Jenama Nurraysa sememangnya cukup sinonim di kalangan penggemar kosmetik. Sinonim dengan tagline Kosmetik Mesra Wuduk, kisah di sebalik jenama ini wajar dijadikan inspirasi buat individu yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan.
Mana tidaknya, pengasasnya, Nur Aini Zolkepeli melihat peluang dan ruang untuk memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM500 yang dipinjam dari suami tersayang.
“Ketika itu, saya merupakan seorang suri rumah yang ingin membantu meningkatkan pendapatan suami. Kebetulan pendapatan suami sebagai operator mesin tidak mencukupi untuk menyara kehidupan, jadi saya memasang tekad untuk membantunya menjana pendapatan,” ujar Nur Aini ketika ditemui di sesi fotografi bersama majalah NONA.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2014, syarikat kosmetik dan kecantikan, Nurraysa Global Sdn Bhd rancak mengukuhkan nama serta menghargai usahawannya terutama di kalangan suri rumah dan wanita memandangkan Nur Aini memasang niat murni untuk membantu kaum wanita untuk menjana pendapatan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
“Saya memengang prinsip hidup untuk memberi manfaat. Saya ingin membantu ramai wanita terutamanya suri rumah menjana pendapatan dari rumah. Ia mengimbas kembali memori bagaimana saya bermula di mana pada mulanya niat saya untuk membantu keluarga menambahkan pendapatan.
Ads
Tetapi Allah membuka rezeki yang lebih luas dan sekaligus dapat membantu dan memberi manfaat untuk ramai orang,” ujar Nur Aini yang memegang konsep bersedekah dan berkongsi rezeki sebagai amalan terbaik dalam perniagaan.
Walaupun perniagaan yang diusahakan bersama suami tersayang kini berada pada landasan terbaik, wanita ini tidak pernah berhenti menimba ilmu perniagaan untuk memajukan lagi bisnes dan membantu lebih ramai wanita memperolehi pendapatan sampingan.
“Alhamdulillah satu kesyukuran bagi saya apabila dapat membimbing dan melahirkan 16 orang jutawan pada tahun ini dengan secara keseluruhan 18 orang telah berjaya menjadi jutawan Nurrasya,” ujarnya lagi.
Ads
Menyentuh soal berkongsi rezeki, Nur Aini dan syarikatnya Nurraysa Global Sdn Bhd tidak pernah lupa menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan bantuan baik dari segi kewangan dan bantuan-bantuan lain. Jenama penerima NONA BEST HALAL COSMETICS AWARD ini memegang prinsip berkongsi rezeki bukan sahaja bersama kakitangan, malah insan-insan yang memerlukan bantuan.
Antara perkara yang di laksanakan termasuklah pembahagian beras setiap bulan untuk fakir miskin dan rumah anak-anak yatim, pembahagian wang zakat untuk penduduk sekitar Kuantan, Pahang serta menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir dan sebagainya.
Ads
Nur Aini juga memasang niat untuk menjadi inspirasi untuk para wanita berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Sebagai wanita yang telah beberapa tahun bergelumang dengan dunia perniagaan, Nur Aini melihat beberapa faktor yang sering menghalang wanita untuk berjaya.
“Ramai orang di luar sana ingin berniaga tetapi ada yang belum bermula dan hanya berdiam diri. Apabila melihat billboard di tepi jalanraya, mendengar iklan di radio dan menonton kisah mereka yang berjaya di kaca televisyen, ramai yang cemburu akan kejayaan tersebut.
Pada pandangan saya, zaman sekarang cabaran hidup semakin mencabar,kos sara hidup semakin meningkat, Ada yang sanggup berkerja lebih dari satu pekerjaan sehari dan sebagainya.
Nasihat saya untuk para wanita, gunalah setiap peluang untuk menambah pendapatan. Gunakan akses teknologi untuk mencari peluang berniaga tanpa modal, percuma dan diberikan latihan untuk berjaya. Semuanya mudah, hanya di hujung jari. Oleh itu, jom bangkit kaum wanita dan tingkatkan ekonomi keluarga dan negara,” ujar Nur Aini menutup perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Sebenarnya saya amat berharap untuk menamakan cahaya mata saya dengan nama Carrisa. Cuma buat sementara menunggu tu, bisnes Carrisa adalah ‘bayi istimewa’ kami suami isteri,” lembut tutur pengasas Carrisa Cosmetics, Madam Zurin Zakaria saat ditanya sejarah syarikatnya.
