Berita perceraian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos dengan isterinya MacKenzie telah mendapat perhatian seluruh dunia. Usia perkahwinan menjangkau 25 tahun itu musnah di tengah jalan lantaran kecurangan suami. Jeff Bezos dikatakan bermain cinta dengan Lauren Sanchez yang pernah mengacarakan program “So You Think You Can Dance?”
Namun, MacKenzie tidak perlu meratapi nasib dan boleh move on serta tersenyum bangga dengan perceraian tersebut kerana bakal menjadi wanita TERKAYA di dunia. MacKenzie bakal menerima separuh daripada harta kekayaan mereka yang mencapai USD140 bilion (RM574 bilion).
Pembahagian harta sama rata ini terjadi kerana pasangan ini dikhabarkan tidak memiliki perjanjian pra perkahwinan. Mengikut undang-undang di Amerika Syarikat semua aset yang diperoleh sepanjang perkahwinan atau harta sepencarian ini perlu dibahagi sama rata jika berlaku perceraian kecuali jika mempunyai perjanjian pra perkahwinan.
Hasil pembahagian harta yang bakal dimiliki oleh MacKenzie ini akan mengambil alih posisi wanita terkaya di dunia yang selama ini dipegang oleh Francoise Bettencourt Meyer, 65 tahun, yang merupakan pewaris perusahaan kecantikan global, L’oreal. Kekayaan Meyers mencapai sebanyak USD46.6 bilion (RM191 bilion).
Ads
Siapakah wanita yang bernama MacKenzie ini? MacKenzie S. Tuttle lahir pada 7 April 1970 di San Francisco, California, Amerika Syarikat. Ayah Mackenzie merupakan seorang Perancang Kewangan manakala ibunya seorang suri rumah tangga sepenuh masa. MacKenzie merupakan graduan Universiti Princeton yang memiliki Sarjana dalam Bahasa Inggeris. Beliau merupakan pelajar yang pintar dan pernah menjadi kesayangan pensyarah. Jeff Bezos juga merupakan graduan dari universiti yang sama tetapi mereka tidak pernah berjumpa sewaktu zaman belajar mereka.
Mereka berdua bertemu dan bercinta di tempat kerja, sebuah syarikat pelaburan. Setelah tiga bulan mengenali hati budi masing-masing pasangan ini sepakat untuk bertunang dan seterusnya berkahwin pada tahun 1993. Sebaik sahaja mengikat tali perkahwinan, Bezos meletakkan jawatannya di sebuah syarikat pelaburan di New York dan membuka perniagaan sendiri yang diberi nama Amazon dalam garaj rumah sewaan mereka. Kehebatan perniagaan atas talian Amazon ini telah meningkatkan harta mereka hanya dalam sekelip mata. Kini Amazon terkenal di seluruh dunia.
Ads
Pasangan ini mempunyai empat orang anak, termasuk tiga orang lelaki dan seorang anak angkat perempuan yang berasal dari China. Anak sulung pasangan ini berusia 18 tahun. Pasangan ini terdahulu banyak memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan seperti pernah menghulurkan USD2 bilion (RM8 bilion) kepada keluarga gelandangan untuk membantu anak-anak mereka memulakan persekolahan.
Januari tahun lalu pasangan ini juga telah menyerahkan USD3 juta (RM12 juta) untuk membiayai biasiswa untuk pelajar sekolah menengah Amerika Syarikat dengan status Deferred Action for Chilhood Arrival (DACA), sebuah program era Obama yang melindungi imigran muda yang dibawa ke Amerika Syarikat secara haram oleh ibu bapa mereka.
Ads
Foto: Instagram @mackenziebez
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sitti Fatimah Janna pecah tembok ketakutan. Hasrat untuk mengubah kehidupan keluarga, berani mencuba sesuatu yang baharu dan memecahkan tembok ketakutan menjadikan Sitti Fatimah Janna seorang usahawan wanita yang berjaya dan hebat. Pemilik dan pengasas kilang kosmetik & kecantikan SFJ Manufacturing Sdn Bhd dan SFJ Beauty Sdn Bhd ini juga berharap pengalaman yang ada pada dirinya mampu menyuntik inspirasi untuk para wanita di luar sana terus mengorak langkah mencipta kejayaan.
