Amboi, seronoknya tengok percutian ibu dan anak ni… Manja sungguh Atilia Haron, setiap masa kalau boleh nak genggam erat tangan ibunya Salamiah Hassan!
Terharu pun ada, teringat kenangan begini memang susah dicipta, apatah lagi dapat bawa mak ayah berjalan macam kita kanak-kanak. Kalau dapat pun, mereka dah tak sekuat dulu!
“This is a very special trip with Mama.” Atilia Haron
Memilih penginapan ala kampung, setepatnya Rumah Negeri Sembilan di Temple Tree Resort, Langkawi, keindahan pulau peranginan ini jelas tergambar dari video yang dikongsikan oleh Atilia.
Ads
“Magical evening carved in my mind forever. Thank u so much Temple Tree Resort for partnering up with The Charity Club Langkawi n giving me a chance to do good for our beloved island.
I have many friends in Langkawi, and MCO really affected the tourism industry there and a lot of families suffered. All funds we collected last night (so happy to annouce that we made RM5000 thru ticket sales, donations and that 2 encore bids) will go towards funding food and family support for those in need. My heart is full.
My mother sang in public last in July last year and she was worried she couldn’t. Ohhh how beautiful it was for me to hear her again. She sang like an angel. I love listening and watching her. She sings from her heart. She sang Autumn Leaves and i know it must’ve been hard especially after what she went thru but she shone like a diamond. Oh how i love you mama.” Atilia Haron
Bakal meniti usia emas atau melangkah masuk ke alam 50-an, pastinya menjemput satu perasaan luar biasa di kalangan wanita. Bukan dari aspek perubahan fizikal semata tapi corak fikir dan kematangan terhadap hidup yang dijalani. Inilah yang dikongsi selebriti Raja Putri Atilia Raja Haron atau Atilia, tahun 2023 merupakan tahun terakhirnya dalam lingkungan 40-an.
Selain bergiat aktif sebagai penyanyi, Atilia juga membina kerjaya hebat sebagai instruktor yoga. Berusia 49 tahun, anak kepada biduanita Salamiah Hassan itu dilahirkan pada 15 September 1974 serta mempunyai seorang adik bernama Raja Ahmad Shah.
Hantaran Instagram @atiliaharon
Ads
Tampil awet muda dengan potongan rambut pendek, hala tuju wanita genit bersuara merdu ini jelas begitu menginspirasikan.
“Saya berada dalam fasa dimana saya cukup pasti apa yang baik atau buruk untuk saya (masih belajar).
Kini fokus saya lebih jelas, begitu juga perkara-perkara atau orang yang ‘mengganggu’ juga berkurangan. Saya tahu saya tidak perlu memiliki segala-galanya untuk bahagia.
Dulu saya pernah memaksa diri hingga terlalu penat. Tapi sekarang saya pilih untuk ‘melepaskan’ dan berserah pada Tuhan. Itulah yang sepatutnya saya lakukan dari mula lagi.
Saya rasa tenang apabila hidup ini dijalani tanpa memenuhi jangkaan sesiapa tapi cukup sekadar hidup untuk kebahagiaan sendiri.” Atilia Haron
Kata-kata yang matang dan peringatan yang baik untuk semua wanita tanpa mengira usia! Terima kasih Atilia.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (klik sini).
***
Keakraban ibu dan anak ini, meskipun jarang berjumpa namun tetap terlihat erat. Jemput tonton video eksklusif Majalah Nona bersama penyanyi Salamiah Hassan dan Atilia Haron di bawah…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari ini saya sepertinya tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Tidak juga terlintas di fikiran, 2018 menjadi hamparan tsunami apabila tampuk Kerajaan beralih kuasa. Hebat sungguh penampilan kembali matan kesayangan ramai rakyat Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Buat kali kedua beliau kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia di usia, 93 tahun. Lantas itu, saya Kiffy Razak mengambil kesempatan untuk mengembalikan memori terindah saya bersama Majalah NONA yang berkesempatan berbual panjang bersama Tun Dr. Siti Hasmah, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2016. Perkongsian buat ini ikhlas mereka yang mungkin tidak berkesempatan memiliki Majalan Nona Jun 2016, di pasaran ketika itu.
