Seawal usia 15 tahun lagi Juliana Evans sudah mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan. Saat remaja seusianya sibuk dengan persekolahan, Juliana melangkah setapak ke hadapan dengan mengembangkan bakat dalam bidang berkenaan. Ternyata hari ini, namanya masih dikenali bukan sahaja sebagai pengacara bahkan juga anak seni. Berbekalkan pengalaman lebih sedekad, kemampuan Juliana mengacarakan sesebuah program tidak perlu dipertikaikan lagi.
Bersama co-host REMAJA, Aidid MarcelloKenangan ketika remaja
Mengukir nama dalam program Remaja, Che Puan Juliana sempat mengimbau kenangan pertama kali mengacarakan program tersebut Bersama Aidid Marcello. “The good old REMAJA days. Rasa best sangat dapat hos balik dengan my Remaja co-host Aidid Marcello. Kali terakhir kita hos sama-sama adalah pada tahun 2005! I was only a 15 year old teenager working with all adult crew members around me that time.
Masa tu Aidid kahwin so Aidid stop jadi hos Remaja. Jue hos seorang-seorang. Sedih sangat masa tu sebab kami memang macam siblings! Pergi mana-mana mesti orang tanya ‘adik-beradik ke?’ Dua-dua pun half-breed,” kongsinya di laman Instagram dan kini mengacarakan sebuah program perubatan di saluran UnifiTV.
Yang pasti, sejak bergelar ibu dan permata hatinya kini bakal berusia dua tahun barulah Che Puan Juliana dilihat kembali aktif dengan kerjaya. Iyalah, sebagai ibu pastinya beliau mahu memberi yang terbaik dan sepenuh tumpuan kepada anak yang sedang membesar. Walau mula sibuk dengan kerjaya namun keluarga tetap menjadi keutamaan jelitawan ini.
Ads
Di samping bapa tersayang
Disember lalu, Che Puan Juliana melakar sejarah tersendiri apabila beliau dilantik sebagai Duta kempen promosi pelancongan ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’ selama dua tahun! Sebagai anak jati Selangor, ia pastinya khabar gembira buat Che Puan Juliana kerana berpeluang mempromosikan negeri kelahiran sendiri.
Che Puan Juliana atau nama penuhnya Juliana Sophie Johari Evans sah bergelar isteri kepada kerabat diraja Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Alhaj pada tanggal 30 April 2017 dalam sebuah majlis tertutup. Tahun ini mereka bakal menyambut ulang tahun perkahwinan yang keempat.
Ads
Lebih dua tahun melayari rumah tangga Che Puan Juliana dan suami akhirnya dikurniakan seorang anak perempuan pada 13 Julai 2019. Puteri comel kesayangan mereka ini diberi nama Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah.
Meniti usia 32 tahun pada Julai nanti, pesona dan wajah cantik Che Puan Juliana masih memukau. Tidak hairanlah pada tahun lalu, namanya tersenarai dalam Top 100 Most Beautiful Woman dalam satu undian yang dilakukan laman web Starmometer. Antara nama-nama wanita terkenal yang turut tersenarai ialah Taylor Swift, Gal Gadot dan Priyanka Chopra.
Ads
Selain kerjaya seni, bekas penuntut jurusan Komunikasi Massa ini juga mengusahakan perniagaan Jevans Jewelry di samping pernah menceburi sukan gimnastik seawal usia 7 tahun dan mewakili negeri Selangor. Terbukti, Che Puan Juliana seorang wanita aktif sejak remaja lagi!
Kredit: Instagram Juliana Evans
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Biarpun dengan sedikit persiapan mental, tetapi nyata masih terlihat rasa kegelisahan, kebimbangan dan cuak silih berganti, kala saya dan 25 ahli rombongan yang mengikuti pakej perjalanan ziarah Baitulmaqdis dan Umrah bersama AZ Safir Travel & Tours Sdn Bhd tiba di kawasan imigresen Israel. Pesanan telah diberikan oleh Ustaz Dr Haji Syed Abdul Aziz supaya jangan memberi riak wajah terlalu takut, tenang, beri kerjasama jika ditahan dan jangan mengambil sebarang gambar ketika berada di kawasan sempadan tersebut. Ustaz yang bertindak sebagai mutawif akan sentiasa berada bersama ahli rombongan, tidak akan meninggalkan seorang pun di situ.
