Wow, terperanjat tengok penampilan terbaru Billa. Nampak lebih slim berbanding waktu dia jadi pelajar Akademi Fantasia 2015 dulu. Bukan sebab ‘makan hati’ ya, tapi khabarnya anak pemuzik kumpulan Wings, Eddie ini memang tengah berusaha turunkan berat badan. Terbaiklah Billa, sampai berjaya turunkan berat lebih 27 kg dalam tempoh lapan bulan.
Kalau bercerita bab kuruskan badan, semua wanita pun teringin hendak dapatkan berat badan ideal. Tapi bila tiba masa berdiet, ada saja alasan. Paling biasa kita dengar, ‘Ala, minggu depanlah baru start diet.’ Sudahnya, masuk ke tahun depan pun masih sama. Lepas tu, merungut asyik cakap badan gemuk. Macam mana pula tu?
Apa yang pasti, tanpa azam yang kuat mesti Billa pun tak mampu realisasikan misi berkenaan. Kalau ikut perkembangan terkini Nurnajmi Nabila Samsaidi di IGnya, memang banyak foto-foto inspirasi gadis berusia 22 tahun ini. Daripada berat 140 kg tahun lepas sampai berat terbarunya 113. 4 kg, semuanya dikongsikan Billa sebagai suntikan inspirasi kepada wanita lain yang punya misi sama sepertinya. Malah, Billa turut berkongsi tip sihat yang diamalkan.
Ads
Gambar Billa terkini dan semasa jadi pelajar AF 2015
Minum air kosong 2 liter sehari. No air sejuk.
Makanlah apa je awak nak makan. Tapi kuantiti tu sedikit ya.
Selepas pukul 7pm, NO FOOD ALLOWED. Lepas tu exercise la. 30 minit pun cukup. Kena kuat iman dengan mental.
Sambil menggunakan hashtag #jomsihatsamasama dan #letsgethealthytogether, jelas menggambarkan anak seni ini sangat positif melakukan perubahan terhadap dirinya. Dan melalui posting terbaru, Billa ada berkongsi video pendek yang menunjukkan rutin senaman perut yang menjadi amalannya. Daripada ambil pil pelangsingan yang belum terbukti selamat, lebih baik buat senaman dan kawal pemakanan seperti Billa. Dah tentu-tentu berkesan dan sihat.
Teruskan usaha anda, Billa. Semoga niat murni anak Eddie Wings ini turut memberi inspirasi kepada semua wanita agar mementingkan gaya hidup sihat!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semenjak semalam isu berkaitan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah kecoh diperkatakan di media sosial. Beliau adalah merupakan seorang ikon Melayu Islam yang paling berjaya di dalam bidang perniagaan di negara ini. Berdasarkan Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2021, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kekal menjadi Bumiputera terkaya di Malaysia apabila disenaraikan pada kedudukan ke-18 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM4.94 bilion). Namun siapakah sebenarnya individu hebat ini?
SUMBANGAN
Sebut saja nama Yayasan Al-Bukhary, umum pasti mengetahui siapakah pengasas kepada salah satu yayasan badan kebajikan yang paling dikenali di Malaysia, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.
Beliau merupakan salah seorang usahawan Islam yang terkaya di Malaysia dan merupakan jutawan ke-32 terkaya di Asia Tenggara menurut majalah Forbes. Di sebalik kelibatnya sebagai jutawan, Tan Sri Syed Mokhtar turut dikenali sebagai seorang dermawan dan aktif dalam kerja-kerja amal.
Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 Disember 1951, dan merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Sebelum menetap di Kedah, bapanya Syed Nor mengembara sehingga ke Asia Tengah untuk berniaga sebelum kemudian berpindah ke selatan Thailand.
Semasa di situ, bapanya berulang alik dari Sadao ke Hatyai sebelum memilih menetap di Kedah pada tahun 1940-an. Dalam satu temubual bersama The Star, Tan Sri Syed Mokhtar mengakui kehidupan semasa kecilnya berada dalam keadaan serba kekurangan.
Masa kecilnya dihabiskan dengan membantu keluarganya untuk menambah pendapatan harian bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga. Ketika beliau masih di alam persekolahan, beliau sentiasa membantu ibunya menjual sayur-sayuran di Pasar Jalan Telok Wan Jah.
Manakala selepas pulang dari sekolah, beliau akan membantu bapanya menternak lembu dan kerbau di pusat kuarantin berhampiran dengan stesen keretaapi Alor Setar.
Menyentuh mengenai latar belakang pendidikannya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi berikutan mendapat pembelajaran sehingga Tingkatan Lima. Tetapi kekurangan itu ditampung dengan ilmu yang ditimba hasil dari pengalamannya membantu ibu dan bapanya di pasar dan membuat kira-kira.