Sepertinya seorang ayahanda dan bonda, berdiri di hadapan saya dengan budi bicara yang mesra dan tenang. Seindah itu juga senyuman terukir di wajah isteri tercinta Tun Dr. Siti Hasmah menyambut suami tercinta. Pasangan sejoli kekal bersama dalam suka dan duka mengharungi setiap liku kehidupan sepanjang perjalanan di pentas bumi bertuah. Lantas mengheret ingatan saya kepada nukilan puisi yang pernah menjadi tamparan kepada kehebatan semangat politik setiap warga Malaysia. ‘Perjuangan belum selesai’ – 4 Mei 1996, karya seni mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, saya menyelami dan menjiwai setiap baris ayat itu dan bila saya merenung ke dalam dasar insan empunya puisi tersebut, rasanya noktah itu belum berakhir. Saya memetik ayat-ayat cita puisi itu, ‘Masa depan belum menjanjikan syurga, bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa. Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsa yang berjaya…’
Terlalu banyak saya rasakan masih tersimpul dalam mindanya. Saya percaya sehingga di ketika ini dan di saat kami berbual bicara bersama majalah Nona, (biarpun tempoh masa yang diberikan tidak terlalu lama) di dalam kotak mindanya mempunyai pelbagai perkara yang terus difikirkan. Begitulah hebatnya jiwa seorang pemimpin yang telah banyak berbudi dan berjasa kepada rakyat dan negara, tidak perlu saya merungkaikan kehebatannya kerana segala-galanya telah terbukti di hadapan mata.
Tipu kiranya saya menyatakan tidak berasa gementar pada awal pertemuan kerana auranya dirasakan cukup besar. Namun, Tun Dr. Mahathir membuka ruang dirinya untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling, berasa cukup selesa. Tutur kata kala berbicara sopan dan lemah lembut, jelas mencerminkan keperibadian dirinya yang intelek, merendah diri dan disenangi.
Sempat bergurau senda, “Kiffy tidak perlu takut, saya tidak garang!” Ya benar beliau bukanlah seorang yang garang tetapi di sebalik personaliti itu saya dapat menilai beliau seorang bapa dan pemimpin yang sangat tegas dan amat fokus kepada setiap apa yang dilaksanakan. Alhamdulillah, komitmen yang diberikan oleh pihak Tun sekeluarga sewaktu sesi fotografi bersama majalah NONA ini, amat kami hargai. Suasana berlangsung dengan tenang dan bersahaja, disulam bersama ketawa kala bahasa loghat orang utara, Kedah dituturkan. Sekapal saya dan Tun Mahathir, berasal dari Alor Setar dan membesar di kawasan kampung yang sama. Lantas itu kami terus rancak berbual…
Ramadan bakal kembali. Membawa kebahagiaan, persaudaraan dan makna pengorbanan. Ia merupakan bulan cinta dari Maha Pencipta. Bagi Tun sendiri pengertian Ramadan dan kenangan suasana menyambutnya dahulu dan sekarang, “Bagi saya, kita perlu menunaikan ibadah puasa dengan kerelaan hati yang ikhlas. Niat itu penting dan jadikan ia sebagai satu ibadat. Semaikan kekuatan iman yang kukuh dan jangan berpuasa kerana takut.
Ramadan dahulu dan sekarang memang jauh bezanya, dulu masa kecil seronok sangat bila tibanya bulan mulia ini. Paling istimewa apabila bulan ini dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan yang luar biasa dari hari kebiasaannya. Saya seronok pergi beli ais di pasar dan paling penting mesti berbuka dengan air sirap dan kurma. Warnanya yang merah membuatkan saya sering kali teruja untuk berbuka. Suasana sewaktu saya di Alor Setar, Kedah dahulu lebih tenang, tidak ramai orang dan masjid Zahir pun tidak sesesak seperti sekarang. Jika ingin diimbas kembali, terlalu banyak keindahan yang saya amat hargai. Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T dengan kesihatan yang baik untuk saya teruskan kehidupan sebagai seorang hamba-Nya dan melaksanakan ibadah puasa sehingga kini,” jelas Tun Mahathir tenang.
“Seperkara lagi kalau tibanya Raya, paling gembira bila dapat baju baru. Zaman dahulu, kalau dapat sehelai baju raya itu sudah mencukupi dan teramat gembira kerana baju itulah yang akan dipakai sepanjang tahun. Saya rasa semua individu mempunyai kenangan terindah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.
Menjangkau usia 91 tahun ketika itu, Tun Mahathir masih lagi aktif melakukan pelbagai aktiviti dan melaksanakan tanggungjawab yang masih belum selesai. “Saya tidak boleh duduk diam, perlu membuat sesuatu dan bergerak aktif. Jika tidak membaca, saya akan menghabiskan masa bersama-sama rakan berbual tentang masalah semasa. Paling penting, setiap apa yang saya lakukan dan laksanakan jauh sekali, tidak akan memburukkan nama negara.”
Tun Siti Hasmah sempat memberitahu, “Sampai sekarang, Tun suka keluar hari minggu di waktu pagi atau petang, memandu sendiri menuju ke kawasan projek yang beliau laksanakan atau telah dilaksanakan. Ingat lagi saya sewaktu Menara Berkembar KLCC sedang di bina, setiap minggu Tun akan ke sana melawat tapak projek. Kadang-kadang saya ikut serta bersama Tun, dia memandu saya duduk di bahagian sebelah penumpang rasanya kaki ini seperti sekejap-kejap ingin menekan brek kereta, risau juga!” ketawa kecil Tun Siti Hasmah sambil bercerita.
Semasa membesarkan anak-anak, pernah Tun dan isteri merancang agar mereka mengikut jejak langkah dalam bidang perubatan? Dan benar, Tun dikatakan sebagai seorang bapa yang garang? “Saya mungkin seorang yang tegas dan menegur anak-anak sama seperti seorang bapa lain membesarkan anak mereka. Nak kata sampai anak-anak membenci saya, tidaklah. Kita sekeluarga rapat dan cara dahulu lebih kepada rasa hormat yang menebal, cuma sekarang cara membesar anak-anak lebih santai seperti kawan. Ya jujurnya, saya suka kalau anak-anak yang mengikut jejak kami dalam bidang perubatan tetapi mereka tidak menunjukkan minat ke aras itu, saya tidak boleh memaksa. Itu adalah pilihan mereka. Tetapi sekarang ada juga cucu yang telah menunjukkan minat dalam bidang kedoktoran.”
Sepanjang perjalanan Tun dalam menerajui Malaysia, pastinya ada kenangan yang menyentuh hati yang tidak mungkin dilupakan sehingga saat ini, “Tanggal 1969 sewaktu saya kalah di pilihan raya. Saya merasa amat sedih, sehingga menitiskan air mata. Dan saat paling menggembirakan sewaktu hari Tun Hussein Onn melantik saya menjadi Timbalan Perdana Menteri.” Jelas Tun Mahathir. Biarpun ada segelintir yang melabelkan beliau dengan pelbagai andaian sebagai seorang yang kejam, keras dan sebagainya tetapi baginya itu hanya pandangan mereka yang tidak benar-benar mengenali beliau.
Setelah hampir 13 tahun meninggalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, jasa beliau pastinya tidak akan dilupakan oleh setiap generasi yang membesar bersama pembangunannya. “Alhamdulillah saya amat hargai mereka yang masih mengambil berat terhadap apa yang saya lakukan. Saya berasa cukup senang dan lega kalau tiada terpahat rasa benci dalam setiap hati manusia. Cuma andai suatu hari nanti saya telah tiada, cubalah untuk lupakan saya kerana saya sedar, saya tidak mampu membuat semua orang suka kepada kita, ada juga yang membenci,” kata-kata Tun terhenti di situ dan penulis terpaku seketika menahan sebak di dada. Dalam hati kecil ini, tidak mungkin kami akan melupakan pengorbanan mu begitu sahaja. Tun Mahathir adalah ikon, bapa wawasan dan di antara pemimpin terbaik menyumbangkan pembangunan kepada negara Malaysia.
Sebelum tempoh masa saya bersama Tun Mahathir dinoktahi, sedikit kata buat semua pembaca NONA, khususnya kaum wanita… “Saya bangga melihat wanita Malaysia hari ini yang bertindak dalam apa jua bidang sekalipun tidak keterlaluan sifatnya. Terus kekal menjaga keperibadian sebagai seorang wanita timur.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hampir dua tahun lalu Tya Ariffin telah melancarkan perniagaan Jamu Mutyara bersama suaminya, Asyraf Khalid. Nampaknya usaha pasangan suami isteri ini tidak sia-sia dan kini boleh tersenyum bangga dengan hasil titik peluh mereka.
Menurut pasangan suami isteri ini, dugaan ketika mula-mula menjejakkan kaki ke dalam dunia perniagaan akan disimpan kemas dalam kamus hidup mereka. Cerita Asyraf tentang pengalamannya “Saya bertatih sendiri dari bawah. Ikutkan sejak usia tujuh tahun lagi saya sudah jual pen di sekolah. Saya betul-betul serius mahu bergelar ahli perniagaan sejak usia 22 tahun hinggalah sekarang,” katanya.