InsyaAllah semuanya dipermudahkan. Selagi kita sudah memiliki visa untuk melawat negara tersebut tidak perlu terlalu risau walaupun mungkin dalam kumpulan kita, dua atau tiga orang akan ditahan untuk soal siasat tanpa sebarang sebab. Jika kita tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mengundang tindakan pihak Yahudi Israel, kenapa perlu takut! Mereka dan kita sama sahaja, manusia. Bezanya mereka memeluk senjata berbahaya dan kita sebatang kara yang hanya bergantung pada Tuhan yang satu.
Alhamdulillah, setelah dua jam melalui proses untuk masuk ke bumi Palestin, saya dan teman lain menguntum senyuman manis kala bas mula bergerak meninggalkan kawasan imigresen. Syukur semuanya selamat! Biasa dengar tentang keadaan yang bahaya dan bermacam lagi cerita mengenai keadaan di dua negara ini tetapi apabila saya sampai di sana, ia sebenarnya berbeza dengan apa yang sering digambarkan. Apa yang boleh saya katakan, tempat-tempat tersebut suasananya harmoni dan persekitarannya bersih. Hakikatnya, pengalaman indah dan menarik jauh lebih banyak berbanding sedikit situasi cemas dan menakutkan yang dialami di kawasan imigresen. Bumi Palestin ini bukan sahaja selamat tetapi indah dengan pelbagai pemandangan menarik yang tidak terdapat di negara kita sendiri.
Perjalanan kami menuju ke kota Jericho antara kota terindah dunia yang menjadi sebutan. Ruang lingkup sejarah yang menakjubkan dan tempat suci untuk beribadat bagi tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam yang direbut sehingga ke hari ini. Berada di Bukit Zaiton, saya dapat menikmati keindahan landskap kota Jerussalem yang terhampar luas, indah eksotik dan sempurna. Dari situ, saya bisa melihat Masjid Aqsa yang berdiri anggun berdampingan dengan Dome of the Rock di Bukit Moriah, syukur alhamdulillah. Sejumlah menara masjid dan gereja juga nampak berdiri megah berdampingan di antara ribuan perumahan mewah, kawasan perkuburan dan suasana kehijauan.
Suasana senja waktu itu, memukau pandangan lalu menarik hati dan jiwa saya untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan ini. Seperti tidak percaya yang saya telah berada di bumi Baitulmuqaddis ini. Menikmati keindahan Al-Aqsa dan pemandangan kota Jerusalem, membuat kita sejenak akan melupakan bahawa ada konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin. Semoga damai akan segera terwujud di tanah suci tempat saksi lahirnya tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam.
Setelah puas saya dan rombongan menikmati pemandangan, kami dibawa ke hotel New Metropole Hotel Jerusalem tidak seberapa jauh dari kawasan Masjid Al-Aqsa. Jarak berjalan kaki yang tidak begitu jauh itu, memudahkan bagi kami untuk berulang-alik menunaikan solat di sana. Walaupun setiap pintu masuknya dikawal oleh tentera Israel, tapi saya percaya dengan niat yang ikhlas, insyaAllah semuanya dipermudahkan. Ustaz Aziz sentiasa ada bersama, membawa kami dengan selamat. Hati ini memang tak sempat-sempat lagi menahan keinginan untuk bersolat di situ. Selesai menjamu selera dan berehat seketika, malam itu juga kami turun dan berjalan ke arah Masjid Al-Aqsa. Malam agak gelap, cuaca sejuk dan kami terpaksa memakai sweater untuk mengelakkan dari kesejukan. Kami berjalan dan berjalan menyusuri lorong kecil, kiri dan kanan gerai bazar lama ‘Old City Jerusalem’.
Sedkit rasa penat kerana turun tangga naik tangga, tetapi saat kedua mata ini nampak “Dome of the Rock”, riangnya hati ini tidak dapat saya gambarkan perasaan itu. Dalam Dome of the Rock ni ada sebuah batu yang dikatakan tempat Nabi Muhammad S.A.W berdiri sebelum naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj dan batu ini mahu mengikuti Rasulullah tetapi dihalang dan ia tergantung. Kami terus berjalan menuju ke bawah, lalu terlihatlah Masjid Al-Aqsa. Alhamdulillah, sujud syukur saya tidak terhingga dan kami sempat menunaikan solat Isyak pada malam tersebut. Rasa satu kepuasan di hati dapat juga bersolat di masjid yang ketiga pentingnya selepas Masjid di Madinah dan di Mekah. Menurut kata Ustaz Abdul Aziz bersolat satu waktu di Masjid Al-Aqsa ganjarannya 500x kita bersolat, kalau di Madinah 1,000x dan di Mekah 100,000x. Begitulah istimewanya ketiga-tiga masjid ini.
