Allah adalah sebaik-baik perancang. Biarpun Nurul Adlinna Mohd Bakri mempunyai kelulusan Kejuruteraan Mekanikal tetapi takdir Tuhan telah membawa anak kelahiran Rawang, Selangor ini jauh menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Tidak menyangka dunia perniagaan membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya, wanita berfikiran optimis ini bagaimana pun enggan mensia-siakan ilmu kejuruteraan yang diperoleh begitu sahaja. Sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut untuk kegunaan firma perniagaan yang diusahakan hari ini.
Ternyata gabungan minat berniaga sejak kecil dan kecintaan wanita berusia 37 tahun ini terhadap dunia kecantikan serta inovasi menjadi kelebihan untuk beliau berdiri teguh dan berdaya saing dalam industri. Hasilnya, Nurul Adlinna atau mesra disapa Kak Lin kini pencetus revolusi bidang kecantikan menerusi jenama Bartech Beautee.
“Kalau ikutkan bidang kejuruteraan dengan kecantikan ini memang jauh sangat. Tapi sebab naluri seorang wanita yang suka benda cantik, saya tertarik untuk ambil jurusan beautician masa masih belajar dulu.
Tambahan pula, saya ialah orang yang sukakan inovasi dan akan innovate sesuatu benda itu jadi benda baharu. Misalnya kalau orang buat produk, saya juga hasilkan tapi dengan cara dan kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
PENGALAMAN NURUL ADLINNA BAKRI
Jelas Pengasas Bartech Beautee ini, beliau mendapat pendedahan awal mengenai bidang perniagaan daripada bapa tersayang yang juga usahawan automatif dan mempunyai latar belakang kejuruteraan.
“Sebelum ada bisnes sendiri, saya mula bantu ayah di syarikatnya yang menguruskan trading and supply barang-barang kereta kepada pembekal kenderaan di Perodua, Naza, Honda, Proton dan banyak lagi. Kami juga ada kilang sendiri untuk buat auto parts kereta.
Semasa masih belajar di universiti, saya pernah kerja separuh masa di kedai serbaneka untuk kumpul duit. Habis saja belajar, saya kerja sebagai beautician. Kemudian jadi ejen insuran dan pelaburan. Dari situ saya belajar cara berkomunikasi dengan klien dan budaya orang berniaga.
Tak lama lepas itu, ayah minta saya kerja balik dengannya. Sambil kerja di syarikat ayah dan semangat berkobar-kobar nak berniaga, saya dalam masa sama jadi reseller barangan pakaian, fesyen dan kosmetik termasuklah food and beverages (F&B). Asalnya sekadar suka-suka saja sebab nak dapat extra income,” dedah Kak Lin yang memiliki pengalaman berniaga selama 15 tahun.
BARTECH BEAUTEE
Mengulas mengenai Bartech Beautee, jenama ini secara rasminya berada di pasaran pada tahun 2023. “Pada tahun 2019, suami saya menjalankan bisnes kecergasan yang dinamakan Bartech Fitness. Waktu itu, saya urus bahagian jualan dan operasi. Nak dijadikan cerita, satu hari suami beli energy bar berperisa dan saya makan.
Disebabkan saya suka inovasi, saya buat R&D cara hasilkan energy bar versi sendiri. Tak terfikir nak jual pun. Selepas dua ke tiga kali R&D barulah jadi seperti yang saya inginkan dan tak sangka laris terjual beribu-ribu unit setiap hari.
Nama Bartech itu sebenarnya berasal daripada ‘Bar’ yang merujuk ‘Energy Bar’ ciptaan kami. Manakala ‘Tech’ pula singkatan daripada perkataan ‘Technology’ sebab saya dan suami masing-masing dari bidang engineering. Memandangkan masa itu tak ada idea lagi nak letak nama apa untuk bisnes kecantikan saya, maka lahirlah jenama Bartech Beautee.”
Tambah Nurul Adlinna Mohd Bakri lagi, idea menghasilkan produk kecantikan berkenaan tercetus selepas anak perempuannya berusia 13 tahun berdepan insiden di sekolah.
“Selepas PKP tahun 2022, saya dan anak perempuan sulung ada sesi meet and greet dengan guru dan ibu bapa di sekolah. Dulu kami duduk di Kajang dan kemudian pindah ke Rawang. Jadi, anak saya kena tempuh persekitaran baru dan tak ada kawan lagi.
