Tahniah buat mereka yang baru dinaikkan pangkat sebagai ketua di pejabat. Ia merupakan sesuatu yang paling dinantikan dalam sejarah kerjaya kita.

Tapi perlu diingat, menjadi ketua, sekaligus meletakkan diri anda sebagai seorang pemimpin. Mahu atau tidak, anda menjadi role model untuk staf bawahan anda.

IKLAN

Setiap gerak-geri, tindak tanduk, tutur kata dan tindakan menjadi perhatian dan ikutan. Oleh itu, anda perlu berada pada standard yang sepatutnya.

Membina kredibiliti sebagai pemimpin bukan sesuatu yang mudah, pelbagai aspek perlu diambil kira. Namun ia cukup berbaloi, anda akan earn the respect daripada pekerja anda. Segala tugasan dan arahan dari anda mudah terlaksana.

Bagi mereka yang lahir dengan sikap pemimpin, anda cukup beruntung. Bagi yang tidak, anda tidak perlu gusar. Belajar daripada mereka yang berjaya dan timba ilmu dari pengalaman kerja anda.

Untuk menjadi ketua yang berjaya anda perlu ingat,

Anda adalah ketua, bukan raja

Sekiranya anda mempunyai persepsi menjadi ketua bakal dibekalkan dengan pejabat mewah, kereta besar, atau pelbagai kemudahan yang lavish, buangkan persepsi executive-itis anda itu jauh-jauh. Anda perlu lebih fokus dengan beban tanggungjawab yang bakal dihadapi serta kumpulan yang bakal anda pimpin. Bukan memasang angan-angan hidup bagaikan seorang raja!

Dihormati, bukan disukai

Leadership bukanlah suatu pertandingan mengejar populariti. Ketua yang berjaya mementingkan rasa hormat daripada pekerja, bukan membina persahabatan. Tetapi sekiranya anda memperolehi kedua-duanya daripada pekerja anda, itu merupakan suatu bonus. Jangan terlalu risau dengan pandangan mereka dalam keputusan yang anda buat. Sekiranya untuk kebaikan semua, teruskan sahaja.

Belajar untuk menggalakkan prestasi positif

Objektif tugas tercapai hanya dengan usaha positif pekerja anda. Pengurus dari semua peringkat perlu meletakkan matlamat kerja yang jelas, memberi maklum balas yang membina, dan memberi tumpuan tentang isu prestasi. Menggalakkan prestasi yang positif bermaksud melatih pekerja dengan skil yang diperlukan, memberi ganjaran bagi pekerja yang cemerlang, menekankan aspek kobolarisasi dan kerja kumpulan serta menyingkirkan segala masalah.

Hargai pendapat pekerja

Belajar bagaimana dan bila untuk melibatkan staf anda dalam membuat keputusan. Bagi pekerja yang telah lama berada di dalam syarikat, pengalaman dan pengetahuan mereka tentang syarikat hanya di hujung jari mereka. Sekiranya anda seorang ketua yang baik, mereka pasti gembira untuk berkongsi pengetahuan yang ada dengan anda, dan anda juga harus rela berkongsi ilmu dengan mereka. Ketua yang berjaya sedar tentang kepentingan sumbangan pekerja dalam membuat keputusan yang tepat.

Bantu pekerja ‘jadi apa yang dia boleh jadi’

Jangan sesekali bimbang anda dibayangi dengan pekerja yang berkebolehan. Ketua yang bijak akan cuba untuk memperolehi sebanyak mungkin pekerja yang berkebolehan di bawah kumpulannya. Kebolehan mereka ini cermin terhadap kredibiliti anda sebagai ketua. Belajar memahami matlamat kerja mereka, bantu mereka untuk mencapainya, anda juga yang akan memperolehi keuntungan. Konsep ‘win-win’ pasti memuaskan hati kedua-dua pihak, anda dan pekerja anda.

PANDUAN MENGENAL JENIS PEKERJA

Menjadi ketua, anda akan berhadapan dengan beberapa golongan pekerja. Setiap golongan mempunyai cara pendekatan yang berbeza. Oleh itu, anda perlu bijak mengenalpasti pekerja-pekerja anda tergolong dari kumpulan yang mana satu.

(1) Penyokong

IKLAN

Siapakah mereka?

Golongan ini menerima setiap perubahan dan bertindak pantas untuk melaksanakannya. Bersikap positif terhadap perubahan dan optimis terhadap hasil perubahan tersebut.

Bagaimana mengendalikan mereka?

Lahirkan penghargaan buat mereka, dengar cadangan dan idea yang disampaikan, beri mereka peluang untuk terlibat secara langsung dengan perubahan yang akan dilakukan.

(2) Perisau (worriers)

Siapakah mereka?

Golongan ini tidak berapa senang dan tidak pasti dengan perubahan yang ingin dilakukan oleh syarikat maupun ketua mereka. Mereka sering khuatir dengan kesan negatif daripada perubahan yang berlaku, dan takut dengan setiap perubahan. Mereka golongan yang berada di atas pagar, tidak menyokong dan tidak juga membantah, tetapi amat mudah terpengaruh dengan pandangan daripada orang yang terakhir mereka bercakap.

IKLAN

Bagaimana mengendalikan mereka?

Berbincang sekerap mungkin dengan golongan ini bagi mengurangkan kerisauan mereka. Bekalkan maklumat sebanyak mungkin dan penekanan tentang kebaikan perubahan tersebut. Bertanyakan tentang apa yang mereka bimbangkan. Libatkan mereka dalam setiap perubahan.

(3) Penolak (resisters)

Siapakah mereka?

Walaupun golongan ini tidak menunjukkan sikap protes mereka, tetapi mereka memang tidak mahukan perubahan. Mereka sedaya upaya cuba kekal dengan cara lama. Mereka akan mencari beribu alasan untuk tidak melakukan perubahan atau melambatkan proses perubahan tersebut.

Bagaimana mengendalikan mereka?

Bercakaplah dengan mereka untuk mengenalpasti faktor-faktor yang merisaukan mereka. Terangkan kepada mereka tentang kebaikan, harapan baru, serta tawarkan bantuan yang mereka perlukan berkenaan perubahan tersebut dan lahirkan penghargaan terhadap penerimaan mereka. Terus menerus mendapatkan feedback daripada mereka ketika proses perubahan berlaku.

(4) Militan

Siapakah mereka?

Golongan ini bertindak secara aktif menentang perubahan. Mereka secara lantang melahirkan rasa tidak puas hati mereka dan cuba mempengaruhi yang lain terutama dari golongan worriers dan resisters. Mereka berusaha supaya proses perubahan itu gagal.

Bagaimana mengendalikan mereka?

Cuba pendekatan awal yang sama seperti golongan resisters. Selalunya, mereka mempunyai kerisauan yang sama, cuma mungkin mereka lebih ‘vokal’ tentangnya. Tetapi ada kalanya faktor kerisauan mereka adalah munasabah, Cuma tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak pengurusan. Jika anda bijak berurusan dengan kemahuan mereka, golongan militan ini boleh bertukar menjadi penyokong.