Jelas sekali, saat tiga hari saya menghabiskan masa berada di kawasan Masjid Al-Aqsa ini suasananya sangat tenang, terutama pada waktu subuh. Oh! Ingin saja saya membawa semua pembaca untuk berimaginasi berjalan dalam suasana indah dengan rimbunan pohon zaitun yang berusia ratusan tahun yang menjadi simbol kekuatan masyarakat Palestin mengelilingi kawasan tersebut. Di waktu petang, saya dapat melihat kanak-kanak riang berlari dan bermain, keluarga kecil wanita dan lelaki tua duduk berkelah sepertinya tiada apa peristiwa yang berlaku dalam sejarah perjalanan hidup mereka di bumi Palestin ini. Nyata, suasana indah menutupi cakap-cakap yang boleh membatalkan niat kita untuk beribadah di tanah yang diberkati Allah ini.
Momen lebih bermakna lagi apabila saya dan ahli rombongan sentiasa diberi input perkongsian kisah sejarah Al-Aqsa oleh Ustaz Abdul Aziz, ditambah lagi ilmunya oleh tour guide dari Jerussalem sendiri. Jika saya ingin berkongsi setiap satu momen perjalanan di bumi Baitulmuqaddis terlalu panjang untuk diungkaikan kerana setiap perjalanan dan tempat yang dibawa itu mempunyai nilai sejarah Islam yang tinggi. Di Masjid Al-Aqsa sahaja, saya dibawa melawat Masjid Marwani, Masjid Buraq dan Dome of Rock. Lawatan lain selama empat hari tiga malam, saya dan rombongan dibawa ke Hebron melawat Makam Nabi Ibrahim, Makam Nabi Ishak, Makam Nabi Yaakub dan Makam Nabi Yusuf. Selain turut melawat Makam Nabi Musa, Makam Nabi Daud dan meninjau dinding “The Wailing Wall atau Crying Wall” tempat suci orang Yahudi berdoa. Jelas kedatangan kita di bumi Palestin ini memberi kita banyak ilmu tentang sejarah anbia, selain membantu saudara Islam dan memberi kekuatan kepada mereka.
Datanglah ke Palestin, jangan takut dan bimbang, jangan biarkan saudara seislam kita di Palestin berjuang sendiri dalam menegakkan tempat suci umat Islam ini. Yang penting, kita datang dan tinggal di hotel milik orang Islam Palestin, makan-minum dan membeli-belah di kedai milik orang Islam Palestin. Ia sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi mereka, insyaAllah. Saya berharap jika anda punya rezeki serta kesihatan yang baik, pergilah rasai sendiri suasana di sana kerana saya tidak mampu untuk berkongsi semua momen indah itu di sini.
Semasa berada di Jerussalem, saya akui memang agak penat tetapi berbaloi dengan apa yang diperoleh. Kepuasannya tidak sama seperti mana saya pernah melancong ke negara lain. Alhamdulillah dengan kerjasama oleh pihak agensi AZ Travel & Tours Sdn Bhd yang menjaga keselesaan setiap ahli rombongan, kebajikan, makanan dan seterusnya menjadikan semuanya lebih sempurna. Bahagia dan syukur sekali saya kerana berkesempatan menyertai rombongan ini, walaupun pada awalnya ada juga rasa cuak untuk pergi bercuti bersama rombongan beramai-ramai. Tetapi nyata, percutian ini telah membuka ruang kepada saya untuk mengenali lebih banyak sahabat baru dan memperoleh ilmu pengetahuan berguna tentang keagungan Tamadun Islam dan kisah para Nabi.