Ads
Sampai saja di sekolah, kawan-kawan baru ini pelik tengok beza kulit anak dengan saya. Mereka cakap, “Kenapa kau hitam? Mak kau tak hitam pun.” Tak sangka, anak saya ambil serius kata-kata itu dan berubah kelakuan daripada seorang yang ceria dan suka berkawan terus jadi pendiam dan suka menyendiri.
Sejak peristiwa itu dia mula hantar link produk-produk supplemen kecantikan yang dijual di TikTok dekat saya sebab nak cantik. Sampaikan mahu berniaga online sebab nak duit beli produk tersebut. Bila tengok keadaan anak yang terdesak macam itu, saya pergi jumpa seorang chemist yang saya kenal waktu jual produk mak saya dulu untuk buat produk kecantikan khas buat anak.
Kami hasilkan dengan beberapa bahan untuk dapatkan formulasi terbaik. Lepas saya pakai dan dijamin selamat, baru saya beri dekat anak. Hampir sebulan dia pakai barulah nampak kesan dan kawan-kawan mula perasan perubahan kulit anak saya makin cerah,” jelasnya panjang lebar.
Bermula dengan hanya untuk kegunaan anak, Kak Lin akhirnya mengambil keputusan memasarkan produk tersebut ekoran permintaan tinggi daripada pelajar dan guru di sekolah.
CABARAN
Dek sambutan hangat yang diterima, Kak Lin selaku Chief Business Officer (CBO) ligat merancang strategi pemasaran dengan mengaktifkan akaun di TikTok kerana berpandangan pasti ada generasi sebaya anak-anaknya yang berdepan masalah sama.
Percaturan ibu kepada empat cahaya mata ini nyata membuahkan hasil apabila produk Bartech Beautee mendapat tempat di hati pengguna dalam tempoh singkat.
“Bila dah viral, ketika itulah kami berdepan macam-macam cabaran. Salah satunya kecaman netizen yang terlalu negatif hinggakan ada yang kata produk kami ini tak selamat. Bagi saya, inilah asam garam dunia perniagaan. Satu proses yang terpaksa kami lalui sebelum produk kami berkembang.
Jujurnya, saya melihat komen sedemikian dari sudut positif untuk kami lebih improved. Kecaman daripada mereka kami ambil dan hormat. Secara tak langsung buka ruang dan peluang untuk kami perbaiki sebelum jadi lebih baik. Itulah salah satu cabaran besar bila saya masuk dalam industri ini. Walau baru setahun tapi rasa macam dah 10 tahun,” ucapnya sambil tertawa.
Ditanya sama ada produk Bartech Beautee menjadi mangsa eksploitasi dan tiruan pihak tidak bertanggungjawab, ini jawapan jujur Kak Lin. “Sudah tentu, lagi-lagi saat kami belum buat trademark. Jadi senang sangat untuk mereka tiru. Saya sedar bila produk ditiru, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi jenama kami. Ibarat macam free publicity.
Ads
Maksudnya, brand trust itu dah ada bila orang mula meniru. Kalau jenama kita sendu, mana mungkin orang nak tiru. Alhamdulillah, sekarang kami dah registered Bartech Beautee dan ada trademark. Kalau ada yang meniru lagi selepas ini, kami boleh atasi secara profesional.”
Setakat ini terdapat dua rangkaian produk Bartech Beautee di pasaran iaitu Whitening Gel 20 mililiter (ml) untuk kegunaan wajah dan Whitening Cream 20 gram serta 100 gram bagi kegunaan pencerahan wajah dan badan.
JUALAN
Sungguhpun menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan pada awal perniagaan namun demi mengurangkan risiko kerugian, usahawan berjiwa cekal ini nekad mengambil tempahan secara pra pesanan atau pre order.
“Kami bermula dengan jualan di TikTok dan tak sangka dalam tempoh tiga bulan saja dah cecah RM1 juta! Memang terperanjat sebab kami letak sasaran RM1 juta dalam masa setahun. Itu pun kami ragu-ragu sama ada dapat capai sasaran tersebut atau tidak. Tapi Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Dari satu juta pertama itu kami susun strategi dan pasang impian. Bukan saya saja tapi satu team bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk capai target tersebut. Sekarang kami boleh achieved sampai tujuh ke lapan angka. Alhamdulillah.
Tak sangka Bartech Beautee melonjak dengan sangat drastik. Lebih utama, saya dapat bantu team kejar impian mereka. Apabila ada perancangan yang rapi dan delegate task kepada team dengan baik, saya percaya kami boleh capai jualan sampai 10 angka.”
