Orangnya bukan saja tinggi lampai tapi memiliki rupa paras cantik dan kulit putih kemerahan. MasyaAllah, cantiknya ciptaan Tuhan. Pertama kali bertemu Ayana Jihye Moon, memang terpegun dengan kecantikan personaliti kelahiran Korea Selatan ini.
Dilahirkan pada 28 Disember 1995, Ayana menarik perhatian masyarakat di Malaysia dan Indonesia ekoran perjalanan hidupnya sebagai mualaf. Dia dikhabarkan tertarik dengan Islam sejak berusia tujuh tahun dan kemudian memutuskan untuk memeluk Islam ketika berumur 16 tahun dan masih menetap di Korea Selatan bersama keluarga.
Bagaimana pun, penghijrahan Ayana mendapat tentangan hebat daripada kedua-dua ibu bapa. Apatah lagi, komuniti Islam yang kecil di Korea Selatan dan kekangan peluang pekerjaan apabila dia berhijab memberi cabaran besar kepada jelitawan berusia 26 tahun ini.
Dalam temu bual Nona bersama Ayana tidak lama dahulu, wanita cantik ini mendedahkan, “Nama seperti Aishah atau Khadijah sudah menjadi pilihan ramai dan Ayana ialah nama Islam yang dipilih sendiri oleh saya kerana tertarik dengan nama tersebut yang membawa maksud bertuah.
Pada mulanya saya tidak begitu serius untuk memeluk Islam kerana saya hanya mahu ada pengetahuan tentang Islam. Namun, apabila saya mula bertemu dengan rakan-rakan beragama Islam yang baik, saya tertarik dengan agama ini dan mahu merasai sendiri pengalaman bergelar seorang Muslim.
Ads
Pada awalnya ibu dan ayah tidak setuju dengan keputusan saya untuk peluk Islam. Keadaan ini adalah normal di sana kerana tidak semua rakyat Korea sukakan orang Islam termasuk ahli keluarga sendiri. Tapi sampai sekarang saya sentiasa menghubungi keluarga untuk bertanya khabar dan masih melawat mereka di Korea,” ujar Ayana yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik.
Di samping ibu tersayang
Ads
Sementara itu, memetik kenyataan Ayana kepada portal Popbela.com, “Sebelum pergi ke Malaysia, saya harus lakukan banyak pekerjaan sampingan di Korea Selatan seperti menjadi guru Matematik, menjual ikan kering di pasar dan bekerja sampingan di restoran kecil. Alhamdulillah saya dapat biasiswa penuh kerana saya adalah siswa teladan.”
Ayana memilih Malaysia pada tahun 2017 kerana mempunyai kenalan di sini. Pada tahun 2018, dia berhijrah pula ke Indonesia untuk bercuti dan seterusnya menjadi model.
Ads
Bersandarkan bakat dan rupa paras cantik yang dimiliki, Ayana turut bergelar personaliti YouTube dan menjadi duta bagi produk kecantikan di Indonesia. Dia juga menulis sebuah buku mengenai perjalanannya menuju Islam yang bertajuk Journey to Islam.
Tidak hairanlah Ayana menarik perhatian ramai masyarakat kerana personalitinya yang santai, mesra dan gemar tersenyum. Terpikat dengan kulit wajah mulus Ayana, ini amalan kecantikan yang dipraktikkan.
“Sebenarnya saya tidak ada rutin kecantikan khas untuk diamalkan Cuma saya akan bersihkan make up sebelum tidur dan pastikan muka saya bersih daripada sebarang kotoran. Selain itu, saya juga akan sapu krim pelindung matahari setiap hari sebelum keluar rumah kerana ia mampu melindungi kulit wajah.”
Kredit foto: Instagram Ayana Jihye Moon
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak mengenali Dr Amalina Che Bakri bukan? Bermula dari kejayaan mendapat keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM, nama Dr Nur Amalina Che Bakri terus disebut-sebut. Biarpun jauh di perantauan, nama beliau tetap dikenali kerana seringkali berkongsi perihal kesihatan dan isu-isu semasa bersama rakyat Malaysia yang memerlukan.
Selepas berkahwin dan selamat melahirkan anak perempuan yang diberinama Arabella Mia tahun lepas, sekali lagi nama Dr Amalina mencuri tumpuan selepas beliau berkongsi gambar yang beliau berkesempatan bertentang mata dengan Raja Charles III di Istana Buckingham mewakili Malaysia di satu majlis meraikan komuniti British Timur dan Asia Tenggara di UK baru-baru ini!