Selain itu, perjalanan ziarah ini turut membawa saya untuk berada di Amman, Jordan. Walaupun hanya untuk seketika, tetapi saya turut dibawa untuk melawat Laut Mati, Makam Nabi Shuib dan sekitar bandar Amman yang cukup indah sekali. Melalui Amman saya dan rombongan masuk ke bumi Palestin dan melalui Amman juga perjalanan saya diteruskan menuju ke Madinah dan Mekah bagi melaksanakan ibadah Umrah, bagi melengkapkan perjalanan Umrah Ziarah saya selama 14 hari bersama AZ Travel & Tours Sdn Bhd. Yang paling best! Kala mengerjakan Umrah di Makah dan Madinah, Ustaz Aziz sendiri akan membawa kita berjalan di sekitar Masjid Nabawi dan Masjid Haram, sambil duduk bercerita, berkongsi ilmu tentang sejarah Nabi. Selain itu, kita juga berkesempatan untuk bersoal jawab tentang perkara-perkara yang musykil dalam perjalanan seharian kita sebagai umat Islam.
Sejujurnya, saya amat bersyukur dan seronok sekali mengikuti pakej ziarah umrah ini. Jika diberi peluang dan rezeki, ingin sekali lagi merasai nikmat ini. Akhir kata, usah risau, tiada yang sukar seperti yang sering kita dengar. Yang penting jaga hati, jaga niat, jaga tingkah laku. Pergilah ziarah di bumi Palestin dan melaksanakan umrah kala masih muda sementara tenaga masih kuat dan sihat. Kita akan berasa tenang, terisi rohani, meningkatkan ilmu pengetahuan dan pastinya membawa damai di dalam diri. InsyaAllah.
Catatan Ringkas,
Kiffy Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Luar biasa penangan drama bersiri popular Squid Game! Mencatat drama paling laris di Netflix, kebanyakan pelakon Squid Game hari ini meraih populariti tidak disangka-sangka. Ada yang sudah pun menerima pelbagai tawaran lumayan selepas kejayaan drama tersebut. Malah mereka juga mempunyai ramai peminat.
Salah seorang pelakon Squid Game yang meraih populariti mendadak ialah Jung Ho Yeon. Dia yang melakonkan watak sebagai Kang Sae Byeok merupakan pemain nombor 067 dalam drama bersiri berkenaan.
Secara tiba-tiba Ho Yeon menjadi pelakon Korea Selatan yang mempunyai paling ramai pengikut dalam masa yang singkat di Instagram.
Media Korea melaporkan, sekurang-kurangnya sejumlah 400 ribu hingga 1.4 juta pengikut telah dicatatkan Ho Yeon di laman media sosial itu hanya selepas beberapa hari drama Squid Game ditayangkan.
Terkini, Ho Yeon memiliki lebih 16 juta followers di Instagram.
Walau dalam siri TV itu Ho Yeon digambarkan seorang wanita yang misteri, kasar dan polos namun realitinya dia seorang yang ceria, cantik dan mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi.
Bahkan, sebelum bergelar pelakon Ho Yeon ialah seorang peragawati yang sering menggayakan fesyen berjenama mewah. Dia dikatakan mula menceburi bidang peragaan sejak berusia 16 tahun dan menyertai Korea’s Next Top Model Musim 4 pada 2013. Di samping menyertai banyak pertunjukan fesyen melibatkan label terkemuka dunia termasuk Louis Vuitton.
Terbaharu, bersandarkan rupa paras cantik dan populariti Ho Yeon… dia dilantik sebagai duta global bagi jenama fesyen mewah Perancis, Louis Vuitton.
Ini sekaligus menjadikan dia selebriti Korea Selatan kedua menerima tawaran itu selepas kumpulan terkenal BTS.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wow, serba boleh Puteri Shazwani! Patutlah wanita ini pernah jadi viral di media sosial. Mana tidaknya, bukan saja cantik dan berpelajaran tetapi Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman juga mampu melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti kaum lelaki. Lain macam semangat anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Berjiwa besar dan berani mencuba perkara baharu, Puteri Shazwani atau selesa disapa Puteri merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Mesra menyambut panggilan Nona, Puteri terbuka berkongsi kisah kejayaan dengan harapan agar perkongsian ini dapat dijadikan inspirasi untuk wanita terus berdaya saing.
Anak kedua daripada lima beradik kepada pasangan Megat Ahmad Shariman Ahmad Damanuri dan Hasimah Abu Kassim ini dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Ipoh, Perak. Puteri seorang wanita yang gemar melakukan aktiviti sukan lasak triathlon iaitu berenang, berlari dan berbasikal serta tenpin boling.
