Untuk menjadi seorang seniman adalah untuk percaya pada kehidupan. Dan tanpa tawakal yang tinggi pada karya yang dihasilkan, orang seni bukan siapa-siapa.
Perkenalan Nona dengan pelukis cat minyak dan digital bernama Amy Hashim ini sesungguhnya begitu indah perjalanannya. Kami teruja berkongsi kejayaan beliau, seorang pelukis wanita Muslimah tempatan, yang dijemput mengadakan pameran lukisannya setiap tahun di bumi Uncle Sam.
Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 46 tahun, salah satu lukisan beliau yang bertajuk ‘Paddy Field – After Harvest’ berjaya tersenarai dalam Top 100 sebuah pertandingan lukisan terkemuka di Palo Alto, California.
Paddy Field – After Harvest
Cerita kejayaan wanita tempatan ini bukti minat mendalam mendahului segala-galanya. Meskipun selepas memiliki tiga orang cahaya mata, graduan Business Studies tersebut terus mengorak langkah untuk menakluki dunia seni. Ikuti temu bual kami.
Anda melukis kerana apa?
Pertamanya, kerana cinta pada lukisan sejak kecil dan kedua, kerana sokongan serta galakan kawan-kawan dari dalam dan luar negara. Sejak kecil lagi saya sudah pandai menyimpan warna-warna dan colour pastel dalam kotak-kotak kasut yang di susun rapi dengan tanda ‘Jangan Sentuh’ (ketawa).
Sepupu saya yang membesar bersama-sama masih ingat pesanan itu. Melukis ni macam sebahagian diri saya, cuma ada masanya fasa hidup kita berbeza-beza maka begitu juga dengan perkembangan seni dalam diri kita.
Hakikatnya, kalau diteliti keadaan sekeliling, kebanyakan kita kehilangan minat dalam seni visual kerana kita tidak mendapat pengukuhan peribadi positif yang diperlukan untuk diteruskan.
Satu kenangan yang anda boleh kongsi tentang keputusan pertama kali ingin menjadi seorang pelukis secara serius?
Saya diberi kesempatan oleh Allah Taala untuk berhenti kerja dari bidang teknologi dan ICT sewaktu kelahiran puteri kami yang ketiga. Saya terfikir untuk kembali melukis, pada waktu yang sungguh tepat.
Saya ingin menjaga anak perempuan kami sendiri. Maka dengan doa dan tawakal yang amat tinggi, saya kembali melukis dengan dorongan suami. Waktu tahun 90-an itu, saya cuma melukis di atas kertas.
Berbeza sekarang ini, ibarat dua zaman yang berbeza. Sekarang ada banyak kelengkapan digital, maka saya gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk melukis di atas kedua-dua permukaan kanvas dan skrin digital.
Melukis cat minyak memerlukan tempoh masa yang lama untuk siap iaitu antara seminggu sehingga 2 ke 3 bulan. Maka alternatif terbaik untuk mengisi waktu sementara setiap lapisan cat kering ialah dengan melukis di atas skrin.
Ads
Lukisan Amy Hashim di atas kanvas besar berukuran 8 x 6.6 kaki
Kepuasan yang anda dapat apabila berkarya di atas kanvas lukisan?
Sangat puas apabila dapat berkarya di atas kanvas putih dan kemudian perlahan-lahan menzahirkan segala imej yang saya inginkan di kotak fikiran. Seronok bermain-main dengan warna dan tekstur.
Saya menggunakan cat minyak profesional yang diimport dari UK. Olahan saya adalah secara tebal dengan mencampurkan medium impasto bagi memberikan bentuk, yang timbul dan keluar dari permukaan kanvas tersebut. Tebalnya lebih 1 inci.
Berbeza dengan lukisan lain, lukisan sebegini umpama seni arca di atas kanvas dan saya puas dengan ketebalan lukisan tersebut. Ia juga membezakan lukisan saya dengan lukisan digital yang membanjiri pasaran dunia sekarang.
Lagi satu, saya puas apabila membuat process oil mixing iaitu dengan cara mencampur-campurkan warna-warna primer kepada berpuluh-puluh jenis warna-warna sekunder yang sejuk dan panas, kemudian breaking the tones seolah-olah warna tersebut menari-nari di atas kanvas.
Akhir sekali campuran warna-warna yang hidup yang mengasyikkan dan menceriakan pandangan mata.
Pencapaian yang pernah diraih setakat ini?
Kalau dari segi sijil, saya telah mendapat beberapa anugerah dan sijil seni lukisan dari UK, USA dan Korea. Saya juga pernah dilantik sebagai penasihat seni digital oleh Fakulti Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan.
Namun secara peribadi, pencapaian lebih berbentuk self satisfaction. Pada Ogos tahun 2016, saya membuat pameran solo kedua dan berjaya menjual hampir 19 dari 26 keping dalam masa 2 minggu tempoh solo tersebut.
Ads
Satu lagi apabila seorang CEO sebuah organisasi kewangan di Malaysia masuk ke pameran dan tidak teragak-agak untuk membeli 3 buah cat minyak saya. Dan saya juga bersyukur mempunyai seorang pengumpul tegar dari Selatan yang telah mengumpul lebih 10 keping hasil nukilan saya, alhamdulillah.
Apabila orang tidak teragak-agak untuk menyokong saya, saya juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan ekonomi seni dengan menggunakan kembali wang untuk membantu pelukis2 dan persatuan pelukis lain yang memerlukan.
Bagaimana terbukanya peluang untuk mengadakan pameran seni di California?
Saya dihubungi dan dijemput oleh syarikat utama, Autodesk untuk bersama-sama menyertai pameran di The Venetian, Las Vegas sekembalinya saya dari Itali pada tahun 2013. Selain itu, tiap-tiap tahun saya dihubungi untuk menghantar lukisan di Palo Alto California.
Kalau dulu saya seorang wanita Muslimah yang berkecimpung dalam bidang teknologi di syarikat Intel Corp, sekarang pun takdirnya sama apabila nampaknya saya seorang saja pelukis Muslimah yang terlibat dengan mereka di USA. Mereka mengenali saya melalui Facebook Page saya iaitu Amy Hashim Arts atau instagram @amyhashimarts.
Melihat kepada peluang seni yang ada sekarang, adakah sukar untuk membina nama di negara sendiri berbanding mengembangkannya di negara luar?
Secara peribadinya saya memulakan karier secara serius di luar negara, kemudian masuk ke Malaysia. Tetapi sekarang di Malaysia ini sudah ramai yang celik dengan seni visual atau lukisan.
Saya lihat ada ramai pengumpul seni dan pelabur yang memberi sokongan terhadap bidang ini. Mungkin saya mencipta nama dari luar negara, tapi nisbah pembelian lukisan lebih banyak dari pengumpul Malaysia berbanding luar negara. Ini pengalaman peribadi saya dan hal ini mungkin berbeza antara saya dengan pelukis lain.
Pameran Solo Bersama Mantan CEO Bursa Malaysia Bhd Dato’ Yusli Mohamad Yusof
Pada pendapat anda, bagaimana masyarakat menilai sesuatu lukisan… Orang seperti apa yang suka menghayati dan membelinya?
Ads
Orang yang suka menghayati lukisan dan membelinya adalah orang yang jiwanya passionate dengan seni dan mencintainya. Seni pada dasarnya merupakan ungkapan emosi. Ia mencetuskan emosi tertentu pada orang. Bergantung kepada betapa kuatnya mereka merasakan emosi itu, semakin baiklah peluang orang yang menghargai seni itu.
Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes seseorang mungkin tidak merasakan apa-apa emosi kerana kekurangan pemahaman apa yang dicuba oleh seni.
Dalam kes sedemikian, orang hanya menolaknya mengatakan ia bukan sekeping seni yang baik, mereka mungkin juga mengatakan ini jika emosi yang dicetuskan tidak cukup kuat.
Apabila ini berlaku, mendapatkan seni menjadi satu kejayaan kepada mereka yang membelinya. Ini tidak boleh dibandingkan dengan wang belanja. Ini adalah acquisition. Pemilikan yang kemudiannya menjadi hak peribadi. Art collector dalam sedar atau tidak, mereka adalah pendorong utama seniman-seniman negara sebenarnya.
Usaha anda agar lukisan yang dihasilkan menembusi pasaran digital?
Kongsikan lukisan anda tanpa segan silu dengan dunia luar menerusi media sosial seperti Flickr, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Anda sudah tentu akan dihargai oleh mereka selayaknya. Dunia ini luas dan rezeki Allah ada di mana-mana.
Harapan anda?
Saya sudah maklum, untuk mengubah sesuatu budaya dan cara-cara hidup tertentu yang bukan dari dalam diri kita sendiri adalah sukar.
Maka harapan saya kepada diri saya sendiri ialah membuka art gallery dan berdikari seperti beberapa pelukis moden di US, UK dan Australia supaya peminat dan pengumpul seni boleh terus menghubungi anda dan berdekatan dan mengenali dengan anda secara peribadi.
Dengan cara ini sahaja mereka boleh mengukur standard kualiti dan latar belakang pelukis tersebut. Selepas projek galeri itu berjaya direalisasikan, kemungkinan saya boleh mengorak langkah seterusnya di luar negara, insya Allah.
Berikan tip penjagaan lukisan agar tetap cantik tergantung?
Cat minyak tahannya berzaman dan menjadi sebahagian aset dan architecture di kediaman anda. Berikut sedikit tip yang praktikal diamalkan:
Gantung ia dengan baik.
Dapatkan pencahayaan yang baik kerana cat minyak anda akan glowing dan mengasyikkan apabila dipandang.
Bersihkan dengan kain lembut atau feather duster (bulu ayam).
Cat minyak juga boleh menjadi pemilikan harta yang dibanggakan (pride possession) maka sesetengahnya sudah boleh di senaraikan dalam insurans bagi mengelakkan sebarang kerugian.
Sekiranya anda mempunyai lukisan oil painting tertentu, sudah tentulah ia menjadi satu topik yang seronok untuk diceritakan kepada tetamu-tetamu anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan figura cantik dan berkulit putih ini. Walaupun gadis yang sering melemparkan senyuman ini baharu berusia 24 tahun namun perwatakannya lebih matang daripada usia sebenar. Penglibatan gadis yang mempunyai nama sebenar Nurul Jannah Muner ini dalam usia yang begitu muda mungkin membuatkan dirinya kelihatan lebih dewasa.
Foto: Instagram @jannanick
Bersemuka dengan figura yang mempunyai nama komersil Janna Nick ini benar-benar telah menyentuh hati kecil penulis. Siapa sangka penyanyi lagu Mungkin Saja ini sanggup buat apa sahaja atau berhabis demi keluarga tercinta. Terpancar riak bahagia di wajah Janna Nick setiap kali berbicara tentang keluarganya.
Foto: Instagram @jannanick
“Saya benar-benar menyayangi keluarga saya. Siapa saya tanpa mereka. Saya memang tidak pernah rasa terbeban bila melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga. Sebenarnya bila kita sebagai anak bertindak menyara keluarga ianya merupakan keberkatan dalam hidup. Rezeki kita semakin berlipat kali ganda bila berkongsi rezeki dengan keluarga.
Pada saya lagi banyak membantu, rezeki saya semakin murah dan lebih berkat. Secara tidak langsung menjadi ‘ketua keluarga’ kepada keluarga kecil saya ini mengajar untuk lebih tanggungjawab untuk masa depan. Mungkin kalau saya ada keluarga sendiri nanti saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental,” tutur anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.
Foto: Instagram @jannanick
Memulakan karier dalam bidang seni seawal usia 16 tahun, Janna Nick kini semakin bijak merencana masa depannya. Berbicara tentang perancangan kewangan pelakon drama adaptasi Korea, My Coffee Prince ini, “Saya mula merencana kewangan bila menyasarkan untuk beli rumah dulu.
Saya bersyukur berjaya capai impian untuk beli rumah pertama di usia 21 tahun. Sejak itu saya berazam untuk mengumpul aset. Saya pula bukan jenis orang yang suka berbelanja tanpa sebab dan tidak memilih jenama,” ujar Janna Nick yang mahu beli sebuah lagi rumah pada tahun ini.
Foto: Instagram @jannanick
Bercerita tentang perkembangan terkini, Janna Nick jujur mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak lakonan.”Tahun ini saya lebih memilih watak kerana mahukan kualiti bukan kuantiti. Sebelum ini saya hanya mencari duit dan sekarang ini saya mementingkan kualiti.
Memang tujuan asal saya menceburi bidang seni untuk menambah pendapatan. Saya mula masuk dalam industri ketika umur saya 16 tahun dan ini bermakna sejak dari sekolah saya dah mula bekerja. Masuk dalam dunia seni mungkin mudah tetapi yang sukarnya adalah untuk kekal dalam industri.
Foto: Instagram @jannanick
Bagi saya untuk kekal lama dalam industri kena minat. Dalam setiap kerja apa pun kena minat, kan? Kini setelah lapan tahun berada dalam industri saya sedar lagi lama berada dalam industri sebenarnya lagi mencabar. Bukan bermakna lagi lama berada dalam industri perjalanan seni semakin mudah tapi lebih mencabar sebab macam mana nak letakkan diri kita atau kekalkan diri kita dalam top list,” ujar gadis berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Siam.
Janna Nick juga begitu teruja berkongsi tentang dunia pengacaraan yang menjadi keutamaannya kini. Setelah tiga tahun menjadi hos untuk program hiburan terkenal di salah stesen televisyen Janna Nick rupanya kini sudah mempunyai program bual bicara sendiri.
Foto: Instagram @jannanick
Menurut Janna Nick program bual bicara yang masih dalam proses rakaman itu benar-benar menguji keupayaan dirinya sebagai seorang pengacara. “Apabila saya diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program bual bicara cabarannya lain pula bila terpaksa menyesuaikan diri dengan program tersebut.
Foto: Instagram @jannanick
Sebelum ini saya biasa mengacarakan program siaran langsung kini saya belajar pula untuk mengendalikan sebuah program secara rakaman pula. Saya tak sabar nak tengok program tersebut ke udara dan dengar komen dan kritikan orang ramai, kalau kritikan itu membina saya akan ambil,” tutur pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Allahu, menceritakan kembali kisah hatinya dijentik hidayah pun sudah membuatkan Zaskia Sungkar meremang bulu roma. Bukan kerana takut semata-mata, sebaliknya perasaan itu turut didorong rasa kagum tentang betapa besarnya kekuasaan Allah SWT terhadap insan kerdil sepertinya. Sebak mengenang dosa-dosa lalu… Zaskia bagaimana pun bersyukur kerana akhirnya ‘ruang kosong’ yang dirasai selama ini telah diisi dengan sesuatu yang sangat berharga.
Membulatkan niat untuk berubah ke arah kebaikan kira-kira tujuh tahun yang lalu, isteri Irwansyah ini mengakui kehidupannya sebelum berkahwin dikelilingi dengan perkara yang melalaikan. “Aku memutuskan untuk menutup aurat tahun 2012 setelah nikah. Tujuan utama adalah supaya aku terpisah daripada pergaulan sebelumnya… ada ‘laluan’ untuk aku dan suami keluar daripada pergaulan kami yang dulu.
Alhamdulillah berhasil… kami perlahan-lahan menjauhi keburukan. Namun, jangan pernah mengadili orang lain sebab kita tak akan pernah tahu yang dia mungkin jadi lebih baik nanti. Sebelum ini aku dan suami menjalani kehidupan tanpa mendalami Islam. Tapi setelah bernikah kami punya tujuan yang sama… supaya pernikahan lebih baik, jadi suami isteri yang lebih punya masa depan baik dan tak terjejas dengan hal-hal yang boleh merosakkan hubungan,” telusnya.
Mendirikan rumah tangga ketika usia baru mencecah 20 tahun dan mengakui masih mentah menjalani hidup sebagai isteri, jauh di benak hati Zaskia tak pernah sekalipun terdetik rasa kesal berkahwin pada usia muda hanya kerana mahu memenuhi permintaan kedua-dua ibu bapanya.
“Aku pernah dipaksa pakai jilbab oleh bapa dan masuk pesantren. Tapi semua itu tidak kekal hingga pada saat bila aku betul-betul putuskan untuk memakai hijab sepenuh hati, papa aku sujud syukur kerana doa papa selama ini termakbul akhirnya.
Di samping suami tercinta, Irwan Syah
Prosesnya (penghijrahan) lama dan aku tak terus dapat ‘panggilan’ dalam hati untuk mendalami ilmu agama dengan cepat. Kalau kebanyakan orang berdoa pada Allah minta balance dunia akhirat, tapi aku dulu doanya hanya kepada duniawi. Ingin anak, ingin rezeki yang banyak… semuanya duniawi saja tak pernah minta bagaimana ditingkatkan iman.
Sampai satu tahap aku seakan ada sesuatu yang hilang dalam hidup. Aku rasa kosong walaupun macam-macam kesenangan dah capai. Solat pun rasa biasa-biasa saja tak ada rasa yang luar biasa. Lantas, timbul persoalan kenapa hidup aku tak tenang, dapat duit pun macam tak cukup. Sampailah terdetik dalam hati, aku hidup untuk apa? Kenapa rasa macam kosong dan tiada tujuan hidup?”, soal Zaskia dalam nada menahan sebak.
Ujarnya lagi, “Alhamdulillah, waktu itu dapat rezeki mengerjakan umrah. Entah kenapa doa aku fokus cuma satu. “Ya Allah tolong lembutkan hati, tolong buka hati aku, sentuh hati aku.” Sampai di Mekah, aku turut berdoa di beberapa tempat mustajab. Tiga hari sebelum pulang, malamnya hati aku tak tenang, tidur pun takut, rasa takut sangat mati.
Zaskia bersama adik, Shireen Sungkar
Aku beritahu suami yang aku takut mati sebab belum punya apa-apa, solat pun tak tahu apa, tak kenal lagi Allah… jadi suami pun ikut nangis. Dia cakap itu hidayah Allah bagi dan cepat ambil. Aku dapat kesempatan untuk buat solat taubat di sana dan mendekati diri kepada Allah. Ternyata seindah ini Islam, ajaran Allah, Al-Quran dan cinta Rasulullah.
Allah baik sangat dan beri kesempatan kepada aku untuk mendekatkan dan memperbaiki diri, mengisi kekosongan. Setelah pulang, aku makin bersemangat. Allah boleh ubah hati manusia. Kita tak pernah tahu bila kita akan berada di atas dan bila di bawah. Aku hanya harapkan supaya tetapkan hati ini jadi lebih baik lagi.
Sampai hari ini, ujian aku memang banyak. Cumanya bila saat datang ujian, aku lebih positif dan anggap Allah masih sayang sebab itu aku diuji. Makin diberi ujian, aku rasa lebih disayangi. Dapat rezeki lebih pun aku rasa ia satu ujian.”
Tersentuh dengar detik penghijrahan Zaskia yang dalam masa sama menimbulkan rasa keinsafan. Adakah Allah tidak sayangkan hambaNya kerana tidak diuji atau hambaNya sendiri tidak rasa diuji kerana terlalu asyik dengan hal duniawi? Wallahu alam.
Walau Zaskia kini berada di landasan yang diredai namun perasaan khuatir tetap masih membelenggu dirinya. “Satu hal yang aku dapat dari penghijrahan ini adalah ketenangan yang selama ini aku tak pernah dapat. Baru sekarang dapat tahu apa itu ketenangan dan ikhlas itu datang dengan sendirinya. Tak mungkin kita tak sedih diuji tapi bila kita yakin dengan ujian yang datang, akan rasa tenang saja.
Kini aku takut cuma satu iaitu kehidupan kita setelah meninggal nanti macam mana. Kadang-kadang kesal dan menangis, malu dengan diri sendiri. Allah sayang pada kita tapi kita tak sedar. Meski belum diberi zuriat dan ramai yang bertanya… masyaAllah, hidup aku tenang saja. Yang penting Allah masih beri umur, kesempatan untuk bertaubat, memperbaiki diri dan inshaAllah aku dan suami masih diberi peluang berpegangan tangan sampai ke Jannah nanti,” akhirinya penuh syukur.
Sumber: Cinta Quran TV
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita bergelar ibu memikul tanggungjawab sungguh berat. Tugasnya bagai tak pernah habis dari hari ke hari. Wanita selalu di sebut lemah tetapi cinta yang telah membuatkan mereka lebih kuat dari sesiapa pun.
Dalam perkongsian Ustaz Ebit Lew dalam laman Instagram, cukup terkesan di sudut hati apabila mengenangkan kerjaya paling berat tetapi mulia di dunia. Katanya, kerjaya sebagai ibu ayah tiada gaji. Ia adalah kerja paling berat tetapi paling mulia di dunia. Ia juga adalah amanah dari Allah.
“Hargailah ibu ayah. Ucapkanlah sayang kepada mereka. Jika kita sudah menjadi ibu ayah, berilah kasih sayang dan masa untuk membimbing anak-anak.
Menjadi ibu khususnya satu pekerjaan yang tidak ada titik nokhtah. Pekerjaan yang tidak ada cuti, tidak ada MC jauh sekali untuk berhenti. “Kerja ini duit tak dapat, gaji tak dapat. Tak ada istilah sakit dalam kerja ni. Bila dapat saja kerja bila umur bertambah,kerja dia pun bertambah. Kalau usianya 100 tahun, 100 tahun dia akan sayangkan kita,”katanya.
Melafazkan kerinduan pada suri hatinya yang menguruskan rumah tangga 24 jam sehari serta menjaga anak-anak tanpa rehat mencukupi, sama seperti semua isteri dan ibu di dunia. Dia memuji kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita bergelar isteri dan ibu.
Dalam ceramahnya lagi, Ustaz Ebit turut berkongsi rasa kerinduan yang teramat terhadap Allahyarham ibunya. Pernah sewaktu hari lahirnya, Ustza Ebit cuba menghubungi arwah ibunya dari Bangladesh hanya semata-mata untuk mendengar ucapan paling berharga. “Ebit, selamat hari lahir. Mak sayang dekat Ebit. Ucapan yang sangat saya rindui hingga sekarang,”katanya.
Pesan Ustaz Ebit, “Ucapkanlah sayang dan hargailah selagi ada kesempatan. Selalu doakan mereka. Rindunya nak menangis sebab dah tak dengar suara itu lagi dalam hidupku ini. Terima kasih Allah pinjamkan wanita yang sangat baik dalam hidupku. Semoga satu hari nanti, di sana, ku ingin ucapkan sayang dan terima kasih padanya.”
Kurniaan terindah, suri hati Raja Britain Raja Charles III iaitu Ratu Camilla rasmi bergelar wanita pertama mendapat gelaran Laksamana Madya (Vice Admiral) UK sempena ulang tahun ke-78.