Andai kasih bertaut, ada pengorbanan perlu dilakukan. Mendirikan rumahtangga dengan jejaka Sweden, Siti Safura Hamzah kini bahagia membesarkan dua orang puteri di negara orang. Perkenalan ringkas dengan Paulius Stumbrys atau nama Islamnya, Asadullah membuatkan kisah cinta sebelum kahwin ini begitu kuat.
Rezeki pasangan ini yang dikurniakan dua orang puteri yang cantik dan comel, Dhuhaa Sophea, 3 tahu 7 bulan dan Amirah Al-Imaan, 15 bulan dapat disaksikan dalam laman Instagram Safura. Kedua-dua beradik ini memilik wajah yang cantik dan begitu comel sekali.
Menurut Safura, persekitaran yang selesa dan tenang membolehkan mereka mudah menyesuaikan diri. Suaminya juga banyak membantu agar dia tidak rasa kekok berada di negara orang tambahan pula masyarakat di sekeliling sangat baik dan saling menghormati di antara satu sama lain.
“Kami tinggal jauh dari komuniti Islam tetapi saya langsung tidak rasa terasing kerana masyarakat tempatan biasanya memiliki peribadi yang lebih baik dan tidak sombong. Sungguhpun jauh dari komuniti Islam tetapi di sini ramai orang Muslim.
Mudah juga kami hendak dapatkan makanan halal. Sesetangah kedai ada menjual makanan halal dan daging. Kalau nak senang, kami akan ke kedai Arab atau Turki untuk mendapatkan lebih banyak pilihan daging.
Berada di negara sendiri, tentunya kita mudah untuk memantau anak-anak sendiri tetapi di negara orang, pasti ada cabarannya. Lagi-lagi apabila kita hanya bersendirian tanpa keluarga sebagai teman.
“Untuk membesarkan anak-anak, kami cuma follow the flow. Kami didik dari rumah memandangkan kami tinggal di negara bukan islam. Jadi apa yang perlu di terapkan datangnya dari kami. Kami bukanlah kata Muslim yang sempurna tapi kami cuba cara yang terbaik untuk mendidik anak-anak terutamanya amalan asas seperti adat, soalan dan ajaran berkaitan ilmu agama.
Biasanya mereka pun akan ikut apa yang kita lakukan seperti solat dan mengaji jadi dari situ pun mereka look and learn. InsyaAllah kami pun merancang untuk hantar mereka ke sekolah agama, tapi memandangkan sini semua kena tunggu giliran. Jadi kita tengoklah macam mana nanti sekurang-kurangnya mereka dapat belajar sesuatu. “tulis Safura.
Tanyalah mana-mana ibu bapa sekalipun, tentunya banyak cabaran untuk membesarkan anak-anak. Bagi Safura, cabarannya paling besar adalah cara didikan.
“Saya bimbang budaya di sini terlalu kuat pengaruhnya apabila mereka meningkat remaja tetapi bila difikirkan semula, membesarkan anak-anak di mana-mana pun sama sahaja. Gejala sosial yang berlaku kini bukan hanya di barat tetapi seluruh dunia.
Cuma bezanya di sini, kanak-kanak ibarat raja. Ibu bapa tidak boleh terlalu tegas dalam mendidik. Jika di Malaysia, mak ayah kita akan melarang bukan hanya dengan kata-kata saja. Boleh jentik juga sesekali. Di sana, tiada istilah ‘jentik’ untuk mengajar. Silap haribulan, pihak jabatan kebajikan kanak-kanak akan masuk campur.”katanya lagi.
Walau apapun, dua beradik ini tetap membesar dengan baik. Pengalaman orang menetap di luar negara pastinya menyimpan pelbagai pengalaman berbeza daripada apa yang dinikmati di negara sendiri.
Krediti foto dan video: Instagram Ct Safuraa