BERMULANYA SATU EMPAYAR
Akibat terjadinya wabak kuku dan mulut pada haiwan ternakan bapanya yang menyebabkan kerugian besar, Tan Sri Syed Mokhtar membuat keputusan untuk mengambil alih perniagaan bapanya dan beralih kepada perniagaan daging lembu dan kerbau secara kecil-kecilan.
Beliau memulakan perniagaannya dengan membeli daging yang tidak terjual dipasar dan menjualnya kembali kepada mana-mana peniaga Bumiputera dan restoran sekitar Alor Setar. Ekoran kejayaan beliau dalam perniagaan barunya, ia memarakkan lagi azam beliau untuk bergerak lebih jauh dalam dunia perniagaan.
Setelah beberapa tahun, Tan Sri Syed Mokhtar memilih untuk beralih kepada perniagaan pengangkutan dan berjaya mendapatkan permit bagi empat buah lori kelas A. Melalui pinjaman MARA, beliau telah membeli dua buah lori Mercedes 911LS.
Di samping itu, Tan Sri Syed Mokhtar turut menubuhkan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan lori-lori tersebut digunakan untuk memulakan perniagaan beras. Salah satu kontrak yang dimenanginya ialah kontrak membekalkan makanan kepada pihak tentera. Ini mendorongnya masuk ke kem-kem dan menjual beras pada masa sama.
Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya menempa nama apabila diberi peluang membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan kemudiannya pegangan kawalan dalam MMC Corp. MMC Corp kemudiannya menjadi salah satu daripada syarikat utama beliau. Menerusi MMC Corp, beliau berjaya menarik pemain-pemain industri perkapalan seperti Maersk Sealand (Denmark) dan Evergreen Marine (Taiwan) untuk beralih dari Singapura ke Malaysia.
Keadaan ini menyebabkan beliau dihormati pihak berkuasa negara ini. Selain itu, beliau juga terlibat dalam aktiviti penswastaan dan penyenaraian awam Johor Port Bhd dan pengkorporatan Lembaga Pembangunan Tanah Johor Tenggara (KEJORA) dengan sokongan ahli-ahli politik Johor termasuk Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PERKAHWINAN
Tan Sri Syed Mokhtar hanya mendirikan rumahtangga semasa berusia 41 tahun pada tahun 1992. Hasil perkahwinannya dengan Puan Sri Sharifah Zarah menyaksikan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata. Selain itu, beliau juga terus mengekalkan gaya hidup sederhana termasuk tidak mengembara dalam kelas pertama dan memandu sama ada kereta Mercedes Benz atau Proton Perdana.
Bila ditanya mengapa beliau memilih kehidupan sebegitu rupa, Tan Sri Syed Mokhtar berkata, “Saya tidak pernah berkelakuan seperti orang besar kerana semua orang tanpa mengira Melayu, Cina atau India sama saja. Perkara paling penting ialah kita harus konsisten dan berusaha keras untuk berada di puncak.
Tiada jalan pintas menuju kejayaan. Saya masih ingat bertemu dengan beberapa pegawai bank di New York. Mereka terus membaling kad nama mereka kepada saya tetapi saya tetap kekal tenang. Pada akhirnya, saya memenangi kepercayaan mereka melalui cara saya yang berhemah. Saya tidak pernah lupa asal-usul saya.”
Selain sibuk menguruskan empayar perniagaannya, beliau juga tidak pernah lokek menyumbang kepada kerja-kerja amal menerusi Yayasan Al-Bukhary. Hampir setiap tahun, yayasan itu menganjurkan majlis buka puasa sebanyak dua kali untuk menjamu 3,000 orang yang tidak berkemampuan.
Yayasan Al-Bukhary juga sibuk dengan projek-projek mereka termasuk pengurusan Muzium Kesenian Islam Malaysia yang dibuka pada tahun 1998. Pada tahun 2001, yayasan turut melancarkan Program Tuisyen Albukhary untuk membantu kanak-kanak luar bandar melepasi peperiksaan akhir tahun sekolah mereka.
Hasilnya sejak itu, lebih 80,000 pelajar dari 500 buah sekolah mendapat manfaat daripada program berkenaan. Yayasan Al-Bukhary turut menghulurkan bantuan bencana alam bagi mangsa-mangsa musibah gempa bumi di China, Pakistan dan Iran serta musibah tsunami di Indonesia pada tahun 2004.
Atas sebab inilah, tidak hairanlah mengapa Tan Sri Syed Mohktar telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 2008. Tetapi beliau juga melakukan sesuatu yang di luar jangkaan selepas menerima anugerah itu.
