ boarding pass di media sosial sebenarnya ibarat membuka pintu pagar rumah untuk dimasuki sesiapa saja.
Fizikalnya kad boarding pass hanya tertulis maklumat penerbangan seperti nama penumpang, nombor penerbangan, destinasi, nombor tempat duduk dan nombor pintu berlepas.
Nampak biasa saja, kan? Tetapi tahukah anda bahawa ia perlu dijaga sebaik mungkin, tidak boleh dibuang sembarangan apatah lagi ‘ditayangkan’ di media sosial?
Ya, kata pakar forensik Winston Krone, setiap boarding pass mengandungi kod bar khas yang tertulis maklumat yang lebih peribadi seperti nama, alamat rumah, alamat e-mel dan nombor telefon.
Jika kod bar ini sampai ke tangan orang yang salah, dengan mudahnya para penggodam dapat menyalahgunakan maklumat peribadi dan perbankan anda.
Caranya, apabila kod bar diletakkan pada bar code reader, semua maklumat ini akan dapat dilihat.
Oleh itu, pastikan kad tersebut disimpan dengan selamat sebelum, semasa atau selepas penerbangan. Kemudian lupuskannya dengan cara mengoyak atau membakarnya agar kod bar itu tidak dapat dilihat oleh orang lain.
Paling penting, elakkan sama sekali berkongsi gambar boarding pass anda walaupun dengan apa tujuan sekali pun. Mencegah lebih baik daripada mengubati okey!
“Apabila Tahu Suami Kerabat Diraja Saya Menjauhkan Diri,” Cerita CP Syamim Mula-mula Tahu Status Suaminya

Siapa yang tidak kenal seraut wajah lembut yang menghiasi kaca televisyen ketika melakonkan drama Kan Kukejar Cinta Kamu bersama Amyra Rosli dan Fendy Bakry ini.
Dianugerahkan bakat semula jadi dengan pakej seraut wajah manis, pasti menambat hati setiap mata yang memandang. Selepas lebih setahun melangsungkan perkahwinan dengan suami tersayang, YM Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Al-Haj, kehidupan berumah tangga banyak mengajar erti sebuah kehidupan buat Che Puan Syamim Farid.
Cerita Syamim ketika mula-mula tahu tentang status sebenar suaminya, “Saya jadi takut dan mula menjauhkan diri. Saya sedar hanya orang biasa dan takut untuk berkawan dengannya.
Tetapi apa yang saya bayangkan nyata berbeza dengan realiti. Kesungguhan Ezrique dan karakternya yang sangat merendah diri benar-benar menambat hati kecil saya untuk terus mengenalinya.
Namun ketika itu dia masih mengelak jika ditanya tentang keluarga. Selepas bertunang, barulah dia agak terbuka bercerita tentang hal-hal yang lebih peribadi,” ujar Che Puan Syamim yang merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini.
Masyarakat sering dijaja cerita dengan institusi diraja yang dikawal ketat dan ke mana sahaja kaki melangkah sudah pasti ada yang mengekori. Serba-serbinya mengikut adat dan istiadat. Tiada sesuatu pun boleh dilakukan sesuka hati dan kebebasan terkawal.
“Secara jujurnya kedua-dua ibu dan bapa mertua saya sangat merendah diri dan menerima kehadiran saya dalam keluarga dengan tangan yang terbuka.
Kemesraan yang ditonjolkan dalam keluarga suami membuat saya mudah membiasakan diri dengan keluarga diraja. Adat dan protokol istana hanya berlangsung apabila menghadiri majlis yang melibatkan golongan istana.
Sebelum berkahwin ibu mertua sudah memberitahu serba sedikit apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat. Selepas berkahwin segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Malah sepanjang perkahwinan pun ibu mertua banyak memberi tunjuk ajar agar saya lebih memahami adat di dalam istana.”
Tambahnya, protokol istana yang agak sukar adalah cara menyembah dalam bahasa istana atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami adalah memberi salam. “Sebenarnya tidaklah sesusah mana tetapi takut melakukan kesilapan. Mungkin tidak timbul kesalahan tetapi nampak macam tidak biasa sahaja.