Bukan berasal daripada keluarga yang senang, tanpa disedari mendorong Sitti Fatimah tekad untuk mengubah nasib keluarga. Mengimbau seketika kenangan zaman kecilnya, wanita ini terbuka mengimbau kehidupan tinggal di rumah kayu yang agak usang.
“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Dari kecil sudah terbiasa tinggal di rumah usang dan jika hujan terpaksa berlari mencari baldi, demi menadah air yang turun mencurah-curah melalui atap bocor. Saya juga pernah bekerja dengan gaji asas RM600 sebulan. Bapa hantar ke tempat kerja setiap hari, jangankan kata nak bagi mak ayah duit RM50 sebulan, nak bagi duit minyak pada ayah pun tak lepas!
Pernah satu hari, saya ke shopping mall teringin nak beli beg tangan. Harganya cuma RM30 tapi pada masa itu saya tak mampu dan rasa sedih sangat. Dalam hati menangis, untuk bahagiakan dan belanja diri sendiri pun susah,” ungkap Sitti Fatimah yang mula mengorak langkah dalam bidang perniagaan asbab dari kesusahan hidup yang dilaluinya.
Memikirkan masa depan dengan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan bulanan sebanyak RM600 sudah pastilah tidak mencukupi. Bagi mengatasi keadaan ini, Sitti Fatimah terpaksa berniaga secara sambilan selepas waktu bekerja.
“Memandangkan sektor pemasaran menerusi dalam talian semakin berkembang ketika itu, saya cuba berjinak-jinak menjual produk orang lain. Masa tu saya lakukan semua perkara termasuk mengiklan produk di Facebook, menjawab mesej pertanyaan, membungkus barang dan buat penghantaran ke pejabat pos. Masa saya sangat terbatas kerana saya lakukan semuanya selepas waktu kerja,” katanya.
Berkat kesungguhan Sitti Fatimah berjaya mendapat sedikit keuntungan. Pada bulan pertama, dirinya sangat gembira walaupun hanya mendapat untung sebanyak RM200. Dari situ wang yang diperolehi dikumpul sebagai modal pusingan. Apabila melihat pendapatan dari kerja sampingan semakin tinggi, Sitti Fatimah semakin bersemangat dan selepas setahun dirinya mengambil keputusan berhenti kerja dan melakukan perniagaan secara sepenuh masa.
“Sewaktu berhenti kerja saya sudah berjaya menabung sebanyak RM10,000. Pada tahun 2013 saya menjual produk homemade yang dibuat oleh mak saya. Tak sangka produk itu tular dan perniagaan kami berkembang maju. Perlahan-lahan saya keluarkan modal dan pada November 2016 membuka kedai fizikal.
Akhirnya pada 2021 saya berjaya memiliki lesen GMP dan membuka kilang OEM sendiri,” kongsi Sitti Fatimah yang melalui jerih payah dalam meniti kejayaan sebagai seorang usahawan wanita hebat dan menerima pengiktirafan sebagai kilang pertama menjadi kilang terbaik bertaraf GMP di Tawau, Sabah.
Mengendalikan empayar perniagaan bukanlah perkara mudah, Sitti Fatimah juga berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antara yang paling sukar apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM700,000.
“Adat dalam berniaga adakalanya untung dan adakalanya rugi. Produk yang kami serahkan pada klien mengalami masalah dan kami terpaksa menanggung kos kerugian yang besar. Dalam masalah ini saya bagi jaminan dengan klien akan ganti semula produk tersebut. Sejak itu saya lebih berhati-hati dalam memasarkan barangan.
Masa tu saya percaya pada rezeki, mungkin sudah ditakdirkan bukan rezeki kami. Syukur alhamdulillah hubungan dengan pelanggan tersebut sampai sekarang masih baik. Mungkin kerana kami dapat ganti baru dan kerugian dapat diatasi. Nasib baik saya dapat pelanggan yang baik. Hingga hari ini kami masih berurusan,” luah Sitti Fatimah yang sangat menjaga hubungan baik dengan setiap kliennya.
Sebagai pemilik kilang OEM, Sitti Fatimah tidak pernah lokek ilmu dan sentiasa terbuka membantu klien dalam menyusun strategi perniagaan. “Saya akan bantu klien untuk kembangkan produk mereka. Mereka perlukan nasihat daripada orang yang berpengalaman. Jadi ilmu yang ada saya akan berikan pada mereka. Bukan itu saja, kami juga banyak bantu usahawan di Sabah dengan mengadakan kelas bisnes,” jawab Sitti Fatimah yang sangat bahagia apabila melihat kliennya mendapat jualan yang tinggi.
Sitti Fatimah juga berkongsi dalam berniaga dirinya mengamalkan sikap jujur dan berterus terang pada klien. “Satu pantang-larang yang saya amalkan, jangan sesekali berbohong pada klien. Kenalah bersikap jujur dan berterus-terang dengan mereka. Dengan sikap begini, klien akan lebih percaya pada kita. Jangan berselindung untuk selamatkan diri. Setiap ujian yang datang kita perlu tangani. Biar klien percaya pada kita.
Alhamdulillah sehingga kini saya mempunyai ramai klien yang setia dan percaya pada kami. Malah ada yang mahu berikan modal untuk kami kembangkan perniagaan di Semenanjung. Cuma buat masa ini kami masih di peringkat mengkaji,” ujar Sitti Fatimah yang mengimpikan sijil ISO bagi memantapkan SOP dalam kilang.
Berbicara tentang keluarga tercinta, Sitti Fatimah bersyukur kerana suami dan kedua ibu bapanya banyak memberi dorongan untuk berjaya. Bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata juga bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana pada masa yang sama Sitti Fatimah juga bergelar usahawan wanita.
“Saya bersyukur kerana suami banyak membantu. Pada waktu cuti saya akan habiskan masa dengan keluarga dan bawa anak berjalan-jalan. Pada hari biasa sebelum ke pejabat saya akan hantar anak-anak sendiri ke sekolah dan memasak untuk keluarga. Saya dan suami tak lepaskan tanggungjawab dan uruskan sendiri anak-anak pergi dan balik sekolah,” kata Sitti Fatimah lagi.
Berkat kejayaan yang diperolehi, Sitti Fatimah juga tidak lupa berbakti pada ibu dan ayah. “Sekarang ini perlahan-lahan saya bahagiakan mak dan ayah. Saya sudah hantar mak dan ayah mengerjakan Haji dan Umrah. Belikan kereta dan kediaman yang selesa,” kongsi Sitti Fatimah.
Selain itu, kepesatan perniagaan Sitti Fatimah juga membolehkan mereka memberi banyak peluang pekerjaan serta memiliki 40 orang pekerja. “Pekerja merupakan tulang belakang saya. Kalau dulu saya cuti, perniagaan pun terpaksa tutup. Sekarang saya sudah ada lebih 40 orang pekerja. Andai kata saya tidak ada di pejabat pun tak mengapa sebabnya mereka sudah boleh berdikari dan uruskan perniagaan saya seperti biasa,” luah Sitti Fatimah.
Ditanya tentang perasaan terpilih sebagai salah seorang penerima Nona Superwoman Award 2024, Sitti Fatimah berharap pengiktirafan yang diterima diharap dapat meningkatkan kredibiliti perniagaannya. “Jenama kami barangkali belum sebegitu popular seperti produk dan kilang OEM yang lain namun saya percaya pengiktirafan ini dapat meningkatkan kredibiliti SFJ Beauty dan SFJ Manufacturing,” akhiri Sitti Fatimah.
Esok, satu lagi sejarah tercipta apabila Malaysia bakal mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Upacara Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Mengenali peribadi Raja Permaisuri Agong ke-16 ini… baginda bukan hanya gemar memasak bahkan cukup prihatin dengan isu masyarakat terutamanya melibatkan golongan susah dan kesuburan wanita. Disebabkan itu, Tunku Azizah berkenan menjadi Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah merupakan puteri ketiga kepada pasangan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Ismail bersama isterinya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah. Dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru… kakanda lelakinya kini ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hasil perkahwinan bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baginda dikurniakan empat orang putera dan dua puteri iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Tunku Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah. Selain itu, baginda juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang pelbagai jawatan bagi persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Antaranya selaku Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia, Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi PERTAP dan Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang (WI).
Raja Permaisuri Agong ke-14
Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun merupakan Sultanah Kedah serta Raja Permaisuri Agong yang ke-14. Baginda dilahirkan pada 15 Julai 1953 di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.
Baginda mendapat gelaran Che Puan Kedah sehinggalah pada 9 Januari 2004 apabila baginda ditabalkan sebagai Sultanah Kedah.