Tambah Asyraf, isteri yang dikahwini sejak 1 November 2015 menjadi saksi jatuh bangun dirinya. “Tya banyak melihat dan melalui kesukaran dalam hidup. Bisnes yang gagal dilakukan juga berakhir dengan pelbagai ujian termasuk saya berdepan dengan hutang yang banyak.
Pernah satu tahap saya dan isteri sampai kena catu makanan kerana kekangan duit. Kami hanya ada RM10 untuk memilih sama ada makan nasi goreng di kantin atau di restoran Mamak.
Lepas itu nak bina perniagaan baru balik bukan mudah. Tapi saya berkeras untuk melaluinya tanpa meminta pertolongan sesiapa. Termasuk ayah. Saat saya bernikah dan mempunyai anak, diri ini terfikir takkan nak beli lampin pakai buang pun ayah masih nak tanggung,” kata Asyraf penuh yakin.
Sejak dua tahun lalu juga, Asyraf dan Tya begitu optimis membangunkan perniagaan Mutyara ini. Jamu merupakan legasi turun temurun diamalkan keluarga Tya yang dikomersial.
“Saya dan isteri bina jenama jamu ini kerana kita mahu menambah nilai sekali gus membantu lebih ramai orang di luar sana sama sama menikmati khasiat jamu itu. Tak hanya di situ kita juga buka peluang untuk lebih ramai lagi menjana pendapatan sama-sama berniaga jamu.
Sebenarnya nak buat bisnes ini ada banyak faktor untuk berjaya. Malah kalau ada yang nak saya bantu, diri ini berlapang dada untuk menerima mereka dengan tangan terbuka.
Niat saya adalah untuk membantu lebih ramai orang jana pendapatan sampingan. Lebih-lebih dalam keadaan semasa negara kita berdepan ujian penularan wabak COVID-19 hingga membuatkan ekonomi jadi tak menentu.
Kalau boleh buat pendapatan sampingan dari RM1,000 hingga RM5,000 sebulan pun kira okay saat ini. Tak kisahlah siapapun saya, diri ini mahu membantu lebih ramai orang menjana pendapatan tanpa mengeluarkan modal.
“Kita ada buat Business Opportunity Session secara online, untuk membantu lebih ramai orang, walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Ayuh bersama kami demi menjana pendapatan ketika ramai yang terkesan dengan situasi semasa,” katanya
Pada 20 April nanti genap dua tahun ibu bapa kepada Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa ini menerajui perniagaan ini. Sebagai pengasas bersama, Asyraf akui kadang-kadang berasa ‘kecil hati’ dengan pandangan sinis ketika mula meneroka dunia perniagaan dahulu.
Anak ketiga daripada lima beradik ini berasa sedikit kecewa apabila dilabel macam-macam terutama menggunakan pengaruh nama bapanya, ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) sebagai tiket untuk mencebur diri dalam perniagaan. Namun, baik Asyraf mahupun Tya kata-kata sinis tersebut bukan menjadi pematah semangat malah terus membakar semangat melangkah lebih deras dalam dunia perniagaan yang diceburi.
Selain Mutyara, Asyraf juga antara mastermind perniagaan jenama Kilafit diusahakan Kilafairy serta Jiwaku Kids menampilkan anak sulungnya, Arif Jiwa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik mahkota Unduk Ngadau Kaamatan 2026 yang kini menghiasi kepala Gelvia Vanessa Jenny, tersimpan sebuah kisah perjuangan yang jauh lebih berharga daripada trofi, wang tunai atau sorakan ribuan penonton.
Gelvia Vanessa Jenny bukan sekadar gadis cantik yang berjaya menewaskan 52 peserta lain dalam pertandingan berprestij itu. Dia adalah simbol harapan buat ramai anak muda Sabah yang membesar dalam serba kekurangan namun berani bermimpi setinggi langit.
Malam kemuncak Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA menjadi saksi apabila wakil Papar berusia 24 tahun itu diumumkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2026. Ketika namanya bergema di seluruh dewan, ramai melihat seorang ratu.
Namun di mata keluarganya, mereka melihat seorang anak yang sejak kecil belajar memahami erti susah dan pengorbanan.
