‘Diam itu lebih baik. Padanya kamu belajar menghayati tawakal dan ketulusan.’ Allahu, deep sungguh pesanan Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa ini biarpun simboliknya harus direnungi dengan mata hati!
Satu persatu kisah dugaan perkahwinan masyarakat bertebaran di serata maya. Pekung emosi yang terpendam akhirnya terbuka, menyerlahkan ruang-ruang aib yang selama ini tertutup kemas.
Sama ada hendak menegakkan keadilan atau membalas kesakitan, tujuannya hanya empunya badan yang tahu.
Dalam satu hantaran video Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa, wanita bijak yang merupakan isteri Ustaz Dr Azahar Yaakub ini berkongsi pesanan beliau kepada semua wanita.
Tidak semua perkara mampu dijelaskan. Tidak semua perkara juga mampu difahami oleh setiap orang.
Kerana ‘mengalami’ dan ‘tidak mengalami’ itu bezanya amat besar. Belajarlah tawakal kepada Allah.
Menguruskan ikhtiar hidup sesuai dengan ujian atau persoalannya, dengan memohon pertolongan Allah SWT. Tidak semua yang kita mahukan akan berlaku. Allah Yang Maha Besar.
Bertawakallah.
Kadang-kadang lebih mudah menerima kita diaibkan kerana kita sudah siap memberikan kemaafan dan doa yang tulus untuk mereka, daripada kita yang mengaibkan kerana tidak mudah untuk mendapatkan kemaafan orang lain.
Banyak prinsip hidup yang ustazah pelajari daripada pengalaman. Banyak yang mahu diluahkan di hadapan makhluk tetapi memilih untuk meluahkannya di hadapan Khaliq kerana yakin segalanya dalam genggaman-Nya.
Bertenanglah, nikmati hidup pada sisi yang mendamaikan hati kita. Adapun, ribut-ribut kecil yang Allah hadapkan, laluilah sementara ia berlalu pergi. Tidak ada taufan yang berkekalan. Banyak tamadun yang bangkit lebih gagah selepas keruntuhan.
Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.
Perkongsian Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa mendapat banyak respons daripada pengikutnya yang rata-rata bersetuju dengan pandangan tersebut. Dengan bermuhasabah dan menyerahkan takdir kepada Allah bukanlah tanda kekalahan.