Beliau terus menjadi inspirasi kepada golongan muda di luar sana khususnya usahawan-usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan. Betullah kata orang, setiap kejayaan itu pastinya bermula daripada pelbagai cerita dan pengalaman pahit. Untuk berjaya, seseorang individu itu perlu memiliki usaha dan keazaman yang tinggi, kecekalan dan sentiasa bersikap terbuka dengan rintangan yang mendatang. Kerana itulah resepi kejayaan yang paling efektif.
Sumber: FB Jalan Para Solihin
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ratu Jordan, Rania Al Abdullah dilahirkan pada 31 Ogos 1970 dan merupakan graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari American University of Cairo pada 1991 yang pernah berkhidmat di sektor perbankan dan teknologi sebelum berkahwin dengan Putera Abdullah Al Hussein pada 10 Jun 1993. Hasil perkahwinan selama hampir 30 tahun, Ratu Rania dan Putera Abdullah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Putera Hussein, Puteri Iman, Puteri Salma dan Putera Hashem.
Sebagai Ratu Diraja Jordan, Rania dikenali di seluruh dunia bukan saja kerana kecantikan yang dimiliki bahkan jiwa penyayang beliau membela nasib golongan kurang bernasib baik terutamanya kanak-kanak dan wanita di Jordan selain komited merapatkan jurang perbezaan kaum dan budaya di peringkat antarabangsa.
Tumpuan utama Ratu Rania adalah pendidikan dan beliau percaya setiap kanak-kanak Jordan sama ada lelaki mahupun perempuan perlu diberikan hak pembelajaran mengikut peredaran masa kini. Demi memastikan ia bukan sekadar cakap kosong, Queen Rania mewujudkan pelbagai inisiatif antaranya Jordan Education Initiative, Queen Rania Teachers Academy, Madrasati (atau bermaksud sekolah) dan Edraak yang bermaksud kesedaran.
Tidak cukup dengan itu, Ratu Rania juga terlibat dengan United Nations Foundation dan World Economic Forum serta menjadi individu penting dalam UNICEF dan dilantik UN sebagai Panel Kehormat yang berperanan meningkatkan taraf kehidupan penduduk dunia menjelang tahun 2030.
Paling mengagumkan, kerana naluri keibuan yang menebal dalam diri.. Ratu Rania berpeluang menghasilkan beberapa buku kanak-kanak yang berkisar pengalaman beliau sewaktu kecil. Antara naskhah istimewa karya Ratu Rania adalah The Sandwich Swap, Eternal Beauty, Maha of the Mountains dan The King’s Gift.
Memang terinspirasi dengan semangat dan jiwa besar Ratu Jordan ini. Malah, personaliti Ratu Rania turut menjadi perhatian penggemar fesyen lantaran gaya dan cita rasa menawan yang ditampilkan Ratu Rania tatkala berada di khalayak. Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau tidak ubah seperti supermodel yang cantik berjalan di karpet merah. Cukup memukau!
Foto: Instagram Queen Rania
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya ujian dari Allah itu tanda sayang. Dalam kegembiraan Norazilah Musa dan suami menerima kehadiran cahaya mata keempat, mereka diuji dengan kelahiran anak istimewa. Dunia Norazilah yang selama ini cerah tiba-tiba bertukar malap saat doktor mengesahkan keadaan bayi miliknya. Akui ibu empat anak ini, lidahnya menjadi kelu dan perasaannya bercampur-baur menerima situasi mengejutkan tersebut.
Tenang berkongsi perjalanan hidup serba mencabar, Norazilah atau mesra disapa Iyla mengharapkan agar pendedahan ini menjadi suntikan semangat buat wanita khususnya kaum ibu yang turut dikurniakan anak syurga.
“Tahun lepas, saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki dan kami sepakat menamakan anak ini sebagai Nuh. Nuh dilahirkan pada 18 April 2020. Waktu dia lahir wabak Covid-19 sedang menular. Dengan keadaan jangkitan virus maut ini di luar sana ditambah pula emosi yang masih terkejut dan tak stabil, saya mengaku kehidupan kami suami isteri ketika itu sangat mencabar.
Berbeza dengan tempoh berpantang lepas bersalin anak-anak sebelum ini, saya terpaksa berpantang di rumah bersama suami dan anak-anak yang lain. Memandangkan waktu itu tengah Covid-19. Allah saja tahu bagaimana saya bergelut dengan kehidupan sendiri tiap-tiap hari.
Nuh dilahirkan sindrom down dan sepanjang mengandungkan Nuh, doktor tak kesan sebarang perubahan tidak normal terhadap kandungan saya. Semuanya baik-baik saja sehinggalah Nuh lahir dan disahkan sindrom down.
Memang kami terkejut sebab tak ada dalam kalangan keluarga kami yang ada genetik ini. Sampai sekarang walau Nuh dah berusia setahun lebih kami masih follow up kes dia dan berulang-alik ke hospital setiap hari.”
Entah dari mana datangnya kekuatan, jiwa Iyla seolah-olah ‘dijentik’ seterusnya membuatkan dia segera bangkit demi anak syurga. “Iya, pada awalnya memang sukar untuk saya terima kenyataan yang kami ada anak istimewa. Tapi bila fikir secara rasional, dan percaya kepada ketentuan Allah Yang Maha Adil… perlahan-lahan saya terima takdir ini.
Saya juga percaya anak syurga kami adalah ‘rezeki besar’ yang tak semua orang ada. Fokus saya dan suami sekarang ialah untuk jaga Nuh sebaik mungkin dan merancang masa depan dia sebaik-baiknya.”
Jelas Iyla, dia yang mengusahakan bisnes solekan Amanda Touch turut terjejas dari segi pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda negara. “Kalau tanya di mana saya dapat kekuatan, mestilah anak-anak yang menjadi semangat untuk saya berjaya dan berusaha lebih kuat. Lagi-lagi sekarang, saya ada seorang anak syurga. Jadi itu membuatkan saya bersemangat dan yakin yang saya boleh lakukan apa saja serta berjaya seperti orang lain.
Tak dinafikan, sumber pendapatan saya tak menentu. Demi untuk tampung perbelanjaan keluarga dan bantu suami, saya ambil paid review di platform media sosial selain buat jualan kecil-kecilan secara online.
Musim Covid-19 memang saya tak ambil job mekap. Tambahan pula ada Nuh, saya risau kalau dia terjangkit. Sebab itu dari bulan Januari lepas, saya usaha jual Chocolate Almond untuk tambah pendapatan. Suami saya bekerja sendiri sebagai kontraktor.”
Bukan berasal dari keluarga berada, Iyla menjelaskan dia sudah terbiasa hidup susah sejak kecil bersama lapan adik-beradik yang dua daripadanya sudah meninggal dunia. “Saya dilahirkan di Kuantan, Pahang dan merupakan anak kelima daripada lapan beradik. Ayah dah lama pencen dan mak pula suri rumah sepenuh masa.
Sebelum ini saya pernah kerja sebagai penari artis budaya di Pahang dan Kuala Lumpur. Belajar hanya sampai SPM saja di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad. Saya mula aktif dalam bidang solekan selepas kahwin sekitar tahun 2014. Terdetik untuk ada bisnes make up sebab minat dan saya rasa bakat saya dalam bidang ini sangat luas. Selain ambil tempahan mekap, saya juga ada buat kelas solekan sendiri.
Dengan lambakan make up artist sekarang, memang diakui sukar untuk mendapat tempat. Tapi saya percaya dengan bakat yang ada dan kelainan yang saya bawa. Maksudnya bukan sekadar solek orang tapi saya juga boleh mekap diri saya sendiri secara live dan buat video mekap sendiri serta bersaing secara sihat.
Tujuan saya berkongsi solekan secara live di media sosial juga adalah untuk beri semangat kepada followers saya yang semua wanita mampu buat apa yang mereka inginkan tanpa alasan,” ujar Iyla sambil mengagumi bakat solekan dan jiwa usahawan Dato’ Alha Alfa.
Meniti usia 34 tahun, isteri kepada Zulhelmi Sulaiman ini berkata walau ada perniagaan sendiri dan pernah menata rias beberapa selebriti tanah air namun Iyla tetap berdepan pelbagai cabaran. “Cabaran sepanjang bergelar makeup artist ini banyak. Tapi antara yang paling kerap saya lalui adalah apabila saya terpaksa bawa semua anak-anak untuk job mekap pelanggan.
Alhamdulillah, Allah permudahkan kerja saya dan dikurniakan anak-anak yang sangat menjaga tingkah-laku bila saya bawa mereka bersama pergi kerja. Anak-anak faham kerja ibu mereka dan suami pun banyak tolong uruskan anak-anak sebab kami tak ada pengasuh.
Begitu juga pelanggan yang faham keadaan saya. Tapi kalau ada event tertutup atau saya kena hadir jadi jurucakap atau mekap selebriti, saya tak bawa anak-anak. Jadi saya terpaksa minta tolong kakak ipar untuk jagakan mereka.”
Ditanya mengenai perancangan Iyla pada masa hadapan, dalam nada penuh semangat dia memberitahu mahu mempunyai satu studio solekan khas buat golongan wanita. “Sememangnya saya mahu jadi wanita berjaya dan memasang impian untuk buka satu studio khusus untuk wanita kurang berkemampuan mendapatkan ilmu berkaitan solekan. Saya mahu adakan ini untuk mereka supaya mereka yakin dan mampu mencuba sesuatu yang menguji kemampuan mereka serta berfikir di luar kotak.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!