Tidak sekadar mempromosikan Bartech Beautee di platform TikTok dan mempunyai puluhan ribu entiti niaga menerusi sistem Affiliate Marketing, Kak Lin turut memperluas jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.
“Tak dinafikan, timbul rasa bimbang kalau saya selaku pemilik tak mampu lagi pertahankan bisnes ini satu hari nanti. Iyalah, produk kami naik dengan begitu cepat. Tak mustahil boleh jatuh dalam sekelip mata.
It’s not easy to sustain. Apatah lagi produk viral. InshaAllah, kami merancang misi yang besar untuk tahun 2025-2026 kelak,” ulas peneraju Bartech Beautee berkenaan yang disokong oleh 12 orang kakitangan.
Ads
PENGORBANAN
Di sebalik kesenangan dan kejayaan yang dinikmati hari ini, ada kisah duka yang tersimpan kemas di sanubari Kak Lin. Tidak bermaksud mahu membangga diri jauh sekali meraih simpati, isteri kepada Shaharuddin Abdul Karim ini tegas menekankan bahawa perkongsian yang dibuat adalah demi memberi iktibar dan menyuntik inspirasi.
Bergenang air mata figura hebat ini tatkala diaju persoalan mengenai detik terendah dalam hidup yang pernah dialami. Sambil menahan sebak, Kak Lin membuka rahsia.
“Betul, tak mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Impian saya sebenarnya mahu jadi suri rumah yang uruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan saja. Saya pernah cakap dengan suami, kalau saya aktif bisnes ada benda yang terpaksa saya korbankan iaitu masa.
Jadi usahawan memang penat. Tambahan pula saya menghidap asma sejak usia lima tahun. Boleh dikatakan inhaler itulah best friend yang saya bawa ke mana saja. Masa buat live pun, asyik dengan pam inhaler sebab cepat rasa penat.
Saya mudah diserang asma bila tak cukup rehat. Kalau tidur, saya rasa macam ruginya. Banyak benda boleh buat. Tapi fikirkan tanggungjawab sebagai majikan untuk jaga staf, saya kuatkan semangat. Apa yang saya dapat sekarang ini pun berkat doa suami, anak-anak dan orang sekeliling.”
Puas menahan tangis, air mata Nurul Adlinna akhirnya jatuh berjuraian apabila mengenang kegagalan rumah tangga dek kerana kesibukan membina empayar niaga.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Dalam perkahwinan dulu saya rasa sangat sengsara dengar kata-kata cemuhan orang terdekat yang memperkecil kemampuan saya untuk jadi usahawan berjaya. Kata mereka, saya hanya boleh jadi pekerja terbaik tapi bukan usahawan berjaya sebab saya tak pandai berniaga.
Tiada sekelumit pun rasa benci atau dendam. Saya ambil kata-kata itu sebagai satu perkara positif dan buktikan mereka silap. Kesenangan yang kita tunjuk kepada orang hari ini bukan sebab hendak riak tapi itu sebenarnya satu kepuasan. Mujur saya ada team yang sentiasa menyokong dan suami yang setia menjadi tulang belakang. Bagi saya, success is the best revenge!”
INSPIRASI
Dalam keterujaan memajukan syarikat dan membantu pekerja serta anak didik di bawah jagaannya mendapat kehidupan lebih baik, Nurul Adlinna sentiasa meletakkan Allah SWT di kedudukan teratas untuk menggapai matlamat tersebut.
“Saya sudah ada semua yang saya mahukan dalam hidup. Sekarang adalah masa untuk saya bagi manfaat kepada orang lain pula. Kerja yang kita buat ini ialah ibadah. Berdosa kalau saya abaikan pekerja. Untuk itu, saya akan pastikan mereka dapat hidup lebih baik daripada saya.
Kepada wanita sama ada ibu berkerjaya atau pun tidak dan mereka yang bergelar ibu tunggal, bangkitlah sebab saya juga pernah jadi single mom. Hendak berjaya dalam hidup, kita kena fokus dan jelas dengan apa yang kita nak buat.
Kita juga kena ada energy. Jangan bersedih terlalu lama takut-takut nanti kemurungan. Tak perlu salahkan orang lain. Kita mampu kawal emosi dan diri kita sendiri. Kalau stress, nak menangis dalam bilik air, pergi karaoke atau menari, buatlah!
Bila dah lega, kembali dengan misi. Mana yang boleh datangkan manfaat kepada kita, teruskan buat yang terbaik. Akhir sekali, tawakal dan berdoa. Apa saja yang kita buat kena bersungguh-sungguh ibarat seperti esok kita mati,” pesannya bersungguh-sungguh.
Semoga segala kebaikan dan jerit-perih Nurul Adlinna Mohd Bakri mengusahakan perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada kepompong kesusahan mendapat keberkatan serta perkenan dari-Nya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Sabina Altynbekova bukan lagi asing dalam industri sukan antarabangsa. Apatah lagi dia pernah menerima julukan atlet tercantik kerana raut wajah dan susuk tubuh menawan yang dimiliki. Bertubuh langsing dengan ketinggian enam kaki, rambut hitam panjang mengurai, hidung mancung dan bibir mungil… tidak hairanlah atlet bola tampar Kazakhstan ini menjadi perhatian ramai peminat sukan. Bukan hanya dipuja kebanyakan kaum lelaki bahkan golongan wanita juga mengagumi kecantikan Sabina. Memang cantik dan tinggi lampai orangnya!
Baru-baru ini, Sabina kembali menjadi bualan hangat apabila dia memuat naik gambar di samping seorang lelaki. Meskipun hanya gambar dari sudut belakang, namun kapsyen Sabina pada 25 Disember 2020 tersebut memberi gambaran jelas kepada peminat bahawa dirinya sudah bergelar isteri. Kongsinya, “Finishing this year as the wife of the best man.” Selain gambar berkenaan, hashtag Sabina juga mencuri tumpuan apabila dia menggunakan #mashaallah, #alhamdulillah dan #nikah. Pun begitu, yang paling mengujakan ialah penampilan Sabina yang mengenakan tudung!
Menurut laporan media antarabangsa, jejaka yang berjaya menambat hati atlet cantik ini ialah Sayat Salmanuly. Lelaki yang juga berasal dari Kazakhstan ini dikatakan lapan tahun lebih berusia daripada Sabina namun kerjaya Sayat tidak diketahui. Difahamkan Sabina antara atlet yang cukup menjaga privasi diri dan keluarga daripada pengetahuan umum.
Jika sebelum ini agama anutan Sabina menjadi tanda tanya peminat, tetapi sejak perkongsian jelitawan tersebut di media sosial miliknya… ramai yang percaya Sabina beragama Islam. Dia juga dilihat makin bahagia sejak bernikah apabila berkongsi luahan hati menyatakan ‘Betapa indahnya dicintai olehmu’. Oh, romantiknya!
Pada hari pernikahan, Sabina kelihatan anggun dalam persalinan gaun labuh polos rona pastel. Kelibat bapa tersayang juga kelihatan di majlis bersejarah itu.
Sabina di hari pernikahanDi samping bapa tersayangSabina lengkap bertudung ketika melawat sebuah masjid di Dubai
Menelusuri populariti Sabina, kecantikannya mula disedari ketika dia menjadi salah seorang pemain bola tampar bagi negara kelahirannya,Kazakhstan. Dia meraih perhatian luar biasa semasa menyertai Asian Junior Women’s Vollyball Championship di Taipei, Taiwan pada tahun 2014 ketika Sabina baru berusia 17 tahun. Disebabkan bakat dan wajah cantiknya dalam sukan ini, dia terus menjadi bualan sensasi di internet dan pernah mendapat gelaran ‘The World’s Most Beautiful Volleyball Player.”
Namun, terdapat segelintir pihak mempersoalkan penglibatannya dalam bidang sukan kerana beranggapan wanita cantik sepertinya tidak sesuai memilih kerjaya sebagai atlet bola tampar. Sampai wajah cantik Sabina sentiasa menjadi bualan berbanding bakatnya dalam arena sukan berkenaan. Setiap kali kelibat Sabina muncul dalam sesuatu pertandingan, penonton akan memberi sepenuh tumpuan kepada wanita berusia 24 tahun ini. Disebabkan ‘tumpuan’ itu, jurulatih Sabina kurang senang dengan limelight yang diberikan kepada atlet cantik ini kerana ia memberi kesan dan mengganggu perhatian pemain yang lain.
Sudahnya, Sabina jarang mendapat peluang untuk beraksi dalam beberapa perlawanan dan tidak mampu mengembangkan bakatnya. Malah, dia juga menerima kritikan kerana dikatakan terlalu cantik untuk bermain bola tampar. Sebagai atlet, pastinya perkara itu menjejaskan reputasi Sabina kerana jiwanya sudah cukup sebati dengan sukan sejak kecil.