Gelvia merupakan anak ketiga daripada lapan beradik. Dalam sebuah keluarga besar, kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah. Bapanya mencari rezeki sebagai penoreh getah manakala ibunya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dua pekerjaan yang menuntut kudrat dan pengorbanan demi memastikan anak-anak dapat meneruskan kehidupan dan pendidikan.
Sejak kecil, beliau melihat sendiri bagaimana kedua-dua ibu bapanya bekerja keras demi memastikan keluarga terus bertahan. Pengorbanan tersebut menjadi sumber inspirasi yang membentuk keperibadiannya sehingga berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam kehidupan.
Di saat ramai anak muda seusianya mungkin memilih jalan yang lebih selesa, Gelvia memilih untuk terus mengejar ilmu. Hari ini, Gelvia Vanessa Jenny merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM), universiti tertua dan antara institusi pengajian tinggi paling berprestij di negara ini.
Perjalanan seorang anak kampung dari Papar sehingga berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Malaya bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Ia menuntut disiplin, ketabahan dan semangat yang luar biasa. Dalam diam, beliau sedang membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan penentu masa depan seseorang.
Kejayaan akademik yang dicapai turut membuktikan bahawa pendidikan kekal menjadi jambatan terbaik untuk mengubah kehidupan dan membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.
Lebih menyentuh hati, kejayaan yang diraih pada malam bersejarah itu bukan datang secara kebetulan. Gelvia mendedahkan bahawa dia mula menjalani latihan sejak Februari lalu bagi mempersiapkan diri menghadapi pertandingan Unduk Ngadau.
Berbulan-bulan beliau melatih keyakinan diri, memperkukuh pengetahuan budaya dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi. Semua usaha tersebut dilakukan dengan penuh komitmen kerana beliau memahami cabaran besar yang bakal dihadapi dalam pertandingan berprestij itu.
Selain penampilan dan personaliti, peserta juga perlu mempunyai pemahaman mendalam mengenai budaya, warisan dan identiti masyarakat Kadazan Dusun yang menjadi teras kepada pertandingan tersebut.
Malah, penyertaan kali ini bukanlah percubaan pertamanya. Gelvia Vanessa Jenny pernah mencuba nasib sebelum ini, namun tidak berputus asa apabila kejayaan belum berpihak kepadanya.
Sebaliknya, pengalaman lalu dijadikan pengajaran untuk bangkit dengan lebih kuat. Sikap tidak mudah mengalah itulah yang akhirnya membawa dirinya ke puncak kejayaan dan menjadikan beliau contoh terbaik kepada generasi muda.
Kisah ini membuktikan bahawa kegagalan bukanlah penamat. Sebaliknya, ia boleh menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar jika seseorang terus berusaha memperbaiki diri.
Ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai juara, beliau mengakui dirinya diselubungi pelbagai emosi. Namun satu perkara yang paling jelas terpancar ialah rasa syukur.
Di sebalik senyuman manis dan penampilan anggun dalam busana tradisi Kadazan Papar “Sia Do Binokian”, tersimpan rasa terima kasih yang mendalam kepada ibu bapanya yang selama ini bertungkus-lumus membesarkan lapan orang anak.
Sesungguhnya, kejayaan ini bukan kemenangan peribadi semata-mata. Ia adalah kemenangan sebuah keluarga yang selama ini berjuang dalam diam. Kemenangan seorang ayah yang setiap pagi menoreh getah demi mencari rezeki halal dan kemenangan seorang ibu yang bekerja keras demi memastikan keluarganya terus terbela.
Gelvia Vanessa Jenny membuktikan bahawa seorang anak penoreh getah juga mampu berdiri megah di pentas terbesar negeri. Seorang pelajar universiti juga mampu menjadi duta budaya yang membanggakan.
Lebih daripada itu, kejayaan ini membawa mesej penting kepada wanita muda di seluruh negara bahawa kecantikan sebenar bukan hanya terletak pada rupa paras, tetapi pada keberanian untuk bermimpi, kesungguhan menuntut ilmu dan ketabahan menghadapi cabaran hidup.
Dari kebun getah di Papar hingga ke pentas gemilang Unduk Ngadau Kaamatan 2026, perjalanan Gelvia Vanessa Jenny menjadi bukti bahawa apabila usaha bertemu doa dan pengorbanan keluarga, tiada impian yang mustahil untuk direalisasikan.
Dan mungkin, itulah mahkota sebenar yang dimilikinya hari ini.