Juara MasterChef Malaysia pertama iaitu Dr. Ezani Farhana Monoto atau lebih dikenali dengan panggilan Dr Ezani memiliki daya tarikan yang tersendiri terutama pada senyumannya.
Selain memiliki senyuman yang menawan, Dr. Ezani juga bertuah kerana dikurniakan dengan seraut wajah yang semula jadi cantik.
Kecantikannya seiring dengan kebijaksanaan yang sewajarnya dijadikan inspirasi buat seluruh wanita. Selain bergelar Cef Selebriti tersohor, Dr. Ezani kini bertugas sebagai Pegawai Pergigian di Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.
Sebagai doktor gigi juga, Dr. Ezani sentiasa bersikap jujur dengan pesakit tentang kepentingan penjagaan kesihatan gigi dan mulut. Graduan jurusan pergigian dari Universiti Adelaide, Australia ini punya senyuman yang sempurna.
Ingin memiliki senyuman seindahnya? Dr. Ezani berkongsi 8 cara penjagaan gigi yang betul agar kekal sihat dan cantik.
Ads
Utamakan kesihatan gigi dan mulut terlebih dahulu agar bebas masalah kaviti serta penyakit gusi sebelum anda memikirkan untuk melakukan rawatan estetik contohnya memutihkan gigi, veneer, braces dan sebagainya.
Jangan sesekali terpengaruh dengan rawatan-rawatan palsu yang murah seperti dilihat di laman sosial masa kini.
Gunakan ubat gigi yang berflorida sebagai pelindung.
Ads
Berikan perhatian semasa memberus gigi. Sebaik-baiknya lihatlah cermin ketika menggosok gigi. Pastikan setiap permukaan gigi kena pada berus gigi iaitu tepi pipi, sebelah lidah, sebelah lelangit hingga ke belakang.
Pastikan anda memberus gigi hingga ke gusi kerana di situ terdapatnya bakteria dan plak.
Ads
Gunakan flos di bahagian celahan-celahan gigi kerana jika terdapat baki makanan pada celahan tersebut serta dibiarkan gigi akan mudah berlubang.
Elakkan memberus gigi menggunakan berus yang keras. Gunakan berus yang lembut mengikut cara yang betul iaitu mengurut lembut pergerakan bulat-bulat rata ke seluruh permukaan gigi. Jika anda menggunakan berus yang keras boleh mencederakan gusi seterusnya akar gigi akan terdedah lalu terhakis.
Selalunya ramai yang risau jika gusi berdarah semasa menggosok gigi atau flos lantas takut hendak memberus gigi bersih-bersih. Rajin-rajinlah bertemu dengan doktor gigi dalam enam bulan sekali bagi melakukan rawatan scaling untuk membersihkan gigi atau gusi.
Dr. Ezani berpesan supaya setiap orang perlu memberikan perhatian ekstra terhadap kebersihan mulut kerana ia diibaratkan sebagai pintu masuk makanan dan pelbagai penyakit.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Episod duka, banjir yang melanda negara baru-baru ini telah mencetus ilham buat Datuk Aznil Nawawi menyediakan Kedai Percuma Pak Nil buat mereka yang terkesan.
Pengacara Nombor Satu Tanah Air ini antara selebriti yang turun padang membantu mereka yang terkesan dengan banjir. Menurut lelaki yang mesra disapa Pak Nil ini kerja sukarelanya ini bermula dengan usahanya mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor.
“Ia cetusan usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ. Ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” kata Datuk Aznil.
Tambahnya lagi, “Bermula dengan hanya makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip di kalangan pengikut media sosial saya.
Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1000 bungkusan makanan kepada mereka yang terkesan banjir. Malah selepas banjir surut, mulalah mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing masing.
Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” kata Datuk Aznil yang menubuhkan Kedai Percuma Pak Nil pada 30 Disember lalu.
Menurut Datuk Aznil juga pengasas Yayasan Pesona, mereka yang terkesan dengan banjir boleh ke kedai tersebut untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.
“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan kepada saya.
Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya yang mendapat kerjasama daripada jenama Eskayvie dan Nakada.
Datuk Aznil tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu saat melihat pasca banjir dengan mata sendiri. “Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga saya melalui ujian dan dugaan itu.
Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh, saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka membina hidup kembali,” katanya yang terharu dengan kemurahan hati rakyat Malaysia.
“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil saya di sana. Walaupun, tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu bahawa seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.
Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kerja kemanusiaan ini,” kata Datuk Aznil.
Tahun ini masuk tahun keempat Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os kembali ke rahmatullah. Meskipun Dr Syafiqa Hayra tidak lagi berpeluang untuk memeluk dan mencium bapa tersayang, namun segala kenangan manis bersama arwah masih berbekas hingga ke hari ini dan akan sentiasa segar di ingatan. Apa yang pasti kedatangan bulan April setiap tahun menerbitkan momen sayu di lubuk hati wanita berusia 26 tahun ini kerana pada tanggal 8 April 2016 dia telah kehilangan sosok bapa selama-lamanya. Apatah lagi tarikh 5 April pula merupakan hari lahir lelaki paling disayanginya itu.
Tak mampu menyembunyikan rasa rindu terhadap arwah bapa, Dr Syafiqa menzahirkan perasaan tersebut di laman media sosial miliknya. “Kalau masih hidup Allahyarham abah, hari ni hari jadi abah yang ke-59. I’m a doctor now abah. Epit dah tunaikan janji untuk jadi doktor dekat abah. Tak pernah lupa jasa abah beri kami sekeluarga makan yang cukup, besarkan dengan didikan yang baik, segalanya cukup.
Seorang abah yang cukup baik dan sempurna. Sepanjang hayatnya, tak pernah lokek, malah kuat bersedekah dan suka mempermudahkan urusan semua orang. Moga abah syurgalah tempat abah. Moga abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.”
Ketika dihubungi Nona, Dr Syafiqa yang ketika itu sedang bertugas menyambut salam penulis dengan penuh mesra. Keterbukaan anak pelakon komedi ini berkongsi sisi peribadi arwah bapanya sangat dihargai. Dia yang kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendedahkan, “Jujurnya, saya sangat rindu saat saya balik bercuti dari Mesir setiap tahun dan abah akan bawa saya serta keluarga pulang ke kampung dan pergi memancing ikan. Dulu saya selalu ikut abah memancing ikan lampam berumpankan pisang di Sungai Perak.
Kenangan bersamanya terlalu banyak. Saya juga rindu nak belikan jubah dan souvenirs untuk abah setiap tahun bila saya balik ke Malaysia selama saya belajar di Mesir. Rindu nak makan lemang jagung masakan abah setiap kali tibanya hari raya dan juga rindu nak mendengar nasihat dan cerita abah. Kalau nak tahu, abah ni sangat suka bercerita dan mengimbau kehidupannya masa kecil di kampung. Dia akan bawa saya ke tempat-tempat tersebut.”
Ditanya mengenai peribadi dan perwatakan arwah bapanya yang tidak diketahui ramai, graduan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Mansoura-Manchester, Mansoura University, Egypt ini menjelaskan, “Abah sangat tegas dan mementingkan masa. Walau macam mana susah sekalipun dia akan sentiasa memenuhi permintaan anak-anak. Selain itu, abah juga suka menjamu orang makan dan buat orang gembira. Dia sangat pemurah dan mudah rasa kasihan dekat orang.
Salah satu perangai abah yang buat saya kagum ialah cara abah menghargai ibu bapanya. Walaupun ibu bapa abah iaitu atuk dan nenek saya sudah meninggal, abah tetap sentiasa bersedekah bagi pihak kedua ibu bapanya. Jelas nampak betapa abah sangat menyayangi mereka berdua. Bahkan ketika hayatnya, even in his purse, abah masih letak gambar ibunya.”
Allahu, tersentuh mendengar pendedahan Dr Syafiqa mengenai arwah bapanya! Jelas terserlah betapa besar rasa kasih dan sayang Allahyarham Mr Os terhadap kedua-dua ibu bapa dan sentiasa meletakkan mereka di kedudukan yang tinggi. Selama ini masyarakat mengenali Mr Os sebagai pelawak dan penghibur tetapi di sebalik lawak jenakanya tersimpan sisi penyayang penuh keikhlasan bekas anak seni ini.
Malah arwah tidak pernah malu bekerja sebagai pemandu teksi dan menjalani kehidupan sederhana di samping keluarga dan anak-anak tersayang. Kejayaan yang dikecapi Dr Syafiqa Hayra hari ini adalah bukti yang arwah mampu mendidik anak-anak dengan sempurna.
“Abah, sepanjang dia cari makan untuk family tak pernah sekali pun dia mengeluh walaupun saya tahu dia penat. Dia masih kerja walaupun dalam keadaan sakit tenat. Masih pergi ke sana sini, pergi ceramah dan masih cari nafkah dia untuk family. Last abah pergi ceramah dekat Kuang. Abah dah pakai wheelchair. Tetap juga dia gagahkan walaupun dalam keadaan tenat.
My mummy cerita, sehari sebelum abah masuk hospital masa dia tenat, masa tu waktu sarapan, abah cakap dia dah teruk (tenat sangat) tapi dia harap sangat dia dapat bertahan sampai saya grad. Lepas tu abah menangis. Abah masuk hospital hari Isnin. Hari Khamis, hari terakhir saya jumpa abah melalui skype video call. Tapi abah dah tak boleh bercakap, dah pakai bantuan oksigen. Hanya cakap through bahasa isyarat. Esoknya hari Jumaat abah meninggal.”
