“Mommy, mulut adik sakitlah!” rungut anak lelaki saya sambil menunjukkan ulser besar di bibir bawahnya.

Memang itulah lumrahnya bila berpuasa, tak kira kanak-kanak ataupun orang dewasa, masalah ulser mulut sering berlaku akibat dehidrasi dalam badan.

IKLAN

Ulser mulut adalah luka kecil di dalam bahagian mulut yang sangat sakit dan ia mengambil masa beberapa hari untuk sembuh. Pesakit biasanya akan mengalami ketidakselesaan ketika makan, minum ataupun bercakap.

Selalunya ulser di dalam mulut tidak berjangkit dan boleh baik dengan sendirinya selepas beberapa hari.

Namun kata Doktor Telinga, Hidung & Tekak, Dr Ezalry M. Sallih (klik sini), ulser mulut tidak sepatutnya dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan.

Saya selalu pesan kepada pesakit. Jika alami luka atau ulser di dalam mulut lebih daripada sebulan, segera periksa doktor.

Iya. Mungkin ia hanya ulser biasa saja. Boleh sembuh dengan sendiri.

Tetapi anda perlu juga bimbang kerana itu mungkin petanda awal kanser mulut. Lebih tinggi risiko jika anda merupakan seorang:

  • Lelaki (dua kali ganda risiko)
  • Merokok
  • Mengamalkan minuman alkohol
  • Berusia

Ulser yang ada di dalam mulut pastinya membuatkan kita menjadi tidak selesa sehingga boleh mengganggu rutin harian. Rasa sakit yang disebabkan ulser juga membuatkan seseorang menjadi sukar untuk makan, minum ataupun bercakap.

Antara faktor yang menyebabkan terjadinya ulser adalah luka dari tergigit bahagian mulut atau kecederaan terkena sesuatu benda dengan tidak sengaja.

Bagi merawat ulser, seseorang perlu mengenal pasti punca ianya berlaku ataupun hadir ke klinik dan hospital terdekat bagi mendapatkan rawatan.

Ulser bukanlah sejenis penyakit tetapi boleh menjadi satu petanda atau simptom kepada sesuatu penyakit yang sedia ada dalam badan.

Punca ulser mulut

Ulser dalam mulut

Terdapat beberapa faktor dan punca yang menyebabkan ulser mulut berlaku. Antaranya luka pada bahagian mulut disebabkan gosok gigi dan juga tergigit.

Mulut yang sensitif kepada makanan yang berasid seperti strawberi, limau dan nanas juga boleh menyebabkan ulser mudah terjadi.

Dalam pada itu, kekurangan vitamin terutamanya vitamin B12, folate dan zat besi boleh mnyebabkan mulut anda terkena ulser.

Faktor-faktor lain berlakunya ulser pada mulut anda juga berpunca daripada dental braces dan jangkitan bakteria, virus ataupun kulat.

Jangkitan virus yang menyebabkan penyakit kaki, tangan dan mulut juga boleh menyebabkan masalah ini. Kanak-kanak terutamanya selalu menghadapi masalah ini.

Ulser di dalam mulut juga mungkin menjadi salah satu tanda individu tersebut mempunyai penyakit yang lebih teruk seperti:

  1. Keradangan usus (Inflammatory bowel disease)
  2. Kencing manis
  3. Systemic Lupus Erythematosus
  4. HIV/AIDS
  5. Kanser mulut

Ulser mulut yang terlalu lama mungkin boleh disebabkan kanser. Oleh itu, bagi mereka yang mengalami masalah ini lebih daripada dua hingga tiga minggu, pesakit dinasitkan untuk berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan yang lanjut.

Bila perlu berjumpa dengan doktor?

  • Ulser mulut yang lebih daripada dua hingga tiga minggu
  • Ulser mulut yang tidak sakit (Salah satu tanda sifilis)
  • Ulser yang sampai ke bahagian bibir
  • Ulser tersebut terlampau sakit (Salah satu tanda jangkitan virus herpes)
  • Susah untuk makan dan minum

Rawatan ulser mulut

Ulser mulut yang biasa selalunya boleh baik dengan sendirinya. Selalunya, ia akan mendatangkan masalah kepada pesakit kerana rasanya terlalu sakit.

Tip Kurangkan Sakit

  • Kumur dengan air garam
  • Meletakkan susu magnesium pada ulser tersebut
  • Menggunakan gel yang boleh disapu pada bahagian ulser untuk mengurangkan sakit yang boleh didapati di farmasi berhampiran.
  • Letak ais pada ulser tersebut

Tip Elakkan Ulser

  1. Mengelakkan makanan yang akan merengsakan bahagian mulut. Cuba kurangkan pengambilan nanas, anggur, oren dan lemon. Jika anda asyik mengalami masalah ulser mulut, cuba kurangkan pengambilan buah-buahan tersebut.
  2. Cuba elakkan bercakap ketika makan untuk mengelakkan tergigit lidah ataupun bahagian dalam mulut ketika bercakap
  3. Gunakan berus gigi yang tidak terlalu keras
  4. Elakkan daripada mengambil air yang terlalu panas

Kredit: Dr Ezalry M. Sallih