Sabina Altynbekova merupakan anak kepada pasangan Abay Altynbekov dan Nuripa Altynbekova yang juga berkecimpung dalam arena sukan. Bapanya ialah seorang atlet ski manakala ibunya pula bergelar atlet olahraga. Tidak hairanlah Sabina sangat meminati bidang sukan! Meskipun berbakat dalam sukan, Sabina turut cemerlang dalam bidang akademik. Ibu Sabina sebelum ini mahu anak perempuannya memasuki sekolah undang-undang namun Sabina enggan dan memilih untuk menjadi pemain bola tampar.
Pada tahun 2015, Sabina menerima tawaran agensi sukan Jepun, Dentsu. Dia kemudian bermain untuk pasukan GSS Sunbeams menerusi Japan Challenge League ll selama beberapa bulan. Sebelum kembali ke Kazakhstan, Sabina mengembangkan karier profesionalnya dengan sebuah kelab bola tampar di Dubai dikenali sebagai Al-Wasl.
Dengan tercetusnya fenomena kerana wajah cantik Sabina dalam sukan bola tampar sehingga dikenali di serata dunia, jelitawan ini berjaya meraih lebih sejuta pengikut di laman Instagram. Ia pastinya menjadi medium terbaik buat Sabina untuk terus dikenali dan mengembangkan bakat dalam bidang yang diminati. Khabarnya, Sabina sudah melancarkan jenama pakaian sukan miliknya sendiri iaitu ‘S20’ yang menawarkan rekaan pakaian sukan dan aksesori berkaitan.
Kredit foto: Instagram Sabina Altynbekova
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Merafak Sembah Tahniah dan Ucap Selamat sempena Ulang Tahun Hari Kelahiran Yang Ke-50 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala lanjutkan usia Tuanku dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan Allah serta hidup dengan penuh kebahagiaan, dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, fid-dunia wal-akhirat. Daulat Tuanku!
Tanggal 4 Jun merupakan hari ulang tahun kelahiran DYMM Tengku Permaisuri Norashikin. Menerusi perkongsian gambar di Selangor Royal Office, sememangnya ramai rakyat terpegun dengan keanggunan dan kejelitaan milik baginda.
Berita perkahwinan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin masih segar di ingatan rakyat meskipun sudah hampir lima tahun berlalu. Sebaik mengetahui khabar gembira itu pada tahun 2016, ramai yang tertanya-tanya siapakah wanita bertuah yang berjaya menawan hati Sultan Sharafuddin.
Dari hari pertama melihat wajah Permaisuri Selangor ini, ramai yang mengakui tertawan dengan kecantikan dan kelembutan yang dimiliki Tengku Permaisuri Norashikin yang juga
merupakan bekas penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.
Tengku Permaisuri Norashikin diijabkabulkan dengan Sultan Sharafuddin oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pada 31 Ogos 2016 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. Majlis pernikahan baginda berdua berlangsung secara sederhana dan ringkas atas titah baginda.
Lima tahun bergelar Permaisuri Selangor, penampilan baginda ketika berada di khalayak sering mencuri perhatian. Malah, ramai wanita menjadikan Tengku Permaisuri Norashikin
sebagai sumber inspirasi bukan sahaja dari segi keperibadian baginda bahkan gaya dan cita rasa fesyen.
1 April lalu, bersempena sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita RTM untuk menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana di Studio Wisma Berita, Angkasapuri.
Ini adalah kemunculan julung-julung kali Baginda di saluran RTM sebagai penyampai berita setelah kali terakhir ke udara lima tahun lalu pada 31 Ogos 2016. Untuk rekod, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin pernah bertugas sebagai Penyampai Berita TV di RTM selama 2 dekad sejak tahun 1996.
Sepanjang tempoh itu, Baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada tahun 2001 dan 2005.
Menerusi gambar-gambar Tengku Permaisuri Norashikin kelihatan baginda gemar mengenakan aksesori rantai dan subang mutiara. Malah, baginda juga cukup elegan menyarung busana tradisi seperti kurung dan kebaya.
Kredit : Facebook Selangor Royal Office
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Status ibu tunggal sama sekali tidak menjadi penghalang buat wanita cantik ini untuk mengejar impian hidup. Terus tabah mengharungi ujian mendatang, Mawar Abdul Karim yang sebelum ini popular dengan jenama tudung eksklusif Fareeda kini semakin ligat menceburi perusahaan emas! Masih terlibat dalam perniagaan Fareeda milik ibu tersayang, Mawar menjelaskan dia mahu mengembangkan bisnes yang ada ke cabang baharu demi masa depan seisi keluarga.
