
Rata-rata di media sosial, asyik isteri saja yang mengadu suami tak pandai menghargailah, tak romantiklah, tak pandai jaga hatilah. Tapi sebagai isteri, sempurnakah kita?
Sesekali, hadiahkanlah kebahagiaan istimewa buat cik abang. Tak semestinya wang ringgit.
- Hormat
Dalam Islam pun di tegaskan wanita untuk menghormati suami kerana syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suami. Janganlah asyik meninggi suara jika suami tak tolong di dapur.
Menghormati suami bukan hanya ungkapan di bibir tetapi dengan memberi kepercayaan, galakkan dan membina keyakinan suami.

- Jadilah seorang pendengar, bukan pengkritik!
Apabila suami meluahkan perasaan, mungkin hal berkaitan pejabat, cubalah jadi pendengar yang baik. sesekali suarakan juga pendapat anda tapi janganlah berlebih. Takut hilang mood suami nak bercerita panjang.

- Tunjukkan kuasa di bilik tidur
Biasanya suami akan mengusai hal di bilik tidur. Sesekali, apa kata anda tunjukkan pula ‘kuasa’ anda untuk menunjukkan anda mahukannya.

- Ciuman
Berikan kejutan ciuman buat suami ketika sedang menonton televisyen atau ketika dia sedang membaca surat khabar. Bila sudah beranak-pinak, biasanya kemesraan begini jarang diberikan kepada suami.

- Sokongan
Lagi banyak anda membebel, semakin rimas suami duduk di rumah. Jadilah isteri yang memahami. Berikan sokongan kepada suami dalam apa juga yang mereka lakukan agar mereka rasa dihargai.

- Selit nota
Bila kali terakhir anda memberikan kata-kata manis buat suami? Kalau tak pernah, inilah masanya.selitkan nota kecil dengan kata-kata penghargaan dan selitkan di dalam dompet suami.

- Berikan ‘me time’ kepada suami
Suami juga perlukan ‘me time’. Jika dia suka memancing, berikan masa untuknya bersama teman-teman. Pastikan mereka memancing ikan dan bukan benda lain ya!
Kredit foto: Instagram Siti Sarah Raisuddin dan Wawa Zainal
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Puteri Aleeya & Puteri Aleefa Kian Dewasa, ARNI NAZIRA Kongsi Kriteria Menantu Pilihan

Sudah lama tidak melihat kelibat Arni Nazira menghadiri majlis-majlis hiburan. Namun, perkembangan terkininya masih dapat dilihat di Instagram peribadi Arni yang aktif di media sosial. Masih cantik, anggun dan langsing pada usia 40an. Aura pelantun lagu Cinta Antara Benua ini masih kuat.

Melayari rumahtangga bahagia bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar pada tahun 2009, Arni memberikan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga apatah lagi selepas memperolehi zuriat. Hasil perkahwinan Arni dan Wan Mohd Hazrie, mereka dikurniakan 3 cahaya mata Manakala melalui perkahwinan terdahulu, Arni mempunyai dua anak iaitu Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha.


Sedar tak sedar dah bergelar anak dara puteri-puteri Arni Nazira ni. Macam kembar pun ada. Semakin cantik dan ayu persis ibu mereka ketika muda. Terpesona dan tak jemu mata memandang!
Sebagai ibu, Arni tetap melayani anak-anak sama rata dan sentiasa berusaha menjadi ibu yang terbaik. Arni turut mendedahkan, kedua-dua puterinya itu memiliki karakter yang berbeza. Namun begitu, perbezaan itulah yang membuatkan mereka lebih rapat dan saling melengkapi.


“Memandangkan Puteri Aleeya anak yang sulung maka kami menggelarnya Kakak. Dia seorang yang lembut, kakak yang penyayang dan sangat menjaga adik-adiknya. Memang terserlah karakter ‘anak sulung’ dalam dirinya. Puteri Aleeya juga rajin mengambil tahu tentang adik adiknya yang lain. Disebabkan itulah dirinya menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan berdikari.
“Manakala Puteri Aleefa pula karakternya sedikit ‘kasar’ berbanding kakaknya. Namun begitu, dia juga seorang yang sangat penyayang dengan adik-adiknya. Saya bersyukur kerana Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa mudah mendengar kata dan berfikiran matang.”
Ciri-Ciri Menantu Pilihan
Sebagai ibu, pastinya Arni mengharapkan anak-anaknya diberikan jodoh yang terbaik dalam melayari rumahtangga. Arni juga mendoakan kebahagiaan untuk anak-anaknya dalam apa jua bidang yang diceburi.
”InsyaAllah sebagai ibu, Kak Arni inginkan perkahwinan mereka perkahwinan yang sempurna, majlis yang meriah. Itulah doa saya sebagai seorang ibu, InsyaAllah. Saya serahkan pada anak-anak. Yang mana mereka rasakan baik dan sesuai dengan mereka, dan pada saya yang boleh bimbing mereka, baik, hormat orang tua, pandai ambil hati orang tua, pandai jaga anak-anak saya, InsyaAllah..Itu doa saya.”
Arni atau nama sebenarnya, Arni Nazira Anuar kini bahagia bersama kehidupannya sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Menurutnya, dia sangat bahagia dan selesa dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu. Walaupun sibuk menguruskan rumahtangga, Arni tetap mengutamakan soal penampilan diri kerana ia merupakan perkara yang penting untuk kesihatan luaran dan dalaman buat dirinya.
“Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia atau petua awet muda. Cuma saya kerap minum air masak, makan vitamin dan suka makan ulam-ulaman. serta bersenam untuk kekalkan berat badan ideal. Selain itu, saya memberi perhatian khusus untuk rawatan kulit wajah. Saya juga turut berkongsi tip penjagaan wajah dengan dua anak gadis yang sedang meniti usia dewasa.
Kesimpulannya, tiada sebarang petua yang khusus cuma pesanan saya pada mereka ialah sentiasa menjaga kulit, lebih-lebih lagi di usia remaja sekarang. Kulit akan mudah bermasalah kalau tak jaga dengan betul.”
Harapan Arni buat Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa agar mereka sentiasa menjaga diri dan yang paling penting menjaga solat.

“Kalau bertemu atau sekadar berbual dalam telefon itulah pesanan utama saya buat mereka setiap hari. Kami akan video call atau bermesej di WhatsApp. Saya mendoakan mereka menjadi anak-anak yang solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan hidup yang sebenar, Insya-Allah. Saya mahu yang terbaik buat anak-anak, bukan saja Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bahkan anak-anak yang lain juga.”
Kredit Foto: Instagram @arninazira @aleeyantasha @aleefaantashaa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keturunan Somalia, ILHAN OMAR Wanita Islam Pertama Jadi Anggota Kongres Amerika Syarikat!

Kredibiliti dan suara wanita Islam sekali lagi diiktiraf di mata dunia! Ilhan Omar yang merupakan ibu kepada tiga orang anak dan dahulunya seorang pelarian, kini menjadi anggota kongres Amerika Syarikat yang mewakili parti demokrat. Sekaligus, muncul sebagai parti pembangkang kepada kerajaan republikan yang diketuai Presiden Donald Trump.
Ilhan mencipta sejarah dalam persidangan kongres ke-116 pada November 2018 apabila menjadi wanita pertama Islam menyandang jawatan sebagai anggota kongres selepas menerima undi tertinggi menentang calon republikan dalam pemilihan daerah Minnesota pada Ogos dua tahun lepas.
Turut melakar kejayaan sama ialah Rashida Tlaib yang juga wanita Islam dan mendapat tempat dalam kongres negara kuasa besar tersebut. Kisah kejayaan Ilhan tidak datang bergolek kerana realitinya, dia sekeluarga pernah ditempatkan di kem pelarian di Kenya sebelum dibawa masuk sebagai pelarian di Amerika Syarikat. Waktu itu, Ilhan baru berusia 14 tahun dan berketurunan Somalia.




Malah bapa Ilhan pernah mendedahkan, “23 tahun lalu kami sekeluarga tiba di lapangan terbang Washington sebagai pelarian di negara ini selepas berjaya meninggalkan kem pelarian di Kenya. Kami percaya dan berpegang kepada keterbukaan Amerika bahawa prosperity for all and hope for a better tomorrow.
Bagaikan dalam mimpi! Kini selepas 23 tahun, saya kembali di lapangan terbang yang sama bersama anak perempuan saya, Ilhan… sebelum dia mengangkat sumpah sebagai wanita Islam Somali-American pertama dalam Kongres Amerika Syarikat. Pasti anda dapat membayangkan betapa bangganya saya atas kejayaan Ilhan.
Ia merupakan satu penghormatan buat kami kerana akhirnya Ilhan menjadi salah seorang ‘suara’ demokrasi. Walaupun datuk Ilhan tidak dapat menyaksikan momen bermakna ini tapi kami membawa semangatnya dan Ilhan akan mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran milik datuk beliau.”


Berkongsi pengalaman pahit manis bersama bapa tersayang sepanjang perjalanan untuk menjadi ahli politik, Ilhan bagaimana pun terpaksa menerima ketentuan takdir apabila bapanya, Nor Omar Mohamed telah kembali ke rahmatullah pada 16 Jun lalu. “Inna lillahi wa inna ilayhi raji’uun surely we belong to God and to him shall we return. It is with tremendous sadness and pain to say goodbye to my father, Nur Omar Mohamed. No words can describe what he meant to me and all who knew and loved him.
Ilhan yang dilahirkan pada 4 Oktober 1982 sedang meniti usia 38 tahun dan hidup bahagia bersama tiga orang cahaya mata iaitu Isra Hirsi, Adnan dan Ilwad. Pada awal Mac lepas, wanita berjiwa besar ini dilaporkan telah berkahwin buat kali ketiga dengan seorang jejaka Amerika yang juga merupakan perunding politik Ilhan iaitu Tim Mynett.



Selain mengangkat suara dan membela nasib golongan yang ditindas, Ilhan turut menyatakan pendirian tegasnya yang tidak menyokong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Kredit foto: Instagram Ilhan Omar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari Seorang Budak Penebar Roti Canai, Faizul Rohban Bina Empayar Berkat Kasih Sayang Kakak!

Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.

Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…


‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban


Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.


Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban

ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.


“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.

Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