Mewakili Malaysia, Dr Amalina turut bertemu isteri Putera Charles iaitu Queen Consort Camilla pada Rabu lalu. Menerusi hantaran tersebut, Dr Amalina sempat menulis menyatakan keterujaaanya bertemu raja yang cukup terkenal satu dunia itu.
“Ia adalah satu penghormatan untuk bertemu Duli Yang Maha Mulia Raja Charles III dan Ratu Permaisuri Consort pada majlis resepsi di Istana Buckingham, mewakili Malaysia.
Kali terakhir saya bertemu dengan Baginda ialah pada 2017 (beliau adalah Putera Wales ketika itu), apabila baginda datang melawat Hospital Diraja London (tempat saya bekerja) selepas serangan pengganas London Bridge. Saya adalah salah seorang doktor dalam pasukan yang merawat mangsa.
Kami berbesar hati dapat dijemput untuk bertemu dengan ahli keluarga diraja yang berkhidmat untuk pelbagai lapisan masyarakat serta berpeluang bertemu dan membuat rangkaian perhubungan dengan mereka dari pelusuk kehidupan yang membuat sumbangan kepada komuniti mereka sendiri di UK dan di luar negara,” tulis beliau.
Semestinya perkara ini cukup membanggakan kerana tidak semua dapat berpeluang bertemu Raja Charles. Turut mendapat perhatian adalah penampilan Dr Amalina yang tampil sopan menyarung persalinan baju kurung berwarna biru hijau (terqoise).
Semoga ini menjadi inspirasi buat anak Malaysia untuk terus mengejar impian! Ke are so proud of you!! ♥️
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam hidup ini tiada seorang pun yang sepi daripada ujian. Cuma bentuk ujian yang menimpa itu berbeza atas seorang daripada seorang yang lain. Ada yang Allah berikan ujian kecil, ada pula ujiannya besar.
Ada yang Allah pendekkan ujiannya dan ada yang berlarutan. Malah ada juga yang ujiannya datang bertimpa-timpa, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga pula. Bagi yang nipis imannya, mereka pastinya akan mengeluh, merungut dan merintih.
Habis semua orang tahu yang dirinya itu sedang dilanda ujian. Semua orang dipersalahkan malah Allah juga turut dipersalahkan juga. Satu-satunya orang yang tidak dipersalahkan adalah dirinya sendiri.
Kualiti diri seseorang itu terserlah saat dia diuji. Ketika itu nampak berbeza antara kaca dengan permata. Waktu senang, bahagia, berharta, berkuasa, berdarjat, berpangkat dan berduit, kita boleh berkata apa sahaja. Kita boleh kata yang kita seorang positif, sabar, terbuka dan sebagainya.
Rasa down dan putus ada sememangnya ditolak ke tepi buat Izanasma Zaaba apatah lagi apabila berhadapan dengan dugaan Yang Maha Esa apabila disahkan menghidap barah payudara pada tahun 2013. Sebagai hambaNYa, Emma yakin setiap ujian yang datang ada hikmahnya dan ia sekaligus membawa dirinya ke satu tahap yang lebih baik dari sehari ke sehari.
“Perasaan sedih dan terkejut sememangnya reaksi awal saya apabila disahkan menghidap barah payu dara. Sudah tentu wujud perasaan sedih memandangkan ia adalah fitrah insani. Namun dengan sedih tidak semestinya saya rebah.
Saya yakin, kesedihan sementara itu adalah untuk menghapuskan dosa-dosa silam. Kesabaran menghadapi ujian ini juga adalah pahala yang takkan putus. Alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan oleh Allah,” ujarnya ketika penulis cuba menyelami perasaannya tatkala menerima perkhabaran doktor mengenai penyakit yang dialaminya itu.
Mengimbas kembali detik tatkala permata kali disahkan menghidap kanser pada tahun 2013, menurut Emma perkhabaran doktor mengenai penyakit tersebut telah banyak menganggu emosinya memandangkan dia mempunyai anak-anak dan keluarga yang amat memerlukan dirinya pada ketika itu.
“Pertama kali saya disahkan menghidap kanser adalah pada tahun 2013. Ketika itu, emosi saya amat terganggu dan saya kerap bersedih. Mana tidaknya, saya memikirkan soal anak-anak dan timbul pelbagai persoalan bersarang di benak.
Sempatkah mereka membesar dan berjaya di depan mata saya? Sempatkah saya menyaksikan semua itu dan menikmatinya. Sekalian bentuk over thinking kerap mengganggu emosi,” ujar Emma yang banyak membuat kajian melalui rujukan buku dan internet mengenai penyakitnya untuk menambahkan ilmu bagi berhadapan dengan situasi getir itu.
Emma menjalani rawatan termasuklah membuang payudara kirinya pada tahun 2013 selain mastectomy pada tahun 2017. “Ditakdirkan pada tahun 2017, sel kanser kembali menyerang, dan kali ini ia lebih sulit.
Pada ketika itu, saya berhadapan dengan ujian apabila bercerai dengan suami dan menghadapi dugaan ini sambil disaksikan oleh anak-anak. Saat saya berhadapan dengan masalah kesihatan ini sudah pastinya saya amat memerlukan sokongan tetapi sebagai wanita dan ibu tunggal, saya gagahkan juga kerana saya sudah tekad untuk keluar dari belenggu menjadi mangsa dalam keganasan rumahtangga,” ujar Emma yang sememangnya mempunyai semangat yang kuat untuk merubah nasibnya walaupun sedang bergelut dengan masalah kesihatan. Dalam situasi bergelut masalah rumahtangga dan kesihatan, wanita tabah ini banyak belajar mengenai kehidupan.
Perasaan redha dan pasrah menjadi kekuatan untuk dirinya menerima ketentuan dan musibah. Malah, dalam mencari kekuatan, sokongan dari keluarga tersayang menjadi azimat untuk dirinya kekal positif dan berani berhadapan dengan apa jua situasi yang mendatang.
“Saya amat positif dalam menjalani kehidupan seharian. Untuk memastikan kekal positif, harus ada semangat. Semangat saya tentulah keluarga. Saya juga berazam untuk hidup dengan lebih bermakna kerana masih banyak perkara yang belum saya selesaikan.
Apabila kita mempunyai target atau tujuan, kita bersemangat dan enjoy untuk laksanakannya sehingga kita lupa segala masalah yang berlaku. Itulah kunci rahsia positivity perjuangan hidup saya. Saya juga tidak menjadikan sakit sebagai alasan untuk tidak fokus terhadap kerjaya dan minat,” ujar Emma penuh ceria.
Sebelum mengakhiri perbualan, Izanasma sempat menitipkan pesanan yang berguna untuk direalisasikan dalam kehidupan seharian. Menurutnya, kunci kehidupan yang positif yang dimilikinya hari ini bertitik tolak dari perasaan sabar dan yakin terhadap segala hikmah yang terjadi terhadap dirinya.
“Disebalik kesusahan ada kesenangan, itu janji Allah. Bertawakkallah dan rujuk pakar perubatan yang diiktiraf jika terdapat sebarang perubahan kesihatan. Apa yang penting, jauhi tekanan kerana ia merupakan musuh utama sikap positif.
Jika seseorang itu stres, ia akan membangkitkan aura negatif, punca segala penyakit. Percaya atau tidak namun begitulah rutinnya.Segalanya terletak pada pemikiran kita. Hindari stress, sihatkan juga mental dan emosi. Selain merawat kesihatan fizikal dengan kaedah rawatan moden, tubuh yang sihat datang dari minda yang sihat juga.Insyaallah kita mampu menghadapinya,” ujar Emma.
Perkhabaran terbaharu dari wanita cekal ini sedikit sebanyak membuatkan penulis dapat merasakan betapa kuatnya keluarga ini menghadapi dugaan. Selain bekerja dari rumah, Emma kini menjaga bonda tersayang yang disahkan menghidap barah payu dara sejak januari lalu.
” Ibu disahkan menghidap barah payu dara sejak Januari lalu. Kini masih meneruskan rawatan kimoterapi. Pada usia 68 tahun, saya dapat melihat kekuatan ibu melawat penyakit apatah lagi sudah lima kali menjalani rawatan kimoterapi. Semoga Allah memberikan kesembuhan buat ibu tersayang,” seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dugaan Allah meletakkan Reza Huzairi Zainudin sebagai pesakit Covid-19 sungguh menakutkan. Takut yang terpaksa ditanggung bukan kerana dirinya berhadapan wabak pandemik ini tetapi memikirkan isteri serta anak-anak dan kakitangannya turut sama dijangkiti. Itulah keresahan utamanya.
Sebaik melihat posting Reza di laman Facebook, Nona menghubungi isterinya Zuraita untuk mengetahui lebih lanjut mengenai berita yang baharu dikongsikan di media sosial. Menurut Zuraita, hanya keluarga yang mengetahui suami dan anaknya disahkan positif Covid-19. Malah, sewaktu kereta ambulans datang menjemput, Reza meminta agar siren tidak dibunyikan, bimbang akan menakutkan jiran tetangga.