Ujar Dr Syafiqa lagi, walau kerjaya sebagai doktor bukanlah pilihannya namun dia bersyukur dapat memenuhi impian bapa. “Sejak kecil memang abah galakkan saya jadi doktor. I love medicine. If I don’t love medicine, mesti saya tak grad medical school. Pernah jadi pergolakan di Mesir beberapa tahun lepas dan keadaan sangat bahaya. Kebanyakan pelajar Malaysia balik tapi saya tetap teruskan belajar di Mesir. Abah pernah tanya saya nak balik Malaysia or continue study in Egypt. I still choose to continue study in Egypt. I still grad on time. Saya tak pernah kena extend tahun pun masa study. And sekarang I really love my job. Sometimes patient ucap terima kasih pun saya rasa gembira walaupun saya bekerja sangat letih everyday.
Saya kena selalu ingat pesan abah dulu, kerja doktor ni ibadah. Setiap kali saya kerja, saya ikhlaskan diri dan selalu ingat pekerjaan doktor adalah satu ibadah. Saya nak sedekahkan pahala saya bekerja untuk parents saya. Without them I’m nothing. I go through everything, dengan doa parents saya. Usaha saya mungkin sikit. Tapi saya percaya selebihnya semua sebenarnya datang daripada doa parents saya. Abah seorang bapa yang tegas terhadap anak-anak, suka memberi nasihat dan sentiasa mengambil berat tentang pelajaran serta agama.”
Mengakui tidak berkesempatan membalas jasa bapa tersayang, Dr Syafiqa bagaimana berkata dia tetap sentiasa mengenang segala kebaikan arwah bapa. “Kalaulah masih berpeluang balas jasa saya takkan bagi abah kerja. Let me do the works and cari duit. Abah dulu pernah cakap dia teringin nak pergi all Arabs country Saya nak bawak abah pergi travel dan saya takkan suruh abah saya kerja. Biar dia berehat dan beribadat saja. Saya yang akan kerja cari duit and let him go travel dan untuk abah pergi Mekah setiap tahun. Dulu abah nak datang ke Egypt melawat saya study. Tapi tak sempat sebab abah dah sakit tenat masa tu. Dan abah pernah cakap dia nak duduk di kampung Kuala Kangsar semula. Dia nak duduk kawasan kampung sebab tenang daripada kawasan bandar. Saya akan buatkan abah rumah di kawasan kampung. Biar abah berehat dan beribadah saja. Tak perlu bekerja.
Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargai setiap masa yang ada bersama mereka. Your parents knows best. Kalau ada duit walaupun sedikit, berilah kepada mereka agar ada keberkatan dalam kehidupan. Sentiasa dahulukan ibu bapa anda lebih daripada orang lain.”
Sementara itu, berkongsi keadaan semasa negara yang sedang mengalami pandemik Covid-19, selaku doktor yang mungkin khidmatnya akan diperlukan untuk membantu menangani virus ini kelak Dr Syafiqa berkata, “Buat masa ini saya masih belum diberi arahan untuk merawat pesakit Covid-19. Namun bila tengok situasi yang melanda sekarang saya rasa sedih. All frontliners yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam, ada yang perlu meninggalkan keluarga di rumah.
Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak mematuhi arahan PKP. We have to be very concern pasal virus ni sebab it’s a new virus, hopefully akan ada vaccine or definitive treatment soon enough and hopefully situasi seluruh dunia especially negara kita akan cepat pulih.”
Semoga Dr Syafiqa dapat memanfaatkan segala kemahiran perubatan yang dimilikinya untuk kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang. Selain menjadi kebanggaan dan inspirasi buat seluruh wanita Malaysia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, busana warna putih gading yang disarung Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah nyata mencuri tumpuan tetamu. Semuanya kerana persalinan puteri bongsu KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.
Meskipun usia busana tradisi berkenaan sudah lebih tiga dekad namun ia masih terletak cantik tatkala Tengku Puteri Jihan memakainya dan yang lebih penting memiliki nilai sentimental tersendiri.
Mana tidaknya, persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.
Maknanya sejarah sama kembali berulang. Dahulu, Tunku Azizah yang menyaksikan ayahanda ditabalkan Yang di-Pertuan Agong… tapi kini giliran Tengku Puteri Jihan pula mengulangi momen serupa dan memakai persalinan sama bonda tersayang!
Tengku Puteri Jihan yang berusia 17 tahun berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda yang mempunyai nostalgia tersendiri. “Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.
Sementara itu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan anakanda-anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.
Lensa kamera pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 turut berjaya merakam kelibat putera dan puteri baginda. Kelima-lima puteri baginda tampak cukup manis dengan persalinan baju kurung tenun Pahang dan dihiasi dengan selendang putih serta mahkota di kepala.
Istimewanya, persalinan indah yang dipakai adalah dari Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh banduan-banduan terpilih dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Manakala putera-putera baginda pula segak menggayakan busana songket dengan corak jalur menegak.
Istiadat yang berlangsung dengan gilang-gemilang penuh tradisi Raja-raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.
Sumber: BERNAMA / Kredit foto: Instagram Malaysia Royal Family & Istana Negara
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alhamdulillah, bertambah lagi ahli keluarga Wahid Senario! 25 Julai lepas merakam kenangan indah buat keluarga pelakon, penyanyi dan pelawak ini apabila anak sulungnya iaitu Waiz Wahid selamat mendirikan rumah tangga.