Penyandang anugerah Nona Best Business Woman Award menerusi Nona Superwoman Award 2020 ini menjadikan suaminya, Amer Ezani Dato’ Adnan sebagai idola dan tulang belakang perniagaan.
“Kami suami isteri masih berikhtiar untuk cahaya mata, namun Dia ‘hadiahkan’ perniagaan Carrisa dahulu untuk kami bangunkan sepenuh hati.
Berkat dan restu suami tersayang, kini Carrisa sudah mempunyai tiga gedung fizikal iaitu di SACC Mall Shah Alam, Kota Damansara, dan Wangsa Maju,” tutur graduan Ijazah Pengurusan Perniagaan itu.
EMPAYAR
“Daripada pasaran fesyen, saya kembangkan Carrisa ke pasaran kosmetik pada tahun 2018. Kami berjaya lahirkan full range produk mekap merangkumi make-up kit, foundation, face powder, lip matte dan magical balm diikuti serum argan oil yang masih menjadi bestselling item Carrisa.
Tahun ini juga, kami baru mengeluarkan produk kolagen terbaru, iaitu minuman kecantikan yang diberi nama CollaShot yang amat baik untuk penjagaan kecantikan luaran dan dalaman wanita mahupun lelaki,” tutur Madam Zurin yang berusia 37 tahun.
Tambah beliau lagi, sebelum ni kerjayanya hanya membantu bisnes suami sebagai Quantity Surveyor Consultant. Kalau dibilang, hampir 13 tahun beliau berkecimpung dalam arena pengurusan seni bina.
“Saya banyak belajar tentang bisnes daripada suami, serba-serbi ilmu pengurusan dan strategi untuk memajukan perniagaan.
Selain itu, kita sendiri pun mesti ada kualiti pemimpin dan sifat entrepreneurship yang tinggi. Macam saya, saya ni seorang yang idealistik dan positif. Kita kena cepat bertindak dan jangan cepat putus asa bila gagal,” ujarnya bersungguh-sungguh.
BERKEMBANG PESAT
Tapi selari dengan peredaran teknologi, kini pelbagai usaha giat dijalankan agar jenama Carrisa terus relevan di dunia digital. “Berniaga sekarang bukan boleh cara tradisional atau direct approach macam dulu. Saya kena lebih cekap dan mantapkan platform media sosial kami.
Platform Instagram @carrisa.boutique @carrisa.beautyhq sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa. Boleh dikatakan setiap hari. Kami juga aktif di Facebook untuk mendekati pelanggan yang kini kebanyakannya tech-savvy.
Saya sendiri pun gigih belajar ilmu digital untuk pemasaran bisnes, selain selalu memantau online content. Kami juga terima order secara online, sama ada melalui website atau Whatsapp,” cerita Zurin sambil tersenyum.
Buat masa sekarang, Carrisa bekerjasama dengan Halal Trade Development untuk menembusi pasaran luar. Kalau tidak kerana pandemik tempoh hari, mungkin kami sudah bertapak di luar negara. Tapi segala-galanya perancangan Allah, saya percaya ada hikmah dan sesuatu yang lebih baik dalam perancangan-Nya,” jawabnya positif.
Mengakhiri pertemuan kami, Zurin turut menyatakan hasrat untuk melihat jenama Carrisa Cosmetics berdiri setanding jenama kosmetik tempatan lain yang sudah berjaya. Antaranya Alha Alfa dan NRC milik Nuex Rosli. Faktor kualiti dan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan Zurin dalam memastikan hasrat tersebut tercapai, selain giat memantapkan jenama Carrisa di pasaran melalui reputasinya yang cemerlang.
Pelakon, pengacara dan model ini memang terkenal dengan penampilan yang sentiasa menawan. Walaupun hanya menyarung pakaian kasual tetapi Scha Alyahya tetap kelihatan elegan serta berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Selebriti tinggi lampai yang mula dikenali ramai selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 ini sebenarnya seorang yang ringkas dalam pemiliah gaya. “Keluarga dan kenalan rapat sudah faham bahawa saya seorang yang sangat ringkas dan tak pernah stres dalam memilih gaya.
Namun saya hanya akan bersiap untuk menghadiri majlis formal atau majlis karpet merah. Selain daripada itu, jika duduk di rumah atau keluar bukan atas urusan kerja, saya lebih selesa dengan gaya yang ringkas,” tutur Scha AlYahya atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir AlYahya memulakan bicara.
Di sebalik penampilan yang sentiasa elegan dan bergaya rupanya isteri kepada pengacara terkenal, Awal Ashaari ini, mempunyai prinsip fesyen tersendiri iaitu mencipta keseimbangan di antara gaya dan keyakinan dalam memilih fesyen.
“Kunci utama dalam berfesyen adalah dengan menjadi diri sendri dan bukan mengikut gaya orang lain. Just be yourself and original. Saya lebih gemar memilih gaya minimalis, selesa dipakai dan melambangkan who we are as a person. Gaya dan keyakinan perlu seiring, ini sangat penting,” kata wanita yang berusia 37 tahun ini.
Harapan wanita yang pernah bekerja sebagai pramugari di salah sebuah syarikat penerbangan tempatan ini kepada dunia fesyen tempatan, “Saya harap kita sentiasa berani mencuba a little less serious, a little less intense, and a bit more creative. Ambil tahu bagaimana clothes are being produced supaya tak ada pembaziran berlaku,” terang Scha AlYahya yang mempunyai kerjaya impian sebagai editor majalah fesyen dan peguam ini.
“Siapa saya 5 tahun akan datang? Insyaallah, saya berharap bila tiba waktu itu, saya menjadi lebih bagus dalam semua bidang yang diceburi. Malah saya mengharapkan agar menjadi lebih matang dan mampu menyuntik inspirasi di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa,” ungkap Scha AlYahya yang pernah dilantik oleh syarikat gergasi telekomunikasi Malaysia, sebagai duta telefon pintar ini mengakhiri bicara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita dan hijab bagaikan isi dengan kuku. Setiap wanita berhijab pastinya berhadapan masalah untuk mengekalkan keharuman serta penjagaan yang betul untuk koleksi hijab. Mana tidaknya, ada di antara hijab kegemaran berharga puluhan ringgit. Sudah pastinya ia memerlukan penjagaan yang baik bagi memastikan ia tampak menarik dipakai dan tahan lebih lama.
Jika dahulu, agak sukar untuk mendapat produk pencuci khas untuk hijab dan kebanyakan hijabi tidak begitu memberi perhatian khusus terhadap produk yang sesuai untuk memastikan hijab mereka bebas kotoran seperti peluh, sisa solekan yang melekat dan sebagainya.
Bijak merebut peluang lantaran menyedari kepentingan penjagaan hijab, Fazliatul Akmar binti Zainudin memberanikan diri menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan produk pencuci dan penjagaan tudung.
“Idea terhasilnya perniagaan berasaskan produk pencuci dan penjagaan tudung ini sebenarnya bermula dari permasalahan sendiri dan individu di sekeliling. Kesan kotoran peluh, minyak muka dan foundation yang melekat pada tudung sebenarnya sukar untuk dihilangkan menggunakan produk pencuci pakaian biasa. Dari situlah timbulnya idea untuk menghasilkan pencuci khas untuk tudung yang sangat mudah digunakan.
Hanya perlu rendam, bilas dan sidai tanpa perlu bersusah payah melalui proses menyental. Selain mencuci, ia juga mengandungi pewangi dan pelembut yang membuatkan tudung harum sepanjang hari dan mudah untuk di gosok,” terang Fazliatul yang mesra dan berbangga dengan produk yang dihasilkan bersama rakan perniagaannya, Farilawati Mat Kasim.
PRODUK MESRA HIJAB
Tambah Fazliatul atau lebih mesra disapa Fazlia, penubuhan NIQA yang ditubuhkan pada 2017 membawa jenama tersebut menghasilkan produk pertama iaitu Niqa Hijab Wash. Siapa sangka, pada peringkat awal penubuhannya, ia berjaya memperolehi seramai 30 orang ejen dengan jumlah bayaran sebanyak RM25 ribu sebelum produk tersebut dilancarkan secara rasminya. Memandangkan produk penjagaan hijab mendapat permintaan yang memberangsangkan dari pelanggan, pada tahun yang sama NIQA menghasilkan pula Niqa Instant Stain Remover yang berfungsi untuk menghilangkan kotoran dengan kadar segera tanpa perlu mencuci, hanya sembur, gosok dan lap.
“Atas sambutan yang memberangsangkan terhadap produk ini, pada Januari 2019 NIQA mengeluarkan produk Niqa Hijab Awning Starch yang berfungsi untuk membntuk awning tudung dgn cantik dan terletak sepanjang hari,” sambung Fazlia yang mempunyai misi dan visi untuk mengembangkan perniagaan tersebut.
Tambahnya lagi, fokus utama syarikatnya pada tiga tahun pertama adalah untuk membangunkan jenama NIQA agar ia dikenali sebagai produk penjagaan hijab untuk semua wanita muslimah yang mementingkan penjagaan hijab yang berkualiti.
“Memandangkan jenama NIQA masih hijau di dunia perniagaan, saya dan business partner, Farilawati lebih banyak mengkhususkan terhadap soal penjenamaan dengan memperkenalkan jenama NIQA di agensi kerajaan dan swasta serta memilih medium televisyen dan radio sebagai langkah mengukuhkan jenama.
Kini, NIQA sudah melangkah ke tahun keempat dan saya memberi tumpuan terhadap agent development pula. Insyaallah kini dalam proses untuk melancarkan NIQA Academy yang dijangka bakal beroperasi Oktober ini,” ujar wanita berusia 37 tahun ini yang bijak mengatur strategi mengembangkan perniagaan.
TUBUH NIQABITES
Dalam situasi berhadapan pandemik, Fazlia tidak terkecuali berhadapan saat getir bagi memastikan jenama NIQA masih utuh di pasaran. Enggan mengalah dan hanya duduk diam tatkala perniagaan turut terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 dilancarkan, Fazlia mencari alternatif bagi memastikan kesinambungan jenamanya di pasaran.
“Ketika pandemik mula melanda, kami memang agak terkesan kerana jualan pencuci tudung merudum. Ketika itu menghampiri bulan Ramadan. Kami mengambil inisiatif mengeluarkan kurma dan kuih raya. Alhamdulillah jualan melonjak sehingga 50 peratus dari jualan biasa setiap bulan.
Tanpa berlengah, kami menubuhkan anak syarikat di bawah jenama Niqabites. Di bawah jenama Niqabites ini kami mempunyai produk Chocochunk Cookies, Unicorn Butter Premium Cookies dan Sambal Bilis Daebak. Tidak dinafikan, situasi semasa ini memberikan kesan yang besar terhadap penjualan kami. Syukur kerana kami masih bertahan dengan produk dari Niqabites,” ujar Fazlia yang bijak merencana plan B untuk meneruskan kelangsungan jenama.
Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan, finalis Pencarian NONA SUPERWOMAN berkelulusan Diploma Sains Komputer ini berpengalaman dalam bidang pemasaran dan jualan lebih 10 tahun. Fazlia menyahut cabaran berbekalkan pengalaman bertugas sebagai Penolong Pengurus di MODENAS. Berdasarkan ilmu dan pengalaman tersebut, ia menjadikan Fazlia lebih positif untuk melangkah ke dunia perniagaan sebaik mengambil keputusan berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh terhadap perniagaan pilihannya itu.
Menyentuh soal pendorong kejayaannya sehingga ke tahap ini, Fazlia meletakkan kejayaannya ini hasil dorongan dan doa keluarga yang banyak melihat jatuh bangun dirinya dalam mengusahakan jenama NIQA sejak empat tahun itu.
“Kekuatan dan pendorong saya yang utama adalah keluarga. Mak dan suami banyak mendorong dan memberi semangat juga kekuatan untuk saya terus maju. Suami banyak membantu ketika saya baru hendak bermula. Mana tidaknya, saya pernah meninggalkan anak-anak dan suami selama 10 hari atas urusan perniagaan dan ketika itu anak saya masih menyusu badan.
Suami banyak memberi sokongan moral dan sentiasa percaya pada saya walaupun ketika saya give up dan rasa down untuk teruskan perniagaan. Malah saya pernah mengalami keguguran kandungan ketika mula-mula bertapak dalam dunia perniagaan dan ia sedikit sebanyak memberi kesan emosi untuk saya. Suami menjadi tulang belakang saya untuk tidak mudah mengalah dan putus asa. Tanpa dia, tak mungkin saya berada di tahap sekarang,” ujar Fazlia yang kini sedang hamil empat bulan.
Selain suami, Fazlia turut meletakkan ibunya sebagai sumber kekuatan untuk bangkit dalam dunia perniagaan di mana dia meletakkan kata-kata seorang ibu sebagai doa paling mustajab untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Sehingga kini saya masih berpegang kepada kata-kata mak. Walau apa pun yang kita lakukan, jangan peduli kata-kata orang sekeliling. Kita tahu apa yang kita nak, kita tahu apa matlamat, terus fokus dan abaikan sikap negatif,” ujar Fazlia yang berterima kasih terhadap ibu tersayang yang mempercayai bakat dan kelebihan yang ada dalam dirinya.
TERAJU BISNES
Tempoh empat tahun terlibat dalam dunia perniagaan menyaksikan jenama NIQA mendapat beberapa pengiktirafan dalam perniagaan. Antaranya termasuklah Juara eUsahawan Komuniti Terbaik 2017 anjuran MDEC, Juara Say Aspire Ready for Export Selangor Youth Community by Raja Muda Selangor serta Ikon Usahawan Wanita Mikro dari Kementerian Pembangunan Usahawan. Ternyata jenama tempatan ini semakin mendapat tempat di kalangan pemain industri dan para pelanggan yang mementingkan penjagaan hijab yang lebih berkualiti.
Sebagai usahawan, Fazlia mempunyai prinsip yang menjadi pegangan dirinya dalam menempuh suka duka dalam dunia perniagaan. Memegang prinsip Don’t wait for the right opportunity, create it membawa Fazlia bijak merebut peluang yang datang serta tidak suka membuang masa dan mencipta peluang untuk diri sendiri.
“Di NIQA, matlamat kami bukan hanya untuk membantu wanita dalam penyelesaikan masalah penjagaan tudung mereka, malah matlamat kami juga adalah untuk membantu wanita untuk menjana pendapatan sepenuh masa bersama NIQA,” Ujar Fazlia yang meletakkan kerja-kerja sosial sebagai antara aktiviti kebajikan bersama pasukan NIQA.
Ditanya mengenai pembahagian masa antara perniagaan dan keluarga, Fazlia percaya masa 24 jam mencukupi untuk urusan perniagaan, keluarga dan anak-anak. Walaupun dirnya sering berada di pejabat dan jarang berada di rumah, dia akan memastikan mempunyai masa berkualiti bersama keluarga.
Sebelum mengakhiri perbualan, Fazlia turut berkongsi nasihat dan panduan berguna untuk usahawan yang baru hendak berjinak dalam dunia perniagaan.
“Untuk menceburi bidang perniagaan yang penting mental kita sebagai usahawan harus kuat. Kena sentiasa kreatif dan inovatif, pandai mengambil peluang dan cabaran, Selain itu, mempunyai matlamat yang kuat serta tidak jemu mencari berilmu. Dengan cara itu, Insyaallah boleh berjaya. Di mana ada kemahuan, di situ akan ada jalannya,” ujar Fazlia yang menyahut cabaran menyertai Pencarian NONA Superwoman untuk memperolehi ilmu serta pendedahan baharu dalam usaha melonjakkan lagi jenama produk yang diusahakannya.
Rancangan Pencarian NONA SUPERWOMAN 2021 di ASTRO PRIMA bermula 22 September setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh NU Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah NONA, diperkasakan oleh Usanita.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Fazliatul Akmar @fazliaakma.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.