Assalamualaikum wbt.Saya ingin berkongsi pengalaman tentang Convalescent Plasma donation yang baru saya lakukan siang…
Hati isteri mana yang tidak keruan apabila suami dan anak tersayang berada jauh dari pandangan mata. Ditempatkan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh, anak-beranak ini tidak boleh dilawati. Selama 11 hari mereka hanya berhubungan melalui telefon. Mujur teknologi kini begitu canggih. Kekuatan itu menjadi pembakar semangat buat Zuraita untuk terus kuat meskipun hatinya hanya Allah yang tahu.
“Hanya Allah yang tahu betapa bersyukur dan leganya hati kami. 11 hari terpisah, tak boleh lawat, tak boleh jumpa, bukan sesuatu yang mudah. Tambahan pula, kita tak tahu bagaimana virus itu bertindak pada pesakit. Jadi selepas dua kali result swab test negatif dan dibenarkan keluar, saya sujud syukur dan tak putus-putus mengucapkan syukur padaNya.
Suami dapat panggilan dari rakan sekerja memberitahu ada staf yang positif Covid-19 dan telah dimasukkan ke wad. Semua yang ada meeting dengan pekerja itu perlu kuarantin di rumah bersama-sama famili. Itu permulaannya.”katanya
Menceritakan perjalanan kisah yang terjadi pada dirinya, Zuraita nyata melihat kejadian ini dari sudut positif. Sikap positif itulah yang terus membimbing suaminya untuk terus kuat melawan virus ini.
“Suami mendapat panggilan dari doktor memberitahu dia positif Covid-19 pada 2 Mac 2020 jam 6.40 petang. Doktor minta dia bawa barang penting sahaja. Suami diberitahu ada staf yang positif dua hari sebelum dan suami sudahpun kuarantin diri sendiri di dalam bilik. Jadi kami memang dah practice social distancing lebih awal.
Suami packing baju sendiri. Doktor beritahu, ambulans akan datang ke rumah sekitar jam 12.30 malam. Waktu tu kes Covid-19 masih baru. Tak ramai lagi yang infected. Suami minta ambulans tak bunyikan siren untuk mengelakkan panik di kawasan kejiranan kami. Lebih kurang jam 1 pagi, ambulans sampai dan membawanya ke Hospital Sungai Buloh.
Simptom suami cuma dia kerap rasa macam nak kebah demam. Lepas tu deria bau tiba-tiba sensitif. Itu sahaja. Simptom lain tiada. Saya redha walaupun dalam hati takut yang amat sangat. Virus ini baru dan kita tak tahu. Tapi memang saya kuatkan hati kerana dengan menjadi kuat, saya tahu yang dia juga akan kuat. Kesembuhan suami adalah perkara pertama yang saya fikirkan waktu tu. I will do anything asalkan dia kekal kuat dan tabah walaupun dalam hati saya tahu dia tak kuat.
Dia nampak takut, bukan takut tentang keadaannya. Tapi takut dan bimbang jika kami atau kakitangannya turut dijangkiti. Dia tak kuat nak hadapi yang itu. Dia tak kisah kalau cuma dia, dia bimbangkan contact rapatnya. Saya meminta suami jangan berfikir terlalu banyak, hanya tumpukan pada kesembuhannya,”katanya.
Sebagai isteri, Zuraita umpama motivator kepada suami dan mereka sering berkongsi banyak perkata. Dalam kebanyakkan hal, Zuraitalah yang sentiasa mempositifkan suami. Untuk menjadi tenang, dia sendiri perlu bertenang dahulu walaupun hanya Allah yang tahu bagaimana keresahan di dalam hati.
“Semasa dia di wad pun, kami tak putus-putus berbalas whatsapp dan saya sentiasa beritahu dia yang kami okay di rumah, kami kuat dan minta dia kuat juga. Setiap malam sejak malam pertama suami di masukkan ke wad, saya solat hajat. Mohon sungguh-sungguh kekuatanNya. Saya tak mampu sekuat itu tanpa izin dan pertolonganNya.”
Dua hari selepas suami di wad, Zuraita dan tiga orang anak diminta membuat swab test segera di hospital kerana mereka adalah close contact suami. Salah seorang anak mereka pula disahkan positif Covid-19.
“Anak ni manja sangat dengan suami. Dan Alhamdulillah, daripada seramai-ramai close contact suami, hanya anak ini seorang yang kena. Dia memang suka peluk ayahnya, tidur pun bukan main peluk. Dan kuasa Allah, dari 50 orang close contact anak yang dikenal pasti, tiada seorang pun yang dijangkiti! Ini membuatkan kami berfikir yang Allah SWT hantar anak manja suami ini ke hospital adalah untuk melancarkan kesembuhannya.
11 hari terkurung dalam wad isolasi, memang depressed. Jadi kami menganggap, di sebalik ujian, terselit rahmatNya yang tak terhingga. Ketika suami mendapat tahu mengenai anak kami, berkali-kali dia menangis memohon maaf. Katanya, kerana dia, kami perlu hadapi semua ni. Saya tak pernah salahkan suami walau sedikit pun kerana suami keluar mencari rezeki halal dan inilah yang telah ditakdirkan Allah. Sebagai hamba, kami redha.
Setiap saat lebih-lebih lagi ketika solat, saya sentiasa mendoakan Allah menguatkan semangat mereka, kuatkan tubuh mereka untuk melawan virus dan melindungi mereka berdua setiap saat dan waktu. Bebaskanlah mereka dan kami sekeluarga sepenuhnya dari virus ini.
Iyalah, nak melawat tak boleh. Hanya bergantung sepenuhnya pada Allah Taala. Inilah saat-saat paling sukar tapi saya tak mengalah. Saya tak boleh biarkan suami risau. Kalau dia risau, hormon terganggu dan melambatkan kesembuhan.”ujarnya.
Disebalik hujan yang lebat, akhirnya muncullah pelangi nan indah. Bagitulah yang berlaku pada keluarga Reza dan Zuraita. Sebaik Reza sembuh, dia dipilih untuk menjadi penderma plasma darah untuk diuji keupayaan menjadi serum bagi mengubati pesakit Covid-19.
“Syukur Alhamdulillah. Rasa bangga dengannya dan berharap kajian itu berjaya agar lebih ramai pesakit COVID-19 yang sembuh dan dapat sama-sama menderma. Bila jadi begini, saya terfikir inilah antara rahmat yang Allah beri dari sebuah kesulitan. Suami tak kisah asalkan mampu membantu sedikit sebanyak untuk memulihkan pesakit Covid-19.
“Percaya dengan Allah, yakin padaNya, selalu bersangka baik denganNya dan jangan putus asa dari rahmatNya. Ujian yang datang tak pernah sia-sia. Kami dapat memperbaiki amal ibadah kami, kami lebih menghargai sesama kami dan kami juga menjadi sangat-sangat ikhlas mendoakan orang lain juga. Alhamdulillah.”
Menurut Zuraita, dia sering berpesan pada diri bahawa Allah itu Maha Adil. Sebolehnya dia tidak mahu rasa tertekan mahupun risau.
“Apabila sedang diuji, stres tak memberi manfaat pun pada diri kita. Jadi untuk apa kita nak besar-besarkan soal stres dan kerisauan? Lebih baik fokus pada sesuatu yang boleh memulihkan keadaan. Cara terbaik ialah mohon pada Allah. Solat awal waktu, perbanyakkan solat sunat dan banyakkan membaca Al Quran.Cliche tetapi demi Allah, inilah ubat stres dan risau paling mujarab!”tegasnya.
Kesembuhan suami dan anak membuatkan Zuraita lebih mensyukuri kehidupan. Malah, para frontliners juga begitu istimewa.
“Buat petugas kesihatan, anda semua adalah insan-insan yang terlalu hebat kurniaan dari Allah. Bukan semua orang sanggup dan mampu memikul beban itu. Walaupun penat, sedih, rasa tak mampu namun anda tak pernah berhenti. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian. Semoga pahala untuk mereka mengalir bak sungai yang tak pernah berhenti.
Buat pesakit dan ahli keluarga terlibat, semoga Allah SWT memudahkan urusan rawatan dan mereka segera sembuh. Semoga Allah juga menguatkan semangat ahli keluarga yang terlibat. Doa rakyat Malaysia sentiasa mengiringi.
Dan untuk kita semua, jaga kesihatan, patuhi arahan kerajaan dan sama-sama kita berganding bahu untuk menghentikan wabak ini. Kita boleh! InsyaAllah.
Buat masa ini dunia belum ada vaksin untuk melawan Covid-19. Jadi semua pesakit perlu bergantung sepenuhnya pada antibodi sendiri untuk melawan virus. Apabila pesakit bebas dari sebarang penyakit merbahaya, kemampuan tubuh mereka untuk menghasilkan antibodi lebih bagus.
Inilah sebabnya mereka kurang risiko lain dan lebih cepat pulih. Manakala bagi pesakit yang mempunyai sakit kronik misalnya serta lanjut usia, kemampuan tubuh mereka melawan virus agak kurang. Itulah sebabnya golongan seperti ini lebih berisiko tinggi dan bahaya jika dijangkiti.”katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.