Mengulas kerjaya mencabarnya, Puteri mendedahkan dia tidak menyangka menjadi salah seorang pasukan keselamatan negara. “Saya tak pernah terdetik menyertai bidang ketenteraan sehinggalah saya dengar career talk tentang tugas Pegawai Tentera dan UPNM waktu belajar di MRSM Parit.
Bila saya dengar career talk tersebut, saya rasa bidang tentera ini beri peluang untuk saya capai macam-macam impian sebab saya seorang yang multi-passionate, sukakan cabaran dan suka cuba sesuatu yang baru untuk uji kemampuan diri.
Alhamdulillah ibu sokong saya untuk kejar impian dalam bidang tentera dan tak putus doakan agar saya cekal sepanjang berada dalam dunia ketenteraan ini. Malah, pesanannya, ‘Until you spread your wings, you will never know how much you can fly,’ akan saya pegang sampai bila-bila.”
Komited memartabatkan golongan wanita, Puteri mengakui mental dan fizikalnya teruji ketika menjalani latihan ketenteraan, Puteri bagaimana pun nekad mengharungi cabaran.
“Sebagai seorang yang baru saja berkhidmat dalam TLDM selama tiga tahun, masih banyak ilmu dan pengalaman yang perlu saya timba untuk jadi pegawai TLDM yang berkualiti. Saya percaya wanita memiliki kekuatan mental, ilmu pengetahuan dan kebijaksaan serta berupaya buktikan kami mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki.
Kami juga dilatih bekerja bawah tekanan dan perlu mengawal emosi serta sikap profesionalisme. Malah, kami juga diajar bertanggungjawab terhadap kesilapan yang dilakukan.”
Ujarnya lagi, “Saya ditauliah dan dikurniakan pangkat Leftenan Muda TLDM pada 2019 dan jawatan pertama di bahagian Materiel, Markas Tentera Laut pada 2020. Kemudian, saya masuk bidang peluru dan bahan letupan.
Tahun lepas, saya dipilih menyertai Kursus Pegawai Kejuruteraan Peluru selama lapan bulan dan berjaya dikurniakan dua lencana kepakaran iaitu Ammunition Technician (AT) dan Explosive Ordnance Disposal (EOD) pada 20 Ogos 2021.
Tugas ini berdepan risiko dan isu keselamatan yang tinggi kerana saya perlu melakukan pemeriksaan fizikal peluru dan bahan letupan, ujibukti untuk tentukan kefungsiannya dan pemusnahan terhadap peluru dan bahan letupan yang sudah capai jangka hayat. Kini saya ialah Pegawai Laksana di Depot Peluru dan Bahan Letupan Wilayah Laut 1 (DPBLWL 1).”
Mencabar sungguh kerjaya wanita berusia 26 tahun ini. Bukan calang-calang wanita dapat sesuaikan diri dengan dunia ketenteraan.
“Zaman sekolah saya aktif masuk sukan, berpidato, forum, menyanyi, menari, teater dan banyak lagi. Ibu tak pernah halang saya aktif dalam pelbagai bidang dan hantar saya ke kelas renang untuk bantu saya atasi masalah takut air.
Sejujurnya saya juga ada perasaan takut macam orang lain tapi perasaan ingin tahu lebih tinggi daripada perasaan takut. Jadi saya elak rasa takut menguasai diri sebab saya akan rugi dan terlepas peluang untuk cuba benda baru,” dedah Puteri yang turut minat bermain gitar, keyboard, mencipta lagu, scuba diving, menyanyi dan membaca buku.
Meskipun berjiwa lasak dan suka menceburi bidang yang kebanyakannya dimonopoli lelaki, Puteri juga sebenarnya pernah dinobatkan sebagai ratu cantik. Pada tahun 2018, dia bergelar Naib Juara World Miss University Malaysia!
“Sejak di bangku sekolah, saya simpan niat untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Jika diberi peluang, saya ingin menyambung pengajian Master di luar negara dalam bidang Management and Leadership dan kembali berkhidmat dalam TLDM,” akhiri Puteri sambil berharap impiannya ini dimakbulkan satu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki aktres Hollywood ini pada usia 62 tahun, Demi Moore muncul sebagai wanita tertua dinobatkan gelaran 'Orang Tercantik Di Dunia' oleh Majalah People.