Terbuka berkongsi sisi peribadi, rakaman video secara eksklusif bersama Nona baru-baru ini jelas menunjukkan keterujaan Mawar mengendali bisnes emas. Optimis mampu berjaya, ibu berusia 32 tahun berkenaan tanpa berselindung mengakui mengusahakan Mawar Jewelry secara kecil-kecilan dan masih mempelajari selok-belok industri barangan kemas.
“16 tahun lepas, perjalanan Fareeda mengingatkan saya pada mama di awal pembabitan industri fashion tudung. Permulaan di rumah hanya dua mesin jahit, kadang-kadang hanya tidur 2 jam untuk siapkan tempahan. Pesanan mama saya, apa pun permulaan berniaga mula dari kecil-kecilan. Sentiasa beringat dari mana kita mula. Jangan terus nak boom ada kilang besar.
Syukur, lahirnya Mawar Jewelry hari ini, tanpa Fareeda, tanpa sokongan kalian yang setia bersama tidak mungkin saya berada di sini. Jujurnya apabila dunia mengalami pandemik coronavirus. Banyak sektor yang terkesan termasuk bidang fesyen seperti kami. Jadi ini adalah masa untuk saya kembangkan perniagaan yang ada.
Jika ditanya mengapa ‘gold’, saya perlu berfikir business jangka masa panjang. ‘Gold’ berfungsi 4 dalam 1 perhiasan, simpanan, pelaburan dan perniagaan. Saya akui nilainya gold ini ketika saya diuji dalam kesusahan,” dedah Mawar yang terpaksa menjual koleksi emas miliknya selepas dihimpit kesukaran hidup.
Ujar Mawar lagi, selain aktif mempromosikan Mawar Jewelry dia juga kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Jewellery di University of the Arts London. Kagum dengan semangat Mawar! Dalam sibuk berniaga pun masih sempat sambung belajar.
“Saya perlu mencari ilmu dalam bidang ini. Saya bukanlah seorang yang mempunyai segulung ijazah atau phD kerana saya tidak mampu ketika habis sekolah untuk sambung belajar. Hanya tumpang gembira melihat kawan-kawan ketika itu dapat masuk universiti.
Alhamdulillah akhirnya tahun ini, walaupun umur dah meningkat saya dapat sambung belajar universiti impian saya dari dulu Arts London, Jewellery Course. Walaupun secara online disebabkan pandemik. Pernah ketika sebelum adanya Maryam saya berdiri depan UAL, suatu hari nanti saya pasti sambung belajar di sini.
Sudah pasti perlu ada ilmu dalam bidang jewellery, saya dari zero. Jika ditanya di mana butik jewellery saya? Permulaan saya menjual secara online di Shoppee yang pasti ‘emas 916’. Saya bermula dari bawah secara kecil-kecilan, bagaimana mulanya bisnes Fareeda ketika dulu. InshaAllah selepas Raya nanti saya akan launching Butik Mawar Jewelry di Bangi.
Mawar Jewelry ini sangat simbolik, unik juga menjadi identiti saya. Saya bukan hanya jual ‘barang kemas 916’ semata-mata. Terima kasih kepada anakanda Maryam setia menjadi peneman mama tengah-tengah malam study, family, teman, team sentiasa berada bersama susah senang saya ketika diuji pelbagai keadaan.
Tak akan saya lupa insan-insan yang penting dalam hidup saya. Kalian sentiasa memberi semangat untuk saya. Tanpa sokongan kalian mana mungkin saya di sini.”
Jelas Mawar, dia mendapat inspirasi untuk mengusahakan perniagaan emas bukan sahaja kerana berdasarkan pengalaman hidupya yang pernah menyaksikan nilai produk tersebut dalam jangka masa panjang. Bahkan Mawar mendapat ilham tersebut daripada pelanggan setia Fareeda dan sedar emas adalah pelengkap gaya wanita.
Mawar sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fizo Omar namun perkahwinan mereka selama hampir enam tahun terputus di tengah jalan. Hasil perkongsian hidup, dia dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Wan Maryam yang bakal meniti usia 4 tahun Disember nanti.
Kredit: Instagram Mawar Karim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang bangga dengan kejayaan anak Malaysia yang melakar sejarah tersendiri dalam apa jua bidang sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.
Seperti mana Zul Hakim...