Gadis berusia 27 tahun, Fatin Sofia Abdul Latip atau Fatin berjaya menyangkal persepsi kurang tepat di mana bantuan zakat pendidikan hanya fokus kepada jurusan keagamaan sahaja. Fatin membuktikan bahawa bidang kejuruteraan awam juga layak menerima bantuan zakat Baitulmal MAIWP.

IKLAN

Buktinya, wang zakat yang dimanfaatkannya pada jalan yang betul kini telah menjadikan kehidupan Fatin lebih berkat dan lancar.

Bukan sekadar cemerlang dalam akademik, bahkan Fatin kini berjaya bergelar seorang jurutera seperti mana yang diimpikan sejak kecil. Segalanya berkat bantuan zakat yang diterimanya sewaktu menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dahulu.

KERJA SAMPINGAN

“Ketika melanjutkan pengajian peringkat Diploma di UiTM Pulau Pinang, saya ada membuat pinjaman PTPTN namun masih tidak dapat menampung perbelanjaan sebagai pelajar seperti kos makan minum, tugasan luar dan lain-lain. Maka, saya terpaksa mencari duit tambahan seperti bekerja sebagai kerani sambilan di sebuah syarikat perkhidmatan kereta sewa.

Saya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah di UiTM Shah Alam dalam jurusan yang sama. Saya ambil kursus pendek dan terus ke semester empat. Ketika itu saya masih bekerja sambilan sebagai promoter pada cuti semester. Tiada langsung istilah rehat semata-mata hendak mencari duit sampingan.

Ayah bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibu pula suri rumah tangga sepenuh masa. Ayah tidak pernah menghalang saya untuk bekerja sambil belajar kerana mahu saya berdikari sekaligus mendidik tentang kesusahan keluarga kami,” kongsi Fatin.

Berkat Biasiswa Zakat, Gadis Muda Ini Terima ANUGERAH DEKAN & Kini Bergelar JURUTERA!

IKLAN

“Saya mula mengetahui tentang bantuan zakat Baitulmal MAIWP setelah diberitahu oleh seorang rakan. Kebetulan ketika itu rakan saya ini sudah pun menerima biasiswa dari Baitulmal MAIWP sejak Diploma lagi. Lantas, saya pun bertanya bagaimana cara untuk memohon. Sebaik permohonan dibuka, saya segera memohon.

Dalam tempoh dua bulan selepas itu saya dipanggil temuduga. Bulan berikutnya permohonan saya berjaya dan layak menerima bantuan Biasiswa Pelajar Cemerlang sebanyak RM6,200 satu semester. Walaupun jumlahnya agak besar namun saya masih dapat menyimpan dan tidak menyalahgunakan wang tersebut.

Saya juga tidak lagi membuat kerja sambilan. Dalam tempoh dua tahun setengah itu, saya menerima empat kali bantuan zakat. Memang saya gembira sangat semasa pertama kali menerima wang zakat.

IKLAN

Namun, saya anggap ia satu tanggungjawab kerana ini bukan wang pinjaman sebaliknya wang amanah daripada orang ramai. Alhamdulillah setiap perjalanan saya dipermudahkan dan menerima Anugerah Dekan sebanyak tiga kali,” jelas anak bongsu daripada dua beradik ini.

Pada tahun 2014, rezeki Fatin tertulis apabila menerima tawaran temuduga sebagai Jurutera di Pakatan Perunding Yusoff. Waktu itu Fatin masih lagi di semester akhir pengajian dan sedang menduduki peperiksaan. Berkat doa ibu bapa telah memudahkan perjalanan Fatin dalam memperoleh kerjaya impian.

“Kini giliran saya pula yang membayar zakat dan membantu golongan yang memerlukan. Sejak mula bekerja pada tahun 2014 saya membayar zakat pendapatan melalui kaedah online. Saya yakin kejayaan ini berkat doa ibu bapa yang tiada hijabnya.

Reda Allah SWT juga bergantung kepada doa ibu bapa. Tanpa reda ibu bapa, maka susahlah hidup kita. Bagi yang bekerja keluarkanlah zakat kerana dalam pendapatan kita (bagi yang layak) ada 2.5 peratus hak orang lain (yang memerlukan),” akhiri Fatin dengan sebuah senyuman. Amy Mohd

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI