“Sejak akhir-akhir ini susah sungguh nak tidur malam. Pusing ke kanan salah, pusing ke kiri pun salah. Takkan nak tidur duduk pula? Ini mesti sebab masa bersalin anak pertama dulu aku ambil epidural,” kata Zai mengadu kepada teman sepejabatnya.

Apabila usia kandungan masuk ke trimester kedua, perut pula sudah makin membesar. Rasa sakit pinggang di kalangan wanita mengandung adalah normal. Tetapi, bagaimanakah pula kalau sakit pinggang itu terlalu ketara dan mengganggu aktiviti harian. Benarkah epidural menjadi punca? Ikuti penerangannya.

IKLAN

Adakah benar pengalaman mengandung boleh mengakibatkan sakit pinggang apabila usia meningkat 30-an?

Mengandung boleh mengakibatkan sakit pinggang pada sesiapa sahaja tanpa mengira umur ibu yang hamil.

Sebenarnya bagaimana sakit pinggang ini boleh berlaku?

Sakit pinggang atau sakit di bahagian bawah tulang belakang semasa mengandung adalah berkaitan dengan beberapa faktor. Sesetengah wanita mula mengalami sakit belakang di awal kehamilan lagi. Wanita yang lebih berisiko untuk sakit belakang adalah mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau telah mempunyai sakit sebelum kehamilan.

Apakah faktor sebenar yang menyebabkan sakit pinggang kepada wanita?

Berikut adalah senarai perkara yang berpotensi menyebabkan sakit belakang semasa mengandung.

(a) Peningkatan Hormon

Hormon yang dikeluarkan semasa mengandung membolehkan ligamen di bahagian pelvis menjadi lembut dan sendi menjadi longgar sebagai persediaan untuk proses kelahiran. Perubahan pada sendi tulang belakang dan pelvis ini, melonggarkan ligamen dan menjejaskan sokongan yang asal.

(b) Pusat Graviti

Pusat graviti anda secara beransur-ansur akan bergerak ke hadapan dengan pembesaran saiz rahim dan bayi anda, ini menyebabkan postur tulang belakang anda berubah.·

(c) Peningkatan Berat Badan

Proses kehamilan dan pembesaran bayi meningkatkan berat badan dan ini menjadi beban tambahan yang perlu ditampung oleh tulang belakang dan pelvis.·

(d) Postur Atau Kedudukan

Postur yg tidak baik, berada dalam kedudukan berdiri dan membongkok yang lama boleh mencetuskan atau meningkatkan kesakitan yang anda alami di pinggang/belakang anda.·

(e) Pemisahan Otot

Semasa rahim mengembang, dua kepingan otot selari (otot rectus abdominis) yang berlangsung dari tulang rusuk ke tulang pelvis, terpisah dari bahagian tengah. Pemisahan ini boleh memburukkan lagi sakit belakang.·

IKLAN

(f) Tekanan

Tekanan emosi boleh menyebabkan ketegangan otot belakang, mengakibatkan rasa sakit belakang. Anda mungkin mendapati bahawa anda mengalami peningkatan dalam sakit belakang semasa mengalami tekanan.

Ramai di kalangan wanita yang melahirkan anak secara pembedahan sering mengadu sakit pinggang, adakah kaedah pembedahan tersebut yang menjadi punca kepada sakit pinggang?

Pengalaman bersalin melalui pembedahan tidak ada kaitan dengan sakit pinggang. Banyak perubahan fizikal yang boleh menyebabkan sakit belakang atau pinggang semasa mengandung boleh menyumbang kepada sakit pinggang selepas bersalin juga.

Perubahan ini tidak hilang dalam sekelip mata. Jadi pinggang anda akan terus sakit sehingga otot mendapatkan semula kekuatan dan bentuk asal dan sendi anda menjadi kurang longgar dan kemas semula.

Anda juga boleh mengalami sakit belakang akibat proses bersalin yang panjang atau sukar. Semasa proses bersalin anda menggunakan otot yang biasanya tidak digunakan, dan anda akan merasa kesannya untuk beberapa ketika.

Jika anda mengambil epidural, anda boleh merasa ketidakselesaan di tempat analgesia epidural untuk beberapa hari selepas melahirkan anak, tetapi ia tidak seharusnya menyebabkan sakit belakang atau pinggang.

IKLAN

Masalah sakit belakang boleh menjadi lebih teruk jika tidak menjaga postur yang baik ketika menyusukan bayi. Keletihan dan tekanan dalam menjaga bayi yang baru lahir 24/7 juga boleh membuat ia lebih sukar untuk pulih daripada sakit-sakit badan selepas bersalin, termasuk sakit belakang atau pinggang.

Bagaimana pula dengan wanita yang mengambil epidural. Benar atau tidak epidural menyumbang kepada sakit pinggang?

Kajian awal telah mencadangkan bahawa ‘analgesia’ epidural semasa proses bersalin boleh dikaitkan dengan peningkatan insiden sakit belakang selepas bersalin. Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini adalah kajian retrospektif dan reka bentuk metodologi yang kurang baik.

Semua kajian yang lebih baik diterbitkan selepas itu menghasilkan keputusan yang sama : tidak ada hubungan di antara ‘analgesia’ epidural dan sakit belakang selepas bersalin dalam jangka masa panjang.

Terdapat sebarang suplemen untuk menjaga kesihatan pinggang?

Tidak ada diet khas atau suplemen untuk menjaga kesihatan pinggang, tetapi anda boleh membantu menjaga tubuh anda dalam keadaan yang baik dengan makan makanan yang sihat dengan banyak buah-buahan , sayur-sayuran, dan bijirin penuh. Pilih makanan yang rendah lemak tepu dan gula. Minum banyak air.

Makanan yang tinggi antioksidan (seperti sayur-sayuran berdaun hijau dan buah) boleh membantu melawan keradangan. Elakkan kafein dan perangsang yang lain, alkohol, dan tembakau.

Bersenam dengan sederhana sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari, 5 hari seminggu. Dapatkan nasihat doktor anda sebelum memulakan rejimen senaman yang sesuai.

Tip Untuk Menjaga Kesihatan Pinggang

Seperti mana-mana keadaan kesihatan atau penyakit, mencegah sakit belakang adalah lebih baik daripada cuba untuk menyembuhkannya. Berikut adalah tip penjagaan kesihatan pinggang;

  • Sentiasa melakukan senaman regangan sebelum menjalani aktiviti fizikal yang berat.
  • Duduk di kerusi atau tempat duduk kereta dengan sokongan lumbar yang baik. Tukar kedudukan duduk anda dengan kerap. Disyorkan berjalan secara berkala di sekitar tempat duduk atau melakukan regangan otot untuk melegakan ketegangan.
  • Elakkan membongkok tanpa menyokong belakang anda. Berhati-hati ketika mengangkat barang yang berat. Jangan tunduk dan membengkokkan pinggang tetapi hendaklah membengkokkan lutut dan mencangkung, menarik otot-otot abdomen, dan memegang barang dekat ke badan sambil bangun dan berdiri. Pastikan anda tidak memusingkan badan semasa mengangkat barang.
  • Memakai kasut yang selesa dan bertumit rendah. Kasut bertumit tinggi mengalih pusat graviti anda dan menyebabkan ketegangan kepada belakang anda.
  • Tidur mengiring untuk mengurangkan sebarang lengkungan di tulang belakang anda. Anda juga perlu tidur di atas permukaan yang kukuh.
  • Kekalkan berat badan yang optimum.
  • Berhenti merokok. Merokok mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang anda, menyebabkan cakera tulang belakang merosot.
  • Dapatkan cukup vitamin D daripada pendedahan cahaya matahari setiap hari. Vitamin D membantu menguatkan tulang anda, termasuk tulang belakang anda, dengan membantu penyerapan kalsium dan fosfat di usus. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI