Siapa sangka, pemergian Datin Seri Shamshida Taharin ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran akhirnya ‘mendekatkan’ beliau dengan jodoh. Meskipun usia perkahwinan bersama Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali hampir mencecah 30 tahun namun pasangan ini kekal bahagia melayari bahtera rumah tangga di samping enam cahaya mata.
Dari awal pembabitan Dato’ Seri Azmin dalam arena politik sehinggalah menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi hari ini… wanita berusia 53 tahun ini tetap setia berdiri di belakang suami tercinta.
Mengimbas kembali momen perkenalan pasangan genius ini, Datin Seri Shida membuka bicara. “Sebagai anak guru, saya memang sentiasa didedahkan tentang pentingnya pelajaran oleh ibu bapa. Terutama sekali ibu saya, Puan Siti Rahmah Ismail.
Alhamdulilah, ketika di Sekolah Menengah Sains Bukit Mertajam, Pulau Pinang, saya selalu menjadi top student dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya juga pernah ditawarkan untuk mendalami bidang perubatan tapi akhirnya saya menolak.
Saya masih ingat pertemuan dengan Dato’ buat pertama kali. Hari itu dia datang ke tempat saya di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Bukit Gambang, bersama wakil universiti bagi memilih pelajar terbaik ke University of Minnesota.
Ads
Tanpa disangka, saya terpilih dan menerima biasiswa MARA untuk ke American Degree Program. Maka bermulalah kisah hidup saya sebagai anak perantau di Amerika. Sayangnya ketika tiba di sana, bagasi saya hilang.
Pensyarah kami pernah mengusik. Katanya suami saya telah memilih saya dari awal untuk dijadikan isteri. Mungkin kerana selepas saya menamatkan baki pengajian dua tahun di Malaysia, tidak lama kemudian Dato’ pun masuk meminang.
Tapi sebenarnya kami percaya pada jodoh dan alhamdulilah berkekalan sehingga ke hari ini,” kata Datin Seri Shida yang berbeza usia hanya setahun lebih muda daripada Dato’ Seri Azmin.
Ads
https://www.instagram.com/p/Bymq0xbH9Xq/
Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat, Datin Seri Shida seterusnya bergelar pelatih di syarikat pembinaan EMKAY selama enam bulan dan di Malaysia Airlines sebagai management trainer selama enam bulan. Selepas mendirikan rumah tangga dengan Dato’, beliau menyertai Phileo Allied Bank sebagai konsultan.
Ads
“Kini selain menumpukan perhatian pada anak-anak, masa saya lebih banyak terisi dengan program sendiri. Saya merupakan Pengerusi di Rumah Puteri Arafiah (di bawah kelolaan PEKAWANIS) yang merupakan sebuah rumah pemulihan dan perlindungan remaja bermasalah di antara usia 12 ke 21 tahun.
Saya dan anak-anak juga aktif berhubung melalui grup Whatsapp. Itulah cara kami bersembang dan mengeratkan hubungan bila masing-masing jauh di mata. Sebenarnya sepanjang hidup suami saya, dia memang seorang yang selalu sibuk.
Dari seorang ahli politik, sehingga bergelar ADUN, Ahli Parlimen, dan Menteri Besar, tingkat kesibukannya semakin lama semakin tinggi. Sebagai teman hidup, saya cuma mengikut apabila kehadiran diperlukan. Tapi sebenarnya saya suka berjumpa rakyat dan melalui program-program tertentu, saya seronok dapat menyalurkan amal jariah serta membantu golongan susah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia bakal mencapai status negara tua sepuluh tahun lagi, apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas dianggarkan mencapai 15% daripada jumlah penduduk pada tahun 2030.
Namun kini, sudah banyak warga tua yang sebatang kara dan ada juga segelintir yang sengaja memilih untuk tinggal di rumah orang tua SECARA SUKARELA.
Nona melangkah ke Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah untuk mendapatkan pencerahannya.
Menelusuri kawasan perumahan elit dan padang golf yang terbentang di Bangi Golf Resort, perjalanan penulis pada pagi Jumaat itu akhirnya berlabuh di sebuah banglo dua tingkat.
Persekitaran menghijau begitu mendamaikan bagai mengusir kepenatan memandu. Ketika berbalas salam dengan para penghuni yang senang digelar ‘bonda’ itu, kedatangan penulis disapa oleh Pengasas dan Pengerusi PACU (Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah), Hajah Asral Widad Ahmad Asnawi.
Keseronokan melihat warga emas di sini solat berjemaah dan mengaji bersama-sama cukup menyentuh jiwa penulis. Apabila pandangan kami bertembung, ada bonda yang tersenyum lebar, menampakkan riak wajah keibuan yang lembut, tenang dan terisi dalamannya dengan pengetahuan.
Benarlah seperti kata orang, orang tua ini seperti radio lama. Yang dimahukan hanya ‘telinga’ kita. Untuk mendengar. Untuk memahami nasihat mereka.
Cerita Hajah Widad, walaupun ada yang kelakar, tapi banyak juga ragam orang tua yang menguji kesabaran. “Bonda-bonda ini ada yang boleh diusik manja dan ada juga yang tidak. Kadang-kadang terdengar juga pertengkaran kecil seperti berebut tempat solat atau soal kebersihan. Cuma satu persamaannya, mereka semua handal memasak.
Cakap saja resipi apa, bonda petik jari, yang dimasak sedap-sedap belaka. Malah para penjaga dan kakitangan DI juga gemar berbual dengan bonda-bonda kerana mereka banyak pengalaman,” kata beliau tentang DI yang dihuni bonda lingkungan usia 55-84 tahun.
Menyelami sejarah penubuhan Pusat Penjagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah (DI), ia sebenarnya berasas daripada sebuah kisah yang benar-benar berlaku di Selangor. “Waktu itu salah seorang Pengasas DI iaitu Ustazah Wan Nazidah terjumpa 14 warga emas Muslim yang dijaga oleh sebuah institusi bukan Muslim.
Ia sangat mengejutkan kerana kami bimbang jika akidah mereka mungkin terpesong. Namun tidak dinafikan bahawa masyarakat kita amat memerlukan tempat jagaan sebegini kerana Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 nanti.
Sebenarnya saya mahu melihat semua anak menjaga orang tua mereka sendiri. Menjaga, menemani dan mengasihi ibu bapa sepertimana mereka membesarkan kita dahulu. Tapi jika terpaksa juga, jangan tinggalkan mereka seorang diri hanya kerana mereka orang dewasa. Ingat, orang tua ini fitrahnya akan kembali seperti anak kecil.
Jika mereka masih ingin belajar dan mendalami agama, bawalah ke DI kerana di sini rata-ratanya dihuni oleh bonda yang memang mahu belajar dan bergaul. Ia bagus untuk sokongan sosial dan kesihatan juga.
Dewasa ini, apabila anak-anak sibuk bekerja dan mengabaikan ibu bapa di rumah, wujud risiko penyakit kemurungan, Alzheimer, demensia dan amnesia. Sebagai anak, kita perlu faham bahawa mereka juga ada perasaan sunyi, perlu rakan bersembang dan ingin terus menimba ilmu hingga ke akhir hayat.
Sebab tu DI ditubuhkan sebagai pusat jagaan yang juga rumah pendidikan buat mereka. Ia bagaikan sebuah IPT yang menekankan ilmu fardu kifayah dan pengisian di akhirat buat warga emas wanita.”
Sambung Hajah Widad, tidak semua kondisi warga emas boleh dimasukkan ke DI. “Sebelum ini pernah berlaku kes skizofrenia yang teruk dan kami terpaksa mengembalikan bonda tersebut kepada waris untuk dijaga.
Bonda tersebut sebenarnya tertekan dengan suasana di rumahnya. Sedangkan sewaktu dia di sini, dia sihat dan rajin membaca Al-Quran.
Selain itu, ada seorang bonda yang ibarat ‘a walking dead’ semasa tiba ke sini. Dia pada asalnya murung kerana selalu ditinggalkan seorang diri di rumah. Di rumah dia hanya merenung dinding, tak lalu makan minum, susah tidur dan susah beribadat. Tapi alhamdulilah sejak menetap di DI, bonda tersebut berubah ceria kerana dikelilingi kawan-kawan seusia.
KARAKTER
Air wajah yang sentiasa tenang dengan senyuman manis yang tidak lekang-lekang dari bibir membuatkan pertemuan kami hari itu sangat menyeronokkan. Meskipun hanya bersolek tipis, penampilan wanita kelahiran Jitra, Kedah yang baru menginjak usia 44 tahun itu kelihatan lebih muda dari usianya.
