Sana sini sibuk dengan persiapan fizikal. Tidak pernah-pernah membawa diri ke spa, alih-alih untuk hari bahagia nanti, rutin bertukar hanya untuk kelihatan berbeza.

Seringkali, kaum lelaki lebih mementingkan persediaan zahir dan dia juga sibuk menasihati bakal isteri untuk bersedia zahir dan batin. Namun, ramai lelaki terlepas pandang akan persediaan mental yang perlu mereka lakukan.

IKLAN

Bertahun-tahun hidup sendirian, kini seluruh hidup mereka akan dikongsi. Bersediakah anda menjadi suami?

(a) Lupakan masa lalu

Apabila anda bersedia untuk mengahwini seorang wanita bermakna anda perlu bersedia melupakan setiap kisah masa lampau. Perjalanan yang perlu dilalui bersama bakal isteri sepanjang hayat tidak memerlukan kisah silam anda untuk bahagia.

Bahkan, ia hanya mampu mengundang bencana dalam perkahwinan. Baik kekasih lama atau teman wanita yang pernah rapat dengan anda, perlu anda lupakan.

(b) Bina kasih sayang

Dasar cinta yang diungkapkan kepada bakal isteri menuntut komitmen anda sepenuhnya. Sayangi bakal isteri sepertimana yang anda janjikan.

Tunjukkan kasih sayang anda dalam cara yang kreatif, kerana kelebihan ini akan menambahkan kasih dalam perkahwinan anda. Jika sewaktu bercinta ramai sibuk ber-dating, serapkannya lagi dalam perkahwinan.

Biarkan bakal isteri anda ternanti-nanti hari istimewa itu. Ungkapan ‘thoughts that counts’ sering didengari tetapi jika pasangan anda dihargai dengan pemberian hadiah, hubungan itu lebih istimewa dan bahagia.

(c) Jadilah L.E.L.A.K.I

Anda perlu sedar tanggungjawab untuk meletakkan satu standard kehidupan dalam keluarga. Sebagai ketua keluarga, anda perlu tahu cara untuk membawa diri sebagai suami dan menjadi ketua yang baik sebagai tauladan buat isteri dan anak-anak.

Perkahwinan menjadi keutamaan anda dari setiap perkara dala kehidupan. Kasih sayang yang dicurahkan pula kekal selama-lamanya.
Biasakan diri dengan suasana baru

Setelah bertukar status, kehidupan akan menjadi lebih mencabar terutamanya untuk anda berada dalam kedudukan selesa. Anda akan meluangkan lebih banyak masa bersama isteri berbanding kawan-kawan.

Masa anda ke gimnasium, bermain badminton atau ‘lepak’ bersama rakan-rakan bukan lagi satu aktiviti yang boleh dilakukan setiap hari seperti dulu.

Anda tidak boleh terus meninggalkan aktiviti ini secara total tetapi lakukannya perlahan-lahan. Anda perlu mencuba dan sentiasa ingat bahawa anda kini sudah dimiliki dan mempunyai tanggungjawab lebih besar kepada keluarga.

IKLAN

(d) Jangan ‘cakap lepas’

Hubungan anda dengan rakan-rakan biasanya lebih kasar. Melalui percakapan juga lelaki dilihat tidak terlalu menjaga tutur kata mereka. Apabila sudah beristeri, apa yang dituturkan perlu ditapis terlebih dahulu, bimbang akan mengecilkan hati mereka.

Belajar mengawal diri dan jadi suami yang bijak berfikir dahulu sebelum berkata-kata.

(e) Kambus sifat angkuh

Tidak ada faedahnya jika anda berlaku sombong kepada isteri. Sebelum berfikir untuk mendirikan rumahtangga, anda perlu buangkan sifat angkuh dalam diri.

IKLAN

Paling penting, anda tidak boleh membanding-bandingkan apa yang dipunyai anda dengan isteri kerana apa yang anda miliki adalah satu perkongsian bersama isteri dan anak-anak.

(f) Jadikan anda semangatnya

Bagaimana anda menerimanya dahulu, begitu juga anda menghargainya kini. Apabila menjadi sepasang suami isteri, beri sepenuh semangat anda kepadanya.

Sokong minat dan hobinya agar dia sentiasa yakin dengan dirinya. Cuba menyelami keseronokan minatnya sebelum anda terus menyekat apa yang disukai.

(g) Kendali emosi dengan baik

Tidak ada wanita di dunia ini mahu bertemankan lelaki atau suami pemarah dan kasar. Sebagai lelaki, anda perlu belajar memahami sisi sensitif seorang wanita.

Harga diri dan ego seorang lelaki tidak boleh dipisahkan cuma gunakan pada masa sesuai. Seorang wanita memerlukan seorang lelaki atau suami yang selesa didampingi dan menenangkan.

(h) Tanam sifat matang
Ada sesetengah lelaki yang masih tidak matang walaupun usia sudah mencecah 30-an. Kematangan seorang lelaki diukur daripada cara dia menyelesaikan masalah dan mengendalikan sesuatu situasi.

Suami yang matang mampu mencuri hati wanita dan ia selalunya kelihatan seksi pada wanita seorang wanita. Tidak mustahil, jika sifat ini sukar ditanam, perkahwinan anda pasti tidak memberikan kebahagiaan kepada si isteri. KR

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI