Langkah penjimatan perlu diambil sekiranya kita mahu menstabilkan ekonomi keluarga. Sebagai wanita dan ibu, banyak juga tips yang boleh digunakan.
Jangan bawa wang!
Apabila anda menerima pelawaan daripada rakan-rakan untuk keluar bersama, jangan bawa wang tunai yang banyak. Cukup sekadar untuk bayaran tempat meletak kenderaan serta makanan dan minuman anda sahaja. Sekiranya mereka ingin pergi membeli-belah, anda boleh mengikut mereka tetapi jangan sampai anda pula yang berbelanja!
Kurangkan penggunaan utiliti
Tarif elektrik semakin meningkat. Sebagai langkah penjimatan, pastikan penggunaan elektrik pada tahap rendah. Padamkan lampu atau penghawa dingin sekiranya tidak digunakan. Kumpulkan baju kotor pada kuantiti yang banyak sebelum mencuci agar penggunaan mesin basuh dapat dikurangkan.
Keperluan dapur
Setiap awal bulan, berbelanjalah lebih banyak untuk keperluan dapur. Beli barangan yang boleh tahan lama. Kemudian, setiap minggu anda hanya perlu membeli keperluan segar yang hanya boleh bertahan beberapa hari seperti susu, sayur-sayuran dan ikan.
Jualan murah
Sebagai ibu, anda perlu bijak mencari ruang untuk berbelanja murah. Perhatikan jualan gudang untuk keperluan anak-anak contohnya jualan penghabisan stok atau warehouse sale. Barangan berjenama yang dijual pada harga lebih rendah adalah pembelian yang sangat menjimatkan. Di samping ia tahan lama, ia juga datang daripada jenama yang diyakini.
Ads
Kad kredit
Hubungi talian kad kredit anda dan pohon untuk bayaran balik yang lebih rendah kadar faedah. Dengan bayaran balik yang rendah, sekurang-kurangnya anda boleh berjimat dari segi wang tunai.
Lampin kain
Sekiranya anak kecil anda yang masih memakai lampin hanya duduk di rumah, anda boleh memakai kain lampin. Namun, apabila berada di luar, gunakanlah lampin pakai buang. Anda cuma perlu rajin mencuci kain lampin untuk menikmati penjimatan yang lebih tinggi.
Makan di rumah
Jika anda takt ahu memasak, inilah masanya untuk belajar. Gunakan saja carian di internet atau rajin-rajinlah menuntut ilmu dengan ibu, ahli keluarga atau teman yang pandai memasak. Anda juga boleh minta jiran untuk mengajar anda memasak. Boleh eratkan silaturrahim.
Ads
Kumpul kupon
Terdapat banyak pasar raya yang menggunakan tawaran kupon dengan pembelian. Kenal pasti pasar raya yang mengumpul poin atau kupon dan berbelanjalah di sana. Bijak dan menjimatkan!
Barang mainan
Anak-anak kecil biasanya lebih tertarik untuk bermain dengan kotak, plastik atau botol. Sesekali mereka juga akan bermain permainan seperti anak patung mahupun kereta. Peringatan buat anda, jangan membeli terlalu banyak barang permainan kerana ia satu pembaziran.
Makanan dalam tin
Ads
Cuba buat carian Google untuk puri mudah dan berkhasiat. Apa salahnya luangkan masa untuk menyediakan sendiri puri untuk anak. Lebih jimat dan berkhasiat berbanding puri sejuk beku.
Recycle saja!
Gunakan semula barangan anak pertama untuk anak kedua dan seterusnya. Tak perlu beli baru kerana pasti masih ada yang elok. Lagipun, ia ada sentimental value!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memecah dominasi patriarki dalam bidang sains kimia dan nanoteknologi, pencapaian Academician Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ini jelas amat membanggakan.
Eksklusif sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Nona mengatur bicara dengan Saintis Akademik berusia 65 tahun itu demi meresap aspirasi dan semangat berbaktinya.
Lembut dan bersahaja. Begitulah personaliti Prof Halimaton, anak Johor dan ibu kepada dua cahaya mata ini. Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang terukir di bibirnya, beliau memegang pelbagai portfolio penting di Malaysia.
Jika mahu disenaraikan segala anugerah, pencapaian, pengiktirafan, penulisan mahupun penyelidikan akademik Prof Halimaton di peringkat nasional dan antarabangsa, barangkali terlalu panjang untuk ditulis.
Selain bergelar Profesor Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Halimaton juga merupakan Pengerusi Malaysia Institute for Innovative Nanotechnology (NanoMITe), Pengerusi Lembaga Pentadbiran International Science, Technology and Innovation Center (ISTIC) di bawah UNESCO, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin serta Senior Fellow Akademi Sains Malaysia.
Tengoklah senarai tu, bukan calang-calang wanita mampu menggalas jawatan sehebat Prof Halimaton!
HARI WANITA
Tanggal 8 Mac setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa untuk meraikan wanita di seluruh dunia. Bagi Prof Halimaton, beliau berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains.
“Sebenarnya jika dibandingkan dengan negara membangun dan maju sekali pun, pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains hari ini sangat baik.
Wanita Malaysia bebas memilih bidang pengajian semenjak Malaysia merdeka dan telah menerima gaji dan sokongan yang sama.
Jadi melalui pengalaman dan pemerhatian saya, wanita dalam bidang sains di Malaysia telah membuktikan kebolehan mereka dalam penyelidikan, pembelajaran dan industri yang mereka ceburi.”
Bersandarkan falsafah hidup, ‘Tanya diri sendiri dan buat apa yang termampu tanpa menyusahkan orang lain,’ Prof Halimaton menjadikan arwah ayahnya sebagai sumber inspirasi. “Arwah seorang yang tegas, berintegriti dan mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.”
Sedekad kebelakangan ini, nama Prof Halimaton cukup masyhur dengan gelaran ‘Prof Maerogel’ susulan penemuan beliau mencipta aerogel daripada sekam padi. Bagaimana agaknya perkembangan penemuan tersebut setakat ini?
“Aerogel daripada sekam padi (Maerogel) yang ditemui telah menerima paten Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penghasilan Maerogel telah dibangunkan di peringkat pasca-makmal dan pra-komersial.
Melalui kajian lanjutan yang telah dijalankan, berasaskan permintaan industri, teknologi penghasilan aerogel silika telah dipertingkatkan, yang mampu menyelesaikan masalah keselamatan dan penggunaan tenaga yang tinggi.
Penghasilan aerogel silika menggunakan teknologi Renewable Silica (RenSil-A) ini telah diuji untuk penggunaan oleh industri penebat haba (insulation blanket), sarung tangan, kabel elektrik dan paip gas dan minyak.
Dengan kerjasama daripada industri, projek penghasilan RenSil-A yang pertama akan dibangunkan dalam masa terdekat,” cerita Prof Halimaton panjang lebar.
Terkini, saintis akademik hebat ini sedang dalam fasa akhir projek penyelidikan NanoMITe (2015-2020). Mereka sibuk membangunkan sistem pirolisis pasca penyelidikan bagi penghasilan bahan api jet (jet biofuel) daripada biojisim kelapa sawit.
“Kami juga dalam proses komersial produk dan teknologi penyelidikan, merancang hala tuju strategik dan pengurusan ISTIC, memperbaiki perlaksanaan pembelajaran atas talian pasca COVID-19 di UTM, melaksanakan program pemerkasaan ilmu STEM kepada guru bersama ISTIC dan Pusat STEM serta merancang hala tuju strategik penyelidikan nanoteknologi (NanoMITe).”
Sebagai ahli akademik, Prof Halimaton tidak menafikan turut bimbang dengan masa depan pendidikan sains pasca COVID-19.
“Pendidikan sains sangat terjejas oleh pandemik. Seperti yang kita maklum, pendidikan sains di Malaysia sedang dalam proses pemerkasaan dengan menerapkan pendekatan belajar memahami dengan melakukan eksperimen.
Pandemik COVID-19 telah memaksa pembelajaran atas talian dijalankan secara tiba-tiba yang merencatkan pembelajaran sains khususnya. Justeru, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk memastikan pembelajaran sains yang telah tertinggal di semua peringkat dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Pelajar perlu mampu mengubah ilmu sains alam maya ke alam nyata sebaik sahaja mereka bersekolah semula,” luahnya sambil menyatakan alangkah baik jika rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu sains yang menyeluruh sebelum ini.
Generasi zaman ini lebih cenderung belajar secara visual, kurang kemahiran motor, jauh sekali minat terhadap sains. Komen Prof?
“Kecenderungan ini bukan atas dasar keperluan tapi kemudahan. Sekiranya pembuat polisi memahami keperluan asas pembelajaran sains adalah melalui pendekatan membuat dan mengalaminya secara nyata dan diberikan keutamaan, minat terhadap sains pasti dapat dikekalkan.
Sebagai contoh, dengan melihat video orang memasak sesuatu resipi tidak menghasilkan makanan yang sedap jika kita tidak memasak sendiri dan memahami ilmu yang terlibat.”
YAYASAN MYPRIHATIN
Selain bidang pendidikan, Prof Halimaton juga aktif dalam bidang amal kebajikan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin.
“MyPrihatin telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan sihat.
Badan amal ini berhasrat melaksanakan program tertentu, menggunakan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
Pengalaman saya dalam akademik dan bidang sains mendorong saya untuk membantu Yayasan menyumbang ke arah tersebut. Kita mahu membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu yang sesuai untuk membantu kehidupan masa hadapan.
Banyak pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bergelar Pengerusi Yayasan MyPrihatin. Namun salah satu yang paling bermakna bagi saya adalah sewaktu kami bekerjasama dengan Yayasan IJN.
Ketika itu MyPrihatin telah membantu melalui proses logistik yang membolehkan ramai pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan di IJN. Ramai pesakit kanak-kanak daripada golongan keluarga B40 dapat dibantu untuk mendapatkan rawatan di IJN.
Pengalaman itu cukup-cukup berharga bagi saya,” akhirinya.
Syabas Prof Halimaton! Nona mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 buat seluruh wanita yang sentiasa berbakti, berkorban masa dan keringat demi masa depan anak pertiwi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan confuse antara self-love dengan selfish, begitulah nasihat Ustazah Nazirah Abu Bakar dalam mendidik hati wanita agar kekal sihat dengan jiwa yang waras. Dalam dunia serba pantas hari ini, wanita sering memikul terlalu banyak peranan dalam satu masa sebagai isteri, ibu, anak, pekerja dan penjaga emosi orang sekeliling. Tidak hairanlah ramai yang akhirnya keletihan, bukan sahaja fizikal tetapi juga jiwa.
Dalam Islam, menyayangi diri sendiri atau self-love bukanlah satu bentuk keegoan. Sebaliknya, ia adalah usaha menjaga amanah diri yang Allah titipkan kepada setiap insan, khususnya wanita yang sering memikul pelbagai peranan dalam satu masa. Inilah mesej utama yang disampaikan oleh pendakwah dan Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustazah Nazirah Abu Bakar, menerusi perkongsian santainya yang tular dan mengundang renungan ramai.
Wanita hari ini bukan sekadar mengurus rumah tangga, malah bekerja, mendidik anak, menjaga ibu bapa dan menjadi tempat bergantung emosi. Dalam kesibukan ini, ramai yang keletihan tanpa sedar kerana terlalu mendahulukan orang lain sehingga mengabaikan diri sendiri.
Menurut Ustazah Nazirah, menjaga diri bukan bermaksud lari daripada tanggungjawab. Sebaliknya, ia adalah keperluan supaya wanita mampu terus berfungsi dengan hati yang tenang dan jiwa yang waras. Menyedari diri sebagai amanah daripada Allah adalah asas kepada konsep self-love Islam dalam kehidupan seharian.
Namun, tidak semua memahami perkara ini dengan tepat. Ada yang mempersoalkan nasihat beliau, malah meninggalkan komen sinis di media sosial. Antara yang tular, “Kesian laki ustazah ni, sebab ustazah tu selalu suruh orang perempuan ni pentingkan diri. Tau tak itu membawa kepada sifat selfish! Ustazah selfish.”
Menjawab kritikan itu dengan gaya bersahaja, Ustazah Nazirah berkata, “Ya Salaam. Di fish-fishnya kita. Tapi i suka fish ok. Tambah-tambah ikan kembong. Mai sini nak cerita. Jangan confuse antara self-love dengan selfish ok.”
Beliau menjelaskan, ramai yang keliru apabila seseorang wanita mula menjaga diri. Bila berehat, dikata pentingkan diri. Bila menolak permintaan orang lain, dilabel ego. Sedangkan hakikatnya, self-love dan selfish bukan perkara yang sama.
Self-love menurut Ustazah Nazirah ialah usaha menjaga amanah diri yang Allah titipkan. Ia bukan tentang memuja diri, tetapi memahami had kemampuan diri sebagai manusia. Antara contoh self-love yang sering disalah tafsir ialah berehat apabila letih tanpa melarikan diri daripada tanggungjawab, berani berkata tidak supaya tidak menyakiti diri sendiri dan orang lain, serta berusaha memperbaiki diri tanpa merendahkan atau meninggikan diri secara berlebihan. Inilah antara elemen penting dalam self-love Islam.
Self-love tidak menyakiti sesiapa. Malah, ia menjadikan seseorang lebih tenang, lebih sabar dan lebih mampu memberi kepada orang sekeliling. Seperti yang dikongsi beliau, “Self-love ni hang bisik kat diri, aku jaga diriku supaya aku boleh jadi insan yang lebih baik untuk orang lain.”
Berbeza dengan self-love, sikap selfish pula meletakkan diri di atas segalanya walaupun terpaksa mengorbankan perasaan dan hak orang lain. Selfish bermaksud hanya mahu menang walau melukai, sanggup menutup mata terhadap emosi orang sekeliling dan sibuk mempertahankan diri tanpa memikirkan kesan.
Sikap ini bukan sahaja memenatkan orang lain, malah akhirnya memenatkan diri sendiri. Prinsipnya mudah, asalkan aku bahagia, orang lain tidak penting. Sedangkan Islam mengajar keseimbangan, bukan keterlaluan.
Ringkasnya, self-love ialah menjaga diri tanpa menzalimi orang lain dan masih menjalankan tanggungjawab. Manakala selfish pula ialah menjaga diri sehingga menganiaya orang sekeliling. Perbezaan ini menjadi asas kefahaman dalam self-love Islam supaya seseorang tidak terpesong kepada sifat mementingkan diri.
“Kita belajar sayang diri bukan untuk menjauhkan diri daripada manusia, tetapi supaya kita hadir dalam hidup orang yang kita sayang dengan hati yang sihat dan jiwa yang waras,” pesan Ustazah Nazirah. Bukankah Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa sebaik-baik manusia adalah yang paling baik kepada ahli keluarganya. Inilah hikmah yang selaras dengan prinsip self-love Islam.
Di sebalik perkongsian yang menyentuh hati ini, Ustazah Nazirah Abu Bakar merupakan pendakwah Islam dan Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau aktif menyampaikan kuliah dan tazkirah berkaitan isu kekeluargaan, peranan wanita, ketenangan jiwa dan cabaran kehidupan moden.
Selain berdakwah, beliau turut mempunyai latar belakang profesional dalam pengurusan kandungan Islam dan penyiaran, termasuk penglibatan dalam penyelarasan program dakwah serta pembangunan masyarakat. Keseluruhannya, Ustazah Nazirah membawa suara dakwah yang membumi, mengingatkan wanita bahawa menyayangi diri sendiri bukan satu dosa, tetapi jalan untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah dan manusia.
Terpegun sungguh melihat Che Puan Sarimah Ibrahim sekarang. Penampilan terkini pengacara, pelakon dan penyanyi berketurunan Melayu-Ireland ini semakin menawan bahkan awet muda pada usia 45 tahun. Pandai CP Sarimah jaga badan, persis anak dara!
Untuk info, CP Sarimah berkahwin dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar yang merupakan cucu Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan ke-10. Mereka dikurniakan seorang puteri, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia empat tahun.
“Dari segi kehidupan peribadi, saya juga sibuk menguruskan anak perempuan, Tunku Sofia serta suami. Sambil memanfaatkan masa bersama contohnya dengan pergi bercuti.
“Tunku Sofia sekarang sangat petah bercakap, manja serta pandai menyanyi dan menari. Saya tak pernah ajar pun tetapi mungkin genetik.
“Umurnya sekarang empat tahun. Menyanyi dan menari tu memang dia suka. Dia juga lasak dan sukan bersukan,” kongsi CP Sarimah yang tidak akan menolak jika ada rezeki untuk hamil lagi.
MAKIN CANTIK & LANGSING
“Saya memang suka bersenam sejak dari zaman saya aktif karate. Lapan tahun saya buat karate sampai tahap dapat tali pinggang hitam dan jadi instructor tapi tak pernah mengajar sebab tiada masa.
“Tiada istilah diet bagi saya sebab ia tak perlu kalau kita pandai jaga makan. Kerap tetapi sedikit. Banyak minum air kosong jangan air gula, tidur paling kurang enam jam dan sentiasa bergerak. Jangan duduk lama-lama nanti sakit belakang.
“Berat badan saya pernah cecah 73kg semasa hamil. Paling kurus 58kg sebab tinggi saya 167 sentimeter. Kalau kurang lagi dari tu saya akan nampak macam sakit. Yang pentingnya bukan berat tapi komposisi badan kita sepenuhnya.”
RAHSIA KEKAL BAHAGIA
“Untuk menjaga kebahagiaan rumahtangga termasuk anak dan suami, kita kena jaga diri sendiri. Kalau mental dan fizikal kita tidak sihat, macam mana nak jaga orang lain. Takut jadi overload, burnout.
“Maka, pentingnya kita jaga kesihatan mental, fizikal dan sentiasa buat checkup sebelum terlambat. Mencegah lebih baik daripada merawat.
“Jangan tunggu bila ada masalah baru nak jumpa doktor. Badan, minda dan emosi kita kena jaga. Selalunya ibu-ibu ni terlalu penat dari segi emosi, bukannya badan.
“Cukup dengan mengetahui yang kita cantik, telah melahirkan anak kerana itu adalah satu pencapaian yang paling besar bagi seorang wanita.
“Nasihat saya, jangan terlalu pressure diri. Nanti lagi susah nak jaga badan, minda dan emosi kita.
“Bangga dengan diri sendiri dan apa yang kita capai. Ambil masa untuk diri sendiri walaupun hanya 10 minit atau sejam dalam sehari. Bersenam secukupnya. Sebelum jaga orang lain pastikan jaga diri kita dulu. Kalau tak, penat nanti.”
Kredit Foto: Instagram Che Puan Sarimah Ibrahim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.