Hajah Widad merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan medico-legal.
Sambil berbual-bual, latar belakang beliau yang pernah bergelar pensyarah menjadi topik perbualan kami. “Saya pernah berkhidmat di beberapa universiti tempatan antaranya Open University Malaysia (OUM), Kuliyyah Information and Technology (KICT), INTI College Subang Jaya dan Lim Kok Wing University College Cyberjaya.
Sejak di bangku sekolah lagi saya telah bergiat aktif sebagai aktivis masyarakat dan kini saya gembira dapat menyumbang bakti kepada komuniti menggunakan seluruh pengetahuan yang ada,” kata Hajah Widad.
Menurut isteri kepada Pengerusi ASAS yang juga seorang penasihat syariah, Prof Madya Dr. Aznan Hassan tersebut, beliau banyak mendapat sokongan suami dalam menjalankan tugas-tugas kebajikan.
“Secara peribadinya saya suka melihat suami berdakwah dan ia membuat saya terpanggil untuk berdakwah sekali. Suami seorang yang sangat sibuk, namun apabila beliau di rumah, saya akan pastikan masa dikhususkan untuknya seorang,” ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.
Mengakhiri sesi ini, penulis sempat bertanya nasihatnya berkaitan penjagaan ibu bapa berusia. Hajah Widad tersenyum lembut sambil berbicara, “Bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, ketahuilah bahawa mereka itu adalah lorong-lorong syurga kita.
Mereka sebenarnya tak memerlukan kita, tapi kitalah yang memerlukan mereka. Kalau berlaku ketidaksefahaman, cuba bersabar dan mengalah dalam apa saja perkara. Melainkan jika ia menyimpang dari akidah, barulah kita berhak berkata tidak.
Ingatlah bahawa rumah orang-orang tua ini bukannya tempat transit mereka untuk menunggu mati. Semua orang ada kekurangan, begitu juga diri kita dan ibu bapa kita. Yang muda mesti menjaga yang tua. Yang berupaya membantu yang kurang upaya,” nasihat Hajah Widad sambil menegaskan bahawa jika wujud pengabaian waris terhadap ibu bapa, aduan polis perlu dibuat agar tindakan dapat diambil.
Hajah Widad juga mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada masyarakat untuk terus menghidupkan kewujudan pusat jagaan seperti ini umpamanya berupa dana, bantuan bahan asasi dan makanan kering.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanser payudara sangat digeruni kerana ia merupakan penyebab utama kematian penyakit kanser dalam kalangan wanita. Tidak kira umur atau pekerjaan anda sekalipun, kanser boleh menyerang dan pada waktu ini, anda harus tabah menghadapi pelbagai ujian yang perlu dilalui dalam melawan penyakit yang menjadi musuh di kalangan wanita ini.
Walaupun memegang gelaran sebagai seorang doktor dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, Dr Nor Aniza, 44 tidak terkecuali menjadi salah seorang ‘mangsa’ kanser membunuh ini. Namun, dengan semangat yang cekal dan azam yang tinggi untuk menjalani kehidupan yang lebih positif, beliau berjaya menjadi salah seorang cancer survivor.
“Pada tahun 2006, ketika berumur 32 tahun saya mendapati terdapat satu ketulan kecil lebih kurang 2cm di payudara kiri melalui pemeriksaan sendiri payudara (PSP). Anehnya, ketulan itu tidak pernah ada di situ dan saya tidak langsung merasai sakit. Atas dasar kesedaran, saya berjumpa dengan pakar di PPUM dan selang beberapa hari, doktor mengesahkan ia sel kanser.
Saya menyusukan anak-anak dan mengamalkan gaya hidup sihat. Bahkan, tiada siapa di kalangan ahli keluarga menghidap kanser”, jelasnya ketika mula-mula disahkan menghidap kanser payudara.
“Sukar untuk saya percayai. Otak ligat memikirkan anak-anak yang masih kecil dan klinik saya yang baharu saja dibuka. Walaupun saya tahu apakah langkah rawatan terbaik, perasaan sedih dan air mata tidak dapat dibendung”, jelasnya lagi.
Sekali lagi, emosinya terusik dan dunia menjadi gelap tiba-tiba apabila beliau disahkan sekali lagi menghidap kanser payudara.
” Tidak tahu di mana silapnya, saya adalah peratusan kecil kanser berulang seperti disebut pakar dan saya terpaksa akur bahawa punca usia muda dan hormon yang masih aktif menyebabkan kanser berulang kembali.
Saya nekad menjalani pembedahan membuang payudara sekali gus Rekonstruksi Implan dan pembedahan mengambil masa selama 6 jam dan saya diberi suntikan di perut untuk menyekat hormon”, jelasnya lagi yang aktif dalam pelbagai kumpulan sokongan kanser seperti Cancer Survivors Malaysia.
Bukan mudah untuk kekal positif dalam keadaan sebegini namun semangat yang ada dalam diri doktor ini sewajarnya dijadikan inspirasi. Beliau juga sentiasa bersyukur kerana sekalipun menghidap kanser berulang, Allah masih murah hati mengurniakan banyak nikmat lain kepadanya dan tidak sedikit pun berasa kurang sifat kewanitaan.
Jangan mudah mengalah kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya. Malah, kanser payudara boleh dirawat jika seseorang pesakit dapat mengesan dan menyedari antara tanda-tanda lebih awal lagi dengan melakukan pemeriksaan sendiri (PSP) ke atas payudara pada setiap bulan.
Jangan terlalu memandang ringan dan ambil sikap tidak peduli lebih-lebih lagi untuk wanita yang berumur 20 tahun ke atas. Sekiranya berlaku sebarang perubahan di bahagian payudara segera dapatkan rujukan daripada pakar.
Diharapkan, agar wanita di luar sana lebih peka dengan kesihatan diri sendiri dan keluarga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sari Yanti memang tak dimamah usia! Walaupun kini bergelar ibu kepada lima orang anak, pelakon jelita ini tetap kelihatan lembut, manis dan awet muda.
Tak nampak langsung macam usia 40-an. Rezeki Sari Yanti, isteri kesayangan pelawak terkenal Jep Sepahtu yang sentiasa tampil bersederhana dan sopan.
Baru-baru ini, Sari Yanti yang pernah popular menerusi sitkom Kisah Kaisara menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-41 tahun.
Pelakon ini berkongsi momen istimewa itu di akaun Instagram miliknya bersama keluarga tersayang.
Sambutan hari lahir Sari Yanti diraikan dalam suasana santai dan sederhana. Walaupun tampil ringkas, pesonanya tetap menyerlah dengan senyuman lembut yang menjadi identiti dirinya sejak dulu.
Dalam hantarannya di Instagram, Sari Yanti menzahirkan rasa syukur atas nikmat usia yang dikurniakan oleh Allah SWT.
“Bismillahi masya Allah. Alhamdulillah syukur untuk umur yang ke-41 ini.”
Namun di sebalik kegembiraan, dia turut berkongsi perasaan takut dan insaf menyambut usia yang semakin meningkat.
Menurutnya, usia 40-an adalah waktu untuk lebih mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
“Semakin hari makin rapat dengan kematian. Semoga dengan detik waktu yang berbaki ini Ya Allah dikurniakan pada hambaMu Sari Yanti Mohamad Nazari ini dengan pengakhiran yang husnul khatimah.
“Moga sihat sejahtera, dikurniakan afiyah di dunia dan akhirat, diampunkan segala dosa, direzekikan dengan anak-anak dan keturunan yang soleh, bahagia dan berjaya fid dunya wal akhirah.”
Sari Yanti dan pelawak terkenal, Jep Sepahtu mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2017.
Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata comel iaitu Dariya Inara (7 tahun), Muhammad Khidir (5 tahun), dan Abu Bakr (4 tahun).
Hasil perkahwinan terdahulu, Sari Yanti mempunyai dua anak lelaki iaitu Barr Al-Aliy (15 tahun) dan Baasit Al-Haq (14 tahun).
Ramai peminat memuji kejelitaan semula jadi Sari Yanti yang kekal menawan walaupun sudah 41 tahun.
Rahsia kecantikannya bukan sekadar pada raut wajah, tetapi juga pada ketenangan hati dan keikhlasan dirinya dalam menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu.
Sari Yanti benar-benar menjadi inspirasi kepada ramai wanita. Dia membuktikan kecantikan sejati datang dari hati yang bersyukur dan jiwa yang sentiasa dekat dengan Allah SWT.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.