Raja Permaisuri Agong ke-13
Seri Paduka Baginda Tuanku Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disemberi 1973. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996.
Baginda dilantik menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Raja Permaisuri Agong ke-12
Seri Paduka Baginda Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid merupakan ahli kerabat diraja Kelantan dan Terengganu yang diputerikan pada 6 Jun 1946. Baginda berkahwin dengan Tuanku Syed Sirajuddin pada 15 Februari 1967.
Pada 14 Julai 2000, baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perempuan Perlis.
Raja Permaisuri Agong ke-11
Seri Paduka Baginda Tuanku Siti Aishah telah dilahirkan pada 18 November 1971. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong kesebelas apabila Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 26 April 1999 hingga 21 November 2001.
Raja Permaisuri Agong ke-10
Seri Paduka Baginda Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin dilahirkan pada 11 September 1924. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong ke-10 ketika Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang juga merupakan putera kedua bagi Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
Tuanku Najihah bergelar Raja Permaisuri Agong ke-10 mulai 26 April 1994 sehingga 25 April 1999. Di samping itu, baginda turut memperoleh pendidikan formal di Sekolah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah dan London School of Oriental Studies.
Raja Permaisuri Agong ke-9
Baginda ialah Raja Permaisuri Agong yang kesembilan berikutan perlantikan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Baginda juga merupakan rakyat jelata yang pertama dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohamad Ali dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1932.
Raja Permaisuri Agong ke-8
Seri Paduka Baginda Sultanah Zanariah Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad berasal dari keluarga diraja Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar ibni DYMM Sultan Muhammad II.
Baginda merupakan permaisuri kepada Sultan Mahmud Iskandar Alhaj ibni Almarhum Sultan Ismail dan menjadi Raja Permaisuri Agong kelapan sejak 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Raja Permaisuri Agong ke-7
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Muhammad merupakan Raja Permaisuri Agong ketujuh mulai 26 April 1979 hingga 25 April 1984. Baginda juga ialah permaisuri kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Raja Permaisuri Agong ke-6
Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Mohamed Petra merupakan Raja Permaisuri Agong keenam mulai 21 September 1975 hingga 29 Mac 1979. Baginda juga merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewarisi takhta kerajaan negeri Kelantan dari tahun 1960 hingga kemangkatannya.
Raja Permaisuri Agong ke-5
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahmad merupakan Raja Permaisuri Agong kelima sejak 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Baginda adalah permaisuri kepada Almarhum Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Raja Permaisuri Agong ke-4
Yang di-Pertuan Agong ke-4, Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III ialah suami kepada Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja yang merupakan Raja Permaisuri Agong keempat bermula 21 September 1965 hingga 20 September 1970.
Raja Permaisuri Agong ke-3
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail merupakan Raja Permaisuri Agong ketiga sejak 21 September 1960 hingga 20 September 1965. Baginda merupakan permaisuri kepada Seri Paduka Baginda Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Raja Permaisuri Agong ke-2
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tengku Ampuan Jema’ah Almarhum Raja Ahmad merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kedua sejak 14 April 1960 sehingga kemangkatan Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 1 September 1960.
Raja Permaisuri Agong pertama
Seri Paduka Baginda Almarhumah Tunku Kurshiah Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin merupakan Raja Permaisuri Agong pertama sejak 31 Ogos 1957 hingga kemangkatan Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960.
Rasanya baharu sahaja bertemu mesra dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Rina Mohd Harun sewaktu beliau hadir merasmikan majlis Nona Superwoman Award pada 18 Disember 2020 yang lalu.
Namun, pada hari ini Nona telah menerima berita bahawa Datuk Seri Rina Harun telah disahkan positif COVID-19 seperti yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurut kenyataan akhbar tersebut, Datuk Seri Rina Harun telah menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya pada pagi semalam. Setelah Datuk Seri Rina Harun disahkan positif, beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11.00 pagi ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut.
Datuk Seri Rina Harun juga memohon maaf sekiranya situasi ini telah menimbulkan kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan untuk semua yang terlibat.
Beliau akan memastikan, semasa ketiadaannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan kerja-kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala urusan pengoperasian Kementerian akan tetap berjalan seperti biasa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah Taufik Batisah menyentuh hati ramai apabila beliau setia menemani isteri melalui 6 rawatan IVF dan pernah alami keguguran, bukti cinta tanpa syarat.