Kalau tiada majlis di istana, kami menjalani kehidupan macam orang biasa yang lain. Suami pula seorang yang merendah diri. Sikap yang ditonjolkannya membuat saya berasa selesa. Mungkin pada permulaan saya rasa agak janggal tetapi lama-kelamaan rasa janggal itu hilang dan saya boleh menerima dengan baik sebarang perubahan dalam kehidupan ini,” terang wanita yang baru berusia 27 tahun ini.
Walau Tengku Ezrique jarang beraksi di depan lensa kamera tetapi kelihatan selesa dan tidak janggal lebih-lebih lagi apabila bergandingan dengan isteri tersayang yang sudah biasa dengan bidikan kamera.
Darah diraja mengalir di tubuh Tengku Ezrique setelah termeterai perkahwinan di antara kedua ibu bapanya, YDM. Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah Alhaj Tengku Seri Paduka Shahbandar dan Toh Puan Datin Siti Rahilah Mohd Hashim.
Moyang Tengku Ezrique merupakan Sultan Selangor kelima, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah Ibni Al-Marhum Raja Musa Al-Haj. Manakala Y.A.M. Tengku Abdul Hamid Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah merupakan datuk kepada Tengku Ezrique.
Suka Luang Masa Di Dapur, Menu Sweden CHE PUAN SOFIE Buat Ramai Kecur!

Beruntungnya Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Bukan sahaja dikurniakan seorang isteri cantik menawan dan baik budi pekerti, bahkan ‘pandai’ menjaga perut suami tercinta. Ada sahaja masa terluang, pasti Che Puan Sofie menghabiskan waktu di dapur dengan air tangan dan sajian dari Sweden.
Terbaru, beliau berkongsi hidangan menyelerakan Sweden iaitu Smorgastarta di Instagram miliknya. Anggun berbaju kurung biru dan berselendang kuning cair, Che Puan Sofie tidak kekok menyediakan makanan tersebut.
Menurutnya, sajian Smorgastarta tidak hanya popular di Sweden, Estonia, Finland dan Iceland. Ia adalah sejenis hidangan kek yang menyerupai sandwic tetapi sarat dengan pelbagai isi dan hiasan.
Antara bahan-bahan yang digunakan termasuk buah tomato, timun, telur rebus, udang, keju dan kepingan ayam. Memang nampak sedap dan sihat!
Mengintai aktiviti Che Puan Sofie, isteri Tengku Mahkota Kelantan ini juga pernah menyediakan aneka hidangan dan berkongsi juadah berkenaan di laman media sosial.
Misalnya pada Ramadan yang lalu, beliau menyantuni orang ramai semasa jualan amal ‘meat ball’ dan ‘cinnamon bun’ hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan di Kota Bharu.
Difahamkan sebanyak 7 kilogram daging digunakan untuk jualan ‘meat ball’ berkenaan. Lebih manis, meskipun sibuk dengan jualan amal tersebut beliau tetap menyediakan
sajian berbuka puasa buat suami tercinta.
Che Puan Sofie Louise Johansson sah bergelar isteri YAM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra pada tanggal 19 April 2019.
Sumber: Instagram Che Puan Sofie Louise Johansson
OSTEOPOROSIS Tidak Kira Peringkat Umur, Jadi Wanita Aktif Untuk Elak Masalah Ni!

Sekurang-kurangnya 74% daripada rakyat Malaysia hari ini mengamalkan gaya hidup sedentari. Peratusan ini sememangnya cukup mengejutkan serta membimbangkan. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gaya hidup sedentari?
Gaya hidup sedentari merupakan amalan hidup tanpa aktiviti fizikal atau kurang melakukan aktiviti fizikal. Kebanyakan masa dihabiskan dengan duduk, menonton televisyen, menggunakan komputer dan tidur. Penggunaan mesin dan sistem automasi yang semakin meningkat di dalam kehidupan harian mengurangkan keperluan untuk kita melakukan aktiviti fizikal. Teknologi moden abad yang ke-21 membolehkan kita melakukan hampir segala-galanya dengan hanya menekan butang. Meskipun ia menyenangkan hidup kita namun kemudahan ini membawa kesan yang kurang sihat.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan II melaporkan bahawa hanya 11.6% daripada responden dewasa di Malaysia kerap melakukan aktiviti fizikal secara bersenam dengan secukupnya. Kajian selanjutnya mendapati bahawa rakyat dewasa Malaysia menghabiskan sekurang-kurangnya 41% daripada hari mereka dengan duduk serta 33% lagi dengan tidur atau berbaring. Ternyata, angka ini amat membimbangkan. Meskipun terdapat usaha yang ketara oleh rakyat Malaysia untuk mengamalkan tabiat yang sihat, hakikatnya usaha ini tidak mencukupi untuk melindungi mereka daripada kesan negatif gaya hidup tanpa aktiviti fizikal dan pemakanan tidak seimbang.
PUNCA OSTEOPOROSIS
Gaya hidup sedentari boleh menimbulkan banyak masalah kesihatan yang serius dan melemahkan badan antaranya ialah penyakit kardiovakular, obesiti atau kegemukan serta diabetes. Di samping itu juga, ia telah dikenalpasti sebagai faktor risiko keempat bagi kadar kematian global. Bagaimanapun, tahukah anda bahawa gaya hidup sedentari juga boleh menyumbangkan kepada masalah tulang yang lemah?
“Tulang kita adalah tisu hidup. Sungguhpun ia nampak keras, tulang kita sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula,” kata Dr. Chin Chee Howe, Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma di Gleneagles Kuala Lumpur dan Advanced Neuroscience and Orthopaedic Clinic.
Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan tulang. Kita perlu mula mengambil langkah untuk melindungi tulang sejak dari muda sebaik-baiknya sebelum jisim tulang mencapai puncaknya. Proses pembentukan semula tulang menggantikan tisu yang mati atau rosak membolehkan kita untuk hidup sihat dan aktif.
Kekurangan jisim tulang yang berterusan boleh mengakibatkan osteoporosis iaitu satu proses yang tidak boleh dikembalikan. Hasil penyelidikan Fonterra yang dijalankan secara berterusan untuk pelbagai kempen komunikasinya mendapati bahawa wanita Malaysia memandang ringan terhadap masalah kemerosotan tulang. Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa tanggapan ini boleh membawa kesan pada masa depan.
Wanita Malaysia yang lebih muda terus percaya bahawa kemerosotan tulang adalah satu keadaan yang hanya dialami oleh orang tua. Kebanyakannya menunggu hingga melihat tanda amaran atau merasai kesakitan sebelum mengambil tindakan. Satu-satunya cara untuk melindungi tulang kita ialah mengamalkan diet seimbang dan gaya hidup sihat. Bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan keperluan kalsium harian dipenuhi.
PRODUK TENUSU
Aktiviti fizikal penting untuk membina dan mengekalkan jisim tulang serta membolehkan kita meregangkan dan menggunakan potensi tulang sepenuhnya. Melalui aktiviti fizikal kita dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan mental. Selain aktiviti fizikal, pengambilan kalsium yang mencukupi setiap hari juga penting. Selain susu berkalsium tinggi, yogurt dan keju juga kaya dengan kalsium. Ambil vitamin D secukupnya bagi membantu penyerapan kalsium dalam badan.
Menjelang tahun 2050, lebih daripada 50% keretakan tulang pinggul diramalkan berlaku di Asia. Jumlah keretakan tulang pinggul akan meningkat disebabkan populasi penduduk yang kian meningkat. Kos keseluruhan untuk merawat keretakan tulang disebabkan oleh osteoporosis juga semakin meningkat. ,Kemerosotan tulang adalah proses sepanjang hayat. Amalkan gaya hidup dan tabiat makan yang sihat sejak awal. Sudah tiba masanya untuk anda bangun dari sofa dan mula mengambil langkah proaktif untuk melindungi tulang. Mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati.