Melayari bahtera perkahwinan bersama pilihan cinta hati bagaikan sebuah anugerah terindah dalam hidup. Sama ada Adam, mahupun Hawa, percintaan yang terjalin erat pastinya mahu diakhiri dengan lafaz kalam Allah yang menghalalkan hubungan kasih yang bersemi indah.
IKLAN
Pasangan selebriti yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 3 Disember lalu umpama sebuah ceritera romantis yang termetrai dengan janji. Sama cantik, sama padan. Biarpun berahsia saat awal perkenalan, namun rata-rata netizen tersenyum melihat kedua-dua figura ini bersatu hati, meraikan cinta yang terpatri.
Seperti cincin dan permata, sejak berkahwin, pendakwah selebriti, Da’i Syed, 27 dan pasangan, Hana Ismail, 36, seringkali berkongsi momen istimewa bersama. Perkongsian pasangan itu di media sosial sentiasa menarik perhatian segelintir netizen yang ingin mengetahui kisah mereka berdua.
Malah, netizen juga rasa ‘bersemut’ melihat video aksi mesra Syed dan Hana yang dimuat naik di TikTok. Antara salah satu perkongsian yang mendapat tumpuan netizen ialah video pasangan ini mandi hujan yang dimuat naik di laman Instagram
Umur awak sebenarnya berapa sayang?
Video yang mendapat tanda suka sebanyak 60 ribu lebih itu benar-benar menyerlahkan nilai romantik pasangan ini. Mana tidaknya, Da’i Syed yang tidak berkira, ikutkan sahaja kehendak isterinya itu bermain hujan membuatkan ramai yang tersenyum.
IKLAN
Hana juga yang kelihatan riang dan ceria menaiki basikal di tengah hujan sambil diperhati oleh suaminya itu membuatkan video ini lebih manis untuk ditonton. Ternyata, pasangan yang baru sahaja membina mahligai cinta ini sama cantik dan sama padan.
Melihat dalam ruangan komen, ramai juga yang ‘makan hati’ melihat kemesraan pasangan ini. Ada juga yang masih menanti pasangan sendiri kerana terlalu lama hidup sendiri.
IKLAN
Apa yang paling mencuit hati apabila ada diantara mereka yang termenung melihat video tersebut menanti kehadiran sesiapa sahaja untuk mandi hujan bersama. Ada-ada sahaja netizen ini ya!
Team NONA mendoakan agar pasangan Da’i Syed dan Hana kekal bahagian hingga ke jannah dan dikurniakan cahaya mata yang baik-baik belaka. InsyaAllah..
Sebagai usahawan wanita sukses, memiliki kediaman yang mewah merupakan aset yang paling berharga. Pelaburan hartanah akan jadi aset yang sangat berguna dan boleh meningkat nilainya. Melihat keindahan dan kemewahan kediaman milik 6 usahawan wanita sukses ini menunjukkan mereka benar-benar berjaya dalam perniagaan masing-masing. Jom kita tinjau kediaman 5 usahawan wanita ini.
Hartini Sulaiman
Wanita ini merupakan Pengasas Karisma Empayar Sdn Bhd dan Karisma Gold & Jewellery. Tinie Sulaiman membina kediaman yang terletak di sebuah Kawasan perkampungan di Gual Periuk, Rantau Panjang, Kelantan. Dari jauh villa seluas 11,350 kaki persegi kelihatan megah berdiri. Mengemudi perniagaan sambil dibantu oleh suami tersayang ini memilih konsep modern English Glam Luxury.
Faziani Rohban
Pengasas kosmetik Dnars, Faziani Rohban telah meninggalkan kita pada Mei 2019. Sudah menjadi rezeki Majalah Nona dapat menjejakkan kaki ke kediaman mewah ini sewaktu berkunjung ke Kelantan. Memiliki lapan cahaya mata, salah seorang anak arwah Faziani iaitu Irdiena Hakim berusia 18 tahun dikatakan memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang. Irdiena juga aktif menaikkan kembali empayar kosmetik ibu tersayang.
Rozana Mumtaz
Rumah Teemor hasil garapan pasangan suami isteri yang juga pemilik Reka Teemor, Rozana Mumtaz dan Faiz Sabari. Mengambil inspirasi rumah Limas Johor yang berusia lebih 60 tahun milik peninggalan keluarga. Menariknya rumah berwarna putih berkonsepkan moden klasik kolonial nampak mewah dan eksklusif ini pernah menjadi kediaman Nura Medina lakonan Fazura dalam drama Hero Seorang Cinderella.
Nabilah Nazib
Wanita cantik ini menguruskan bisnes produk penjagaan rambut yang diberi nama Sugardoll. Mempunyai personaliti menarik dan sering merendah diri cukup membuat figura bernama Nur Nabilah Mohd Nazib atau Bella, mudah untuk didekati. Walaupun masih muda Bella membuat pilihan bijak dengan memiliki kediaman sebagai aset berharga.
Datin Seri Nur Shahida
Memulakan perniagaan dari bawah dan terus dinamik menakluki pasaran kosmetik tempatan bukanlah semudah yang disangkakan. Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid beruntung dapat menghidu peluang yang terbentang dan bergelar jutawan pada usia muda. Membeli aset berupa rumah merupakan pilihan bijak yang dipilih oleh Datin Seri Nur Shahida bersama suami Dato’ Seri Aliff Syukri Kamarzaman. Setiap ruang kediaman milik pasangan ini mempunyai konsep yang berbeza.
Bukan 20an, 30an mahupun 40an tapi usia sebenar Puan Sri Shariffa Sabrina kini mencecah 57 tahun. Maknanya, lagi tiga tahun… beliau bakal memasuki umur 60 tahun. Tapi kalau tengok kepada fizikal dan rupa paras, tidak langsung mencerminkan usia tersebut. Memang awet muda dan stamina Puan Sri Sabrina pun tidak ubah seperti anak muda. Lasak dan aktif!
Ditemui ketika sesi fotografi bersama Nona sekitar hujung tahun lalu, Puan Sri Sabrina yang merupakan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) tetap ‘kaya’ dengan sikap ramah dan rendah diri. Peribadinya masih sama seperti kali pertama mengenali figura wanita hebat ini.
Juga disifatkan seorang yang lantang menyuarakan pendapat dan berjiwa besar, pertemuan kami lebih berkisar tentang kecantikan dan gaya hidup sihat yang diamalkan ibu kepada lima orang anak berkenaan.
Puan Sri Sabrina bersama suami & cucu
Terkejut dengar petua sihat dan ramping yang diamalkan beliau. Sebagai personaliti ternama dan langsing seperti anak dara, pasti ramai yang beranggapan ibu aktif ini sanggup berhabis wang untuk memiliki susuk tubuh menawan. Realitinya, terang pemilik nama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil… sejak umur 15 tahun lagi beliau sudah mula tidak makan nasi!
Gemar berkongsi kebaikan dengan masyarakat, Puan Sri Sabrina turut mendedahkan perwatakan sebenar beliau yang cukup dekat dengan aktiviti lasak dan mencintai senaman. “Dah lebih dua tahun saya buat exercise di Taman Lembah Bukit SUK Shah Alam. Setiap hari dari pukul 7.45 pagi kami akan berkumpul di sana dan lakukan senaman seperti Qi Gong. Memang ramai yang datang dan salah satu manfaat senaman ini ialah dapat kuruskan badan, melegakan lenguh badan dan macam-macam lagi.
Jujurnya saya tidak begitu menggemari zumba tapi saya suka menari. Boleh dikatakan semua jenis tarianlah. Paling saya suka, modern dance,” jelas pemilik Tanah Aina Cafe dan Tanah Aina Resort ini.
Jika kebanyakan wanita bersikap skeptikal bila diajukan soal berat badan, namun tidak bagi Puan Sri Sabrina. Enggan berselindung, dia lantas melontar bicara. “Berat saya sekarang 55 kg. Tinggi pula 5 kaki 5 inci. Zaman anak dara dulu berat badan cuma 50 kg je.”
“Puan Sri jenis tak kuat makan ke?” celah penulis. “Eh, saya suka makan. Cuma tak makan nasi.. itu je. Sebenarnya sejak umur 15 tahun sampailah sekarang saya dah tak makan nasi. Saya gantikan nasi tu dengan pengambilan roti, makan ubi… macam ubi keledek dan ubi kayu.
Memandangkan umur saya dah 57 tahun sekarang.. maknanya dah 42 tahun saya tak makan nasi. Bagus kalau makan ubi ni sebab di Afrika contohnya, adalah negara di dunia yang paling kurang rakyatnya hidap kanser sebab mereka makan makanan dari sumber bawah tanah.”
Disebabkan kecintaannya terhadap dunia kecergasan dan sukan, Puan Sri Sabrina turut membuka pusat kecergasan Tanah Aina Fitness Centre di Shah Alam khas buat kaum wanita mengadakan aktiviti dan rutin senaman bersama-sama.
Jika anda seorang Instagrammer, nama Fazulkafli pastinya sudah tidak asing lagi. Mana tidaknya, meninjau laman Instagram miliknya iaitu @fazulkafli, dia lebih selesa dikenali sebagai Faz Barbie atau Barbie Malaysia.
Mempunyai pengikut seramai 204K di laman Instagram, pemilik perniagaan Scrub District dan Skinny Dollz ini sering menjadi perhatian lantaran penampilannya yang berbeza dan elegan.
Empunya nama sebenar Farah Hazwani Zulkafli, 36 tahun lebih selesa disapa Barbie ini bercerita dengan panjang lebar bagaimana gelaran Barbie itu melekat di dalam dirinya.
Menurut Barbie, gelaran Barbie Malaysia itu ‘melekat’ pada dirinya ketika baharu sahaja melangsungkan perkahwinan dengan suami tersayang, Asadel Farhaan Hamdan pada tahun 2016.
“Selepas berkahwin, saya mula mewarnakan rambut dengan rona blonde. Memandangkan saya memiliki kulit yang putih dan ketinggian bagaikan seorang model, ramai yang menggelar saya dengan panggilan Barbie.
Saya juga selesa digelar Barbie dan sememangnya patung Barbie mempunyai keistimewaan di hati wanita,” ujar Barbie sambil wajahnya disolek dengan rona terang seperti merah jambu.
Selain dikenali sebagai Instafamous, Barbie juga merupakan seorang seorang jutawan kosmetik yang sering memberi inspirasi kepada para pengikut laman Instagram melalui video secara langsung mahupun captions di setiap postingnya.
Menurut Barbie lagi, dia mahu memberi dan menjadi inspirasi untuk wanita muda bangkit dan mengejar impian mereka.
“Saya percaya, dengan motivasi dan role model yang betul, setiap individu mampu mengejar impian. Berada di era media sosial, ramai wanita muda tidak sedar bahawa mereka mampu merubah taraf kehidupan mereka dan mengejar impian untuk berjaya.
Saya menjadikan kisah kejayaan saya sebagai inspirasi untuk wanita mudah di luar sana berjaya,” ujar Barbie yang mengusahakan produk kecantikannya sendiri.
Sebagai seorang selebriti media sosial yang memiliki produk kecantikan jenama sendiri iaitu Scrub District dan Skinny Dollz, Barbie berkata sejak zaman remaja lagi dia mengimpikan memiliki empayar perniagaan sendiri.
Hasil kerja keras dan dorongan keluarga, Barbie mengeluarkan produk skrubnya sendiri dan menjadi jenama pilihan nombor satu di atas talian di Malaysia.
Selain terkenal dengan imej seksi, dia juga dikenali dalam kalangan pengikutnya dengan sikap positif, yakin dan sering memberikan kata-kata semangat kepada orang lain.
Sikap positif dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi banyak diwarisi dari didikan serta pendedahan kedua ibu bapanya yang mementingkan pendidikan dan nilai kekeluargaan yang akrab.
GRADUAN HEBAT
“Barbie dilahirkan dan dibesarkan di Australia serta mendapat pendidikan rendah di Clapham Primary School sebelum meneruskan persekolahan peringkat menengah di Convent Bukit Nanas Kuala Lumpur.
Selepas menamatkan alam persekolahan, Barbie melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat di Universiti Malaysia dan memperolehi keputusan 3.55 CGPA.
Sebelum memulakan perniagaan, Barbie turut menimba ilmu dengan melalui alam pekerjaan di beberapa syarikat korporat,” ujar Barbie yang pernah bertugas di Petronas, KPMG dan beberapa syarikat bertaraf antarabangsa.
Tambah Barbie lagi, keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Zulkafli Kasim yang merupakan graduan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Senibina dari Australia.
“Melihat kejayaan mama dan papa mendorong Barbie melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat kerana papa banyak mendorong dan membentuk keperibadian Barbie kini.
I became strong and powerful woman because of him,” ujar Barbie yang sememangnya amat rapat dengan kedua ibu bapanya.
Menurut Barbie lagi, hubungan kekeluargaan sememangnya amat penting buat dirinya dan ia menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan yang dikecapinya kini.
“Barbie amat rapat dengan papa dan mama serta adik beradik. Malah Barbie anggap mama dan papa seperti rakan baik dan sentiasa berdiri di belakang Barbie untuk memberi sokongan dan dorongan dalam perniagaan.
Jangan tidak tahu, Barbie sebenarnya amat manja dengan papa. Papa banyak mendorong Barbie untuk berjaya seperti sekarang ini,” ujar Barbie.
Melihat penampilan dirinya yang mempunyai tubuh yang langsing, sudah tentu faktor pemakanan menjadi salah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh wanita cantik ini.
Mana tidaknya, sebagai beauty influencer, sudah tentu Barbie mahu mengajak pengikutnya mengamalkan diet seimbang untuk mengekalkan kecantikan.
“Barbie mengamalkan gaya hidup yang sihat dan amat prihatin soal pengambilan makanan. Makan organik tanpa garam, gula dan minyak menjadi pilihan. Barbie juga lebih selesa mengamalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran di dalam diet seharian,” jelasnya.
BARANG BERJENAMA
Melihat deretan tas tangan serta kasut jenama mewah miliknya, Barbie berkata ia merupakan sebahagian koleksi peribadi kesayangannya yang disimpan rapi di kediaman miliknya yang terletak di kawasan kejiranan elit di ibu negara.
Tambah Barbie lagi, antara jenama tas tangan kegemarannya termasuklah Hermes Birkin yang disifatkan sebagai so glamorous.
“Barbie suka tampil cantik dan menarik. Antara jenama pakaian kegemaran Barbie termasuklah Herve Ledger dresses,” ujar Barbie yang gemar mengunjungi London dan Paris sebagai destinasi untuk membeli-belah.
“Barbie jatuh cinta dengan kota glamor dan gaya hidup seperti London dan Paris. Ia merupakan destinasi wajib dikunjungi untuk membeli belah. Malah London sudah menjadi rumah kedua buat Barbie kerana setiap tahun wajib berkunjung ke sana,” jelas Barbie.